Wednesday, April 2, 2014

Sajak : Kerana Terluka

Teks : Fyda Adim
Foto : Carian Google

KERANA TERLUKA

Duhai hati...

Sekali terluka memberi rasa-rasa berbisa
Saat itu diri dihimpit duka dan lara
Bukan mudah merawat setelah terluka
Dalam air mata yang meluruh hati berdoa

Berdoa selagi diri terdaya
Agar diri tidak diselubungi pelbagai rasa
Demi sekeping hati yang tidak mudah diselami 
manusia
Hanya rintihan doa menjadi peneman jiwa

Duhai hati...

Saat diri mahu menyembah bumi
Diri tidak mampu menanggung segala
Diadu merintih penuh syahdu padaNya
Demi mengubati hati yang sedang terluka

Duhai hati...

Jangan dikenang peristiwa lama
Yang tidak akan mengubah apa-apa
Jika redha pengubat segala rasa
Pasti tenang merentas peristiwa yang tidak terduga...



Sajak: Sebuah Harapan

Teks : Fyda Adim
Foto : Carian Google

Di saat diri ini kosong
Tercari-cari akan sesuatu
Yang masih belum digapai
Pasti jiwa meronta-ronta

Usah berpaling ke belakang
Terus mara ke hadapan
Dalam mencapai sebuah harapan
Azam pasti sentiasa tersemat

Biarlah mereka berkata-kata
Anggap sebagai pembakar semangat
Meneruskan perjuangan diri
Demi meraih impian

Gagal bukan melemahkan diri
Putus asa bukan ubatnya
Usaha adalah penawar sebenar
Demi sebuah impian diri
Agar ia dalam genggaman

Tuesday, April 1, 2014

Salam Perkenalan

Teks :Fyda Adim
Foto : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Entri pertama ini akan diperkenalkan serba sedikit mengenai kewujudan blog ini.   Blog ini akan menjadi perantara untuk saya belajar menghasilkan penulisan yang diilhamkan sendiri hasil daripada imaginasi saya.  Walaupun masih lagi berdingkit-dingkit dalam dunia penulisan, akan tetap diteruskan juga jika ada waktu senggang saya.


Minat dalam penulisan sejak di bangku sekolah cuma tidak diperluaskan lagi kerana waktu itu diri ini tidak didedahkan dengan dunia luar.  Cuma menulis pada sebuah diari waktu itu.  Kemudian tahun 2009 saya mula berjinak-jinak dengan dunia blog ke hari ini.  Suami yang menjadi pendorong utama saya dalam dunia blogger ini.  Akhirnya jatuh cinta dengan penulisan sehinggalah saya bertemu dengan seorang sahabat yang jauh usianya dengan saya.  Walaupun perbezaan usia tujuh tahun, tapi kami boleh berkongsi minat yang sama.  Biarlah orang hendak berkata janji kami tidak kacau sesiapa.  Hanya memenuhi apa yang kami minat. 

Maka hari ini wujudlah blog ini.  Nama blog yang tercetus gabungan nama saya sendiri serta anak-anak yang menjadi kekuatan diri dan mengajar saya lebih matang.  Amryana iaitu Ammar dan Adriana.  Harta saya dunia akhirat.

Moga saya peroleh apa yang diimpikan selama ini.  Diri ini hanyalah insan biasa.  Perlukan dorongan daripada semua.  Jika ada teguran dan penambahbaikan dalam penulisan saya, bolehlah tinggalkan komen.  Saya amat alu-alukan untuk memperbaiki diri tetapi biarlah menjaga bahasa supaya saya tidak tersentap atau apa juga perasaaan yang akan dirasai ketika membaca komen yang diberikan.  Kerana saya adalah manusia biasa...

Itu sahaja entri pertama.  Pada sesiapa yang singgah di sini sudi-sudilah membaca atau menjenguk garapan daripada saya.  Ingat saya hanya penulis biasa-biasa sahaja.

Sekian...



Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »