Thursday, June 25, 2020

Review Novel: Rasa Yang Terikat

Assalamualaikum.

Selamat petang semua.

Agak lama meninggalkan ruang ini. Kesuntukan masa untuk mencoretkan sesuatu di sini. Pembacaan pun lambat. Aku baca novel ini sewaktu PKPB setelah mengharungi PKP. Sebenarnya banyak saja masa yang boleh diisi dengan baca; pendek kata sebenarnya banyak buku/novel yang boleh dibaca sepanjang tempoh itu. Namun begitu, aku masih tidak mampu melakukannya.

Aku lebih melayan emosi yang tak dapat balik ke kampung merangkap rumah sendiri di Melaka. Dalam pada itu juga aku sibuk menulis. Mengejar deadline dan juga sibuk sepanjang Ramadan untuk amalan diri.

Baiklah, di sini aku ulas novel yang aku sudah habis baca dan baru sempat menulisnya. Aku menulis entri ini di Melaka yang tercinta dan negeri yang paling bahagia. Hahaha. Orang kata. Tapi aku memang terasa bahagia bila di Melaka dan juga di rumah sendiri.

Kita teruskan dengan review novel Rasa Yang Terikat.


Rasa Yang Terikat karya Arniza Idayu.

Penerbit: Fajar Pakeer
Harga: RM23/RM26
Jumlah Halaman: 499



* Pertama kali aku membaca karya novelis ini. Penulis ini ada nama penanya yang lain iaitu Aina Meira. Aku beli novel ini memandangkan novel penulis ini terbit bersama dengan novel aku, Insan Kau Cinta. Itulah asbabnya aku mengenali penulis ini.


* Rasa Yang Terikat sarat dengan kisah kedukaan atau kesengsaraan seorang wanita bernama Sofi atau Sofea. Kisahnya membuatkan aku bermain dengan emosi sendiri. Berperang dengan perasaan sendiri. Terasa kesengsaraan Sofi itu sampai ke lubuk hati.


* Sofea seorang wanita yang telah berkahwin tetapi sudah kematian suami. Berasal dari kampung dan bergantung hidup dengan mak langnya. Makcik kepada arwah suaminya. Kesengsaraannya bermula apabila dia dibenci dan diseksa oleh mak langnya.


* Penderaan fizikal dan mental lebih menyakitkan apabila mak lang mahu menjual Sofea atau Ayya nama panggilannya oleh mak lang kepada seorang lelaki bernama Jamal. Babak ini paling geram. Geram dengan mak lang, geram dengan Jamal. Tersangat!


* Namun takdir menemukan Sofea dan seorang lelaki bernama Aiman dan Jamal itu sebenarnya ada hubungan kekeluargaan dengan Aiman. Nak tahu apa kaitan Jamal dan Aiman? Kenalah baca novel ini sendiri. 


* Bagaimana Sofea mahu melepaskan diri daripada jerat Jamal kerana Jamal tetap memburunya kerana dia sudah membayar sejumlah wang pada mak langnya membuatkan aku mahu habiskan pembacaannya.


* Tahniah buat penulis. Plot yang tersusun dan sebuah kisah yang menarik. Apa yang boleh diambil iktibar daripada novel ini, sifat dengki dan iri hati yang wujud dalam diri mak lang, membuatkan orang lain merana. Oleh sebab sifat itu dia bertindak di luar kawalan.


* Sekali lagi, tahniah buat penulisnya.

Selamat membaca!


No comments: