Monday, November 2, 2020

Sekadar Sedutan

 

Gambar : Carian Google

Sekadar sedutan....


Khalisah tiba di Melaka Sentral setelah lima jam di atas lebuh raya. Kematu juga punggungnya berlama-lama di atas bas. Dia menyusun perlahan langkahnya menuju ke arah pintu utama terminal bas.

Matanya loliah-loliah mencari susuk tubuh seseorang. Atas tiket perjanjian yang dilakukan pagi tadi, dia terpaksa akur. Orang kata janji usah dimungkiri.

“Saya jemput awak nanti. Tunggu sampai saya datang,” pesan lelaki itu berkali-kali sebelum mematikan talian.

Khalisah mengeluh sendiri. Mahu atau tidak, dia terpaksa akur dengan lelaki itu. Dia meletakkan beg baju di atas lantai lalu perlahan dia menarik zip beg tangannya. Telefon pintarnya ditarik keluar. Baru sahaja mahu mendail, dia dikejutkan dengan sapaan seseorang.

“Assalamualaikum. Dah lama tunggu ke?” 

Khalisah pantas menoleh. Lelaki itu sudah mengukir senyuman. 

“Dah lama tunggu?” Sekali lagi dia menyoal.

“Taklah, baru aje sampai. Saya baru nak telefon Hamzah.”

“Saya dah tunggu lama kat sini. Nampak awak turun bas tadi. Saja perhati dari jauh cari kita ke tak.” Hamzah menyakat.

“Halah…halah…halah…Sengajakan awak. Memang suka stalk orang ye?”

“Taklah. Saya stalk awak sorang aje.” Hamzah tersengih tatkala mengakhiri ayatnya. 

“Memang sweet talker ke macam mana?”

Hamzah Fikri menghamburkan gelak. Seronok hatinya mengenakan wanita itu. Hatinya cukup terhibur melihat gelagat wanita di depannya yang sedang merona merah kedua-dua belah pipinya.

“Kita makan dulu kemudian baru saya hantar awak balik.”

“Itu memang dah siap-siap bagi arahan kan. Jadi saya tak ada pilihan,” ujar Khalisah selamba.

Sekali lagi, Hamzah Fikri tertawa.

“Mari saya bawakan beg.” Hamzah Fikri terlebih dahulu mencapai beg baju Khalisah. “Jomlah. Kereta saya park di depan sana.” Hamzah Fikri memuncungkan bibirnya ke arah tempat yang dia maksudkan.

Khalisah terus menyusun langkah membuntuti lelaki itu beberapa langkah di belakang lelaki itu. Sebelum sampai di kereta, kdenegaran telefon pintarnya berdering. Dia pantas menarik keluar telefon pintarnya dari dalam beg tangannya.

“Lisa, kau dah sampai Melaka belum?” Kedengaran suara Aida menyoal.

“Aku kat Melaka Sentral dah.” Khalisah membalas.

“Dia dah sampai?”

“Dah. Aku nak singgah makan dulu. Kau ada nak kirim apa-apa tak?”

“Hah eloklah tu. Tak payah masak. Kau makan kat mana?”

“Entahlah. Ikut mamat ni mana dia nak bawa aku. Kau tahu dia siap bagi arahan kat aku tadi. Kita singgah makan dulu kemudian baru saya hantar awak balik.” Khalisah mengajuk cakap lelaki itu.

Aida tertawa. “Layankan ajelah, Lisa oi.”

“Suka-suka hati dia aje nak mengarah orang.” Luah Khalisah tidak puas hati. Dia memuncungkan bibirnya sendiri.

...Bersambung...

No comments: