Friday, March 27, 2020

Insan Kau Cinta - Respon Pembaca

Assalamualaikum.

Selamat malam semua.

Baru berkesempatan mahu menulis di sini. Sibuk dengan urusan mempromosikan novel dan juga penjualan novel. Urusan pengeposan yang membuat pembelian dengan saya sudah dipos semuanya. Untuk penghantaran sekitar Melaka sudah selamat diedarkan juga.

Terima kasih buat semua yang sudi membeli novel saya berjudul Insan Kau Cinta sama ada beli daripada saya atau beli dengan team Fajar Pakeer.

Dan terima kasih juga pada yang sudi bagi respon dan review tentang novel tersebut. Segala kekurangan dalam Insan Kau Cinta harap dimaafkan. Akan saya perbaikinya lagi pada novel akan datang.

Terima kasih atas kata-kata semangat untuk novel seterusnya.






Terima kasih buat semua yang menghadamkan kisah Azalea Husna dan Muaz Saifullah. Semoga ada manfaat yang diperolehi daripada Insan Kau Cinta.

Salam pena,
Fyda Adim


Saturday, March 21, 2020

Bab 5: Insan Kau Cinta



BAB 5


“Apa? Kau bagi jugak!” Suara Wahida memecah hening malam itu. Setelah diasak dan dipaksa untuk membuat pengakuan, akhirnya aku terpaksa mengaku. Wahida seolah-olah dapat menghidu tindak-tandukku bila petang tadi aku tidak pulang sekali bersamanya.
“Ida, kau tak payahlah jerit macam tu. Aku belum pekak lagilah,” ujarku sambil menyenget-yengetkan mulut mengejek cara dia bercakap.
“Tak payah buat mulut macam tu. Senget betul baru tau.” Gertak Wahida selamba.
“Kau tak baik tau doakan aku macam tu.” Aku campak bantal ke arah mukanya.
“Habis tu kau baiklah buat macam tu. Aku bagi kau nasihat kau boleh pulak ejek-ejek kawan baik kau ni.”
“Aku kesianlah dengan dia. Kalau kau kat tempat aku, mesti kau akan buat macam aku buat sekarang ni.”
“Setakat ni, Dino tak pernah lagi nak pinjam duit aku.”
“Aku cakap kalau kan.” Lirihku cuba mempertahankan lelaki bernama Daniel itu.
Seharian nama Daniel disebut-sebut. Entah tersedak atau tidak si Daniel itu. Daniel sana, Daniel sini.
“Aku pasti kalau kau kat tempat aku pun kau pasti buat perkara yang sama.”
“Aku tahu kau kesiankan dia. Alasan kau satu kampung dengan dia tapi Lea, ini bukan sekali dua dia pinjam. Yang dulu dia dah bayar belum?” Bersahaja soalan Wahida dilontarkan. Gaya sudah serupa polis menyoal siasat.
Aku menggeleng sahaja. Bagaikan seorang pesalah.
“Bila dia janji nak bayar?”
Aku sekadar menjungkitkan bahu. Manakala Wahida membuntangkan matanya. Dia sudah mengigit-gigit bibirnya.
“Kau ni ambil mudah aje kan, Lea.” Wahida menyandar di hujung katil. Aku sekadar melepaskan sebuah keluhan kecil.
“Dia pinjam sikit je pun. Tak apalah. Nanti dia bayarlah,” kataku sekadar berbasa-basi. Menyedapkan hati sendiri sebenarnya.
“Hah, yelah. Kau cakap sikit. Dulu pinjam seratus, lepas tu up sikit jadi tiga ratus, yang ini lima ratus pulak. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.” Bebel Wahida serupa mak aku di kampung.
Aku hanya mampu menadah telinga. “Ida, kau bebel dah macam mak aku kat kampung.”
“Mahu tak bebel. Geram. Ini kalau mak kau tahu mesti dia bebel jugak.” Wahida menyambung kata.
“Mak aku kalau fasal dia tak berapa nak bebel sebab anak kawan baik dia,” jelasku.
“Tak kisahlah dia anak kawan baik mak kau sekali pun. Jangan dibagi muka. Lea, dia tu lelaki. Dah kerja pulak tu. Patutnya kalau dia tu sungguh sayangkan kau, dia tak ada susahkan kau macam ni.” Sambung Wahida lagi bersungguh-sungguh.
Aku hanya membisu. Tidak tahu apa yang sepatutnya diperkatakan. Nak melawan ada betul juga cakap Wahida. Tanpa sedar, aku lepaskan keluhan.
Suasana hening seketika.
“Hujung minggu ni aku nak balik kampung. Nenek aku buat kenduri nak pergi haji. Kau nak ikut tak?” Pelawa Wahida. Aku melemparkan pandang padanya. Dalam kepala memikirkan sama ada mahu menerima pelawaan Wahida atau pun tidak.
“Jomlah ikut aku. Kau belum pernah ikut aku balik kampung aku kan.” Pujuk Wahida bersungguh-sungguh. Riak wajahnya mempamerkan penuh pengharapan.
“Alah, seganlah. Rumah kau ada siapa lagi?” Soal aku ragu-ragu dan cuba menyusun ayat. Risau juga sahabatnya itu berkecil hati.
“Kau tak payah sangat nak beralasan. Kau tidurlah rumah aku. Mana ada siapa. Mak ayah aku dengan adik-adik aku ajelah. Kenduri buat kat rumah maklong aku. Nenek aku kan tinggal dengan maklong aku.”
Aku masih mendiamkan diri. Belum memberi kata putus.
“Aku tak kira kau ikut juga.” Asak Wahida. Aku sudah tergelak kecil walau hatiku sedang galau. Duit di tangan cukup-cukup untuk perbelanjaan harianku. Jika aku ikut Wahida mestilah mahu guna duit lagi.
“Berapa kos untuk balik kampung nanti?” Aku terus sahaja menyoal supaya aku senang buat kira-kira.
“Kenapa, Lea? Kau tak ada duit ke?”
“Eh, tidaklah.” Cepat-cepat aku menafikannya.
“Cuba cerita. Dengan aku pun kau nak berahsia.”
“Kampung kau apa yang best?” soalku cuba menukar topik perbualan.
“Kampung aku ada sawah yang terbentang luas, ada sungai yang jernih airnya, ada jambatan gantung. Mesti kau suka.” Bersungguh-sungguh Wahida bercerita sambil mendepangkan tangannya bagai orang berpidato.
“Ermm...” Aku berkira-kira memberi jawapan pada Wahida.
“Dah tak payah nak fikir sangat. Kau ikut aku jugak. Nanti jangan sampai kau jatuh cinta dengan kampung Selama. Silap haribulan kau jatuh cinta dengan orang Selama baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah.” Bidas Wahida panjang lebar.
“Hamboi, bukan main bercakap.” Kataku disambut dengan gelak kecil Wahida. Aku pun turut sama tergelak.
“Yelah, manalah tahu. Kita bukan tahu jodoh kita. Kau bercinta bagai nak rak dengan mamat tak guna tu sekali kau kahwin dengan orang lain.”
“Ish...” Aku menghadiahkan satu cubitan di lengan Wahida.
“Sakitlah...” Jeritnya.
“Mulut tu laser sangat siapa suruh. Patut kau doakan yang baik-baik untuk aku. Ini tidak.”
“Lea, aku ni dah boleh nampak mamat tak guna tu memang tak sesuai. Kau tak boleh hadam ke apa aku sampai kat kau ni Lea.” Wahida menggeleng-geleng kepalanya.
Aku sekadar menundukkan pandangan. Fikiran menerawang.
Inikah yang dikatakan cinta?
Cinta yang boleh membutakan mata dan juga hati.
Entahlah.


Usai bersembang, Wahida turun ke bawah untuk menonton televisyen. Aku pula berbaring di katil sambil membelek buku nota. Malas mahu menyertai mereka di bawah menonton drama Korea. Tiba-tiba aku teringatkan emak lalu terus sahaja aku mencapai telefon bimbit di atas meja. Satu-persatu nombor ditekan. Selesai mendail aku tekapkan telefon di telinga. Beberapa saat nada dering berbunyi sebelum panggilan bersambung. Suara lembut wanita kedengaran memberi salam di hujung talian. Lantas aku menjawab salam tersebut.
“Mak buat apa?” soalku.
“Lea rupanya. Mak ingatkan siapalah yang telefon malam-malam macam ni,” ujar mak bersahaja.
“Mak dah tidur ke?”
“Belum lagi. Teman Fiqah ni sambil siapkan baju orang ni. Kenapa Lea?” soal emak lembut.
“Tak ada apalah mak. Saja telefon mak. Rindu...”
Mak tergelak bahagia di hujung talian. Sepuluh minit perbualan berlangsung dengan mak. Aku cerita fasal kehidupan di Politeknik, emak pula cerita fasal kampung dan tempahan baju kurung.
“Oh ya, mak Lea nak minta izin dengan mak ni. Hujung minggu ni Lea ikut Wahida balik kampungnya. Nenek Wahida ada buat kenduri nak pergi haji. Boleh ye, mak?”
“Oh, pergilah tapi pandai-pandai jaga diri kat tempat orang. Rumah Wahida ada lelaki ke?” Mak bertanya.
“Ada. Dia ada sorang adik lelaki aje.”
 “Jaga aurat tu. Pergi tempat orang tu jangan malas-malas. Bangun pagi. Tolong apa yang patut.” Pesan mak panjang lebar.
“Baiklah, Puan Hamimah. Saya yang menurut perintah.”
Sebaik menamatkan perbualan, talian pun dimatikan. Aku kembali berbaring di atas katil. Siling dipandang kosong. Kipas yang berputar seakan tidak berfungsi. Tidak memberi rasa. Malam itu hanya kedengaran keriut putaran kipas menghiasi hening malm.
‘Malam ini sungguh bahang. Nak hujan agaknya.’ Omelku sendiri.
Sedang aku melayan perasaan sendiri, telefon bimbit di tepi bantal berdering nyaring. Lantas aku bangkit dari pembaringan. Telefon bimbit dicapai. Sekali lagi aku mengeluh sendiri sebaik melihat nama yang tertera di skrin.
‘Aduh, nak apa lagi agaknya.” Keluhku sendiri di dalam hati sebelum butang jawab ditekan.
Entahlah, sejak akhir-akhir ini aku bertambah kusut dengan panggilan yang satu ini. Dia tersangatlah merimaskan aku. Sudahlah semester akhir dengan bermacam-macam projek yang mahu disiapkan.
“Hello, Lea.” Suara Daniel kedengaran di hujung talian sebaik aku melekapkan telefon bimbit pada telinga.
Aku memberi salam lantas dia menjawab salamku dengan gelak kecil di hujungnya.
‘Telefon orang tak reti bagi salam.’ Rungutku sendiri.
“Ada apa?” Aku terus sahaja menyoal tanpa mukadimah.
“ Saje call Lea. Lea tak suka ke Daniel telefon?”
“Bukanlah, Lea banyak kerja nak buat Daniel.” Dalihku.
“Lea, Daniel nak minta tolong lagi.”
“Apa lagi Daniel?”
“Saya nak minta awak tambahkan lagi 200 aje. Tak cukuplah Lea. Sparepart motor tu mahal sangat.”  
Aku mengeluh.
“Awak tahu tak saya ni dah semester akhir Daniel. Saya pun banyak nak guna duit. Awak pernah tanya tak hidup saya kat sini macam mana?”
“Saya tahu.”
“Awak tak tahu. Tempoh hari duit tiket bas awak ke KL pun saya bayarkan awak.” Mulut aku laju sahaja mengungkit kisah tiket bas masa kami berjumpa di Kuala Lumpur tempoh hari. Kebetulan masa itu, aku teman Wahida ke rumah makciknya di Kuala Lumpur.
“Awak mengungkit ke Lea?”
“Saya bukan ungkit tapi saya nak awak faham keadaan saya kat sini. Saya pun nak guna duit.” Aku tekankan suara.
“Kalau macam itu, tak apalah.”
Talian terus dimatikan. Aku mendengus kasar. Telefon bimbit dicampak di atas tilam. Aku menyandar di dinding. Lelaki ini amat menguji kesabaran aku. Dahulu, perangainya tidaklah sebegini.
Aku capai kembali telefon bimbit.
‘Daniel, saya minta maaf. Bukan niat saya nak mengungkit.’ Sebaik sahaja mesej habis ditaip, aku tekan butang hantar.
Kemudian telefon bimbit diletakkan kembali. Aku menepuk-nepuk bantal sebelum aku meletakkan kepala. Belum sempat meletakkan kepala, kedengaran pintu bilik diketuk membantutkan tingkahku.
“Lea...kau dah tidur ke?” Wahida muncul di muka pintu sebaik pintu bilik dikuak sedikit.
 “Belum lagi. Baru nak letak kepala ni. Kenapa?”
“Tak ada apa. Eh, kau dah tanya mak kau tak?” Wahida menghayun langkahnya menuju ke katilnya.
Aku bangkit dari pembaringan dan tegakkan badan. Bantal dipeluk ke dada. “Aku baru telefon mak aku tadi.” Balasku senada.
“Mak kau bagi tak?”
Aku sekadar mengangguk. Wahida sudah tersenyum riang.
“Wah, best ni. Dapat pun kau ikut aku balik kampung. Tiga tahun belajar kat sini tapi kau tak pernah ke kampung aku. Kau asyik nak balik kampung kau aje.”
“Yelah. Buat apa balik kampung kau. Baik aku balik kampung aku jumpa mak dan adik-adik aku.”
“Okeylah ni. Sekurang-kurang sebelum habis belajar ni. Nanti bila kau dah jauh lagi payah kau nak datang.”
“Teringin juga nak tengok kampung kau. Boleh jumpa mak kau. Selalu cakap dalam telefon aje.” Tuturku seraya mengukir segaris senyuman.
“Jadi petang jumaat kita boleh terus balik kampung akulah. Nanti aku bawak kau jalan-jalan satu kampung. Tengok sawah, pergi mandi sungai...” Wahida sudah menyusun perancangannya sendiri.
“Gaya kau cakap macam aku tak pernah tengok sawah aje kan.”
Wahida tergelak besar.
“Memanglah kau pernah tengok sawah tapi tak secara live. Kampung kau bukan ada sawah pun.”
“Amboi mengutuk kampung orang pulak.”
“Dahlah, aku nak turun bawah kejap sambung tengok drama korea. Esok pagi aku ada kelas. Kau ada kelas tak?”
“Kelas aku pukul 10.”
Wahida pun bangun dan terus berlalu. Sebelum keluar, Wahida menutup kembali pintu bilik.
Bantal yang aku peluk ditepuk perlahan sebelum aku meletakkan di atas tilam. Rambutku paras bahu dilepaskan. Buku percukaian sudah diselak ke muka surat yang mahu dihafal. Namun fikiranku menerawang.
‘Daniel marah agaknya.’
Telefon bimbit di sebelah dikerling. Tiada mesej yang masuk. Sekali lagi aku mengeluh.
‘Lelaki ini cukup menguji kesabaranku.’

Thursday, March 12, 2020

Novel Insan Kau Cinta

Assalamualaikum.

Selamat petang semua.

Harap semuanya sihat dan dijauhi daripada wabak yang sedang menular sekarang ini. Semoga kita dilindungi oleh Allah. Buat masa ini, usahlah ke tempat-tempat yang sesak dan menghadiri apa jua aktiviti yang melibatkan orang ramai.

Semoga kita sentiasa terpelihara.


Sedikit maklumat mengenai Insan Kau Cinta.

Genre - Cinta romantik

Latar tempat - Melaka - Perak - Pulau Langkawi

Watak utama:

-Azalea Husna
-Muaz Saifullah
-Daniel
-Hamimah
-Adibah Husna
-Afiqah Husna
-Noriyah
-Wahida
-Abang Saiful

Dibantu oleh:

-Noraini
-Tinah
-Anand
-Haji Bidin
-Pak Mokhtar
-Encik Halim
-Amira
-Zanariah
-Najib
-Talha
-Mardiana
-Sufi
-Fendy
-Safar
-Azizan
-Dino, Burhanuddin
dan ramai lagi.

Sedikit sedutan dalam Insan Kau Cinta.

“Motor siapa encik guna tu? Motor Haji Bidin ke?”

Dia menggeleng laju. “Motor abanglah.”

Aku membulatkan mata.

“Biar betul?”

“Betul lah. Apa Lea ingat abang main-main ke? Inilah owner dia.”

Aku menepuk dahi.

“Bila masalah awak buat kerja ni semua.”

“Abang beli secondhand je. Kena berjimat. Nanti kita nak guna banyak duit.”

“Kita? Kenapa kita pulak?” soalku tidak puas hati.

“Yalah, kita kan nak kawin. Mestilah nak guna banyak duit. Takkan abang nak kahwin sorang-sorang pulak.”


*****

Pada yang susah nak ke kedai buku boleh menempah secara online. Boleh beli dengan Fajar Pakeer atau beli terus dengan saya.

Klik LINK di bawah untuk pesanan.

Untuk membuat pesanan klik LINK di bawah:


http://www.wasap.my/+60176741270/InsanKauCinta
http://www.wasap.my/+60176741270/InsanKauCinta
http://www.wasap.my/+60176741270/InsanKauCinta

Salam pena,
Fyda Adim


Sunday, March 8, 2020

Review Novel : Tolong Sempurnakan Cerita Mami

Assalamualaikum.

Dalam sibuk menulis, aku selitkan juga masa membaca tetapi kadang dua-dua aktiviti ini ke laut dalam juga. Sudahnya aku melayan mata. Begitulah. Kalau tidak sibuk memasak, sibuklah menulis dan membaca. Ada masa menonton drama pula. Begitulah aktiviti aku jika ada di rumah usai pulang dari kerja.

Menulis.
Membaca.
Memasak.
Menonton Drama.

Semuanya memang keminatan aku. Dan entri ini aku nak kongsikan buku kelima yang aku selesai baca. Agak laju juga tahun ini.


Tolong Sempurnakan Cerita Mami karya Syamnuriezmil.
.
💐Novel ini sudah lama aku beli tapi elok tersusun di rak. Rasanya beli tahun 2018 tapi belum terasa nak membacanya.
.
💐Mula baca sebab terperasankan novel ini juga diadaptasi ke drama. Jadi itu yang mendorong aku untuk membacanya tapi aku tak tengok pun dramanya.
.
💐Novel ini lain daripada yang lain. Bukanlah kisah cinta sepenuhnya. Ia mengisahkan budak perempuan berusia 10 tahun yang menghadapi perceraian ibu bapanya. Dia berusaha mahu menyatukan kembali kedua ibu bapanya sehingga seorang lelaki yang mengajar di sekolahnya itu merupakan lelaki yang menyukai mamanya.
.
💐 Punca bapanya mahu bercerai dengan ibunya disebabkan bapanya disahkan menghidapi kanser dan menjalani rawatan tapi bila sembuh bapanya cuba mahu kembali ke pangkuan ibunya walaupun sebenarnya itu rancangannya sendiri mahu mencari suami buat bekas isteri.
.
💐 Nama-nama dalam novel ini memang agak payah nak dihafal. Satu namanya panjang. Sebab kedua payah nak menyebut tapi aku okey aje dan tak ambil pusing pun.
.
💐 Secara keseluruhan, novel ini sebuah bacaan santai. Aku suka bonding antara keluarga yang diterapkan dalam novel ini. Ikatan kekeluargaannya tetap utuh walau mereka memilih jalan masing-masing selepas itu.
.
Selamat membaca!
.
#fydaadimbaca


Saturday, March 7, 2020

Insan Kau Cinta Diterbitkan!


Assalamualaikum.

Dengan lafaz bismillah, saya persembahkan novel pertama saya yang diterbitkan di bawah Fajar Pakeer berjudul Insan Kau Cinta. Pada mulanya Insan Kau Cinta diberi tajuk Hey, Kau! namun saya tukar saat mahu menghantar ke penerbit.

Naskhah yang bertahun juga saya peram. Mula menulis naskhah ini pada tahun 2016 namun saya berhenti dan akhirnya menemui kata penamat pada tahun 2019. Begitulah perjalanan cerita saya dalam menyiapkan naskhah ini dengan sokongan rakan-rakan. Tanpa mereka saya tidak mempunyai kekuatan untuk menghabiskannya.

Naskhah ini mungkin ada kekurangannya kerana yang menulisnya juga tidaklah sempurna. Saya masih lagi bertatih dan banyak yang perlu saya pelajari. Insya-Allah semoga ada sedikit pengajaran yang boleh diambil dalam naskhah ini.

Novel ini sudah release jumaat lepas dan saya sedang mengambil pre order. Jadi untuk tahun ini terimalah Insan Kau Cinta daripada saya. 


*****

Mari baca blurb Insan Kau Cinta.

Sekeping hatiku terluka bagai dihiris-hiris belati tajam. Mahu melupakan seketika keperitan yang sedang menghantui diriku. Semakin aku tahan, semakin aku sakit – HUSNA

Dia seorang gadis yang terikat dengan puzzle yang dicipta oleh Daniel. Sekuat apa pun dirinya menolak Daniel, tetap saja lelaki itu mengejarnya sampai dia tersungkur jatuh dan cinta.

Daniel pandai bermain kata. Daniel bijak membuka jiwanya. Namun, satu peristiwa berlaku membuatkan Husna dingin dan tawar hati kepada Daniel! “Husna, kadang-kadang kita kena lepaskan sesuatu benda yang kita sayang. Barangkali apa yang kita suka itu tidak bagus untuk kita.” - MUAZ

Muaz datang tanpa diundang. Perlahan-lahan Husna melepaskan takdir kepada Muaz kerana dia yakin, lelaki itu adalah figura yang akan membahagiakannya. Sehingga ada insiden yang membuatkan Husna dibelenggu tanda tanya dan satu per satu rahsia Muaz terbongkar. “Jangan mudah menabur janji encik takut tidak tertunai janjinya itu.” – HUSNA

Muaz mengubah status hatinya menjadi madu. Kenapa, masa yang sama dia jua yang memberikan hempedu?

Husna dihimpit rasa bersalah. Perasaan terluka. Dirinya dipermainkan.

Muaz? Mampukah meyakinkan Husna bahawa wanita itu adalah yang terakhir dalam hidupnya?

Adakah kesempatan bagi mereka untuk membetulkan keadaan dan mengakhiri semuanya?

Cinta tidak akan tahu ke mana takdir membawanya pergi. Namun, jiwa semestinya tahu… siapa insan yang paling layak dicintai.


*****


Pada sesiapa yang mahu memesan melalui saya boleh menghantar pesanan pada nombor di bawah.
.
RM24.00 (SEM. MALAYSIA)
RM27.00 (SABAH/SARAWAK)

Untuk membuat pesanan klik LINK di bawah:


Tempoh pesanan sehingga 15 Mac 2020.

Pembelian secara kombo boleh dibeli secara online dengan Fajar Pakeer. Tawaran menarik menanti anda pada peminat-peminat novel.

#NovelMelayu
#IKC
#FydaAdim
#FajarPakeer
#Penulis
#Pembaca

Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »