Friday, January 29, 2021

5/2021 : #BaikSemula versi Le Familia

Assalamualaikum.

Selamat malam.


Sudah dengar lagu #BaikSemula? 

Kalau belum, bolehlah mendengarnya. Lagu yang menyuntik semangat di kala kita berperang dengan wabak Covid 19.

Lagu Faizal Tahir tak pernah mengecewakan. Lagu beliau tak pernah yang tak best. Minggu ini sudah berulang kali saya mendengarnya. Lagu ini betul-betul memberi semangat. Meskipun rancak tetapi ada mesej yang disampaikan kepada kita.

Terbaca ada cabaran untuk lagu ini. Kongsikan #BaikSemula versi sendiri. Memandangkan suka bila ada cabaran-cabaran macam ni, saya dan anak-anak buah serta adik pun gigihlah merekod video untuk buat #BaikSemulaCover sebagai tanda sokongan kami.

Jemput menontonnya dan semoga terhibur. Semoga kita akan kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Sesungguhnya rindu zaman tidak perlu SOP, tidak perlu memakai pelitup muka dan semua perkara dulu dirindui.

Rindu nak berkumpul dan buat makan-makan kat rumah namun apakan daya. Semoga kita semua selamat dan terhindar daripada wabak berkenaan. 



Saturday, January 23, 2021

4/2021 : Persepsi Manusia

Assalamualaikum.

Kita ni ada masa terlampau memikirkan persepsi orang terhadap diri kita. Apabila terlampau memikirkan persepsi orang, kita akan menitikberatkan setiap yang mahu dilakukan perlulah sempurna di mata orang lain.

Kita 'try hard' untuk lakukan dengan sempurna.
Kita mahu dihargai orang.
Kita mencabar diri.
Kita anggap kita mampu melakukannya meskipun di luar kemampuan.

Namun, apabila tidak menjadi seperti yang kita harapkan kita pasti kecewa. Hujung-hujung bertahanlah untuk menerima kecaman. Apabila situasi itu berlaku kita akan berada dalam keadaan yang tertekan kerana kecaman dan ketidaksempurnaan.

Kerja yang kita lakukan pada awalnya dengan ikhlas akan bertukar menjadi tidak ikhlas apabila kita tidak mendapat penghargaan daripada orang lain.


Hakikatnya, manusia memang suka bersangka-sangka. Kerana sikap bersangka-sangka itulah yang menjadikan hati kita tidak tenang. Kita selalu meletakkan dalam situasi terlampau memikirkan cakap-cakap orang. Orang cakap belakang kita, orang kutuk kita, orang kecam kita.

Semuanya dalam kepala.
Semuanya mahu difikirkan.

Endingnya, kau yang serabut.

Manusia, biasalah. Suka menuding jari pada orang lain. Hakikatnya, dia tidak perasan yang empat jari ke arahnya. Apabila salah orang, cepat sahaja menjatuhkan hukum. Apabila salah sendiri tidak mahu pula dinilaikan.

Sumber : Google

Mengutuk

Dalam kehidupan ini, memang kita tidak lari dari dikutuk dan juga mengutuk. Kita kena ingat, kita mengutuk orang, apa kita fikir orang tak kutuk kita?

Belum lagi part, yang A kutuk C dengan B tapi dengan C kau kutuk B pula. Perangai sangat! Dalam kehidupan seharian, kita pasti berjumpa dengan orang-orang sebegini. Tak payah pergi jauh. Dalam suasana pejabat pun ada yang sebegini.

Kau jumpa orang ni kau kata orang tu buat kerja tak bagus. Lepas tu kau jumpa orang tu kau cakap orang ni pula kerja tak bagus. Habis tu, kerja kau bagus?

Kadang-kadang orang macam ni kita perhatikan saja. Jauh mana dia boleh pergi. Orang yang mendengki ni tak pergi mana pun. Hujung-hujung dia yang terkontang-kanting.

Orang macam ni dia lebih pentingkan diri sendiri. Percayalah, dia seorang yang sangat berkira kerja sebenarnya. Tapi part orang tak hulur bantuan pasal kerja dia akan cepat melatah cakap orang tak bantu dia. Walhal dia tak tahu orang 'struggle' tanpa bantuan dia. Dan orang macam ni dia hanya fikir untuk diri dia saja. Dia akan play safe saja dalam hidup. Orang macam ni kalau jadi ketua dia takkan 'backup' anak-anak buah dia. Janji diri dia selamat dulu. Dunia ini bulat. Sekarang, kau play safe untuk selamatkan diri sendiri dan ingatlah satu hari nanti zaman play safe ini akan memainkan kehidupan tanpa kau sedar. 

Konsepnya, hari ini kita buat orang, esok lusa kalau tidak kena pada kita kena pada anak-cucu kita. Jadi, berwaspadalah. Hidup di dunia ini hanya sementara. Kita semua di dewan peperiksaan yang sedang mengumpul markah untuk ke sana. Jika kita memudahkan urusan orang, Allah akan memudahkan urusan kita.

Salam pena,
Fyda Adim

3/2021 : Rezeki Bukan Pada Duit

 Assalamualaikum.


Rezeki datangnya dalam pelbagai bentuk. Rezeki itu bukan hanya pada duit atau harta semata-mata. Konsep rezeki ini sangat meluas sebenarnya.

Terkadang kita terlupa yang kita mempunyai rezeki yang lain selain duit yang berkepuk-kepuk.

Bahagia itu rezeki.
Kesihatan tubuh badan itu rezeki.
Berkeluarga itu rezeki.
Disayangi dan dicintai itu rezeki.
Memperoleh ketenangan itu rezeki.
Banyak masa lapang juga rezeki.
Mempunyai kawan-kawan dan masyarakat sekeliling yang baik pun dikira rezeki.
Mempunyai bos yang baik juga satu rezeki.
Tidak tertekan dengan kerja pun satu rezeki.

Semua itu dikirakan rezeki buat kita. Jadi usah pertikaikan rezeki orang lain. Ada orang lebih di suatu sudut lain, mungkin kurang di suatu sudut yang lain. Begitulah sebaliknya.

Kelmarin, seorang sahabat berkongsi di Whatsapp tentang seorang wanita yang di dakwa mencuri di sebuah pasar raya.

Saya membalas, "Kasihankan. Susah kita ada yang lebih susah sebenarnya."

Dia membalas, "Betul...Secara jujurnya, masa den tengok tu, terus hati den tanya...mana pergi laki dia?"

Begitulah. Jika kita anggap diri kita susah, sebenarnya ada orang lain yang lebih susah. Kita sepatutnya bersyukur dengan kehidupan yang kita nikmati. Sentiasa bersyukur dengan setiap kelebihan mahu pun kekurangan.

Jika tidak boleh membantu, usah menambah beban. Jika tidak mahu membantu, usah pandai mengkritik. Jika tidak boleh berkata sesuatu yang baik, lebih baik berdiam sahaja.

Selamat berhujung minggu!
.
Salam pena,
Fyda Adim
- Hidup ini hanya sementara, sampai masa kita akan pulang.

Friday, January 22, 2021

2/2021 : Bahagia Cara Kita

 Assalamualaikum.


Bahagia itu ada bermacam-macam persepsi. Bahagia cara kita. Bahagia itu pilihan hati. Kita sendiri yang membentuknya. Jadi, usah pertikaikan cara hidup orang lain. Manusia suka menilai dari sudut pandang luaran. Cepat menjatuhkan hukum tentang kehidupan orang.

Ada orang suka berbasikal.
Ada orang suka jalan-jalan cari makan.
Ada orang suka masak-masak.
Ada orang suka buat video.
Ada orang suka panjat bukit.

Pilihan di tangan masing-masing. Asalkan tidak menganggu kehidupan orang lain sudahlah.

Adakalanya setiap perkongsian dapat memberi sumber inspirasi pada orang lain. Boleh juga menjadi terapi pada orang lain. Sebab bukan semua orang mampu melakukannya.

Namun janganlah bersifat dengki dan busuk hati. Kita tidak boleh bekerjasama dengan seseorang, tidak berkenan dengan seseorang, kita cuba mencari jalan untuk menjatuhkan demi kepentingan diri sendiri. Bak kata orang melepaskan tengkuk sendiri! 'Try hard' untuk menunjukkan semua orang tak betul. 

Salam pena,
Fyda Adim

Thursday, January 21, 2021

1/2021 : Lagu dan Idea

Assalamualaikum.

           

Lagu dan idea kalau kena masanya boleh bergabung dan mendatangkan satu cerita yang lengkap. Ada masanya boleh sampai bertemu dengan perkataan 'TAMAT'. Saya memang menulis suka mendengar lagu. Ada sebuah cerpen saya berjudul Separuh Mati Kubercinta terhasil daripada lagu Dayang Nurfaizah.

Saya menulis cerpen tersebut sambil mendengar lagu Dayang dan tajuk cerpen itu saya letak tajuk yang sama. Tak tahu bagaimana mahu dijelaskan. Lagu itu seperti ada auranya sendiri. Saya menulis cerpen itu sangat lancar tanpa sebarang plot.

Begitulah kisah lagu dan idea. Ada sesiapa yang sudah membaca cerpen tersebut? Kisah seorang lelaki yang mendapat hukuman akibat perbuatannya. Hukuman paling bermakna daripada tuhan dan saya terasa ingin memanjangkan cerpen tersebut menjadi sebuah novel.

Semoga impian saya tercapai. Harapnyalah sebab saya sedang pulun mahu menghabiskan manuskrip UKBC yang sudah hampir ke klimaks tapi masih belum ketemu perkataan keramat bagi seorang penulis.

TAMAT.

Itulah perkataannya. Doakan ya!

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, January 18, 2021

2021: Apakah Yang Bakal Dihadapi?

Assalamualaikum.

Selamat malam semua!

Entri pertama untuk tahun ini setelah sekian lama saya mencari momentum untuk menulis di sini. Sibuk menyiapkan manuskrip yang berbulan saya cuba mencari kata 'TAMAT' namun sehingga kini masih belum ditemui. Manuskrip kali ini agak sukar dan mencabar kerana saya menggunakan POV3. Saya kena masuk ke dalam semua watak yang ada dalam manuskrip tersebut.


Tajuk?

Tajuk manuskrip nantilah saya khabarkan apabila sudah siap. Semoga manuskrip UKBC dapat disiapkan tahun ini juga. Doakan saya ya kawan-kawan semoga saya dipermudahkan urusan dan dikurniakan idea untuk terus menulis.


Insan Kau Cinta

Novel pertama saya yang diterbitkan oleh Fajar Pakeer. Bulan Februari ini genaplah setahun usianya di pasaran. Satu kejayaan yang saya kecapi untuk diri sendiri. Saya menghabiskan manuskrip itu setelah beberpa orang sahabat mencabar saya untuk menyiapkannya. Saya berjaya lakukan!



Diari

Diari tetap diteruskan setiap tahun. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini sahaja rajin buat diari atau planner sendiri. Nak conteng ke, nak melukis ke, nak mencatat ke ikut sukalah. Selalunya kalau masuk ke kedai buku atau mana-mana kedai kalau terjumpa buku-buku nota mestilah membelinya. Memang sejenis perangai suka simpan buku nota yang cantik-cantik atau yang berkenan di hati. Sudahnya sepenuh-penuhlah dalam rak.

Begitulah. Saya akan tetap menulis di mana sahaja. Di buku, di blog, di telefon, di laman muka buku dan juga di Instagram. Selagi saya boleh menulis saya akan teruskan menulis. Menulis itu dikira sebagai terapi jiwa.


Tahun 2020

Tahun 2020 banyak juga meninggalkan kesan pada saya. Dalam pada kita mengharap kegemilangan tahun 2020; dulu sering diceritakan fasal kereta terbang, Wawasan 2020, namun tahun 2020 dilalui dengan betapa suramnya kita. 

Perlu berkurung.
Norma baharu.
Jaga jarak.
Tiada acara.
Kerja dari rumah.

Antara yang saya hadapi sepanjang tahun 2020. Paling memberi kesan dan tidak pernah pun terlintas kiranya dalam diri.


Aidilfitri di perantauan

Raya di perantauan. Ini memang tidak pernah terlintas langsung. Secara langsung saya menjadi #teamtakbolehrentasnegeri #teamtakbalikraya waktu itu. Menangislah di tepi tingkap nako sewaktu takbir berkumandang malam raya. Tidak boleh dilupakan bagaimana perasaan saya ketika itu. Waktu itu rasa rindu, sebak, tidak gembira semua bersatu dan membelenggu diri.


Naik Pangkat

Naik pangkat atau dalam erti kata lain dapat jawatan hakiki. Tak ada beza pun dengan gred yang dulu. Saya sudah pun naik gred tapi waktu itu cuma gred time-based berdasarkan kecemerlangan. Memandangkan waktu itu ada kekosongan gred hakiki saya mencuba isi permohonan setelah mendapat kata nasihat orang keliling. Teringat pesanan CC saya di JKM, "Terima aje. Sama aje kerjanya. Kita tetap kerja kakak kerani."

Ya, saya terima untuk mencari pengalaman walaupun seram-seram; takut ada, risau pun ada sebab sudah tahu akan buat kewangan namun saya cuba tepis perasaan itu. Sampai bilakan saya nak duduk di takuk lama?


Begitulah serba-sedikit rentetan entri ini. Sekadar melepaskan rindu untuk menulis. Saya sedang mencari momentum menulis manuskrip yang tertunda itu. Harapnya dengan membaca Surat Bersampul Perang karya Noor Suraya dapat memberi ilham pada saya.

Sehingga berjumpa lagi.

Salam pena,
Fyda Adim