Saturday, March 21, 2020

Bab 5: Insan Kau Cinta



BAB 5


“Apa? Kau bagi jugak!” Suara Wahida memecah hening malam itu. Setelah diasak dan dipaksa untuk membuat pengakuan, akhirnya aku terpaksa mengaku. Wahida seolah-olah dapat menghidu tindak-tandukku bila petang tadi aku tidak pulang sekali bersamanya.
“Ida, kau tak payahlah jerit macam tu. Aku belum pekak lagilah,” ujarku sambil menyenget-yengetkan mulut mengejek cara dia bercakap.
“Tak payah buat mulut macam tu. Senget betul baru tau.” Gertak Wahida selamba.
“Kau tak baik tau doakan aku macam tu.” Aku campak bantal ke arah mukanya.
“Habis tu kau baiklah buat macam tu. Aku bagi kau nasihat kau boleh pulak ejek-ejek kawan baik kau ni.”
“Aku kesianlah dengan dia. Kalau kau kat tempat aku, mesti kau akan buat macam aku buat sekarang ni.”
“Setakat ni, Dino tak pernah lagi nak pinjam duit aku.”
“Aku cakap kalau kan.” Lirihku cuba mempertahankan lelaki bernama Daniel itu.
Seharian nama Daniel disebut-sebut. Entah tersedak atau tidak si Daniel itu. Daniel sana, Daniel sini.
“Aku pasti kalau kau kat tempat aku pun kau pasti buat perkara yang sama.”
“Aku tahu kau kesiankan dia. Alasan kau satu kampung dengan dia tapi Lea, ini bukan sekali dua dia pinjam. Yang dulu dia dah bayar belum?” Bersahaja soalan Wahida dilontarkan. Gaya sudah serupa polis menyoal siasat.
Aku menggeleng sahaja. Bagaikan seorang pesalah.
“Bila dia janji nak bayar?”
Aku sekadar menjungkitkan bahu. Manakala Wahida membuntangkan matanya. Dia sudah mengigit-gigit bibirnya.
“Kau ni ambil mudah aje kan, Lea.” Wahida menyandar di hujung katil. Aku sekadar melepaskan sebuah keluhan kecil.
“Dia pinjam sikit je pun. Tak apalah. Nanti dia bayarlah,” kataku sekadar berbasa-basi. Menyedapkan hati sendiri sebenarnya.
“Hah, yelah. Kau cakap sikit. Dulu pinjam seratus, lepas tu up sikit jadi tiga ratus, yang ini lima ratus pulak. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.” Bebel Wahida serupa mak aku di kampung.
Aku hanya mampu menadah telinga. “Ida, kau bebel dah macam mak aku kat kampung.”
“Mahu tak bebel. Geram. Ini kalau mak kau tahu mesti dia bebel jugak.” Wahida menyambung kata.
“Mak aku kalau fasal dia tak berapa nak bebel sebab anak kawan baik dia,” jelasku.
“Tak kisahlah dia anak kawan baik mak kau sekali pun. Jangan dibagi muka. Lea, dia tu lelaki. Dah kerja pulak tu. Patutnya kalau dia tu sungguh sayangkan kau, dia tak ada susahkan kau macam ni.” Sambung Wahida lagi bersungguh-sungguh.
Aku hanya membisu. Tidak tahu apa yang sepatutnya diperkatakan. Nak melawan ada betul juga cakap Wahida. Tanpa sedar, aku lepaskan keluhan.
Suasana hening seketika.
“Hujung minggu ni aku nak balik kampung. Nenek aku buat kenduri nak pergi haji. Kau nak ikut tak?” Pelawa Wahida. Aku melemparkan pandang padanya. Dalam kepala memikirkan sama ada mahu menerima pelawaan Wahida atau pun tidak.
“Jomlah ikut aku. Kau belum pernah ikut aku balik kampung aku kan.” Pujuk Wahida bersungguh-sungguh. Riak wajahnya mempamerkan penuh pengharapan.
“Alah, seganlah. Rumah kau ada siapa lagi?” Soal aku ragu-ragu dan cuba menyusun ayat. Risau juga sahabatnya itu berkecil hati.
“Kau tak payah sangat nak beralasan. Kau tidurlah rumah aku. Mana ada siapa. Mak ayah aku dengan adik-adik aku ajelah. Kenduri buat kat rumah maklong aku. Nenek aku kan tinggal dengan maklong aku.”
Aku masih mendiamkan diri. Belum memberi kata putus.
“Aku tak kira kau ikut juga.” Asak Wahida. Aku sudah tergelak kecil walau hatiku sedang galau. Duit di tangan cukup-cukup untuk perbelanjaan harianku. Jika aku ikut Wahida mestilah mahu guna duit lagi.
“Berapa kos untuk balik kampung nanti?” Aku terus sahaja menyoal supaya aku senang buat kira-kira.
“Kenapa, Lea? Kau tak ada duit ke?”
“Eh, tidaklah.” Cepat-cepat aku menafikannya.
“Cuba cerita. Dengan aku pun kau nak berahsia.”
“Kampung kau apa yang best?” soalku cuba menukar topik perbualan.
“Kampung aku ada sawah yang terbentang luas, ada sungai yang jernih airnya, ada jambatan gantung. Mesti kau suka.” Bersungguh-sungguh Wahida bercerita sambil mendepangkan tangannya bagai orang berpidato.
“Ermm...” Aku berkira-kira memberi jawapan pada Wahida.
“Dah tak payah nak fikir sangat. Kau ikut aku jugak. Nanti jangan sampai kau jatuh cinta dengan kampung Selama. Silap haribulan kau jatuh cinta dengan orang Selama baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah.” Bidas Wahida panjang lebar.
“Hamboi, bukan main bercakap.” Kataku disambut dengan gelak kecil Wahida. Aku pun turut sama tergelak.
“Yelah, manalah tahu. Kita bukan tahu jodoh kita. Kau bercinta bagai nak rak dengan mamat tak guna tu sekali kau kahwin dengan orang lain.”
“Ish...” Aku menghadiahkan satu cubitan di lengan Wahida.
“Sakitlah...” Jeritnya.
“Mulut tu laser sangat siapa suruh. Patut kau doakan yang baik-baik untuk aku. Ini tidak.”
“Lea, aku ni dah boleh nampak mamat tak guna tu memang tak sesuai. Kau tak boleh hadam ke apa aku sampai kat kau ni Lea.” Wahida menggeleng-geleng kepalanya.
Aku sekadar menundukkan pandangan. Fikiran menerawang.
Inikah yang dikatakan cinta?
Cinta yang boleh membutakan mata dan juga hati.
Entahlah.


Usai bersembang, Wahida turun ke bawah untuk menonton televisyen. Aku pula berbaring di katil sambil membelek buku nota. Malas mahu menyertai mereka di bawah menonton drama Korea. Tiba-tiba aku teringatkan emak lalu terus sahaja aku mencapai telefon bimbit di atas meja. Satu-persatu nombor ditekan. Selesai mendail aku tekapkan telefon di telinga. Beberapa saat nada dering berbunyi sebelum panggilan bersambung. Suara lembut wanita kedengaran memberi salam di hujung talian. Lantas aku menjawab salam tersebut.
“Mak buat apa?” soalku.
“Lea rupanya. Mak ingatkan siapalah yang telefon malam-malam macam ni,” ujar mak bersahaja.
“Mak dah tidur ke?”
“Belum lagi. Teman Fiqah ni sambil siapkan baju orang ni. Kenapa Lea?” soal emak lembut.
“Tak ada apalah mak. Saja telefon mak. Rindu...”
Mak tergelak bahagia di hujung talian. Sepuluh minit perbualan berlangsung dengan mak. Aku cerita fasal kehidupan di Politeknik, emak pula cerita fasal kampung dan tempahan baju kurung.
“Oh ya, mak Lea nak minta izin dengan mak ni. Hujung minggu ni Lea ikut Wahida balik kampungnya. Nenek Wahida ada buat kenduri nak pergi haji. Boleh ye, mak?”
“Oh, pergilah tapi pandai-pandai jaga diri kat tempat orang. Rumah Wahida ada lelaki ke?” Mak bertanya.
“Ada. Dia ada sorang adik lelaki aje.”
 “Jaga aurat tu. Pergi tempat orang tu jangan malas-malas. Bangun pagi. Tolong apa yang patut.” Pesan mak panjang lebar.
“Baiklah, Puan Hamimah. Saya yang menurut perintah.”
Sebaik menamatkan perbualan, talian pun dimatikan. Aku kembali berbaring di atas katil. Siling dipandang kosong. Kipas yang berputar seakan tidak berfungsi. Tidak memberi rasa. Malam itu hanya kedengaran keriut putaran kipas menghiasi hening malm.
‘Malam ini sungguh bahang. Nak hujan agaknya.’ Omelku sendiri.
Sedang aku melayan perasaan sendiri, telefon bimbit di tepi bantal berdering nyaring. Lantas aku bangkit dari pembaringan. Telefon bimbit dicapai. Sekali lagi aku mengeluh sendiri sebaik melihat nama yang tertera di skrin.
‘Aduh, nak apa lagi agaknya.” Keluhku sendiri di dalam hati sebelum butang jawab ditekan.
Entahlah, sejak akhir-akhir ini aku bertambah kusut dengan panggilan yang satu ini. Dia tersangatlah merimaskan aku. Sudahlah semester akhir dengan bermacam-macam projek yang mahu disiapkan.
“Hello, Lea.” Suara Daniel kedengaran di hujung talian sebaik aku melekapkan telefon bimbit pada telinga.
Aku memberi salam lantas dia menjawab salamku dengan gelak kecil di hujungnya.
‘Telefon orang tak reti bagi salam.’ Rungutku sendiri.
“Ada apa?” Aku terus sahaja menyoal tanpa mukadimah.
“ Saje call Lea. Lea tak suka ke Daniel telefon?”
“Bukanlah, Lea banyak kerja nak buat Daniel.” Dalihku.
“Lea, Daniel nak minta tolong lagi.”
“Apa lagi Daniel?”
“Saya nak minta awak tambahkan lagi 200 aje. Tak cukuplah Lea. Sparepart motor tu mahal sangat.”  
Aku mengeluh.
“Awak tahu tak saya ni dah semester akhir Daniel. Saya pun banyak nak guna duit. Awak pernah tanya tak hidup saya kat sini macam mana?”
“Saya tahu.”
“Awak tak tahu. Tempoh hari duit tiket bas awak ke KL pun saya bayarkan awak.” Mulut aku laju sahaja mengungkit kisah tiket bas masa kami berjumpa di Kuala Lumpur tempoh hari. Kebetulan masa itu, aku teman Wahida ke rumah makciknya di Kuala Lumpur.
“Awak mengungkit ke Lea?”
“Saya bukan ungkit tapi saya nak awak faham keadaan saya kat sini. Saya pun nak guna duit.” Aku tekankan suara.
“Kalau macam itu, tak apalah.”
Talian terus dimatikan. Aku mendengus kasar. Telefon bimbit dicampak di atas tilam. Aku menyandar di dinding. Lelaki ini amat menguji kesabaran aku. Dahulu, perangainya tidaklah sebegini.
Aku capai kembali telefon bimbit.
‘Daniel, saya minta maaf. Bukan niat saya nak mengungkit.’ Sebaik sahaja mesej habis ditaip, aku tekan butang hantar.
Kemudian telefon bimbit diletakkan kembali. Aku menepuk-nepuk bantal sebelum aku meletakkan kepala. Belum sempat meletakkan kepala, kedengaran pintu bilik diketuk membantutkan tingkahku.
“Lea...kau dah tidur ke?” Wahida muncul di muka pintu sebaik pintu bilik dikuak sedikit.
 “Belum lagi. Baru nak letak kepala ni. Kenapa?”
“Tak ada apa. Eh, kau dah tanya mak kau tak?” Wahida menghayun langkahnya menuju ke katilnya.
Aku bangkit dari pembaringan dan tegakkan badan. Bantal dipeluk ke dada. “Aku baru telefon mak aku tadi.” Balasku senada.
“Mak kau bagi tak?”
Aku sekadar mengangguk. Wahida sudah tersenyum riang.
“Wah, best ni. Dapat pun kau ikut aku balik kampung. Tiga tahun belajar kat sini tapi kau tak pernah ke kampung aku. Kau asyik nak balik kampung kau aje.”
“Yelah. Buat apa balik kampung kau. Baik aku balik kampung aku jumpa mak dan adik-adik aku.”
“Okeylah ni. Sekurang-kurang sebelum habis belajar ni. Nanti bila kau dah jauh lagi payah kau nak datang.”
“Teringin juga nak tengok kampung kau. Boleh jumpa mak kau. Selalu cakap dalam telefon aje.” Tuturku seraya mengukir segaris senyuman.
“Jadi petang jumaat kita boleh terus balik kampung akulah. Nanti aku bawak kau jalan-jalan satu kampung. Tengok sawah, pergi mandi sungai...” Wahida sudah menyusun perancangannya sendiri.
“Gaya kau cakap macam aku tak pernah tengok sawah aje kan.”
Wahida tergelak besar.
“Memanglah kau pernah tengok sawah tapi tak secara live. Kampung kau bukan ada sawah pun.”
“Amboi mengutuk kampung orang pulak.”
“Dahlah, aku nak turun bawah kejap sambung tengok drama korea. Esok pagi aku ada kelas. Kau ada kelas tak?”
“Kelas aku pukul 10.”
Wahida pun bangun dan terus berlalu. Sebelum keluar, Wahida menutup kembali pintu bilik.
Bantal yang aku peluk ditepuk perlahan sebelum aku meletakkan di atas tilam. Rambutku paras bahu dilepaskan. Buku percukaian sudah diselak ke muka surat yang mahu dihafal. Namun fikiranku menerawang.
‘Daniel marah agaknya.’
Telefon bimbit di sebelah dikerling. Tiada mesej yang masuk. Sekali lagi aku mengeluh.
‘Lelaki ini cukup menguji kesabaranku.’

No comments: