Monday, October 14, 2019

Prolog - Insan Kau Cinta



PROLOG


            Berita yang aku khabarkan pada emak mempamerkan riak gembira pada seraut wajah tua yang sudah memasuki lingkungan umur 50-an. Aku hulurkan sekeping kertas pada emak sewaktu kami empat beranak menikmati minum petang di pangkin kayu yang dibuat oleh arwah ayah yang terletak di laman rumah. Sepinggan cucur ikan bilis dan seteko teh ‘o’ dihidangkan petang itu.
            “Alhamdulillah.” Sepotong ayat itu meniti laju di bibir tua itu seraya menadah tangan sebaik kertas yang sudah bertukar tangan ditatapnya.
            Aku juga sama-sama mengaminkan doa wanita itu. Doa seorang ibu tiada hijabnya. Ianya terus diangkat ke langit.
            Adik-adik aku, Adibah dan Afiqah cuku berselera menikmati cucur ikan bilis dicicah dengan sos cili yang dibuat oleh emak. Walaupun mereka tidak melontar kata, riak wajah mereka sudah cukup memberitahu yang mereka turut gembira dengan perkhabaran yang baru aku sampaikan. Meskipun tawaran itu tidak seperti apa yang aku harapkan namun aku perlu bersyukur ke hadrat Ilahi. Sekurang-kurangnya aku telah berjaya mengorak langkah untuk melanjutkan pelajaran.
            Jeda.
            “Tapi jauh sangat tempatnya,” kata emak perlahan. Sendu. Riaknya yang tadi gembira kini sudah bertukar. Terpamer riak sedih di wajah tua itu. Dahinya yang dihiasi garis-garis halus mula berkerut. Aku melempar selayang pandang pada seraut wajah yang telah melahirkan aku 18 tahun yang lalu.
            “Mak, manalah jauhnya. Setakat Melaka ke Ipoh tu baru 3 jam lebih. Bukannya Lea tak boleh balik.” Aku menyusun kata menyedapkan hati tuanya.
Wanita tua itu melepaskan sebuah keluhan.
            “Yelah, mak ni. Kalau Kak Lea tak balik, kita bolehlah ke sana. Kita tak pernah jalan-jalan ke tempat orang,” ujar Adibah. Bahu emak dirangkulnya.
            “Mak ni suka sangat susah hati benda yang remeh-temeh.” Adibah bersuara lagi. Emak hanya mempamerkan wajah sugulnya.
            “Mak...janganlah macam ni. Mak jangan fikir bukan-bukan. Nanti boleh naik darah tinggi mak tu.” Aku kembali bersuara melihat kegusaran di wajah emak.
            “Yelah mak. Nanti Iqah susah kalau mak sakit.” Kali ini Afiqah, si bongsu pula bersuara.
            “Yelah kau tu. Kau susah apa dik? Macam kau pula yang selalu jaga mak masa sakit. Kak Lea yang selalu jaga mak. Kau tu tahu makan aje. Kau tu susah hati sebab nanti tak ada siapa nak melayan dia makan.” Adibah mengusik Afiqah yang hanya beza dua tahun usia mereka.
            “Eh, mana ada.” Afiqah menidakkannya lalu satu cubitan hinggap di lengan Adibah. Adibah sudah mengerang kesakitan. Gadis berusia 13 tahun itu sudah memuncungkan mulutnya.
            “Iqah...” Aku pula yang menampar lembut di bahunya.
            “Adoi, dik. Mulut tu kalau sangkut barang pun boleh. Bukan main muncung.” Sekali lagi Adibah mengusik Afiqah yang sudah melarikan dirinya di belakang emak namun tangan Adibah dapat juga mencapai untuk mencubit mulut Afiqah.
            Aku sudah tergelak. Begitu juga dengan emak. Melihat emak tergelak sedikit sebanyak melegakan aku. Sekurang-kurangnya dapatlah mengusir keresahan yang sedang bertamu dalam dirinya.
            “Iqah tu susah hati nanti tak ada siapa nak masak sedap-sedap untuk dia. Alah Dibah kan ada boleh masak.” Aku pula menambah cerita.
            “Ya, budak debab ni...” Adibah sempat menggomol-gomol badan si bongsu yang sedikit berisi. Afiqah laju menepis tangan Adibah.
            “Eee... Dibah masak tak sedap.”
            “Berani kau kata macam tu...” Adibah mencucuk pinggang Afiqah. Kedengaran Afiqah tertawa memekik kegelian.
            “Mak bukan apa. Risaulah. Korang mana pernah jauh dengan emak. Ini lagilah abah dah tak ada. Lagilah mak risau.” Sayu sahaja nada emak berbicara.
            “Mak, inikan pesanan arwah abah. Abah pesan suruh kita orang sambung belajar.” Aku cuba menenangkan emak. Manalah tahu hati emak lebih tenang bila mendengar nama abah disebut-sebut.
            Emak menundukkan wajahnya. Aku dan adik-adik sudah memeluk tubuh emak yang sedikit gempal.
            “Emak, nanti-nanti pun bila Adibah habis SPM pun dia kena sambung belajar. Sementara aje mak. Kita orang perlukan doa mak. Mak tak nak tengok anak-anak emak berjaya ke? Lagi pun ini pesan abah pada Lea.” Aku menutur perlahan. Tangan emak aku genggan erat. Cuba menyalurkan kekuatan daripada seorang anak kepada seorang wanita bergelar emak.
            Kedengaran keluhan kecil daripada emak. Aku dapat rasakan keresahan yang menganggu diri wanita tua itu.
            Sedang kami empat beranak melayan perasaan, kami dikejutkan dengan kedatangan seseorang.
            “Assalamualaikum.” Kedengaran seorang wanita melontarkan salam kesejahteraan membuatkan kami berpaling ke arah empunya suara. Serentak kami menjawab salamnya.
            Seorang wanita yang sebaya usia emak, berbaju kurung bunga-bunga serta bertudung separuh labuh menutupi dada. Segaris senyuman dihadiahkan oleh wanita itu.
            Kami saling berpandangan.
            “Mak, kawan baik mak tu.” Serentak aku dan Adibah bersuara.
           

No comments: