Saturday, October 19, 2019

Bab 1 - Insan Kau Cinta




BAB 1
                 

Aku mengayuh laju basikal merah dengan senyuman tidak putus-putus terukir di bibir dalam keredupan petang. Petang sudah menyusup waktunya. Mentari yang tadi memancarkan bahang sewaktu aku pergi ke pekan sudah sirna cahayanya di balik awan-gemawan. Petang itu, sebaik sahaja cuaca sudah beransur redup, emak menyuruh aku menghantar sebekas cempedak goreng ke rumah sahabatnya. Walaupun agak keberatan untuk bertemu dengan sahabat baik emak itu, aku setuju juga akhirnya. Tanpa berlengah, aku mengayuh laju basikal menuju ke rumah Makcik Noriyah yang terletak selang beberapa lorong daripada rumah aku. Sesekali terasa angin sepoi-sepoi bahasa menampar lembut kedua-dua belah pipiku. Sungguh nyaman sekali.
Aku tiba di halaman rumah Makcik Noriyah setelah lima belas minit mengerah tenaga mengayuh basikal. Berpeluh jugalah sewaktu aku tiba di halaman rumah Melayu separuh kayu dan separuh batu itu. Aku mengesat peluh yang merenik di dahi.
            Sebaik sahaja aku menuruni basikal, salam kesejahteraan aku lontarkan. Tiga kali juga aku melontarkan salam sehinggalah Makcik Noriyah muncul di muka pintu dapurnya. Segaris senyuman terukir di wajah wanita itu yang sebaya usianya dengan emak.
            Aku pun dengan pantas mengorak  langkah mendapatkan wanita tersebut yang sudah tercegat di muka pintu.
            “Cik Yah, ini mak bagi cempedak goreng,” ujarku lembut seraya menghulurkan plastik yang berisi sebekas cempedak goreng.
            “Tau. Mak kamu baru telefon cik,” jawab wanita itu melirik padaku. Plastik sudah bertukar tangan.
            “Laju betul mak ni.”
           
“Dia risaukan kamu. Itu dia telefon tanya kamu dah sampai ke belum.”
            “Mak ni. Macam jauh sangat rumah Cik Yah dengan rumah kita orang.” Aku tergelak kecil sewaktu menghabiskan kata.
            “Biasalah. Anak perempuan kenalah risaunya. Buatnya jadi apa-apa kat tengah jalan. Zaman sekarang ni macam-macam kes,” tutur wanita seusia emak panjang lebar.
            Sekali lagi, aku hanya tergelak kecil.
            “Okeylah Cik Yah. Lea balik dulu. Nanti mak risau pulak.”
            “Eh, tak masuk dulu. Cik Yah ada buat teh susu.”
            “Tak apalah. Lain kali ye cik. Lea balik dulu.” Cepat-cepat aku hulurkan tangan untuk bersalaman. Usai bersalaman aku menghayun langkah menuju ke basikal yang aku parkirkan di bawah pokok mangga namun langkahku terhenti sebaik sahaja mendengar namaku dipanggil Makcik Noriyah. Lantas aku menoleh.
            “Lea, dengar cerita kamu dapat sambung belajar di Ipoh ye?” soal Makcik Noriyah. Suaranya perlahan namun masih boleh didengari olehku.
Wanita itu sudah keluar dari rumah lalu menyarungkan selipar. Dia kemudiannya mengatur langkah mendapatkanku.
“Ermm...ye cik.” Aku mengangguk perlahan.
‘Ini mesti kerja maklah. Pantas sungguh mak aku.’ Omelku sendiri di dalam hati.
“Kamu pergilah ye?”
Aku mengangguk laju.
“Jangan lupa permintaan cik. Makcik berharap sangat. Mak Lea mesti dah beritahu pada Lea, bukan?” Soalan wanita itu membuatkan aku dihimpitkan perasaan serba-salah. Sudahnya

aku sekadar mengangguk sahaja. Terasa seperti burung belatuk. Kerja aku dari tiba sampai nk balik asyik mengangguk.
“Lea nak belajar dulu,” jawabku ringkas. Tidak pasti sama ada jawapan aku berkaitan dengan soalan wanita itu. Biar aku menjelaskan terlebih dahulu sebelum wanita itu membuka cerita dengan lebih lanjut. Mukadimahnya sahaja sudah buatkan aku jadi serba tidak kena.
“Itu makcik tahu tapi bolehlah kalau Lea fikirkan dari sekarang. Sekurang-kurangnya Lea dah tahu mana hala tujunya.”
“InsyaAllah, makcik tapi Lea tak janji.”
“Yelah. Kawanlah dulu. Tapi dalam berkawan tu biarlah ada hala tujunya. Nanti Lea kat sana, dia kat sini. Jadi pandai-pandailah jaga hubungan. Makcik tak nak hubungan korang sekerat jalan. Makcik nak sangat Lea jadi menantu makcik.”
Aku telan air liur. Terasa kesat di kerongkong.
Alahai makcik. Ini yang aku malas mahu bertemu dengan wanita ini. Setiap kali bertemu ini sahaja modalnya. Mujurlah dia sahabat baik emak. Kalau tidak memang aku tidak teringin mahu berjumpa.
Aku baru sahaja habis SPM. Kenapa mahu terburu-buru?
“Dengar tak apa yang makcik cakapkan?” Lenganku ditepuk perlahan membuatkan aku kembali ke alam realiti.
“Hah! Dengar...dengar...Lea kawan dengan semua orang pun.”
“Itu makcik tahulah. Kawan biar seribu, berkasih biar satu.”
Sewaktu itu aku hanya mampu mendiamkan diri. Bermadah helah pula wanita ini. Aku terasa mahu menepuk dahi bila ungkapan itu meluncur laju meniti di bibir wanita itu namun aku tidak tergamak mahu melakukannya.
Aku sendiri keliru. Sejak bila pula aku berkasih? Aku baru sahaja menamatkan zaman persekolahan. Tidak dinafikan aku berkawan dengan anaknya yang tua setahun daripadaku tapi itu tidak bermakna kami sedang berkasih-kasih.
Tidak tahu apa yang perlu aku jawabkan maka kata-kata itu aku biarkan berlalu sepi. Kata-kata itu hanya sekadar singgah sebentar dan kemudiannya hilang dibawa angin.
Aku perlu realisasikan impian aku terlebih dahulu. Itu yang paling utama. Peluang ini datang hanya sekali.



No comments: