Wednesday, November 27, 2019

Bab 2 : Ungkapan Kata Bernafas Cinta




Gambar : Carian Google



BAB 2


Saat diri mahu menyembah bumi
Diri tidak mampu menanggung segala


            “Terima kasih, cikgu.” Bergema suara pelajar tingkatan 5 Jingga. Khalisah mengarahkan semua pelajarnya untuk duduk semula. Dia menyusun buku-buku latihan yang telah dihantar oleh para pelajarnya.

            “Nayli, tolong cikgu hantarkan buku-buku ini ke bilik guru ye.” Arahnya lembut pada ketua tingkatan 5 Jingga.

Kemudian Khalisah melangkah keluar dari kelas 5 Jingga sebaik sahaja loceng berdering. Kelasnya sudah pun berakhir. Dia mengatur kemas langkahnya menuruni anak tangga menuju ke bilik guru.

Sebuah buku dipegang di tangannya. Aturan langkahnya diteruskan namun langkahnya terhenti di muka pintu bilik guru sebaik mendengar namanya dilaungkan. Pantas dia menoleh. Susuk tubuh kecil Aida kelihatan berlari-lari anak mendapatkannya.

“Kau dah habis kelas ke?” Soal Aida sedikit tercungap-cungap. Sahabatnya kalau di sekolah tukar slanganya. Berbahasa ‘kau’ bukannya ‘hang’. Dialek utaranya pun tidak kedengaran.

Khalisah sekadar mengangguk.

“Kenapa?” Khalisah dan Aida beriringan melangkah masuk ke dalam bilik guru.

“Hujung minggu ini ada program hantar bantuan kat rumah orang-orang tu yang dianjurkan oleh Kelab Mencari Keberkatan. Tadi sebelum masuk kelas, aku terbaca iklannya di facebook,” terang Aida sebaik sahaja punggungnya dilabuhkan di tempat masing-masing.

Khalisah memasang telinga seraya menyandar pada kerusi. Melepaskan lelahnya buat seketika waktu. Anak matanya merenung pada Aida yang duduk bertentangan dengannya.

“Kau nak join tak?” Soal Aida.

Jeda.

“Aku macam berminat. Seronok kalau kita ikut kerja-kerja kesukarelawan daripada kita tak buat apa-apa kat rumah tu.” Sambung Aida lagi panjang lebar.

Khalisah menongkat dagunya di atas meja. Sejenak memikirkan pelawaan Aida. Ada betulnya apa yang dikatakan Aida. Daripada buang masa kat rumah, membaling belakang kisah sedih sahaja memang tidak jadi apa.

“Boleh juga,” balas Khalisah pendek. Aida sambut dengan riak wajah ceria.

“Sungguh?” Soal Aida seolah-olah tidak percaya dengan jawapan Khalisah.

“Sungguhlah. Ingat aku main-main ka?” Khalisah membuka buku catatannya. Dicatat sesuatu dalam buku tersebut kemudian ditutupnya kembali. Buku-buku latihan yang sudah diletakkan di atas meja diambilnya pula. Mahu menyemak satu-persatu latih tubi yang diberinya tadi.

“Kejap lagi aku ada kelas lagi. Kau tolong telefon nombor ini. Ini orang yang uruskan program tu. Beri nama kita sekalilah. Rasanya kita kena beli sedikit keperluan untuk dibawa sekali ke rumah orang tua nanti.” Terang Aida. Dihulurnya sekeping kertas yang tertulis nombor telefon bimbit seseorang.

Sekali imbas Khalisah memandang nombor yang tertera sebelum diselitkan di dalam buku catatannya.

“Kalau sempat kita boleh minta sumbangan daripada cikgu-cikgu sekolah.” Khalisah membuka mulut memberi cadangan pula.

“Betul juga tu.” Sambut Aida girang. Aida mengerling jam tangannya. “Aku dah nak masuk kelas. Hang jangan lupa telefon.” Pesan Aida sebelum meninggalkan bilik guru. Khalisah mengangguk beberapa kali tanda faham akan pesanan sahabatnya itu.

‘Pesan macam kita ni budak-budak.’ Omel Khalisah di dalam hati. Senyuman terukir di hujung bibirnya. Aida memang begitu. Ada masanya kalut tak tentu fasal.

            Khalisah menyelak satu-persatu helaian buku latihan. Ditanda dengan pen merah satu-persatu jawapan yang tertulis. Semakannya terhenti tatkala telefon bimbitnya berdering.

            Senyuman memekar di bibirnya tatkala melihat nama yang tertera di skrin.

            “Assalamualaikum.” Salam kesejahteraan dilontarkan sebaik sahaja punat jawab ditekan dan telefon dilekapkan pada telinga. Salamnya berjawab Mak Jah di hujung talian.

            “Tak ada kelas ke?” Soal Mak Jah.

            “Lisa baru habis mengajar, mak. Ini tengah tanda buku kat bilik guru.” Mak Jah mengiyakan sahaja. “Ada apa mak telefon Lisa?” Soal Khalisah dalam nada sedikit musykil. Bukan apa, selalu maknya akan telefon sebelah malam. Waktu-waktu Khalisah sudah melunjur kaki di atas katil. Waktu itulah yang Mak Jah akan menelefonnya.

            Kata Mak Jah, waktu itu Khalisah sudah semestinya beristirehat. Jadi tidaklah menganggu dirinya. Ada-ada sahaja maknya itu.

            “Tak ada apa. Abang suruh mak telefon Lisa tanya khabar Lisa. Tak sabar-sabar nak tunggu malam dia suruh telefon sekarang juga.”

            “Abang?” Soal Khalisah seolah-olah tidak percaya. Dua kali musykil jadinya bila mendengar Mak Jah menyebut fasal abang. Abang memang jarang nak menelefonnya. Sejak peristiwa itu abang memang nampak kerisauan pada dirinya. Walaupun abangnya tidak menunjukkan tetapi dia dapat rasakannya.

            “Lisa okey je mak. Mak dengan abang jangan risau. Kat sini Aida ada. Dia pun banyak beri kata-kata semangat pada Lisa.”

            Khalisah melepaskan sebuah keluhan. Perlahan sahaja namun tetap didengar  Mak Jah.

            “Tak baik mengeluh tu.”

         “Mak ni telinga lintahlah. Lisa terlepas. Tak sengajalah.” Tawa kecil terlepas daripada mulutnya.

            “Mak dengar walaupun perlahan. Lisa kan anak mak. Mak boleh hidu gerak-geri Lisa.” Kemudian Mak Jah pula yang tertawa. Tawanya disambut Khalisah.

            “Jaga diri baik-baik. Senang-senang jangan lupa balik kampung.” Pesan Mak Jah sebelum mengakhiri perbualan.

            Khalisah tersenyum sebaik sahaja talian dimatikan. Wajah emaknya bermain di ruang mata diselang-seli dengan wajah abangnya, Khairulnizam.

            “Abang tak nak tengok Lisa bersedih macam ini sangat.” Pesan abangnya usai dia bersolat maghrib secara berjemaah di rumah. Waktu itu dia menyalami tangan abangnya dengan berlinangan air mata.

            Seketika mengelamun, Khalisah tersedar ke alam realiti. Baru dia teringat pesanan Aida. Lantas dia menyelak buku catatannya untuk mencari kertas yang diselitnya tadi. Nombor yang tertera didail. Sesaat bunyi deringan sebelum panggilannya berjawab.

            “Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Puan Nadia?” Setelah memperkenalkan dirinya, Khalisah berterus-terang tentang tujuannya menelefon.

            “Kalau macam tu, Puan Khalisah boleh juga kumpulkan barang-barang untuk dibawa ke rumah orang-orang tua tu nanti sebagai sumbangan”

            “Saya memang bercadang nak kutip derma daripada cikgu-cikgu sekolah. Nasiblah kawan saya terperasan iklan di facebook tadi.” Terang Khalisah berbasa-basi.

            “Kami memang adakan program sebegini sepanjang tahun. Kadang ke rumah orang tua, kadang ke rumah anak-anak yatim. Ikut pada tentatif program sepanjang tahun. Ini semua kerja sukarelawan.”

            “Bagus macam tu. Saya memang berminat nak ikut serta.”

            “Kalau program rumah orang-orang tua, kami akan mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat terlebih dahulu untuk menghantar sumbangan. Untuk rumah orang-orang tua bawah NGO, kita boleh terus mohon pada penjaganya.” Terang wanita yang bernama Nadia panjang lebar.

            “Baiklah. Nanti kita jumpa sabtu ini.”

            Talian diputuskan. Jam di tangannya dikerling. Lebih kurang setengah jam lagi waktu rehat akan tiba. Ini bermakna ada setengah jam lagi Aida akan habis waktu mengajarnya. Khalisah sudah tidak sabar mahu berkongsi cerita dengan Aida.

            Buku nota kecil di atas rak dicapainya. Dia mula menyenaraikan barang-barang sumbangan yang perlu untuk dibawa ke rumah orang-orang tua itu nanti. Rasanya dia sudah menemui aktiviti baru untuk dirinya. Dia mahu menyibukkan dirinya dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah tanpa ada masa untuk memikirkan perkara lalu.

            ‘Kain batik, pampers, kain pelekat, beras, sardin...’ Satu-persatu disenaraikan di dalam buku nota sambil anak matanya ligat memerhatikan kelibat Aida yang belum kunjung tiba di dalam bilik guru.
           
[Bersambung]





No comments: