Wednesday, November 20, 2019

Prolog - Ungkapan Kata Bernafas Cinta



Gambar : Carian Google


PROLOG

Duhai hati...
Usahlah bersedih lagi...

           
            Hembusan angin pagi menampar-nampar lembut pipi Khalisah. Dia seperti selalu duduk di pangkin di halaman rumahnya yang menghala ke arah sawah bendang yang terbentang luas. Menikmati permandangan indah kehijauan sawah padi. Alangkah indahnya ciptaan Yang Maha Esa. Begitu nyaman sekali udara kampung. Hatinya tenang. Jiwanya damai. Kata pakar falsafah, orang yang tenang hatinya, tenang pula jiwanya. Orang yang tenang hatinya, tenang pula sikapnya. Orang yang tenang hatinya, tenang pula fikirannya. Begitulah.

            Khalisah menarik nafasnya dalam-dalam dan kemudian dihela perlahan. Nikmat ketenangan yang dia cuba cari walaupun adakalanya dia teraba-teraba dalam usaha mencari semangatnya yang telah lenyap.

            Kata orang, jatuh bangunlah sendiri. Itulah kehidupan.

           “Termenung jauh nampak.” Suara lembut yang menyapanya mematikan lamunannya. Khalisah berpaling ke arah empunya suara. Mak Jah, emaknya melemparkan sebuah senyuman. Di tangannya, sebuah dulang ditatang. Khalisah membalas senyuman emaknya.

            Mak Jah sudah melabuhkan punggungnya bertentangan dengan Khalisah. Sepasang mata Khalisah terarah ke arah dulang. Seteko teh dan sepinggan jemput-jemput bilis terhidang.

            “Apa lagi yang dimenungkan tu, Lisa?” Soal Mak Jah. Tangannya ligat menuang teh ke dalam cawan.
            “Tak ada apalah, mak.” Khalisah berdalih. Segera dia melarikan pandangannya ke arah sawah bendang. Dia cuba menahan diri agar air matanya tidak merembes keluar. Dia tidak mahu emaknya mengesan kesedihan yang sedang bersarang dalam dirinya.

            “Mak tak nak anak emak macam ini. Lisa kena kuat. Orang yang pergi usah dikenang lagi. Kita kena teruskan hidup.” Perlahan sahaja Mak Jah menutur kata. Khalisah membisu. Hatinya pilu. Jiwanya sebak. Semuanya datang sekali harung mengasak dirinya.

            “Mak nak Lisa ingat, Lisa masih ada emak. Masih ada abang.”

            Khalisah sekadar mengangguk. Kata-kata emaknya itu mengundang sebak di dada. Khalisah sudah tidak dapat menahan air jernih yang sudah bertakung di kelopak mata. Lantas dia mendekatkan diri pada Mak Jah dan memeluk erat emaknya.

            “Lisa tak kuat, mak.” Tangisan Khalisah memecahkan hening pagi.

            “Anak mak kena kuat.” Mak Jah mengusap-usap lembut belakang tubuh Khalisah.

         Semakin laju air mata Khalisah membasahi kedua-dua belah pipinya. Tangisan yang bertandang memecahkan kedamaian hening pagi.

[Bersambung]


No comments: