Monday, February 22, 2021

6/2021 : Koleksi Buku Baharu

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Saya ke sini untuk bercerita tentang buku. Buku terbaharu yang dibeli mahu pun yang diberi dan dihadiahkan oleh kenalan. Buku yang menjadi terapi buat diri. Kata seseorang teman, dengan membaca buku adalah terapi paling ampuh untuk mendidik jiwa.

Ya.

Saya paling suka apabila melihat buku-buku. Lebih-lebih lagi kalau nampak buku-buku yang tersusun kemas di rak. Lebih-lebih lagi kalau saya memasuki ke kedai buku. Memang mengambil masa yang lama untuk keluar. Mahu keluar dengan membawa beg plastik.

Saya sedang dalam misi mengumpul buku-buku Hamka. Tertarik dengan perkongsian resensi buku yang dikongsikan kawan-kawan bookstagram dan di Youtube. 

Ya.

Saya suka menonton video-video ulasan buku atau membaca ulasan buku di mana-mana medium media sosial. Ada di Youtube, ada di Instagram, ada juga di laman muka buku. Bagi saya, membaca ulasan pun sudah cukup membuatkan kita tertarik untuk mendapatkan buku tersebut sendirinya.

Beli dulu. Bacanya kemudian. Begitulah konsepnya. Hahaha. Janji sudah ada koleksi dalam simpanan. Menang membeli, kalah membaca. Hahaha. Baik beli daripada menyesal tak beli. Begitulah konsepnya.

Mari tengok buku Hamka bertajuk apa yang saya beli. Saya beli di Shopee. Zaman sekarang semuanya mudah. Semuanya di hujung jari.

Terusir. Ada seorang kawan alam maya yang menyuruh saya membaca buku ini terlebih dahulu untuk yang belum pernah baca buku Hamka.

Kemudian saya membeli buku Hamka berjudul Si Sabariah. Akan diteruskan lagi misi mengumpul karya-karya Hamka.

Ini pula buku-buku pemberian bos tempat lama saya. Buku-buku yang diberi sesuai untuk anak-anak. Alhamdulillah. Paling suka sebab terselit karya Noor Suraya.

Ini pula pemberian daripada seorang sahabat di alam maya. Seorang sahabat penulis juga yang bertegur sapa di dalam media sosial. Pernah menulis sama-sama dalam Antologi Cerpen Kelip-kelip Kusangka Api. Terima kasih sahabat! Teringat kata-katanya, perkenalan ini sangat unik!

Ya, sungguh unik. Adakalanya kita boleh menjadi begitu serasi dengan seseorang meskipun tidak pernah bersua. Adakalanya kita boleh menjadi begitu janggal dengan seseorang meskipun dia depan mata kita.

Apa-apa pun hargailah setiap yang hadir dalam hidup kita. Keikhlasan dalam sesuatu perhubungan juga penting. Dari keikhlasan itu yang mewujudkan keserasian. Semoga persahabatan yang terjalin akan berkekalan hingga ke jannah.

Salam pena,
Fyda Adim


Sunday, February 7, 2021

1/21 | Ulasan Novel : Surat Bersampul Perang

 Assalamualaikum.


Surat Bersampul Perang karya Noor Suraya

Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM28.00/RM31.00
Jumlah Halaman : 472 muka surat

Karya Noor Suraya tidak pernah mengecewakan. Saya mula mengenali Noor Suraya apabila meminjam novel seorang teman. Bermula dengan novel Surat Ungu untuk Nuha, saya mula tertarik dengan gaya penulisan Noor Suraya.

Sebelum-sebelum ini, saya sudah membaca beberapa buah novel Noor Suraya dan sepanjang novel-novel yang saya baca, ceritanya tetap sampai ke lubuk hati. Surat Bersampul Perang ini sekali lagi membuatkan saya tertanya-tanya apa pengakhiran kisah Farhana.

Surat Bersampul Perang mengisahkan Farhana yang pernah melakukan kesilapan pada zaman mudanya dan kemudian dia membawa dirinya ke negara Robin Hood. Rupanya dia ke sana bukan seorang diri tetapi dia membawa janin di dalam rahimnya tanpa dia sedar. Bukan satu tetapi dua!

Memandangkan dia hamil, talak yang diucapkan Masri lelaki yang bergelar suami dan lelaki yang dicintai tidak jatuh sehinggalah dia melahirkan. Farhana cuba memberitahu pada Masri dengan mengutuskan surat namun surat itu tidak dibaca oleh Masri.

Setelah lapan tahun, Farhana pulang ke Malaysia bersama dua orang anak kembarnya iaitu Zaynn dan Zetti kerana Farhana mahu memperkenalkan anak-anaknya kepada ayah kandung mereka. Belum sempat Farhana mengatur misinya, Masri terlebih dulu menjumpai Farhana dalam satu seminar.

Masri kembali tidak keruan. Dia seperti gila bayang sejak menjumpai Farhana. Suhaila isterinya sudah tidak diendahkan malah sesekali dia seakan membuat perbandingan antara Farhana dan Suhaila. Suhaila adalah pilihan ibunya. Masri menyatakan Suhaila hanyalah sekadar tanggungjawab bukan wanita yang dicintai seperti dia mencintai Farhana.

Konflik timbul apabila Masri mahu merujuk kembali dengan Farhana. Kemunculan Imran dan Ilham dua beradik yang menyukai Farhana membuatkan kita tertanya-tanya siapakah pilihan Farhana. Kemudian penyakit kritikal Farhana kembali menyerang.

Ya, Farhana pernah sakit sewaktu dia di luar negara dan penyakitnya kembali menyerang. Saya tak terfikir pun yang Farhana mempunyai sakit yang setiap wanita takut akannya. Sewaktu mengetahui tentang sakit Farhana, saya terhenti seketika pembacaannya kerana dua tiga hari yang lepas saya mendapat khabar daripada seorang teman sekerja suatu ketika dulu yang dia diagnosis barah payudara tahap 1. Termenung saya sejenak lantas teringatkan kepada teman saya.

Sesiapa yang pernah membaca karya-karya Noor Suraya pasti mengetahui akan gaya penulisan Noor Suraya yang berbunga-bunga. Gaya bahasa yang menarik. Lenggoknya membuatkan kita terbuai dengan penceritaannya dan semestinya Noor Suraya suka berpantun.

Banyak orang mengetam pulut,
     Hamba seorang mengetam padi,
Banyak orang karam di laut,
     Hamba seorang karam di hati.

Itulah salah satu pantun yang terselit dalam Surat Bersampul Perang. Saya sangat suka dan cerita ini bukanlah sesuatu cerita yang biasa-biasa kerana dalam cerita ini banyak mengajar kita tentang sesuatu perhubungan yang memerlukan restu ibu dan ayah. Dalam novel ini ada juga pengajaran tentang hak hadanah. 

Novel ini banyak pengajarannya yang membuatkan kita membuka mata. Sebuah pengorbanan antara adik-beradik yang melibatkan Imran dan Ilham kerana salah seorangnya mengalah demi merealisasikan impian saudaranya.

Jika hendak tahu bagaimana pengakhiran kisah Farhana, saya cadangkan untuk membacanya kerana naskhah ini bagus untuk bacaan santai. Kisahnya tidaklah terlalu berat dan saya terasa sangat geram dan marah apabila Masri menuntut hak penjagaan anak-anaknya namun diakhirnya Masri mengalah dengan sendirinya. Sebab apa?

Bolehlah membacanya. Apa-apa pun tahniah Noor Suraya!