Wednesday, November 6, 2019

Bab 3 : Insan Kau Cinta




BAB 3


Aku mengerling jam di tangan sewaktu kaki melangkah masuk ke kawasan Kampus B. Jarum jam menunjukkan tepat ke pukul 2.00 petang Kelihatan beberapa kumpulan pelajar berdedai-dedai menghala ke dewan kuliah masing-masing. Semuanya mahu cepat. Begitu juga dengan aku. Hari ini aku agak bertenang sedikit memandangkan sebelah pagi aku tidak ada kelas. Bila sebelah pagi tiada kelas dapatlah berehat-rehat di rumah. Selalunya jadual aku penuh pagi dan petang.
Begitulah rutinku hampir dua tahun setengah menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar Politeknik Ungku Omar. Aturan langkahku disusun kemas menuju ke bilik kuliah. Dalam pada menyusun langkah, mataku melilau-lilau memandang sekitar kampus mencari kelibat seseorang. Namun tidak kelihatan. Aku memberhentikan langkah di depan dewan. Tangan teraba-raba ke dalam beg sandang dan menarik keluar telefon bimbit.
Nombor didail dan beberapa ketika deringan kedengaran hingga terhenti sendirinya. Panggilan aku tidak berangkat. Aku melepaskan sebuah keluhan.
“Eh, mana pulak pergi dia ni? Tadi kata nak jumpa dulu sebelum masuk kelas. Berkali-kali hantar whatsapp ingatkan aku. Sekarang batang hidung dia pun tak nampak.” Omelku sendiri.
Sekali lagi, jemariku laju mendail nombor itu lagi namun masih juga seperti tadi. Aku kerling jam di tangan.
“Aku ni dah lambat nak masuk kelas.” Bebelku lagi. Sudah seperti orang gila, bercakap seorang diri. Baru sahaja mahu membuka langkah, bahu aku ditampar.
“Hah, lama tunggu aku.” Suara yang sedikit memekik mematikan hasratku.
Lantas aku menoleh. Wahida tersengih. Entah dari mana munculnya.
“Kau datang dari mana? Aku tak nampak pun dari tadi.”
“Aku dah nampak kau dari kafe. Bukan main gemalainya kau berjalan.”
“Banyaklah kau punya gemalai. Aku cari kaulah. Aku ni dah lambat nak masuk kelas. Nanti lecturer aku bising.” Sergah aku sebaik sahaja Wahida mempamerkan wajah tidak bersalahnya.
“Alah relaxlah. Belum pukul 2.30 lagi. Kalut sangat kau ni. Aku ada aje kat kafe.”
“Ini mesti kau jumpa Dino kan?” Tebakku. Soalan aku tidak dijawab namun dibalas dengan sebuah senyuman. Gaya senyuman yang terukir di hujung bibir Wahida sudah boleh jangka.
“Dia nak ke kelas tadi. Dia ajak aku ke kafe kejap. Tunggu kau lama sangat.”
“Aik...Aku pulak yang kau salahkan. Kelas aku kan mula 2.30. Memang aku biasa sampai pukul 2.00 apa. Bukan jauh sangat rumah sewa kita tu nak ke kampus.”
“Balik nanti jumpa aku kat sini tau.” Wahida mengubah topik.
“Itu aje kau nak cakap? Boleh whatsapp kut.” Bengang pula melayan fiil kawan aku yang seorang ini.
“Aku saja je. Selalu kan kita pergi kelas sama. Hari ini dah kelas tak sama. Pagi tadi aku nak cakap kau belum bangun.” Wahida membela diri.
Wahida, teman serumah aku. Dia dalam jurusan Teknologi Komputer, manakala aku dalam jurusan Akauntansi. Walaupun kami tidak sama jurusan tapi kami sekepala hingga sekarang. Sepanjang aku di sini, dialah yang rapat dengan aku. Kami berkenalan sewaktu hari pendaftaran dan melarat hingga ke kamsis di mana kami tinggal seblok dan juga setingkat. Antara yang paling rajin di kalangan kami. Bila petang, rajin bancuh air milo bagi kawan-kawan minum sambil cicah biskut kering.
Cerita paling kelakar dan mengejutkan bila suatu petang kawan sebilik aku beritahu Wahida mengamuk sampai pecahkan tingkap. Aku yang kepoci ini pun pergilah mendapatkannya untuk mengetahui cerita sebenar. Orang kata, biarlah kita dengar daripada empunya diri sebab aku dengar macam-macam versi daripada kawan-kawan yang lain.
“Aku tak sengajalah. Aku tengah buat air tadi sekali terpandang kat jalan tu, aku nampak abang senior yang aku minat jalan dengan junior aku. Apa lagi, aku terhentakkanlah cawan kat tingkap.” Cerita Wahida panjang lebar.
Aku tersenyum-senyum sendiri bila mengingatkan kembali peristiwa itu. Sejak dari peristiwa itulah aku dan Wahida menjadi kawan sampailah kami keluar mencari rumah sewa sebabnya kamsis disediakan untuk pelajar semester pertama sahaja.
“Aku cakap yang kau senyum-senyum ni dah kenapa?” Suara Wahida yang memekik membawa aku kembali ke alam realiti.
“Tak ada apalah.”
“Kau ni sempatlah nak berangan bagaikan.” Wahida menepuk lembut lenganku.
“Eh, dahlah Aku pergi dulu. Nanti aku lambat. Melayan kau sampai esok pun belum tentu habis.” Aku tinggalkan Wahida tanpa menunggu respon daripadanya. Aku terus membuka langkah menuju ke bilik kuliah.
Sebaik sahaja aku mendapatkan tempat dudukku, kedengaran telefon bimbitku berlagu. Aku menarik keluar Samsung Galaxy A10. Lantas aku lihat skrin telefon dan tersenyum sendiri tatkala melihat nama yang terpamer. Aku melurutkan skrin untuk menjawab panggilan itu lalu telefon ditekap ke telinga. Kedengaran salam diberikan di hujung talian lalu aku menjawab salamnya separa berbisik.
“Ada apa call Lea?” tanyaku.
“Tak boleh ke saya call awak?” Dia menyoal aku kembali tanpa mengendahkan pertanyaanku.

“Bukanlah maksud saya macam tu. Selalunya awak suka call sebelah malam. Jarang-jarang sangat awak nak call saya siang-siang macam ni.” Terangku jujur. Suaraku tenang sekali. Aku menanti lontaran katanya yang seterus.
“Sebenarnya, saya ada hal nak cakap dengan awak, Lea.” Suara perlahan lelaki itu antara dengar tak dengar menjelaskan.
Dadaku berombak kencang. Tiba-tiba rasa cemas menjalar dalam diri. “Hal apa? Ada apa-apa yang berlaku dengan mak saya ke atau adik-adik saya?”
“Bukan...bukan...Saya nak minta tolong dengan awak sebenarnya. Itu pun kalau awak sudi nak menolong sayalah.”
Aku menarik nafas lega. Suspen dibuatnya.
“Hal apa yang awak nak saya tolong?”
Aku cuba menghadamkan satu-persatu butir bicaranya sambil langkah dihanyun ke dalam dewan kuliah.
“Saya ada kelas ni. Nanti sambung.” Segera talian dimatikan tanpa menunggu jawapan lelaki itu.


Selesai sahaja kelas yang berlangsung selama dua jam, aku atur langkah ke kafeteria. Janji yang dibuat dengan Wahida sebelum berpisah ke kelas tadi. Sementara menunggu kedatangan Wahida, fikiranku melayang-layang. Semuanya gara-gara panggilan yang aku terima daripada lelaki itu. Kuliah yang berlangsung satu pun tidak singgah di kepala. Aku mendengus kasar.
Suasana dalam kafeteria petang itu bingit sekali seakan di pasar borong, ada yang terpekik-pekik. Ada yang terbahak-bahak tawanya. Ada juga yang berbual sesama sendiri. Aku yang sudah mengambil tempat seperti biasa. Duduk di tepi tingkap memerhatikan permandangan luar. Sedikit pun tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Selang beberapa minit, minuman yang aku pesan tiba di meja. Sirap ais aku sedut perlahan. Sekadar membasahkan tekak. Kelibat Wahida, masih belum kelihatan. Sekilas aku kerling jam di tangan.
‘Baru sepuluh minit. Belum keluar kelas agaknya.’ Detikku sendiri di dalam hati. Minuman aku sedut lagi. Ruang kafeteria semakin dipenuhi para pelajar. Masing-masing dengan satu tujuan yang sama. Mahu mengisi perut sebelum meneruskan ke destinasi seterusnya. Rata-rata para pelajar gemar membeli makanan di dalam kampus berbanding membeli di luar kerana harganya jauh lebih murah.
“Sorang aje ke?” Suara garau seseorang yang menerjah masuk ke gegendang telinga membuatkan aku lantas menoleh.
Lelaki yang berdiri beberapa langkah mengangkat keningnya kemudian melorek senyum. “Boleh duduk?” soalnya. Belum sempat aku menjawab dia sudah terlebih dahulu melabuhkan duduknya bertentangan denganku.
“Lea ada tunggu sesiapa ke?” soalnya lagi.
“Tunggu Wahida,” jawabku pendek.
“Zul join korang boleh?” tanya lelaki yang sekelas denganku tanpa rasa serba salah.
“Dah duduk pun,” jawabku bersahaja. Lelaki yang berjanggut sejemput hanya tergelak kecil.
            “Wei, sorry aku lambat. Dia orang ni dah nak habis kelaslah baru nak tanya macam-macam soalan. Geram betui aku.” Ketibaan Wahida di meja diiringi dengan omelannya. Aku hanya memerhatikan sehinggalah dia melabuhkan duduknya di sebelahku.
            “Eh, hai Zul.” Wahida menegur pula Zul di depanku. Lelaki itu mengangguk sedikit seraya melemparkan segaris senyuman.
            “Kau baru sedar dia ada kat sini ke Ida?”
            “Eh, taklah.” Wahida pantas menjawab.
            “Kau punya membebel tak tengok orang kiri kanan.”
            “Korang ada plan ke petang ni?”
            Serentak aku dan Wahida mengangguk laju.
            “Kita orang ada nak beli barang.” Aku bersuara terlebih dahulu sebelum Wahida. Kalau Wahida yang bersuara dikhuatiri lelaki di depan aku akan diangkut sekali.
            “Okeylah. Zul minta diri dulu. Malam Zul telefon Lea. Ada benda Zul nak cakap dengan Lea.” Aku mengangguk sahaja dan menghantar pemergian lelaki itu dengan pandangan sehingga susuk tubuh lelaki itu menghilang.
“Wei, bukan main kau pandang. Macam nak tembos dinding.” Tangan kanan aku yang menongkat dagu ditolak perlahan. Terkejut dibuatnya dek perangai Wahida. Dari mula kenal sampai sekarang usia persahabatan masuk tiga tahun, fiilnya memang begitu.
            “Apalah kau ni. Terkejut aku.” Aku tegakkan duduk.
            Dia sekadar tersengih. Itulah perangainya. Bila dimarah, dia tersengih. Mempamerkan sebaris giginya yang putih.
            “Aku tak terkejutkan kau pun. Kau tu yang dok termenung.” Jawabnya selamba.
            Aku sekadar menjuihkan bibir.
            “Juih bibir lagu tu. Ikat dengan tali baru tahu.” Dia melakonkan apa yang dimaksudnya. Serupa mak nenek.
            “Cubalah kalau berani. Ikatlah.” Ugutku seraya tertawa kecil di hujung bicara. “Lambat lagi ni. Kau habis kelas lambat ke atau jumpa kekasih hati?”
            Wahida tersenyum simpul.
            “Zul tu nak apa tadi? Aku rasa mesti dia nak cakap sesuatu dengan kau tapi sebab aku dah datang makanya tak jadilah dia cakap. Itu sebab dia kata nak call kau malam ni.” Wahida membuat spekulasinya sendiri.

            “Memandai-mandai aje kau ni kan.” Aku cubit lengan Wahida.
            “Aduh, sakitlah.” Rengek Wahida mengada-ngada seraya tertawa kecil.
            “Eh, bukan main menggeletisnya kau.”
            Dia ketawa. Aku lemparkan sebuah jelingan pada Wahida.
            “Jomlah. Jadi tak kita nak ke bandar?” Ajak Wahida.
            “Aku sebenarnya ni tak ada mood. Tapi sebab Zul ada aku buat-buatlah ada mood.”
            “Eh kau ni dah kenapa. Tadi beria kata nak beli barang.” Beritahu Wahida lalu menarik gelas minuman aku dan menyedut sedikit. “Haus gile!”
            “Aku malaslah. Kalau aku tak cakap macam tu tadi mesti Zul mengendeng lagi kat sini.” Jelasku.
            “Aku rasa dia tu minat dengan kau.”
“Tapi aku tak minat dia.” Cepat aku nafikan.
“Habis kau minat siapa?” Mendengar persoalan Wahida membuatkan aku membuang keluhan.
Aku sendiri keliru dengan perasaan sendiri. Hajat seseorang membuatkan aku terikat. Aturan langkah mahu dimajukan atau diundurkan.
            “Kau dah kenapa? Tadi okey aje. Ni tiba-tiba tak ada mood pulak.” Wahida sudah berkerut-kerut dahinya.
            Jeda.
            Aku menarik nafas dan melepakan perlahan sebelum memulakan bicara. “Tadi masa aku dah masuk kelas, aku terima call.” Aku mula membuka cerita. Perlahan-lahan aku menyusun kata.
            Wahida pula sudah menyengetkan sedikit duduknya memandang ke arahku. “Siapa yang call?. Mak kau tak sihat ke?”

            Aku menggeleng.
            “Kalau bukan mak kau, siapa? Lambat sangat kau nak cerita. Suspen dibuatnya.”
            “Daniel.” Pendek jawapanku.
            Wahida membuntangkan mata sebaik sahaja nama itu aku ungkapkan. Dia memang anti tahap tujuh petala langit.
            “Dia nak apa?”
            Aku menggaru kepala yang tidak terasa gatal.
            “Susahlah nak cakap,” jawabku berbasa-basi.
            “Kalau kau susah nak cakap, susahlah aku nak faham.”
            “Panjanglah ceritanya. Tak tahu nak mula dari mana.”
            “Kalau panjang, pendekkan.” Wahida sudah hilang sabar.
            Aku tarik nafas dalam-dalam dan kemudian dihela perlahan sebelum aku memulakan bicara. Wahida membetulkan duduknya kemudia menongkat dagunya, penuh khusyuk mendengar aku bercerita. Duduknya sudah pelbagai posisi. Aku juga yang bertenang-tenangan sewaktu bercerita.
            “Kau nak bagi?” Soal Wahida  sebaik sahaja aku menghabiskan kata terakhir. Soalan Wahida membuatkan aku mati untuk berkata-kata.
            Aku sekadar mengjungkit bahu. Serba salah sebenarnya. Aku tersepit. Tak tolong dia orang kampung aku.
            Ya Allah, bantulah hambamu ini dalam membuatkan keputusan agar hambamu ini tidak tersalah langkah.

[Bersambung]            

No comments: