Saturday, November 30, 2019

Bab 4: Ungkapan Kata Bernafas Cinta





Gambar : Carian Google



BAB 4

Di saat diri ini kosong
Kupohon biarlah hati terasa tenang   


            Khalisah menghempas perlahan tubuh kecilnya ke atas katil bersaiz sederhana. Dia baru terasa keletihan seharian berhempas-pulas mengerah tenaga di rumah orang-orang tua itu tadi. Walaupun keletihan namun hatinya berbunga riang. Dia rasa sungguh tenang dan bahagia dengan apa yang dilakukannya hari ini.

            Senyuman melirik di bibirnya. Dia berpuas hati dapat menambah kenalan baru yang datang daripada pelbagai jabatan dengan memegang bermacam-macam jawatan. Sungguh dia tidak sangka, ada yang berjawatan tinggi namun jiwa mereka sangat mulia. Merendah diri sepanjang masa. Layanan mesra kakitangan rumah orang-orang tua pun tidak kurangnya.

            Khalisah teringatkan sesuatu. Dia terus bangkit dari pembaringan dan menapak ke arah meja solek di mana beg tangannya terletak di situ. Dia meraba-raba ke dalam beg tangannya lalu dicapai telefon bimbitnya.

            Dia kembali ke katil semula lalu menyandar di birai katil. Sebelum pulang tadi, mereka sempat merakam beberapa keping gambar. Ditatap satu-persatu gambar yang sempat diambilnya tadi. Dia tersenyum sendiri. Sedang dia khusyuk menatap gambar-gambar di galeri telefon bimbitnya, telefon bimbitnya berdering. Ada panggilan masuk. Dia melirik senyum melihat nama yang tertera di skrin.

            Salam dijawab sebaik sahaja panggilan tersebut dijawab.

            “Lisa, baik aje abang. Abang jangan susah hati.” Dia jawab bersungguh demi menyakinkan abangnya. “Kenapa abang telefon Lisa?” Sambungnya lagi. Jarang benar abangnya itu menelefonnya. Selalunya emak yang menjadi perantara kalau abang ada memesan sesuatu untuknya. Sejak kematian ayah dua tahun lepas, abang memikul segala tanggungjawab menjaga dia dan emak. Nasib baik abang bekerja di pekan Selama sebagai kerani. Kemudian abang sibuk mengusahakan kebun pisang arwah ayah pula. Jadi tidaklah emak tinggal keseorangan.

            “Abang saja telefon Lisa. Entah kenapa abang rindu kat adik abang. Lisa tak balik kampung ke?”

            Khalisah tergelak kecil. Abang itu orangnya serius. Bila dia meluahkan rasa rindu pada adiknya yang seorang ini, membuatkan hati Khalisah tercuit geli hati.

            “Awat gelak?” Soal lelaki itu mendatar.

            “Tak ada apa. Lisa rasa nak gelak tiba-tiba.” Balasnya berbasa-basi. Dia menahan gelaknya daripada terhambur lagi. “Lisa rasa abang ini mesti ada tujuan telefon Lisa.” Khalisah cuba serkap jarang.

            Khairulnizam jeda seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam dan kemudian dihela perlahan.

            “Sebenarnya...abang...” Teragak-agak abangnya mahu menyusun kata. Khalisah sudah tidak sabar mahu mendengar apa yang mahu disampaikan abangnya itu.

            “Abang nak kahwin ye.” Khalisah berteka-teki. Mana tahu terkena. Dia sekadar mencuba nasib.

            “Mak dah bagitahu Lisa ye.” Kali ini abangnya pula yang berteka-teki dengannya. Mahukan kepastian.

            “Eh, tak adalah. Tempoh hari masa mak telefon Lisa tapi tak ada pun mak buka cerita fasal abang. Oh, cuma mak kata abang suruh tanya keadaan Lisa. Itu aje.” Cepat-cepat Khalisah menyangkal percakapan abang sulungnya itu.

            Abangnya tergelak kecil.

            “Tak payahlah gabra sangat. Abang tanya aje.” Bersahaja abangnya menutur kata di hujung talian.

            “Sungguhkah ni abang nak menikah?” Soal Khalisah lagi inginkan kepastian.

            Kedengaran abangnya melepaskan keluhan.

            “Abang rancang nak bertunang dulu masa raya nanti.” Perlahan sahaja abangnya menutur kata membuka cerita malam itu.

            “Bila? Dengan siapa? Lisa kenal tak? Orang kampung kita juga ke?” Bertubi-tubi soalan diajunya tanpa sempat abangnya menjawab satu pun.

            “Mana satu abang nak jawab dulu ni? Kalah wartawan soal macam-macam pada abang.” Serentak mereka dua beradik tergelak. “Hujung bulan ni Lisa kena balik tau. Boleh kita bincang dulu.” Jelas abangnya dengan nada mendatar.

            “Abang tak beritahu lagi siapa gerangan wanita yang berjaya mencuit hati abang Lisa ni. Orang mana? Lisa kenal atau tak?” Soal Khalisah lagi tidak puas hati.

            “Nantilah abang cerita. Abang tunggu Lisa balik. Menyembang dalam telefon ni tak seronok.”

        Khalisah mengeluh. Sesungguhnya perangai abang tidak pernah berubah. Seorang yang perahsia dari dulu hinggalah sekarang. Entah bila dia bercinta pun Khalisah tidak pernah tahu. Senyap-senyap sahaja. Pandai sungguh abangnya menyimpan rahsia tanpa dapat dihidu olehnya.

            “Baiklah abangku sayang. Sampaikan salam pada mak. Nanti Lisa balik. Kalau abang nak Lisa belikan barang-barang hantaran kat sini Lisa boleh carikan.”

            “Memang abang nak suruh Lisa tolong buatkan hantaran. Siapa lagi yang abang boleh harapkan.” Kata-kata abangnya itu membuatkan Khalisah melirik senyuman di bibir.

            “Baiklah, abang. Nanti Lisa bantu ye.” Talian terus dimatikan sebaik sahaja masing-masing memberi salam.

            Sebaik sahaja talian dimatikan, Aida tercengat di muka pintu biliknya sambil memeluk tubuh.

            “Siapa telefon kau?”

            “Abang aku.”

            Aida menapak masuk dan melabuhkan duduk di hujung katil.

            “Abang aku nak bertunang.” Girang sekali suara Khalisah memberitahu pada sahabatnya itu.

            “Oh, ya?” Aida menyambut dengan perasaan teruja juga. Dia melirik senyuman manis di bibirnya.

            “Abang aku tu senyap-senyap saja. Entah bila dia bercinta aku pun tak tahu.” Khalisah membetulkan duduknya. Bantal di sisinya dicapai lalu dipeluknya erat-erat.

            “Abang kau nak kawin dengan siapa?” Soal Aida.

            Khalisah sekadar menjongketkan bahunya.

            “Kau tak tanya?”

            “Aku dah tanya tapi dia biasalah. Masih nak berahsia,” jawab Khalisah bersahaja. Jemarinya bermain-main dengan dagunya sambil matanya melirik ke arah Aida di hadapannya yang tersengih-sengih sedari tadi.

            “Kau dah kenapa?” Soal Khalisah tiba-tiba. Pelik dengan sikap sahabatnya itu. Tersengih-sengih dari tadi macam kerang busuk.

            “Aku happylah dengar abang kau dah nak naik pelamin,” balas Aida selamba.

            “Kau punya happy macam kau yang nak naik pelamin,” ujar Khalisah disambut dengan gelak kecil Aida.

            “Biasalah tu. Bila dapat berita happy aura happy itu mesti berjangkit kat kita sekali. Aura itukan penting pada diri kita. Kan orang kata, orang yang hebat mempunyai aura yang hebat. Jadi hari ini abang kau bagi kita aura yang positif.” Ulas Aida panjang lebar penuh semangat seperti seorang penceramah sedang menyampaikan ceramah tentang aura diri.

            Khalisah sekadar menadah telinga mendengar sahabatnya itu berbicara. Sesekali kepalanya terangguk-angguk.

            “Tapi itulah aku tak tahu siapa bakal isteri abang aku tu. Tak sabar rasanya aku nak tahu siapalah yang berjaya mencuri hati abang aku tu,” ujar Khalisah penuh ceria.

            Aida menggeleng sahaja melihat gelagat sahabatnya itu.

            “Hujung bulan ni aku nak balik kampung. Kau ikut sekali ye.” Pelawa Khalisah dengan senyuman yang masih bersisa.

            “Alah, hujung bulan ni tak bolehlah. Mak aku suruh aku balik kampung. Ada hal sikit. Lain kali aku ikut kau balik ye.”

            Khalisah mencebikkan bibirnya.

            “Kalau macam tu tak apalah. Aku balik sendirilah.” Mendayu sahaja nada Khalisah. Dia bermain-main dengan jari-jemarinya.

            Aida tersenyum.

            “Nanti kau teman aku pergi beli barang hantaran untuk abang aku boleh?”

            Aida mengangguk. “Sudah semestinya boleh. Masakan aku tak nak teman kau. Bila nak pergi?”

            Khalisah berjeda seketika. Bantal masih lagi dipeluk erat. Tangan kanannya menongkat dagu.

            “Kita pergi esoklah. Kalau minggu depan macam dah suntuk sangat kan. Minggu lagi satu aku dah nak balik kampung.” Khalisah mencongak-congak hari serta minggu.

            “Ada banyak masa lagi kan?”

            “Ada dalam tujuh bulan macam tu,” ujar Khalisah yang sudah menyelak kalendar di tangannya.

            “Kalau macam tu kita pergi esoklah. Lagi pun esok kita tak buat apa kan.” Aida memberi cadangan.

            “Bagus juga macam tu. Kita cari kat Dataran Pahlawan. Dah lama kita tak ke sana kan?” Tambah Khalisah pula.

            “Banyak ke barang kau nak beli?” Tanya Aida.

            “Aku kena tanya abang aku dulu berapa dulang. Tadi dek sebab teruja sampai aku pun terlupa nak tanya dia.”

            Aida tergelak kecil.

            “Aku nak tidur dulu. Kau pun tidur. Jangan dok termenung aje.” Pesan Aida seraya bangkit dari duduknya.

            Khalisah tersenyum kelat seraya menghantar pandang pada Aida yang mengatur kemas langkahnya. Sahabatnya itu tidak pernah lupa menitipkan pesanan buat dirinya. Khalisah menyandar kembali pada birai katil sebaik sahaja kelibat Aida sudah hilang daripada pandangan mata. Pintu biliknya juga sudah ditutup rapat oleh Aida.

            ‘Aku dah okeylah.’ Khalisah berdetik sendiri di dalam hati.

            Berkali-kali Khalisah meraup wajahnya sebelum dia mencapai telefon bimbit di atas meja kecil di sisi katilnya. Jari-jemari Khalisah laju menaip patah-patah perkataan di telefon pintarnya.
           
Abang, nanti hantaran abang berapa dulang? Bagitahu Lisa segera ya. Esok Lisa boleh belikan apa yang perlu.

Selesai menaip dia terus menghantar mesej pada abangnya. Dia letakkan kembali telefon pintarnya di atas meja tadi. Fikirannya sudah menerawang memikirkan majlis yang akan berlangsung. Keterujaannya usah dicakap. Mahu tidak teruja. Itulah satu-satunya abang yang dia ada.

Khalisah tersenyum bahagia.

 [Bersambung]
           

No comments: