Monday, November 2, 2020

Sekadar Sedutan

 

Gambar : Carian Google

Sekadar sedutan....


Khalisah tiba di Melaka Sentral setelah lima jam di atas lebuh raya. Kematu juga punggungnya berlama-lama di atas bas. Dia menyusun perlahan langkahnya menuju ke arah pintu utama terminal bas.

Matanya loliah-loliah mencari susuk tubuh seseorang. Atas tiket perjanjian yang dilakukan pagi tadi, dia terpaksa akur. Orang kata janji usah dimungkiri.

“Saya jemput awak nanti. Tunggu sampai saya datang,” pesan lelaki itu berkali-kali sebelum mematikan talian.

Khalisah mengeluh sendiri. Mahu atau tidak, dia terpaksa akur dengan lelaki itu. Dia meletakkan beg baju di atas lantai lalu perlahan dia menarik zip beg tangannya. Telefon pintarnya ditarik keluar. Baru sahaja mahu mendail, dia dikejutkan dengan sapaan seseorang.

“Assalamualaikum. Dah lama tunggu ke?” 

Khalisah pantas menoleh. Lelaki itu sudah mengukir senyuman. 

“Dah lama tunggu?” Sekali lagi dia menyoal.

“Taklah, baru aje sampai. Saya baru nak telefon Hamzah.”

“Saya dah tunggu lama kat sini. Nampak awak turun bas tadi. Saja perhati dari jauh cari kita ke tak.” Hamzah menyakat.

“Halah…halah…halah…Sengajakan awak. Memang suka stalk orang ye?”

“Taklah. Saya stalk awak sorang aje.” Hamzah tersengih tatkala mengakhiri ayatnya. 

“Memang sweet talker ke macam mana?”

Hamzah Fikri menghamburkan gelak. Seronok hatinya mengenakan wanita itu. Hatinya cukup terhibur melihat gelagat wanita di depannya yang sedang merona merah kedua-dua belah pipinya.

“Kita makan dulu kemudian baru saya hantar awak balik.”

“Itu memang dah siap-siap bagi arahan kan. Jadi saya tak ada pilihan,” ujar Khalisah selamba.

Sekali lagi, Hamzah Fikri tertawa.

“Mari saya bawakan beg.” Hamzah Fikri terlebih dahulu mencapai beg baju Khalisah. “Jomlah. Kereta saya park di depan sana.” Hamzah Fikri memuncungkan bibirnya ke arah tempat yang dia maksudkan.

Khalisah terus menyusun langkah membuntuti lelaki itu beberapa langkah di belakang lelaki itu. Sebelum sampai di kereta, kdenegaran telefon pintarnya berdering. Dia pantas menarik keluar telefon pintarnya dari dalam beg tangannya.

“Lisa, kau dah sampai Melaka belum?” Kedengaran suara Aida menyoal.

“Aku kat Melaka Sentral dah.” Khalisah membalas.

“Dia dah sampai?”

“Dah. Aku nak singgah makan dulu. Kau ada nak kirim apa-apa tak?”

“Hah eloklah tu. Tak payah masak. Kau makan kat mana?”

“Entahlah. Ikut mamat ni mana dia nak bawa aku. Kau tahu dia siap bagi arahan kat aku tadi. Kita singgah makan dulu kemudian baru saya hantar awak balik.” Khalisah mengajuk cakap lelaki itu.

Aida tertawa. “Layankan ajelah, Lisa oi.”

“Suka-suka hati dia aje nak mengarah orang.” Luah Khalisah tidak puas hati. Dia memuncungkan bibirnya sendiri.

...Bersambung...

Thursday, June 25, 2020

Novel Insan Kau Cinta di Popular Bookstore

Assalamualaikum.


Pertama sekali, entri ini aku ingin kongsikan berkenaan novel pertama aku yang berjudul Insan Kau Cinta. Pejam celik, sudah empat bulan Insan Kau Cinta diterbitkan. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi peluang untuk aku merasai momen-momen ini. Tidak pernah terlintas pun aku akan menjadi seorang penulis. Bermula dengan menulis di blog, aku kemudiannya menjinak-jinakkan diri dengan memasuki pertandingan menulis. Masa itu, aku terbaca di blog seorang novelis tentang pertandingan e-book.

Pertandingan E-Book Anjuran Maxis


Bermula dengan pertandingan inilah aku meneruskan perjalanan sebagai seorang penulis. Ditambah lagi semangatnya apabila aku memenangi dalam pertandingan ini walaupun pada ketika itu aku serba-serbi kosong tentang penulisan. Di sebalik menyertai pertandingan ini, terselit kisah manis antara aku dan sahabat aku kerana kami sama-sama menyertai pertandingan tersebut. Kira kami berlawan secara sihat gitu.

Asbab menyertai pertandingan itu juga aku berkenalan dengan seorang novelis dan aku gelar MM sahaja di sini. Dia yang menjadi cikgu aku. Mengajar dan memberi bimbingan kelas dalam penulisan. Begitulah permulaan aku. Setiap karya aku akan dibedah oleh beliau. Pada mulanya memang makan hati juga apabila dia mula melontarkan komen tapi bila semakin mengenalinya aku sudah tidak kisah. Aku tahan sahaja apa jua komennya.

Show bukan Tell


Ini ayat yang aku paling ingat sewaktu belajar dengannya. Berapa kali dan dalam erti kata lain berpuluh kali mahu pun beratus kali dia mengulang ayat di atas. Kita tulis ayat biar nampak 'show' bukannya kita 'tell'. Sampai sekarang kalau aku taip, mesti terngiang-ngiang ayat dia.

Contoh, menggeleng kepala.

Dulunya, aku tulis begitu. Nanti dia akan cakap. Kita memang menggeleng kepala. Ada ke orang menggeleng kaki ke? Sejak itu, aku ingat apa saja ajarannya. Alhamdulillah, sehingga sekarang dia masih ada dengan aku dan novel Insan Kau Cinta juga aku mulakan dengannya walaupun sekarang dia sudah bersara daripada dunia penulisan.

Berbunga-bunga di hati


Setelah tiga bulan tidak ke kedai buku, kelmarin aku kedai buku. Kedai buku pertama yang aku jejak adalah Popular Bookstore di Aeon Bandaraya Melaka. Tujuan utama mahu turun padang melihat novel sendiri. Sepanjang sudah boleh keluar (PKPB/PKPP), aku terima maklumat tentang novel aku yang sudah ada di kedai buku.

Jadi, kelmarin aku pula mahu melihat dengan sendirinya. Berbunga-bunga di hati tatkala melihat Insan Kau Cinta tersusun di rak. Selalu ke kedai buku beli dan cari novel orang lain, kali ini terasa bahagia bila melihat novel sendiri.


Popular Bookstore AEON Bandaraya Melaka


Aku sempat bergambar dengan novel sendiri. Buat kenangan kata orang. Pada mulanya aku tercari-cari Insan Kau Cinta di rak-rak yang tersusun novel-novel. Puas mencari tetapi tidak menjumpainya sehinggalah aku berputus asa dan terus saja bertanyakan pada seorang pekerja Popular.


Pilihan Popular Wadah Jiwa Bangsa...


Rupanya, Insan Kau Cinta disusun di rak Pilihan Popular Wadah Jiwa Bangsa. Bertambah berbungalah rasa di hati aku. Novel Insan Kau Cinta dalam Pilihan Popular bulan Jun 2020. Bolehlah dapatkannya di cawangan Popular yang berhampiran anda.


Insan Kau Cinta


Sebuah kisah kehidupan seorang bernama Azalea Husna yang mencari erti sebuah kehidupan. Kisah ini menyentuh perihal kekeluargaan dan terselit kisah percintaan. Pada yang sudah mendapatkannya, semoga ada memperoleh sedikit manfaat daripada naskah ini.


Review Novel: Rasa Yang Terikat

Assalamualaikum.

Selamat petang semua.

Agak lama meninggalkan ruang ini. Kesuntukan masa untuk mencoretkan sesuatu di sini. Pembacaan pun lambat. Aku baca novel ini sewaktu PKPB setelah mengharungi PKP. Sebenarnya banyak saja masa yang boleh diisi dengan baca; pendek kata sebenarnya banyak buku/novel yang boleh dibaca sepanjang tempoh itu. Namun begitu, aku masih tidak mampu melakukannya.

Aku lebih melayan emosi yang tak dapat balik ke kampung merangkap rumah sendiri di Melaka. Dalam pada itu juga aku sibuk menulis. Mengejar deadline dan juga sibuk sepanjang Ramadan untuk amalan diri.

Baiklah, di sini aku ulas novel yang aku sudah habis baca dan baru sempat menulisnya. Aku menulis entri ini di Melaka yang tercinta dan negeri yang paling bahagia. Hahaha. Orang kata. Tapi aku memang terasa bahagia bila di Melaka dan juga di rumah sendiri.

Kita teruskan dengan review novel Rasa Yang Terikat.


Rasa Yang Terikat karya Arniza Idayu.

Penerbit: Fajar Pakeer
Harga: RM23/RM26
Jumlah Halaman: 499



* Pertama kali aku membaca karya novelis ini. Penulis ini ada nama penanya yang lain iaitu Aina Meira. Aku beli novel ini memandangkan novel penulis ini terbit bersama dengan novel aku, Insan Kau Cinta. Itulah asbabnya aku mengenali penulis ini.


* Rasa Yang Terikat sarat dengan kisah kedukaan atau kesengsaraan seorang wanita bernama Sofi atau Sofea. Kisahnya membuatkan aku bermain dengan emosi sendiri. Berperang dengan perasaan sendiri. Terasa kesengsaraan Sofi itu sampai ke lubuk hati.


* Sofea seorang wanita yang telah berkahwin tetapi sudah kematian suami. Berasal dari kampung dan bergantung hidup dengan mak langnya. Makcik kepada arwah suaminya. Kesengsaraannya bermula apabila dia dibenci dan diseksa oleh mak langnya.


* Penderaan fizikal dan mental lebih menyakitkan apabila mak lang mahu menjual Sofea atau Ayya nama panggilannya oleh mak lang kepada seorang lelaki bernama Jamal. Babak ini paling geram. Geram dengan mak lang, geram dengan Jamal. Tersangat!


* Namun takdir menemukan Sofea dan seorang lelaki bernama Aiman dan Jamal itu sebenarnya ada hubungan kekeluargaan dengan Aiman. Nak tahu apa kaitan Jamal dan Aiman? Kenalah baca novel ini sendiri. 


* Bagaimana Sofea mahu melepaskan diri daripada jerat Jamal kerana Jamal tetap memburunya kerana dia sudah membayar sejumlah wang pada mak langnya membuatkan aku mahu habiskan pembacaannya.


* Tahniah buat penulis. Plot yang tersusun dan sebuah kisah yang menarik. Apa yang boleh diambil iktibar daripada novel ini, sifat dengki dan iri hati yang wujud dalam diri mak lang, membuatkan orang lain merana. Oleh sebab sifat itu dia bertindak di luar kawalan.


* Sekali lagi, tahniah buat penulisnya.

Selamat membaca!


Thursday, April 16, 2020

Review Novel: Lili Buat Najah

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Aku berjaya habiskan lagi sebuah novel dalam tempoh PKP. Novel ketiga dalam tempoh PKP dan buku ke-10 dalam empat bulan ini. Bila ada waktu begini, memang sesuailah mengisi masa dengan membaca novel/buku yang tersusun di rak.


Banyak lagi buku yang belum sempat dibaca. Macam aku, kalau bacaan lambat tu maknanya aku sibuk menulis. Bila dah fokus menulis, aku kena tinggalkan aktiviti membaca. Begitulah pusingannya.

Novel ini sangat-sangat menyentuh hati aku. Novel ini berjaya membuat air mata aku mengalir. Jahat tau! Memang sedih. Sebak-sebak aku membacanya. Makin hampir ke penghujung makin sedih. Novel ini lain daripada yang lain. Kalau nak tahu kena baca sendiri.

Tahniah buat penulisnya Nazurah Aishah.





Lili Buat Najah karya Nazurah Aishah.

Penerbit: Penulisan2u
Harga: RM25/RM28
Jumlah Halaman: 527

*Kali pertama membaca karya penulis ini. Itu pun sebab aku terbaca review orang lain mengatakan novel ini best. Novel ini pernah diterbitkan oleh penerbit lain suatu ketika dulu tapi penerbit itu sudah tidak beroperasi lagi. Bila tahu novel ini pernah diterbitkan bawah penerbit kegemaran aku dulu, memang perlulah aku dapatkan novel LBN ini.

*Kisah perjalanan percintaan Nur Natasha Ameera dan Syahrun Najah yang saling mencintai namun episodnya sungguh menyedihkan. Mereka bernikah di luar negara sewaktu mereka belajar. Bertemu secara tidak sengaja membuahkan bibit-bibit percintaan antara mereka.

*Perkahwinan yang hanya diketahui oleh umi Natasha, papa dan kakak Najah. Mama Najah punya calon isteri buat Najah namun satu hari mereka nekad untuk berterus-terang dengan mama Najah.

*Perkahwinan itu ditentang oleh mama Najah namun akhirnya menerima Natasha setelah satu kejadian yang berlaku antara mama Najah, Tunku Helena dan Natasha.

*Latar ceritanya sekitar Johor Bahru. Sedang eloklah aku baca novel ini aku sudah setahun merantau ke Johor Bahru. Jadi bila penulis menceritakan lokasinya aku boleh membayangkan tempat-tempatnya; Menara Ansar, Lebuh Raya Pasir Gudang, Plaza Pelangi dll.

*Ceritanya menarik walaupun penulis menulis menggunakan POV1. Terasa sangat dekat dengn diri sendiri ketika membaca novel ini. Plotnya pun tersusun.

*Ceritanya mula menggusarkan hati apabila Natasha mendapat tahu Najah sebenarnya mempunyai penyakit yang akan memisahkan mereka secara hakiki.

*Apabila Natasha mengetahu tentang penyakit Najah, bermulalah episod sedih yang tidak henti. Bagaimana Natasha berperang dengan perasaannya begitulah aku yang membaca.

*Novel ini lain daripada yang lain kerana penamatnya sedih. Bergenang air mata aku ketika aku menghayati part Natasha membaca wasiat Najah. Memang betul lah review orang, air mata pastui tumpah untuk menghabiskan novel ini.

*Apa pun ada pengajaran yang terselit dalam novel ini. Percintaan yang setia namun ada yang perlu dikorbankan. Tidak semua keindahan yang tercipta akan berakhir dengan kemanisan dan yang paling penting mati itu pasti.

#fydaadimbaca #malaysiamembaca



Sunday, April 12, 2020

Sepanjang Tempoh PKP

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Hari ini sudah hari ke-25 kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan. Sepanjang tempoh ini apa yang kita sudah perolehi daripada PKP ini? Jumaat lepas, PM sudah mengumumkan bahawa tempoh PKP dilanjutkan lagi dua minggu sehingga 28 April 2020.

Reaksi aku?

Awal-awal aku sudah set dalam minda yang perkara ini akan dilanjutkan. Setakat ini aku okey saja cuma sedih bila kita tidak boleh balik ke kampung. Kampung satu hal. Tak boleh balik tengok rumah sendiri. Maklumlah kami di perantauan. Selalunya dua minggu sekali pasti menjengah rumah. Mujurlah ada jiran yang baik hati.

Sedih?

Sedihlah. Sebab ini tempoh paling lama aku tak jumpa mak ayah aku. Sejak berpindah ke JB, paling tidak dua minggu sekali mesti pulang ke sana. Kali ini agak lamalah. Emosi sedikit terganggu juga tapi kita kena berkorban demi kesihatan dan keselamatan semua.

Baiklah.

Jangan sedih-sedih. Kita ambil positif dalam tempoh berkurung ini. Kiranya kita berkurung ini masih ada benda yang boleh kita lakukan. Kita diberi kemudahan internet. Boleh menonton. Boleh membaca.

Untuk penulis, inilah masanya untuk siapkan manuskrip. Mungkin dapat siapkan satu manuskrip dalam tempoh PKP untuk penulis yang macam aku. Kejap-kejap mood ke laut. Hahaha. Jika dilihat dalam tempo PKP, ini dikira tempoh bertenang. Tidak terkejar-kejar melakukan hal-hal di luar rumah. Kita ada masa untuk mengaji setiap kali lepas solat. Misi untuk khatamkan Al-Quran sebelum Ramadan dan juga disambung dalam Ramadan nanti. InsyaAllah. Mudah-mudahan semua dipermudahkan untuk kita.

Novel Insan Kau Cinta masih boleh dipesan tapi stok pada aku sudah kehabisan. Kena order dengan Fajar Pakeer dulu tapi penerbit masih belum beroperasi. 

Harap semua dapat bersabar. Jika ada yang masih mahu memesan melalui aku, bolehlah mesej di link yang diberikan di bawah. Pada yang sudah habis menelaah kisah Azalea dan Muaz, terima kasih atas respon semua. Segala respon amat dihargai supaya dapat diperbaiki pada novel-novel akan datang.

Untuk membuat pesanan klik LINK di bawah:


http://www.wasap.my/+60176741270/InsanKauCinta
http://www.wasap.my/+60176741270/InsanKauCinta
http://www.wasap.my/+60176741270/InsanKauCinta

Salam pena,
Fyda Adim


Thursday, April 9, 2020

Review Novel: Kerana Hati Telah Berjanji

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Lagi review novel yang aku sudah habiskan dalam tempoh sehari saja. Ada-ada masa aku ambil masa hanya sehari untuk membaca. Ikut mood juga walaupun membaca itu pasti akan membuatkan aku terlelap. Bukan fasal novel tidak menarik tetapi memang gitulah perangai aku kalau membaca.

Biasalah remaja purba punya gaya membaca. Kadang anak-anak sampai tegur.

"Mama ni nak baca ke nak tidur?"

"Eh, mama bacalah."

"Tadi nampak mama tidur."

"Mama lelap kejap aje."

Bila sudah ditegur, celiklah balik mata. Begitulah sampai sudahnya. Mari aku kongsikan review tentang novel ini. Menarik ceritanya.


Kerana Hati Telah Berjanji karya Rissa Ahdiya.
.
Penerbit: Karya Seni
Harga: RM23/RM26
Jumlah Halaman: 455
.
🌿Bacakan aku jampi pelupa, agar tak kuingat tentang kita.
.
🌿Kali kedua aku baca karya penulis ini. Sebelum ini baca novelnya berjudul Seadanya Aku. Jadi haruslah cari karya-karyanya yang lain.
.
🌿Kisah seorang gadis bernama Manis yang tidak berapa manis hidupnya. Macam-macam perkara yang perlu dilalui oleh Manis. Dia sering dipinggirkan oleh ibu ayah dan adik-beradiknya sebab paras rupa dan kekurangannya.
.
🌿Part ni yang macam-macam yang dirasa ketika baca. Geram dan sedih sebab Manis dibuli abang dan adiknya. Sering dimarahi ibunya dan mujurlah ayahnya sesekali menyebelahinya.
.
🌿Ceritanya bertambah menarik bila kemunculan Remy. Cara Remy jatuh cinta dengan Manis memang tersangat manis. Orang kata jatuh cinta pandang pertama.
.
🌿Aku siap bayangkan Remy Ishak sebab Manis kata nama Remy cam pelakon kegemaran dia. Samalah dengan Kafida si Manis ni pun. Hahaha. Tapi dalam novel Remy orangnya cerah. Yelah, selalu baca novel adaptasi drama senang nak bayangkan hero heroin dia.
.
🌿Menariknya si Remy ini dapat dirasakan yang dia betul-betul sayang pada Manis. Cara penulis sampaikan boleh dirasakan di tangkai hati. Lelaki pujaan gitu. Dia sayang Manis seorang saja. Manis kan perangai Remy.
.
🌿Dugaan manis timbul lagi bila dia berkahwin dengan Remy. Rasa kasihan sangat pada Manis. Biasalah lumrah tinggal dengan mak mentua. Macam-macam yang Manis kena tempuh.
.
🌿Apa pun ada pengajaran yang terselit dalam novel ini. Setiap kepahitan pasti akan diakhiri dengan kemanisan cuma cepat atau lambat saja. Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Manusia yang buat silap pasti dapat balasan. Begitulah teguran Allah pada manusia yang alpa.
.
#fydaadimbaca #malaysiamembaca

Wednesday, April 8, 2020

Review Novel: Seindah Tujuh Warna Pelangi

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Dalam tempoh PKP, ini novel kedua aku habiskan dan kiranya buku kelapan aku dapat baca dalam tempoh empat bulan tahun ini. Untuk yang suka membaca novel, memang masa dalam PKP ini dapatlah baca novel-novel yang tertangguh di rak.

Mujurlah aku ada simpan sedikit novel-novel dan buku-buku di rumah Johor. Kebanyakkan novel aku semua ada di rumah kat Melaka. Novel ini pun aku pinjam jiran aku kat Melaka. Jauh aku bawa novel dia. Boleh lepaskan rindu gitu.


Seindah Tujuh Warna Pelangi karya E-Man Sufi.
.
Penerbit: Penulisan2u
Harga: RM22/RM25
Jumlah Halaman: 457
.
🌿Aku berminat baca novel ini sebab dramanya ditayangkan di televisyen tapi aku tak menontonnya pun. Cuma bila baca novelnya dapatlah bayangkan watak hero dan heroinnya.
.
🌿Novel ketiga penulis yang aku baca. Dua buah novel penulis yang aku baca Hikayat Cinta Si Pematah Hati dan Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
.
🌿Novel Seindah Tujuh Wana Pelangi mengisahkan kisah kekeluargaan yang menyelitkan kisah cinta. Perkahwinan antara sepupu.
.
🌿Kisah yang tidak berat namun geram juga dengan Andika pada mulanya kerana melakukan sedemikian pada Aira, sepupu yang dikahwininya.
.
🌿Menariknya bila wujud babak akrab antaranya adik-beradik dan juga sepupu-sepapat. Aku suka cerita sebegitu. Menyentuh keakraban sebuah keluarga walaupun ada latar belakang keluarga kaya. Fasal harta tok ayah yang dibahagikan kepada cucu-cucunya.
.
🌿Apa pun ada pengajaran yang terselit dalam novel ini. Setiap manusia pernah terleka dan alpa namun dengan adanya peluang kedua yang diberikan perlulah digunakan sebaik mungkin. Bukan semua orang dapat menikmati peluang kedua itu.
.
#fydaadimbaca #malaysiamembaca

Sunday, April 5, 2020

Review Novel : Bramfield House:Rumah Inggeris Bertiang Seri

Assalamualaikum.

Dalam tempoh PKP, dapatlah habiskan sebuah lagi novel. Kiranya buku ketujuh aku baca untuk tahun 2020. Tahun ini nampaknya macam laju sedikit membaca walaupun kadangkalanya aku akan tertidur ketika membaca.

Itu perkara biasa untuk aku remaja purba yang membaca. Akulah. Orang lain aku tak tahun. Apa pun teruskan membaca. Dalam PKP ini bolehlah penuhi masa kita dengan membaca buku-buku yang banyak tertangguh dan tak tersentuh.

Sedikit review tentang novel karya Maria Kajiwa. Penulisannya tidak boleh disangkal lagi. Aku cukup kagum dengan ideanya dan gaya penulisannya.


Bramfield House: Rumah Inggeris Bertiang Seri karya Maria Kajiwa.

Penerbit: Fajar Pakeer
Harga: RM22/RM25
Jumlah Halaman: 370

🌿Aku mula mengenali lebih dekat dengan penulis bila aku menyertai Ikatan Persuratan Melayu. Dari situ dengar penulisannya disukai ramai orang.

🌿Jadi aku mula mencari novel-novelnya. Sebelum ini pernah baca cerpen-cerpennya.

🌿Novel Bramfield House ini mengimbau kisah tahun 1947 yang mengisahkan Kapten Brock yang membina tiang seri di dalam rumahnya.

🌿Namun sebab terlampau taksub dengan ilmu hitam, tiang seri itu ada penunggunya. Kapten Brock memberi minum darahnya sendiri pada penunggu Tiang Seri itu.

🌿Pembacaan dipercepatkan bila nak tahu siapa yang memanggil kembali penunggu Tiang Seri itu setelah dikunci.

🌿Kagum dengan jalan ceritanya dan penggunaan bahasa yang indah. Tahniah Kak Maria.

#fydaadimbaca #malaysiamembaca



Review Novel : Maaf Tak Indah

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Nak kongsikan novel yang aku habiskan sebelum PKP berkuatkuasa. Kiranya buku keenam aku dapat habiskan untuk tahun ini. Novel ini aku pinjam daripada jiran aku. Jadi kenalah laju-laju baca sebab novel orang kan.

Mari aku kongsikan sedikit tentang novel ini.

Maaf Tak Indah karya Emy Roberto.

Penerbit: Idea Kreatif
Harga: RM26.00(SM)/RM29.00(SS)
Jumlah halaman: 370
.
🌿 Karya pertama penulis yang aku baca. Mencari novel ini sebab utamanya adalah drama walaupun aku tak tengok sepenuhnya drama tapi keinginan untuk membaca novel ini sangat tinggi. Senang nak bayangkan hero dan heroinnya.
.
🌿Kisah percintaan Syazan Shahira dan Raimie yang berkahwin atas pilihan keluarga namun mereka berdua saling mencintai antara satu sama lain sehinggalah Syazan membuat onar dalam hubungan mereka.
.
🌿Syazan cuba menggugurkan kandungannya yang telah memasuki trimester ketiga namun anak itu dilahirkan cacat. Raimie berdendam dengan Syazan akibat perbuatan Syazan sehingga Raimie memutuskan untuk menceraikan Syazan. Waktu ini geram dengan Syazan dan geram dengan Raimie. Dua-dua pun aku geram.
.
🌿Sebenarnya Syazan menyimpan sebuah rahsia sebelum meninggalkan Raimie dan dia tidak diberi peluang untuk menyatakan. Tia membesar dengan Syazan dan setelah lima tahun mereka bertemu semula.
.
🌿Apa yang boleh diambil daripada novel ini setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan dan mereka sewajarnya diberikan peluang kedua.
.
#FydaAdimBaca


Friday, March 27, 2020

Insan Kau Cinta - Respon Pembaca

Assalamualaikum.

Selamat malam semua.

Baru berkesempatan mahu menulis di sini. Sibuk dengan urusan mempromosikan novel dan juga penjualan novel. Urusan pengeposan yang membuat pembelian dengan saya sudah dipos semuanya. Untuk penghantaran sekitar Melaka sudah selamat diedarkan juga.

Terima kasih buat semua yang sudi membeli novel saya berjudul Insan Kau Cinta sama ada beli daripada saya atau beli dengan team Fajar Pakeer.

Dan terima kasih juga pada yang sudi bagi respon dan review tentang novel tersebut. Segala kekurangan dalam Insan Kau Cinta harap dimaafkan. Akan saya perbaikinya lagi pada novel akan datang.

Terima kasih atas kata-kata semangat untuk novel seterusnya.






Terima kasih buat semua yang menghadamkan kisah Azalea Husna dan Muaz Saifullah. Semoga ada manfaat yang diperolehi daripada Insan Kau Cinta.

Salam pena,
Fyda Adim


Saturday, March 21, 2020

Bab 5: Insan Kau Cinta



BAB 5


“Apa? Kau bagi jugak!” Suara Wahida memecah hening malam itu. Setelah diasak dan dipaksa untuk membuat pengakuan, akhirnya aku terpaksa mengaku. Wahida seolah-olah dapat menghidu tindak-tandukku bila petang tadi aku tidak pulang sekali bersamanya.
“Ida, kau tak payahlah jerit macam tu. Aku belum pekak lagilah,” ujarku sambil menyenget-yengetkan mulut mengejek cara dia bercakap.
“Tak payah buat mulut macam tu. Senget betul baru tau.” Gertak Wahida selamba.
“Kau tak baik tau doakan aku macam tu.” Aku campak bantal ke arah mukanya.
“Habis tu kau baiklah buat macam tu. Aku bagi kau nasihat kau boleh pulak ejek-ejek kawan baik kau ni.”
“Aku kesianlah dengan dia. Kalau kau kat tempat aku, mesti kau akan buat macam aku buat sekarang ni.”
“Setakat ni, Dino tak pernah lagi nak pinjam duit aku.”
“Aku cakap kalau kan.” Lirihku cuba mempertahankan lelaki bernama Daniel itu.
Seharian nama Daniel disebut-sebut. Entah tersedak atau tidak si Daniel itu. Daniel sana, Daniel sini.
“Aku pasti kalau kau kat tempat aku pun kau pasti buat perkara yang sama.”
“Aku tahu kau kesiankan dia. Alasan kau satu kampung dengan dia tapi Lea, ini bukan sekali dua dia pinjam. Yang dulu dia dah bayar belum?” Bersahaja soalan Wahida dilontarkan. Gaya sudah serupa polis menyoal siasat.
Aku menggeleng sahaja. Bagaikan seorang pesalah.
“Bila dia janji nak bayar?”
Aku sekadar menjungkitkan bahu. Manakala Wahida membuntangkan matanya. Dia sudah mengigit-gigit bibirnya.
“Kau ni ambil mudah aje kan, Lea.” Wahida menyandar di hujung katil. Aku sekadar melepaskan sebuah keluhan kecil.
“Dia pinjam sikit je pun. Tak apalah. Nanti dia bayarlah,” kataku sekadar berbasa-basi. Menyedapkan hati sendiri sebenarnya.
“Hah, yelah. Kau cakap sikit. Dulu pinjam seratus, lepas tu up sikit jadi tiga ratus, yang ini lima ratus pulak. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.” Bebel Wahida serupa mak aku di kampung.
Aku hanya mampu menadah telinga. “Ida, kau bebel dah macam mak aku kat kampung.”
“Mahu tak bebel. Geram. Ini kalau mak kau tahu mesti dia bebel jugak.” Wahida menyambung kata.
“Mak aku kalau fasal dia tak berapa nak bebel sebab anak kawan baik dia,” jelasku.
“Tak kisahlah dia anak kawan baik mak kau sekali pun. Jangan dibagi muka. Lea, dia tu lelaki. Dah kerja pulak tu. Patutnya kalau dia tu sungguh sayangkan kau, dia tak ada susahkan kau macam ni.” Sambung Wahida lagi bersungguh-sungguh.
Aku hanya membisu. Tidak tahu apa yang sepatutnya diperkatakan. Nak melawan ada betul juga cakap Wahida. Tanpa sedar, aku lepaskan keluhan.
Suasana hening seketika.
“Hujung minggu ni aku nak balik kampung. Nenek aku buat kenduri nak pergi haji. Kau nak ikut tak?” Pelawa Wahida. Aku melemparkan pandang padanya. Dalam kepala memikirkan sama ada mahu menerima pelawaan Wahida atau pun tidak.
“Jomlah ikut aku. Kau belum pernah ikut aku balik kampung aku kan.” Pujuk Wahida bersungguh-sungguh. Riak wajahnya mempamerkan penuh pengharapan.
“Alah, seganlah. Rumah kau ada siapa lagi?” Soal aku ragu-ragu dan cuba menyusun ayat. Risau juga sahabatnya itu berkecil hati.
“Kau tak payah sangat nak beralasan. Kau tidurlah rumah aku. Mana ada siapa. Mak ayah aku dengan adik-adik aku ajelah. Kenduri buat kat rumah maklong aku. Nenek aku kan tinggal dengan maklong aku.”
Aku masih mendiamkan diri. Belum memberi kata putus.
“Aku tak kira kau ikut juga.” Asak Wahida. Aku sudah tergelak kecil walau hatiku sedang galau. Duit di tangan cukup-cukup untuk perbelanjaan harianku. Jika aku ikut Wahida mestilah mahu guna duit lagi.
“Berapa kos untuk balik kampung nanti?” Aku terus sahaja menyoal supaya aku senang buat kira-kira.
“Kenapa, Lea? Kau tak ada duit ke?”
“Eh, tidaklah.” Cepat-cepat aku menafikannya.
“Cuba cerita. Dengan aku pun kau nak berahsia.”
“Kampung kau apa yang best?” soalku cuba menukar topik perbualan.
“Kampung aku ada sawah yang terbentang luas, ada sungai yang jernih airnya, ada jambatan gantung. Mesti kau suka.” Bersungguh-sungguh Wahida bercerita sambil mendepangkan tangannya bagai orang berpidato.
“Ermm...” Aku berkira-kira memberi jawapan pada Wahida.
“Dah tak payah nak fikir sangat. Kau ikut aku jugak. Nanti jangan sampai kau jatuh cinta dengan kampung Selama. Silap haribulan kau jatuh cinta dengan orang Selama baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah.” Bidas Wahida panjang lebar.
“Hamboi, bukan main bercakap.” Kataku disambut dengan gelak kecil Wahida. Aku pun turut sama tergelak.
“Yelah, manalah tahu. Kita bukan tahu jodoh kita. Kau bercinta bagai nak rak dengan mamat tak guna tu sekali kau kahwin dengan orang lain.”
“Ish...” Aku menghadiahkan satu cubitan di lengan Wahida.
“Sakitlah...” Jeritnya.
“Mulut tu laser sangat siapa suruh. Patut kau doakan yang baik-baik untuk aku. Ini tidak.”
“Lea, aku ni dah boleh nampak mamat tak guna tu memang tak sesuai. Kau tak boleh hadam ke apa aku sampai kat kau ni Lea.” Wahida menggeleng-geleng kepalanya.
Aku sekadar menundukkan pandangan. Fikiran menerawang.
Inikah yang dikatakan cinta?
Cinta yang boleh membutakan mata dan juga hati.
Entahlah.


Usai bersembang, Wahida turun ke bawah untuk menonton televisyen. Aku pula berbaring di katil sambil membelek buku nota. Malas mahu menyertai mereka di bawah menonton drama Korea. Tiba-tiba aku teringatkan emak lalu terus sahaja aku mencapai telefon bimbit di atas meja. Satu-persatu nombor ditekan. Selesai mendail aku tekapkan telefon di telinga. Beberapa saat nada dering berbunyi sebelum panggilan bersambung. Suara lembut wanita kedengaran memberi salam di hujung talian. Lantas aku menjawab salam tersebut.
“Mak buat apa?” soalku.
“Lea rupanya. Mak ingatkan siapalah yang telefon malam-malam macam ni,” ujar mak bersahaja.
“Mak dah tidur ke?”
“Belum lagi. Teman Fiqah ni sambil siapkan baju orang ni. Kenapa Lea?” soal emak lembut.
“Tak ada apalah mak. Saja telefon mak. Rindu...”
Mak tergelak bahagia di hujung talian. Sepuluh minit perbualan berlangsung dengan mak. Aku cerita fasal kehidupan di Politeknik, emak pula cerita fasal kampung dan tempahan baju kurung.
“Oh ya, mak Lea nak minta izin dengan mak ni. Hujung minggu ni Lea ikut Wahida balik kampungnya. Nenek Wahida ada buat kenduri nak pergi haji. Boleh ye, mak?”
“Oh, pergilah tapi pandai-pandai jaga diri kat tempat orang. Rumah Wahida ada lelaki ke?” Mak bertanya.
“Ada. Dia ada sorang adik lelaki aje.”
 “Jaga aurat tu. Pergi tempat orang tu jangan malas-malas. Bangun pagi. Tolong apa yang patut.” Pesan mak panjang lebar.
“Baiklah, Puan Hamimah. Saya yang menurut perintah.”
Sebaik menamatkan perbualan, talian pun dimatikan. Aku kembali berbaring di atas katil. Siling dipandang kosong. Kipas yang berputar seakan tidak berfungsi. Tidak memberi rasa. Malam itu hanya kedengaran keriut putaran kipas menghiasi hening malm.
‘Malam ini sungguh bahang. Nak hujan agaknya.’ Omelku sendiri.
Sedang aku melayan perasaan sendiri, telefon bimbit di tepi bantal berdering nyaring. Lantas aku bangkit dari pembaringan. Telefon bimbit dicapai. Sekali lagi aku mengeluh sendiri sebaik melihat nama yang tertera di skrin.
‘Aduh, nak apa lagi agaknya.” Keluhku sendiri di dalam hati sebelum butang jawab ditekan.
Entahlah, sejak akhir-akhir ini aku bertambah kusut dengan panggilan yang satu ini. Dia tersangatlah merimaskan aku. Sudahlah semester akhir dengan bermacam-macam projek yang mahu disiapkan.
“Hello, Lea.” Suara Daniel kedengaran di hujung talian sebaik aku melekapkan telefon bimbit pada telinga.
Aku memberi salam lantas dia menjawab salamku dengan gelak kecil di hujungnya.
‘Telefon orang tak reti bagi salam.’ Rungutku sendiri.
“Ada apa?” Aku terus sahaja menyoal tanpa mukadimah.
“ Saje call Lea. Lea tak suka ke Daniel telefon?”
“Bukanlah, Lea banyak kerja nak buat Daniel.” Dalihku.
“Lea, Daniel nak minta tolong lagi.”
“Apa lagi Daniel?”
“Saya nak minta awak tambahkan lagi 200 aje. Tak cukuplah Lea. Sparepart motor tu mahal sangat.”  
Aku mengeluh.
“Awak tahu tak saya ni dah semester akhir Daniel. Saya pun banyak nak guna duit. Awak pernah tanya tak hidup saya kat sini macam mana?”
“Saya tahu.”
“Awak tak tahu. Tempoh hari duit tiket bas awak ke KL pun saya bayarkan awak.” Mulut aku laju sahaja mengungkit kisah tiket bas masa kami berjumpa di Kuala Lumpur tempoh hari. Kebetulan masa itu, aku teman Wahida ke rumah makciknya di Kuala Lumpur.
“Awak mengungkit ke Lea?”
“Saya bukan ungkit tapi saya nak awak faham keadaan saya kat sini. Saya pun nak guna duit.” Aku tekankan suara.
“Kalau macam itu, tak apalah.”
Talian terus dimatikan. Aku mendengus kasar. Telefon bimbit dicampak di atas tilam. Aku menyandar di dinding. Lelaki ini amat menguji kesabaran aku. Dahulu, perangainya tidaklah sebegini.
Aku capai kembali telefon bimbit.
‘Daniel, saya minta maaf. Bukan niat saya nak mengungkit.’ Sebaik sahaja mesej habis ditaip, aku tekan butang hantar.
Kemudian telefon bimbit diletakkan kembali. Aku menepuk-nepuk bantal sebelum aku meletakkan kepala. Belum sempat meletakkan kepala, kedengaran pintu bilik diketuk membantutkan tingkahku.
“Lea...kau dah tidur ke?” Wahida muncul di muka pintu sebaik pintu bilik dikuak sedikit.
 “Belum lagi. Baru nak letak kepala ni. Kenapa?”
“Tak ada apa. Eh, kau dah tanya mak kau tak?” Wahida menghayun langkahnya menuju ke katilnya.
Aku bangkit dari pembaringan dan tegakkan badan. Bantal dipeluk ke dada. “Aku baru telefon mak aku tadi.” Balasku senada.
“Mak kau bagi tak?”
Aku sekadar mengangguk. Wahida sudah tersenyum riang.
“Wah, best ni. Dapat pun kau ikut aku balik kampung. Tiga tahun belajar kat sini tapi kau tak pernah ke kampung aku. Kau asyik nak balik kampung kau aje.”
“Yelah. Buat apa balik kampung kau. Baik aku balik kampung aku jumpa mak dan adik-adik aku.”
“Okeylah ni. Sekurang-kurang sebelum habis belajar ni. Nanti bila kau dah jauh lagi payah kau nak datang.”
“Teringin juga nak tengok kampung kau. Boleh jumpa mak kau. Selalu cakap dalam telefon aje.” Tuturku seraya mengukir segaris senyuman.
“Jadi petang jumaat kita boleh terus balik kampung akulah. Nanti aku bawak kau jalan-jalan satu kampung. Tengok sawah, pergi mandi sungai...” Wahida sudah menyusun perancangannya sendiri.
“Gaya kau cakap macam aku tak pernah tengok sawah aje kan.”
Wahida tergelak besar.
“Memanglah kau pernah tengok sawah tapi tak secara live. Kampung kau bukan ada sawah pun.”
“Amboi mengutuk kampung orang pulak.”
“Dahlah, aku nak turun bawah kejap sambung tengok drama korea. Esok pagi aku ada kelas. Kau ada kelas tak?”
“Kelas aku pukul 10.”
Wahida pun bangun dan terus berlalu. Sebelum keluar, Wahida menutup kembali pintu bilik.
Bantal yang aku peluk ditepuk perlahan sebelum aku meletakkan di atas tilam. Rambutku paras bahu dilepaskan. Buku percukaian sudah diselak ke muka surat yang mahu dihafal. Namun fikiranku menerawang.
‘Daniel marah agaknya.’
Telefon bimbit di sebelah dikerling. Tiada mesej yang masuk. Sekali lagi aku mengeluh.
‘Lelaki ini cukup menguji kesabaranku.’