Saturday, August 3, 2019

Kegiatan Membaca Banyak Manfaatnya

Sumber gambar : Google


Buku merupakan jendela ilmu. Seperti yang kita ketahui, kegiatan membaca adalah aktiviti yang sangat bagus serta berfaedah. Membaca memberikan kita manfaat dan menjadikan kita lebih bijak. Dengan membaca kita dapat mengenali diri kita sendiri. Kegiatan membaca ini tidak mengenal faktor usia. Sesiapa sahaja boleh melakukannya, tidak kira kanak-kanak, remaja, dewasa mahu pun yang telah lanjut usianya.


Membaca juga dikirakan sebagai terapi diri selain boleh dijadikan teman yang paling baik. Di pasaran, banyak genre yang boleh kita pilih untuk dijadikan sebagai bahan bacaan seharian kita. Ada bacaan fiksyen dan non-fiksyen. Selain masa lapang kita terisi dengan kegiatan membaca, ada juga manfaat lain dengan kegiatan ini. Berikut ada beberapa manfaat dengan kegiatan membaca.


a) Mengurangkan Tekanan

Membaca buku dapat melupakan seketika tekanan yang berlaku. Membaca buku pada waktu tertentu boleh meningkatkan ketajaman minda serta mengurangkan stres. Bagi seseorang yang gemarkan buku, perkara ini tidaklah sukar pada mereka kerana dengan membaca dapat memberikan sedikit kelegaan pada diri. Jika sedang dibelenggu tekanan yang menyesakkan diri, bacalah buku-buku motivasi yang dapat mengembalikan keyakinan pada diri.

b) Melatih Diri Untuk Menulis Dengan Lebih Baik

Bagi seseorang yang bergelar penulis, membaca adalah sangat penting. Selain untuk mencari idea untuk menulis, membaca jugaa boleh membuatkan seseorang penulis menulis dengan lebih baik. Dengan membaca, seseorang penulis boleh mempelajari perkataan-perkataan yang baharu serta kosakata yang betul. Ini akan membantu seorang penulis menghasilkan sebuah karya yang baik.

c) Dapat Meningkatkan Empati Diri

Selama ini, kita mungkin lebih mementingkan diri sendiri. Tidak pernah cakna terhadap perasaan orang lain. Oleh itu, membaca dapat meningkatkan rasa empati dalam diri. Ini mendorong kita lebih memahami perasaan orang lain. Secara tidak langsung, dapat membina hubungan yang baik dengan orang di persekitaran kita. 

d) Mencegah Risiko Penyakit Alzheimer

Membaca juga dapat mencegah risiko daripada terkena penyakit Alzheimer, iaitu sejenis penyakit penurunan kondisi saraf otak. Dengan membaca buku dapat menjaga otak agar sentiasa aktif sehingga dapat bertindak secara baik. Bagi seseorang yang tidak suka membaca, maka risiko terkena Alzheimer bisa meningkat.

e) Dapat Memperluaskan Pemikiran

Seseorang yang gemar membaca akan dilihat lebih terbuka pemikirannya jika dibandingkan dengan orang-orang yang tidak atau kurang gemar membaca. Hal ini kerana, dengan melakukan kegiatan membaca menjadikan seseorang itu lebih berpengalaman dan kreatif dalam semua hal serta menjadikan seseorang itu berfikir secara rasional.

Adakah anda mempunyai idea lain tentang manfaat membaca buku untuk dikongsikan? Berikan komen anda di ruangan di bawah.


Semoga artikel ini bermanfaat.




No comments: