Monday, January 18, 2021

2021: Apakah Yang Bakal Dihadapi?

Assalamualaikum.

Selamat malam semua!

Entri pertama untuk tahun ini setelah sekian lama saya mencari momentum untuk menulis di sini. Sibuk menyiapkan manuskrip yang berbulan saya cuba mencari kata 'TAMAT' namun sehingga kini masih belum ditemui. Manuskrip kali ini agak sukar dan mencabar kerana saya menggunakan POV3. Saya kena masuk ke dalam semua watak yang ada dalam manuskrip tersebut.


Tajuk?

Tajuk manuskrip nantilah saya khabarkan apabila sudah siap. Semoga manuskrip UKBC dapat disiapkan tahun ini juga. Doakan saya ya kawan-kawan semoga saya dipermudahkan urusan dan dikurniakan idea untuk terus menulis.


Insan Kau Cinta

Novel pertama saya yang diterbitkan oleh Fajar Pakeer. Bulan Februari ini genaplah setahun usianya di pasaran. Satu kejayaan yang saya kecapi untuk diri sendiri. Saya menghabiskan manuskrip itu setelah beberpa orang sahabat mencabar saya untuk menyiapkannya. Saya berjaya lakukan!



Diari

Diari tetap diteruskan setiap tahun. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini sahaja rajin buat diari atau planner sendiri. Nak conteng ke, nak melukis ke, nak mencatat ke ikut sukalah. Selalunya kalau masuk ke kedai buku atau mana-mana kedai kalau terjumpa buku-buku nota mestilah membelinya. Memang sejenis perangai suka simpan buku nota yang cantik-cantik atau yang berkenan di hati. Sudahnya sepenuh-penuhlah dalam rak.

Begitulah. Saya akan tetap menulis di mana sahaja. Di buku, di blog, di telefon, di laman muka buku dan juga di Instagram. Selagi saya boleh menulis saya akan teruskan menulis. Menulis itu dikira sebagai terapi jiwa.


Tahun 2020

Tahun 2020 banyak juga meninggalkan kesan pada saya. Dalam pada kita mengharap kegemilangan tahun 2020; dulu sering diceritakan fasal kereta terbang, Wawasan 2020, namun tahun 2020 dilalui dengan betapa suramnya kita. 

Perlu berkurung.
Norma baharu.
Jaga jarak.
Tiada acara.
Kerja dari rumah.

Antara yang saya hadapi sepanjang tahun 2020. Paling memberi kesan dan tidak pernah pun terlintas kiranya dalam diri.


Aidilfitri di perantauan

Raya di perantauan. Ini memang tidak pernah terlintas langsung. Secara langsung saya menjadi #teamtakbolehrentasnegeri #teamtakbalikraya waktu itu. Menangislah di tepi tingkap nako sewaktu takbir berkumandang malam raya. Tidak boleh dilupakan bagaimana perasaan saya ketika itu. Waktu itu rasa rindu, sebak, tidak gembira semua bersatu dan membelenggu diri.


Naik Pangkat

Naik pangkat atau dalam erti kata lain dapat jawatan hakiki. Tak ada beza pun dengan gred yang dulu. Saya sudah pun naik gred tapi waktu itu cuma gred time-based berdasarkan kecemerlangan. Memandangkan waktu itu ada kekosongan gred hakiki saya mencuba isi permohonan setelah mendapat kata nasihat orang keliling. Teringat pesanan CC saya di JKM, "Terima aje. Sama aje kerjanya. Kita tetap kerja kakak kerani."

Ya, saya terima untuk mencari pengalaman walaupun seram-seram; takut ada, risau pun ada sebab sudah tahu akan buat kewangan namun saya cuba tepis perasaan itu. Sampai bilakan saya nak duduk di takuk lama?


Begitulah serba-sedikit rentetan entri ini. Sekadar melepaskan rindu untuk menulis. Saya sedang mencari momentum menulis manuskrip yang tertunda itu. Harapnya dengan membaca Surat Bersampul Perang karya Noor Suraya dapat memberi ilham pada saya.

Sehingga berjumpa lagi.

Salam pena,
Fyda Adim

1 comment:

as samsudin said...

Semoga 2021 lebih memberikan kecemerlangan....