Friday, November 1, 2019

Bab 2 : Insan Kau Cinta

BAB 2



            Telefon rumah berdering nyaring sewaktu aku sedang membaca novel Ketika Cinta Jatuh Kepadaku, karya Faizah Mohd Noh di ruang tamu. Emak sibuk di ruang kerjanya. Bunyi mesin jahit emak yang sudah sedekad usianya membingitkan suasana petang itu. Waktu-waktu begini, usai Zuhur emak akan memulakan aktiviti menjahitnya. Sejak aku habis sekolah, memang aku tinggal berdua dengan emak sementara adik-adik pula ke sekolah.
Tanpa berlengah aku terus bangkit dan mengorak langkah menuju ke tempat telefon. Gagang telefon segera aku capai dan telefon aku lekapkan di telinga. Suara yang memberi salam itu, kuyakin suara Tina.
“Tina!” Aku bersorak riang.
“Jawab salam aku dululah.” Tina bersuara tidak puas hati.
“Apa mimpi kau telefon aku ni?”
“Tiba-tiba teringat kat kau.” Tina menjawab diselangi dengan gelak kecil.
“Rindu akulah tu.” Kedengaran Tina tergelak lagi. Bahagia sangat kedengarannya. “Kau dah habis belajar kelas solekan ke?” soalku pada Tina.
“Aku dah habis belajar dengan kakak tu. Tapi aku nak mohon kursus kat Kolej Komuniti. Ada juga sijil.”
“Wah, seronok tu. Kau dah mohon belum?”
“Baru mohon. Aku mohon kursus jangka pendek. Dapat kat sini jadilah. Aku tak nak pergi jauh-jauh. Keputusan aku pun tak adalah gempak macam kau. Lagi pun aku memang minat menyolek. Jadi baik aku pilih benda yang aku minat.”
“Baguslah tu. Nanti bila dah ada modal boleh buka kedai. Andaman Tina. Sesekali boleh kau solek aku pulak.” Aku mencadangkan pada Tina. Tina sudah gelak-gelak di hujung telefon.
“Tinggi sangat angan-angan kau tu Lea.”
“Eh, patutnya kau aminkan doa aku tau. Cepat aminkan sekarang.”
Serentak aku dan Tina mengucapkan perkataan amin.
“Yelah, nanti kau kawin boleh aku solek kau. Kau kena amik aku jadi mak andam kau tau.” Bicara Tina laju.
Kali ini giliran aku pula yang gelak. “Angan-angan kau lagi tinggi Tina.”
“Eh, betul ke apa yang mak aku cerita?”
Aku menarik nafas kemudian dilepaskan. Pasti cerita itu sudah sampai ke telinga Makcik Rehan, mak Tina. Kampung ini bukanlah besar mana. Kalau berjalan ke kenduri, lebih-lebih lagi mak-mak kami pula kumpulan marhaban kampung lagilah ceritanya cepat tersebar.
“Kau nak ke?”
“Ish, taklah. Mana ada aku nak. Aku nak belajar dululah. Cari kerja. Ada kerja sendiri. Ada gaji. Boleh balas jasa mak aku.” Jelas aku panjang lebar.
“Hurmmm...Itulah aku pun terkejut bila dengar cerita kau. Berkenan nau dengan kau. Entah apa yang dia berkenan sangat kat kau.” Tina melontar katanya dan diakhiri dengan gelak yang panjang.
“Hamboi, seronok sangat gelakkan aku. Apa kau ingat aku tak laku?”
            “Nanti sebelum kau ke Ipoh, kita jumpa tau.” Pesan Tina sebelum mematikan talian.
            Aku kembali ke ruang tamu mahu menyambung membaca novel. Baru sesaat aku melabuhkan punggung, kedengaran bunyi motosikal memasuki ke halaman rumah. Sebaik sahaja enjin motosikal dimatikan, suara seorang lelaki melontarkan salam.

            Sebaik sahaja aku mendengar laungan salam itu, aku sudah dapat mengagak empunya diri. Aku memandang ke arah emak begitu juga dengan emak.
            “Macam diseru pulak datangnya. Ini Tinalah ni dok sebut-sebut fasal dia.” Aku mengomel sendiri namun aku paksakan juga diri untuk menjawab salam. Aturan langkah dibuat menuju ke muka pintu.
            “Lea, boleh saya jumpa awak.”
            Hanya sebuah keluhan dilepaskan sebelum aku mengangguk setuju.


No comments: