Thursday, November 28, 2019

Bab 3: Ungkapan Kata Bernafas Cinta



Gambar : Carian Google


BAB 3


Usah berpaling ke belakang
Terus mara ke hadapan



            “Aida, semua barang dah masuk dalam bonet ye?” Soal Khalisah seraya menutup bonet Honda Jazznya.

            “Dah.” Balas Aida pendek.

            Khalisah terus meloloskan dirinya ke dalam kereta dan terus menghidupkan enjin. Anak matanya menebar pada Aida yang sedang mengunci pintu rumah. Hasil kutipan sumbangan dalam tiga hari daripada pihak cikgu boleh dikatakan amat memberangsangkan. Usai duit sumbangan dikutip, Khalisah dan Aida terus sahaja membeli barang keperluan untuk warga emas di Rumah Seri Kenangan Cheng.

            “Jom...” Aida melontar kata sebaik meloloskan dirinya dalam kereta. Tali pinggang keledar dipasangnya.

Khalisah menekan pedal minyak lalu Honda Jazznya meluncur laju membelah jalan raya.

            Hati Khalisah melonjak riang. Maklumlah pertama kali dia menyertai program sebegini. Dalam hatinya, dia berharap agar dia dapat membuka lembaran baru dalam hidupnya. Meninggalkan segala kesedihan yang pernah menjalar dalam dirinya.

            Setengah jam memandu, keretanya memasuki ke perkarangan Rumah Seri Kenangan Cheng. Dia memarkirkan keretanya di tempat yang telah dikhaskan untuk pelawat. Khalisah dan Aida segera keluar daripada perut kereta.

            Seorang wanita dalam lingkungan awal 30-an melangkah merapati mereka berdua. Khalisah melemparkan senyuman ramah sebaik sahaja wanita itu sudah mendekati mereka dan memberi salam.

            “Waalaikumussalam.” Salam dijawab Khalisah serentak dengan Aida.

            “Ini Puan Khalisah ke?” Soal wanita berwajah bujur yang mengenakan blaus bunga-bunga dan palazo hitam.

            Khalisah mengangguk laju.

            “Puan Nadia?” Soal Khalisah pula.

            “Iye, saya.” Wanita itu melempar senyum manis. Khalisah menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan wanita itu diikuti Aida pula.

            “Ini kawan saya, Aida.” Khalisah memperkenalkan Aida yang berdiri di sisinya. Aida tersenyum kecil.

“Mari kita ke sana.” Puan Nadia menunjukkan jarinya ke arah ruang pejabat di sebelah kanan.

            “Barang-barang?” Aida bersuara.

            “Tak apa, kita ke sana dulu. Berkenalan dengan yang lain.” Jelas Puan Nadia. Khalisah dan Aida mengangguk serentak lalu menuruti langkah Puan Nadia.

            Kami melangkah masuk ke dalam sebuah rumah setingkat yang tertulis di luar pintu sebagai ‘rumah tamu’. Ada beberapa orang lain sibuk menyusun barang-barang sumbangan di satu sudut dalam rumah tersebut.

            “Assalamualaikum semua. Dengar sini. Saya nak perkenalkan dua orang rakan baru yang akan menyertai program kita kali ini. Perkenalkan mereka adalah Khalisah dan Aida.” Suara Puan Nadia bergema dalam ruang rumah tersebut memperkenalkan kami kepada sekelompok manusia yang berada di situ.

            “Assalamualaikum. Saya Khalisah Mahmood. Berasal dari Perak dan mengajar di SMK Infant Jesus Convent.” Khalisah memperkenalkan dirinya serba-sedikit dan diikuti Aida pula.

            “Baiklah, kita boleh ambil barang-barang yang mereka bawa dan kemudian kita boleh buat apa yang patut. Kita kemaskan sekitar rumah ini kemudian kita boleh menziarahi orang-orang tua yang tinggal di bangunan sebelah sana.” Masing-masing menoleh ke arah bangunan yang Puan Nadia tunjukkan.

            Seramai lima belas orang menyertai program ini. Setelah mendapat arahan, masing-masing berdedai-dedai ke arah Honda Jazz Khalisah. Barang-barang sumbangan diangkat satu-persatu dari dalam bonet. Segala keperluan dan kelengkapan untuk rumah orang-orang tua. Dari kelengkapan untuk orang-orang tua hinggalah ke barang dapur untuk mereka.

            Khalisah sudah memegang sebuah beg plastik besar yang berisi segala keperluan kudapan. Ada biskut, ada oat, ada milo, ada roti dan segala macamlah di dalamnya. Aida sudah laju berjalan ke depan. Bersemangat sungguh cik kak itu. Khalisah tersenyum sendiri. Dia mengatur kemas langkahnya beberapa jaraknya di belakang Aida.

            Dari jauh, sepasang matanya menangkap ke arah luar rumah tamu. Kelihatan Puan Nadia sedang berborak di luar rumah tamu dengan seorang lelaki yang tinggi lampai. Dari gayanya, lelaki itu nampak dalam lingkungan pertengahan 20-an usianya barangkali.

‘Bagus. Muda-muda libatkan diri dalam program sukarelawan macam ini. Daripada melepak tak tentu fasal baiklah macam ini.’ Detik hati Khalisah sendiri.

Sewaktu Khalisah melintasi mereka berdua, matanya sempat melirik ke arah tanda nama yang tersemat di dada lelaki itu.

            ‘Hamzah.’ Bacanya di dalam hati. ‘Barangkali lelaki ini penyelia tempat ini.’ Bisiknya lagi cuba berteka-teki sendiri.

            Sekilas, dia melempar pandang pada lelaki tinggi lampai itu yang sedang bersungguh-sungguh berbual dengan Puan Nadia. Dia boleh lihat lelaki itu tergelak kecil. Mungkin bukan perbincangan yang serius kalau sudah tergelak begitu. Nampak ceria sahaja daripada riak wajah lelaki itu yang berkulit sedikit cerah. Tidak terlalu gelap dan tidak terlalu cerah. Eloklah begitu. Sesuai untuk lelaki. Bukannya putih melepak pun.

            Dalam pada sekilas dia menatap seraut wajah lelaki itu, sepasang mata milik lelaki itu memandang ke arahnya seraya melemparkan senyuman pada. Khalisah terkesima. Tanpa teragak-agak dia pun membalas senyuman lelaki itu dan terus mempercepatkan langkahnya mendapatkan Aida yang sudah jauh ke depan.

            . Kerja-kerja membersihkan sekitar kawasan rumah orang tu telah dilaksanakan sebaiknya dalam masa dua jam. Walaupun letih, Khalisah berasa cukup seronok. Barang-barang sumbangan telah diserahkan pada penguasa rumah tersebut.

Sesi beramah-mesra dengan penghuni-penghuni Rumah Seri Kenangan Cheng juga turut berlangsung dengan jayanya. Ada beberapa orang tua yang begitu ramah menyambut kedatangan mereka. Diajak berbual. Dilayan mesra. Ada yang tidak tega berkongsi kisah sedih mereka. Bagaimana mereka tercampak ke rumah itu. Ada juga yang memang sebatang kara. Sudah tentu-tentu di situlah tempat tinggalnya. Bercerita sambil bergenang air mata. Yang mendengar juga turut berlinangan air mata. Khalisah cuba menahan sebak yang menganggu dirinya tatkala seorang lelaki tua bercerita.

“Anak-anak pakcik ramai. Sembilan orang semuanya tapi seorang pun tak nak jaga pakcik. Boleh bergaduh adik-beradik sebab nak jaga pakcik. Pakcik macam bola dibuatnya. Akhirnya mereka hantar pakcik sini.” Lirih lelaki tua. Sayu sahaja nadanya. Ada air jernih yang bergenang di tubir matanya.

            “Minta perhatian, ini adalah penguasa rumah orang-orang tua. Perkenalkan Encik Kamaruzaman.” Suara lunak Puan Nadia berkumandang lagi. Semua yang ada di situ mengalihkan pandangan pada empunya suara.

            Lelaki tinggi lampai itu pula berdiri di sisi Encik Kamaruzaman. Ucapan ringkas diberikan oleh Encik Kamaruzaman. Ucapan penghargaan tanda terima kasih atas lawatan yang kami buat.

            “Ini pula pembantu saya Encik Hamzah Fikri. Kalau ada apa-apa hal berkaitan program sukarelawan boleh hubungi beliau. Encik Hamzah adalah Pegawai Kebajikan Masyarakat di sini,” ujar Encik Kamaruzaman. Lelaki tinggi lampai itu hanya mengukir segaris senyuman di bibir.

            Usai sesi berucap, mereka yang ada di situ sudah bersiap-siap untuk beredar. Ada yang masih mencari ruang untuk bersembang dengan penghuni-penghuni di rumah itu.

            Khalisah dan Aida berjalan beriringan mencari kelibat Puan Nadia selaku penganjur program tersebut. Langkah mereka terhenti di depan rumah tamu.

“Aku masuk kejap. Kau tunggu sini ajelah.” Arah Aida. Belum sempat Khalisah menjawab dia sudah menghilangkan diri ke dalam rumah tamu. Dia pun hanya menunggu di luar. Mengikut arahankan.

Khalisah menebar pandang ke segenap kawasan rumah tersebut sehinggalah dia disapa seseorang.

            “Baru ikut serta ke program ini?” Khalisah menoleh ke arah suara yang datang. Lelaki tinggi lampai sudah tercegat beberapa langkah sahaja daripadanya.

            Khalisah mengangguk laju.

            “Patutlah sebelum ini tak pernah nampak.” Beritahu lelaki itu berbasa-basi.

            Khalisah hanya mampu mengukir senyuman di bibir.

            “Kita orang tahu fasal program ini dari facebook,” Bersahaja Khalisah menutur kata.

            “Baguslah meramaikan program sebegini. Pihak NGO banyak anjur program begini. Nak memupuk minat orang ramai untuk menjadi sukarelawan. Kita ada institusi lain yang boleh dilawat selain Rumah Seri Kenangan ini.” Panjang lebar Encik Hamzah menerang.

            Khalisah sekadar mengangguk. Kemudian dia tersenyum.

            “Institusi lain tu kat mana encik?”

            “Ada Rumah Budak Laki-laki, Asrama Bukit Baru, Sekolah Tunas Bakti.” Jawabnya polos. Khalisah mengangguk lagi.

            “Puan ke cik?” Soal lelaki itu tiba-tiba. Khalisah tergamam seketika.

            “Cik.” Jawab Khalisah teragak-agak kemudian menundukkan pandangannya.

            “Saya Hamzah Fikri.” Lelaki tinggi lampai itu sekali lagi memperkenalkan dirinya tanpa diminta.

            “Dah kenal tadi. Encik Kamaruzaman tadi ada beritahu nama encik.” Khalisah menyusun kata.

Lelaki itu sekadar mengangguk-angguk. “Manalah tahu tadi cik terlepas pandang nama saya. Jadi lebih eloklah saya perkenalkan sekali lagi.”

Khalisah sekadar tersenyum.

“Nama?”

“Oh, saya Khalisah.”

            “Cik kerja mana?”

            “Saya mengajar.”

            “Ooo...cikgulah ni.”

            Khalisah tersipu-sipu malu seraya mengangguk laju.

            “Mengajar sekolah mana?” soal lelaki itu.

            “SMK Infant Jesus Convent.” Khalisah balas pendek.

            “Sekolah di Banda Hilir tu kan?” tanya lelaki itu lagi.

Khalisah sekadar mengangguk. Segaris senyuman dilemparkan.

“Oh ya, kalau berminat, untuk penjawat awam pun boleh daftar dengan JKM kalau berminat nak jadi sukarelawan.” Sambung lelaki itu lagi penuh ceria nadanya.

            Baru sahaja, Khalisah mahu membuka mulut Aida datang menerpa.

            “Dah, jom.” Aida sudah berdiri di sisi Khalisah.

            “Ini kawan saya, Aida.” Khalisah sempat memperkenalkan Aida pada lelaki tinggi lampai itu.
            Aida melontar salam kesejahteraan dan lelaki itu membalasnya.

“Encik dah lama ke kerja dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat?” Soal Aida mesra. Aida memang mudah mesra dengan semua orang. Habis semua disoalnya nanti. Kalah polis yang tanya pesalah di lokap.

            “Lebih kurang lima tahun lebih.”

            “Wah, lama juga tu. Bagus...bagus...” Sambung Aida lagi.

            ‘Panjang pula menyembangnya dia orang ini.’ Khalisah berkata-kata dalam hati.

            “Encik Hamzah, kami semua nak balik dah.” Puan Nadia baru sahaja keluar daripada rumah tamu.

            “Terima kasih banyak-banyak sebab selalu buat program macam ini,” ujar lelaki itu dengan nada garau.

            “Sama-sama. Tak ada hal. Akan datang kami pergi institusi lain pula.” Puan Nadia menyambung bicara.

            “Kalau macam itu, apa-apa boleh maklum pada sayalah.”

            Setelah beberapa ketika berborak, kami meminta izin untuk pulang. Puan Nadia sudah ke keretanya. Yang lain sudah pun ke kenderaan masing-masing. Khalisah dan Aida menuju ke arah parkir dan ditemani Encik Hamzah.

            “Kalau sudi jemputlah datang lagi,’ ujar lelaki itu mendatar sebaik sahaja Khalisah sudah meloloskan dirinya ke dalam kereta.

            “InsyaAllah,” ujar Khalisah dan Aida serentak.

            Lelaki itu tersenyum manis.

            Khalisah menghidupkan enjin keretanya.

            “Kami pulang dulu,” tutur Khalisah perlahan sebelum dia menekan pedal miyaknya.

            Lelaki itu sekadar mengangguk.

            “Jumpa lagi.” Kata lelaki itu pendek.

            Khalisah mengukir senyuman di bibir. Honda Jazznya sudah bergerak meninggalkan kawasan Rumah Seri Kenangan Cheng. Dari cermin pandang belakang, sempat Khalisah mengerling lelaki tinggi lampai itu yang masih tercengat memerhatikan keretanya pergi.

            Khalisah tersenyum bahagia.

            Entah kenapa perasaan itu tiba-tiba hadir.
           
[Bersambung]
           

No comments: