Sunday, February 16, 2020

Bab 4 : Insan Kau Cinta

BAB 4

Gambar : Carian Google

Jam loceng yang sudah disetkan pada telefon bimbit Samsung berfungsi tepat jam 6.00 pagi. Terpekik-pekik mengejutkan seisi rumah teres dua tingkat yang kami sewa hampir dua tahun. Rumah dua bilik itu dihuni seramai enam orang. Jadilah untuk kami sebagai pelajar. Sewanya pun murah. Janji selesa.
Terpisat-pisat aku meraba bawah bantal untuk mematikan telefon yang berbunyi. Aku mengeliat kecil sebelum bangun lalu menyandar di dinding. Aku peluk bantal seketika sebelum suara Wahida kedengaran dari arah katilnya.
“Hoi, kau dah bangun belum?”
“Dahlah. Lelap mata kejap,” jawabku bersahaja. Mata masih dipejamkan. Kantuk masih menghantui diri. Mana tidaknya, sehingga jam 2.00 pagi aku menyiapkan tugasan percukaian.
Suasana pagi yang mendamaikan dan cukup sejuk membuatkan aku bermalas-malasan untuk bersiap ke kelas. Bumi Ipoh di basahi hujan sejak Subuh tadi. Cuaca yang sejuk terasa mencengkam hingga ke tulang putih. Terasa mahu ditarik kembali selimut dan berbaring di atas katil namun impian itu harus dilupakan. Hari ini seharian aku ada kelas. Begitu juga dengan Wahida.
Sewaktu aku sedang bersiap, telefon bimbit di atas meja berbunyi nyaring. Aku yang sedang membetulkan tudung bawal di depan cermin, mencapai telefon bimbit yang berlagu sedari tadi. Nama Daniel terpampang di skrin. Dari malam tadi lelaki itu menelefon. Aku hanya membiarkan sahaja. Semalam, sudahlah sampai di rumah hampir jam 10.00, bertambah penat bila melihat gerangan pemanggilnya. Sebuah keluhan kecil aku lepaskan. Beberapa ketika aku biarkan sahaja telefon itu berbunyi sehinggakan Wahida datang menegur.
“Lea...kenapa kau tak jawab?” Waktu itu Wahida muncul di muka pintu. Dia baru keluar dari bilik air.
Aku yang tersentak dengan kedatangan Wahida, segera melurut skrin telefon. Kemudian Wahida menghilangkan diri untuk menggosok baju di tingkat bawah. Suara Daniel kedengaran memberi salam di hujung talian.
“Saya tengah bersiap nak ke kelas. Kenapa awak call? Pagi-pagi lagi awak dah call saya.” ujarku acuh tidak acuh.
Selalunya aku suka bila mendapat panggilan lelaki itu dan sering kali panggilan daripada lelaki itu ditunggu-tunggu. Namun hari itu aku langsung tidak mengharapkan panggilan lelaki itu. Bila ditunggu tidak pula muncul. Bila tidak ditunggu masa itulah dia muncul.
“Awak macam tak suka aje saya call.”
“Awak call saya bersebab bukan? Kalau tidak mana awak pernah nak call saya pagi-pagi macam ni.” Aku melampiaskan amarah yang terbuku sejak semalam.
“Macam mana Lea? Awak dah fikirkan ke tentang semalam?” soal Daniel. Nada suaranya penuh pengharapan. Barangkali.
“Betul tak apa yang saya cakapkan. Awak call saya bersebab. Kaunter bank pun belum dibuka seawal ni Daniel.” Tanpa rasa bersalah aku meluahkan rasa marah. Sebenarnya, aku masih belum mempertimbangkan permintaan Daniel itu.
“Awak tak boleh tolong saya ke?” Soalan Daniel itu menjadikan aku bertambah serba-salah. Caranya yang mengasak aku dengan soalan itu turut memberi impak yang tidak baik pada diri aku. Ketahanan diri aku sudahlah tidak kuat mana.
“Bukan saya tak boleh tolong...”
“Dah tu kenapa?”
“Saya kat sini pun nak guna duit jugak Daniel. Duit yang ada ni pun duit pinjaman tau. Saya nak guna bayar yuran, bayar rumah sewa, bayar assignment. Awak ingat saya tak guna duit ke?.” Akhirnya aku berjaya juga berterus-terang walau dalam keterpaksaan.
“Lea...kalau awak tak tolong saya, siapa lagi yang nak tolong. Awak tak kasihankan saya ke?” Rayu Daniel membuatkan aku jatuh kasihan padanya.
Bertambah tersepitnya aku ketika ini. Ditolong salah, tak ditolong pun jadi salah. Bukan tak percayakan Daniel, tetapi aku lebih memerlukan. Dia bekerja. Aku belajar. Kenapa dia yang bekerja pula mahu meminjam duit daripada aku.
Kusut. Serabut. Semuanya bersatu dalam diri.
“Duit gaji awak mana?” soal aku tiba-tiba. Memang tidak terniat nak ditanya begitu. Sepanjang berkawan, perihal gaji lelaki itu tidak pernah aku ambil tahu.
“Duit gaji saya tak cukup. Bagi pada mak. Mak tu macam-macam nak dibelinya. Saya ni bukan kerja bagus sangat, bukan bergaji besar,” omel Daniel. Terdengar dia merengus di hujung talian.
Aku sekadar menelinga. Tidak tahu apa yang sepatutnya aku balas omelannya itu kerana dia mengomel perihal emaknya.
“Kalau saya bagi, bila awak boleh bayar?” Akhirnya aku terpaksa mengalah.
“Saya akan bayar secepat mungkin, Lea.” Dia mengukir janji.
“Ermm...baiklah. Tapi awak kena janji akan bayar balik sebab saya kat sini banyak guna duit juga. Nak bayar sewa rumah, assignment, makan lagi...,” ujarku berjela-jela sekali lagi mengingatkan lelaki itu.
Risau juga kalau-kalau dia mungkir janji. Tapi bila dikenangkan balik sepanjang persahabatan dari sekolah, tidak pernah pula lelaki itu meminjam duit.
“Bila awak boleh bank in?”
“Petang nanti lepas kelas.” Jawabku ringkas.
“Terima kasih, Lea. Ini yang buat saya sayang awak.” Nadanya girang sekali. Aku tersenyum kelat. Tidak tahu apa yang patut dirasakan dengan ungkapan sayang. Sayang sebagai seorang kekasih atau sayang sebagai seorang kawan sekampung. Seingat aku, antara aku dan dia tidak pernah mengikat janji sebagai kekasih. Antara kami hanya terikat dengan hubungan orang tua kami.
“Sama-sama...” Balasku sebelum talian telefon dimatikan.
Aku melepaskan keluhan. Permintaan Daniel ini seolah-olah satu bebanan pada aku. Kata-kata Wahida semalam, tiba-tiba menganggu diri aku.
“Belum kawin, dah berani nak pinjam duit perempuan. Itu bukan lelaki namanya. Itu jantan!” Bentak Wahida. Marah sungguh dia semalam sesudah aku menceritakan semuanya pada dia.
Entah betul atau tidak tindakan yang aku buat ini. Perasaan serba-salah menghimpit diri. Kalau tahu oleh Wahida keputusan yang aku ambil ini, memang aku perlu bertabah untuk menadah telinga.
Aku cukup tertekan bila diasak masalah sebegini. Kalau tidak dihulurkan pertolongan, aku boleh dikategorikan sebagai manusia tidak berperikemanusian kah?
Soalan itu sepi tanpa jawapan.
Aku buntu sendirian.
Oh, Daniel!
[Bersambung]


No comments: