Showing posts with label Corat Coret Fyda Adim. Show all posts
Showing posts with label Corat Coret Fyda Adim. Show all posts

Saturday, May 9, 2026

Saya Kembali Setelah Berkurun

Hai semua...

Masih ada ke yang singgah di blog ini? Lama menyepi hilanglah seri. Hilanglah skill menulis. Hahaha. Rindu teramat nak menulis namun kekangan masa mengatasi segalanya. Nak menulis blog, nak menyiapkan manuskrip novel memang sudah tiada dalam senarai teratas rutin harian aku.

Cerita banyak.

Terfikir nak mencoret macam dulu-dulu. Tengok kawan-kawan blogger pun dah ramai tak menulis. Semua beralih ke Instalah, TikToklah dan medium lain. Aku pun sama. Tapi menulis panjang lebar semestinya di blog kan yang lebih menarik.

Banyak episod-episod yang berlaku sepanjang setahun. Ada masanya log in aje blog tapi banyak draf tak sudahnya malas nak menaip. Begitulah kesudahannya.

Memandangkan dalam bulan Mei, cuma nak mengimbau kisah setahun lepas ke Pulau Pangkor bersama team QIS. Trip yang manis untuk percutian yang aku laksanakan bersama mereka. Mereka adalah antara insan-insan yang hadir daripada perkenalan yang unik. Tanpa mereka, aku takkan mampu bergerak sendiri.

Dan buat pertama kalinya, sepanjang mereka bersama aku 1 Mei 2025 aku bawa mereka bercuti. Setakat ini hanya mampu bawa dalam Malaysia. Pulau Pangkor menjadi destinasi percutian kami setelah dihitung, ditolak dan ditambah bermacam-macam perkara akhirnya sampailah kami ke Pangkor. Semuanya dengan izin Allah SWT.


Aku kongsikan sekeping gambar kami semasa di sana. Secara jujurnya, rindu vibes dengan mereka semua. Yang pergi memang takkan sama yang datang. Sentiasa berdoa sekiranya yang tak baik biar dijauhkan aje. Hidup ini hanya sementara. Tak nak wujud persekitaran yang negatif dan toksik.

Itu sahajalah buat masa ini. Ada kelapangan akan aku kembali menulis di sini. Ini buat lepaskan rindu sahaja.

Salam pena,
Fyda Adim


Sunday, May 25, 2025

Recharge Energi di Pulau Pangkor – Percutian Penuh Syukur & Ukhwah

Assalamualaikum semua.

Setelah sekian lama aku tak mencoretkan di sini. Entri akhir bulan Ogos tahun lepas. Betapa lamanya aku tak menulis blog ini. Rindu membelenggu diri tapi apakan daya. Banyak sangat komitmen yang memerlukan menggunakan otak. HAHAHA.

Aku hadir di sini sebab aku nak mencoret sesuatu yang manis. Momen manis perlu dikenang dan dicoretkan. Sebenarnya aku ada buat video ala-ala vlog. Aku adalah menyumbang suara dalam vlog tersebut. Tapi itulah masalah aku bila bab-bab bercakap aku memang lambat sikit. Cakap dalam video boleh tapi ada ketikanya aku menyampah dengar suara sendiri. Itulah terjadinya sesi merekod suara-memadam suara. 

Sampai bila tak sudah kan?

Okeylah, berbalik kepada tujuan asal aku berada di medium ini. Aku nak kongsikan percutian ke Pulau Pangkor bersama team aku. Aku coretkan sebab perkenalan kami unik dan kami dapat meluangkan masa ke Pulau Pangkor. Siapa sangka bukan?

Allah sebaik-baik perancang. Dan paling menyentuh hati aku apabila aku bawa insan-insan yang dia tak pernah pun berjalan;bercuti selain di tempat sendiri. Betul lah kata-kata dalam setiap rezeki kita terselit rezeki orang lain juga.

Percutian ini sebagai meraikan warga QIS; para pendidik yang tidak pernah lelah menjaga, mendidik serta mencurahkan kasih sayang pada anak-anak QIS.

Dan percutian ini adalah hadiah untuk mereka. Hadiah yang tidak seberapa daripada pihak pengurusan dan semoga perjalanan ini memberi kenangan yang terindah buat mereka.

Tempat pertemuan kami adalah di TBS. Mereka dari Larkin Sentral. Aku dari Melaka.

Aku ada bawa tetamu istimewa menyertai percutian kami. Ustazah Normadiah dan anak sulungnya. Memandangkan perancangan cuti kami selalunya tak jadi, aku pelawalah ustazah ikut serta.

Dan 1 Mei 2025, kami mencipta kenangan. 7 bulan mereka menabung untuk perbelanjaan sendiri. Akulah tukang simpan. Penginapan, transport dan beberapa perkara dibayar oleh syarikat.

Kami selamat tiba di Pulau Pangkor 1 Mei 2025 jam 4.00 petang. Seronoknya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Okey nanti sambung entri seterusnya. Apa pun perjalanan ini memang sukar dilupakan sampai hari ini masih ada yang belum move on.

Salam pena,
Fyda Adim



Monday, January 16, 2023

16 Hari Dalam 2023

Assalamualaikum semua.

Setelah beberapa bulan atau mungkin ada dalam setahun tidak bersiaran di platform ini, aku kembali mencari semangat yang setelah sekian lama menghilang.

Semangat yang diragut oleh beberapa perkara. Sunggu waktu itu hanya memerlukan kekuatan diri dan orang sekeliling yang terdekat. Waktu itulah kita dapat tahu siapa yang betul-betul ikhlas dengan kita. Baru kita buka mata rupanya ada yang mungkin ambil kesempatan. Lepaskan dirinya. Menonjol untuk orang lain nampak kewujudannya.

Tak apalah, lupakan perkara yang lalu. Tahun ini sudah nekad untuk tidak memikirkan hal-hal yang tidak sepatutnya. Dalam tempoh lima bulan lagi, umur sudah mahu memasuki ke angka 4. Seorang sahabat pesan, umur dah 40-an ni kita kena chill chill aje. Ada perkara dalam dunia ini kita tak perlu respon.

Jadi, tahun ini aku cuba bangkit. Semoga dipermudahkan segala urusan aku dan juga keluarga. Semoga impian-impian kami akan dimakbulkan Allah dan Allah akan membuka lorong untuk kami melaksanakan dengan baik.

 
Tahun lepas, sekitar bulan Julai aku tak sihat rupanya aku anemia. HB 6.9 masa tu. Memang stres sangat. Tersangat stres. Alhamdulillah kini kembali sihat dan menjaga makan. Doakan aku ya. Nanti sambung lagi dengan coretan yang lebih panjang.

Salam pena,
Fyda Adim

Saturday, January 8, 2022

Kita ke punca orang lain merempan?


Malam tadi baca blog Kak Di dan aku terjumpa quote ni di blognya dan juga dia ulas juga isu merempan.

Bab merempan ni, orang tak akan merempan tak tentu hala kalau tak ada sebab dan punca. Ingat orang gila ke nak merempan tak tentu fasal? Kalau gila tak dan merempanlah memang diamukkan terus aje.

Kalau orang tak cari fasal memang tak adalah isu merempan ni. Bila dah merempan mulalah cakap-cakap belakang. 

"Eh, mana si polan tu boleh cakap macam tu. Tak bolehlah nak berkira kerja."

Nak tahu apa punca merempan, tunggulah kalau punca dah tak ada. Makanya si perempan akan senyap dan bertenang. Jadi boleh tahu siapalah yang punca. Jadi boleh tahu siapalah yang mengundang dia merempan.

Jelas?

Contohnya ada satu kes luahan seseorang yang di mana sudah terang lagi bersuluh. Sudah ada yang dilantik untuk jawatan tertentu tapi nak juga ditalakan kerja tu padanya. Walhal part dia tu ada kerja lain. Habis lantikan tu atas kertas aje ke? 

Kita ni bukan pertama kali bekerja katanya. Bukan baru setahun dua bekerja. Tahu dah skop kerja dan carta alir untuk sesuatu skop kerja. Habis kalau semua ko tala pada sorang, ko rasa gaji ko berkat ke?

Habis tu gaji besar-besar tu untuk apa? 
Gred tinggi-tinggi tu untuk apa?

Ini bukan soal berkira tau. Ini soal kerja masing-masing. Masing-masing ada tanggungjawab. Bila part kena batang hidung sendiri, pandai pula ko ulas bukan kerja ko. Part orang ko suruh ikhlas buat kerja. 

Bunyi kasarnya, tang kederat orang, ko suruh ikhlas. Tang kederat sendiri, berkira. Hah, gitu.

Jangan sebab ko baik dengan orang tu ko tala kerja tu kat orang lain. Jangan! Kira menganiaya orang lain jugalah. Kita ni hidup bukan lama pun. Kalau hari ini kita buat orang, esok lusa orang buat kita pula. Tak kena pada kita, kena pula pada anak cucu kita. Akibat perbuatan kita, anak cucu pula kena tanggung.

Manusia ni memang suka nak mengukur keikhlasan orang. Selagi tak kena kat diri sendiri bolehlah keluar kenyataan.

"Alah, chill lah."

Cuba kalau kena kat diri sendiri, ko merempan jugak kan? 


Friday, June 25, 2021

14/2021 : Wishlist Buku

Assalamualaikum.

Hai semua.

Entri hari ini sekadar nak berkongsi buku-buku yang menjadi wishlist. Walaupun banyak sebenarnya buku yang belum dibaca, masih ada banyak juga buku yang mahu dibeli. Begitulah kisahnya. Konsepnya, beli dahulu, baca kemudian.

Penangan setiap hari saya membaca resensi buku, menonton video booktuber terutamanya Biblio Mom, Sue Oshin dan Hana Norisa. Ada ramai lagi yang selalu saya mengikuti ulasan-ulasan mereka tentang buku. Jika di Instagram suka jengah Aku Si Peminat Buku. Beliau juga rajin menulis ulasan tentang buku-buku yang sudah dibaca.

Daripada situlah, saya jadi tertarik. Daripada situlah, saya jadi nak memiliki buku-buku tersebut. Begitulah ceritanya.

Jadi ini saya kongsikan beberapa buah buku dan ada sebuah novel yang saya nak baca sebab seorang sahabat kata novel tersebut best ceritanya.

Oh, saya memang mudah terjebak.










Itu sahaja entri ringkas untuk malam ini. Akan bersambung lagi. Boleh layari blog saya satu lagi BILA AKU BERCERITA dan boleh SUBSCRIBED Channel Youtube saya di SINI.

Friday, January 29, 2021

6/2021 : #BaikSemula versi Le Familia

Assalamualaikum.

Selamat malam.


Sudah dengar lagu #BaikSemula? 

Kalau belum, bolehlah mendengarnya. Lagu yang menyuntik semangat di kala kita berperang dengan wabak Covid 19.

Lagu Faizal Tahir tak pernah mengecewakan. Lagu beliau tak pernah yang tak best. Minggu ini sudah berulang kali saya mendengarnya. Lagu ini betul-betul memberi semangat. Meskipun rancak tetapi ada mesej yang disampaikan kepada kita.

Terbaca ada cabaran untuk lagu ini. Kongsikan #BaikSemula versi sendiri. Memandangkan suka bila ada cabaran-cabaran macam ni, saya dan anak-anak buah serta adik pun gigihlah merekod video untuk buat #BaikSemulaCover sebagai tanda sokongan kami.

Jemput menontonnya dan semoga terhibur. Semoga kita akan kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Sesungguhnya rindu zaman tidak perlu SOP, tidak perlu memakai pelitup muka dan semua perkara dulu dirindui.

Rindu nak berkumpul dan buat makan-makan kat rumah namun apakan daya. Semoga kita semua selamat dan terhindar daripada wabak berkenaan. 



Saturday, January 23, 2021

5/2021 : Persepsi Manusia

Assalamualaikum.

Kita ni ada masa terlampau memikirkan persepsi orang terhadap diri kita. Apabila terlampau memikirkan persepsi orang, kita akan menitikberatkan setiap yang mahu dilakukan perlulah sempurna di mata orang lain.

Kita 'try hard' untuk lakukan dengan sempurna.
Kita mahu dihargai orang.
Kita mencabar diri.
Kita anggap kita mampu melakukannya meskipun di luar kemampuan.

Namun, apabila tidak menjadi seperti yang kita harapkan kita pasti kecewa. Hujung-hujung bertahanlah untuk menerima kecaman. Apabila situasi itu berlaku kita akan berada dalam keadaan yang tertekan kerana kecaman dan ketidaksempurnaan.

Kerja yang kita lakukan pada awalnya dengan ikhlas akan bertukar menjadi tidak ikhlas apabila kita tidak mendapat penghargaan daripada orang lain.


Hakikatnya, manusia memang suka bersangka-sangka. Kerana sikap bersangka-sangka itulah yang menjadikan hati kita tidak tenang. Kita selalu meletakkan dalam situasi terlampau memikirkan cakap-cakap orang. Orang cakap belakang kita, orang kutuk kita, orang kecam kita.

Semuanya dalam kepala.
Semuanya mahu difikirkan.

Endingnya, kau yang serabut.

Manusia, biasalah. Suka menuding jari pada orang lain. Hakikatnya, dia tidak perasan yang empat jari ke arahnya. Apabila salah orang, cepat sahaja menjatuhkan hukum. Apabila salah sendiri tidak mahu pula dinilaikan.

Sumber : Google

Mengutuk

Dalam kehidupan ini, memang kita tidak lari dari dikutuk dan juga mengutuk. Kita kena ingat, kita mengutuk orang, apa kita fikir orang tak kutuk kita?

Belum lagi part, yang A kutuk C dengan B tapi dengan C kau kutuk B pula. Perangai sangat! Dalam kehidupan seharian, kita pasti berjumpa dengan orang-orang sebegini. Tak payah pergi jauh. Dalam suasana pejabat pun ada yang sebegini.

Kau jumpa orang ni kau kata orang tu buat kerja tak bagus. Lepas tu kau jumpa orang tu kau cakap orang ni pula kerja tak bagus. Habis tu, kerja kau bagus?

Kadang-kadang orang macam ni kita perhatikan saja. Jauh mana dia boleh pergi. Orang yang mendengki ni tak pergi mana pun. Hujung-hujung dia yang terkontang-kanting.

Orang macam ni dia lebih pentingkan diri sendiri. Percayalah, dia seorang yang sangat berkira kerja sebenarnya. Tapi part orang tak hulur bantuan pasal kerja dia akan cepat melatah cakap orang tak bantu dia. Walhal dia tak tahu orang 'struggle' tanpa bantuan dia. Dan orang macam ni dia hanya fikir untuk diri dia saja. Dia akan play safe saja dalam hidup. Orang macam ni kalau jadi ketua dia takkan 'backup' anak-anak buah dia. Janji diri dia selamat dulu. Dunia ini bulat. Sekarang, kau play safe untuk selamatkan diri sendiri dan ingatlah satu hari nanti zaman play safe ini akan memainkan kehidupan tanpa kau sedar. 

Konsepnya, hari ini kita buat orang, esok lusa kalau tidak kena pada kita kena pada anak-cucu kita. Jadi, berwaspadalah. Hidup di dunia ini hanya sementara. Kita semua di dewan peperiksaan yang sedang mengumpul markah untuk ke sana. Jika kita memudahkan urusan orang, Allah akan memudahkan urusan kita.

Salam pena,
Fyda Adim

4/2021 : Rezeki Bukan Pada Duit

 Assalamualaikum.


Rezeki datangnya dalam pelbagai bentuk. Rezeki itu bukan hanya pada duit atau harta semata-mata. Konsep rezeki ini sangat meluas sebenarnya.

Terkadang kita terlupa yang kita mempunyai rezeki yang lain selain duit yang berkepuk-kepuk.

Bahagia itu rezeki.
Kesihatan tubuh badan itu rezeki.
Berkeluarga itu rezeki.
Disayangi dan dicintai itu rezeki.
Memperoleh ketenangan itu rezeki.
Banyak masa lapang juga rezeki.
Mempunyai kawan-kawan dan masyarakat sekeliling yang baik pun dikira rezeki.
Mempunyai bos yang baik juga satu rezeki.
Tidak tertekan dengan kerja pun satu rezeki.

Semua itu dikirakan rezeki buat kita. Jadi usah pertikaikan rezeki orang lain. Ada orang lebih di suatu sudut lain, mungkin kurang di suatu sudut yang lain. Begitulah sebaliknya.

Kelmarin, seorang sahabat berkongsi di Whatsapp tentang seorang wanita yang di dakwa mencuri di sebuah pasar raya.

Saya membalas, "Kasihankan. Susah kita ada yang lebih susah sebenarnya."

Dia membalas, "Betul...Secara jujurnya, masa den tengok tu, terus hati den tanya...mana pergi laki dia?"

Begitulah. Jika kita anggap diri kita susah, sebenarnya ada orang lain yang lebih susah. Kita sepatutnya bersyukur dengan kehidupan yang kita nikmati. Sentiasa bersyukur dengan setiap kelebihan mahu pun kekurangan.

Jika tidak boleh membantu, usah menambah beban. Jika tidak mahu membantu, usah pandai mengkritik. Jika tidak boleh berkata sesuatu yang baik, lebih baik berdiam sahaja.

Selamat berhujung minggu!
.
Salam pena,
Fyda Adim
- Hidup ini hanya sementara, sampai masa kita akan pulang.

Friday, January 22, 2021

3/2021 : Bahagia Cara Kita

 Assalamualaikum.


Bahagia itu ada bermacam-macam persepsi. Bahagia cara kita. Bahagia itu pilihan hati. Kita sendiri yang membentuknya. Jadi, usah pertikaikan cara hidup orang lain. Manusia suka menilai dari sudut pandang luaran. Cepat menjatuhkan hukum tentang kehidupan orang.

Ada orang suka berbasikal.
Ada orang suka jalan-jalan cari makan.
Ada orang suka masak-masak.
Ada orang suka buat video.
Ada orang suka panjat bukit.

Pilihan di tangan masing-masing. Asalkan tidak menganggu kehidupan orang lain sudahlah.

Adakalanya setiap perkongsian dapat memberi sumber inspirasi pada orang lain. Boleh juga menjadi terapi pada orang lain. Sebab bukan semua orang mampu melakukannya.

Namun janganlah bersifat dengki dan busuk hati. Kita tidak boleh bekerjasama dengan seseorang, tidak berkenan dengan seseorang, kita cuba mencari jalan untuk menjatuhkan demi kepentingan diri sendiri. Bak kata orang melepaskan tengkuk sendiri! 'Try hard' untuk menunjukkan semua orang tak betul. 

Salam pena,
Fyda Adim

Thursday, January 21, 2021

2/2021 : Lagu dan Idea

Assalamualaikum.

           

Lagu dan idea kalau kena masanya boleh bergabung dan mendatangkan satu cerita yang lengkap. Ada masanya boleh sampai bertemu dengan perkataan 'TAMAT'. Saya memang menulis suka mendengar lagu. Ada sebuah cerpen saya berjudul Separuh Mati Kubercinta terhasil daripada lagu Dayang Nurfaizah.

Saya menulis cerpen tersebut sambil mendengar lagu Dayang dan tajuk cerpen itu saya letak tajuk yang sama. Tak tahu bagaimana mahu dijelaskan. Lagu itu seperti ada auranya sendiri. Saya menulis cerpen itu sangat lancar tanpa sebarang plot.

Begitulah kisah lagu dan idea. Ada sesiapa yang sudah membaca cerpen tersebut? Kisah seorang lelaki yang mendapat hukuman akibat perbuatannya. Hukuman paling bermakna daripada tuhan dan saya terasa ingin memanjangkan cerpen tersebut menjadi sebuah novel.

Semoga impian saya tercapai. Harapnyalah sebab saya sedang pulun mahu menghabiskan manuskrip UKBC yang sudah hampir ke klimaks tapi masih belum ketemu perkataan keramat bagi seorang penulis.

TAMAT.

Itulah perkataannya. Doakan ya!

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, January 18, 2021

1/2021: Apakah Yang Bakal Dihadapi?

Assalamualaikum.

Selamat malam semua!

Entri pertama untuk tahun ini setelah sekian lama saya mencari momentum untuk menulis di sini. Sibuk menyiapkan manuskrip yang berbulan saya cuba mencari kata 'TAMAT' namun sehingga kini masih belum ditemui. Manuskrip kali ini agak sukar dan mencabar kerana saya menggunakan POV3. Saya kena masuk ke dalam semua watak yang ada dalam manuskrip tersebut.


Tajuk?

Tajuk manuskrip nantilah saya khabarkan apabila sudah siap. Semoga manuskrip UKBC dapat disiapkan tahun ini juga. Doakan saya ya kawan-kawan semoga saya dipermudahkan urusan dan dikurniakan idea untuk terus menulis.


Insan Kau Cinta

Novel pertama saya yang diterbitkan oleh Fajar Pakeer. Bulan Februari ini genaplah setahun usianya di pasaran. Satu kejayaan yang saya kecapi untuk diri sendiri. Saya menghabiskan manuskrip itu setelah beberpa orang sahabat mencabar saya untuk menyiapkannya. Saya berjaya lakukan!



Diari

Diari tetap diteruskan setiap tahun. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini sahaja rajin buat diari atau planner sendiri. Nak conteng ke, nak melukis ke, nak mencatat ke ikut sukalah. Selalunya kalau masuk ke kedai buku atau mana-mana kedai kalau terjumpa buku-buku nota mestilah membelinya. Memang sejenis perangai suka simpan buku nota yang cantik-cantik atau yang berkenan di hati. Sudahnya sepenuh-penuhlah dalam rak.

Begitulah. Saya akan tetap menulis di mana sahaja. Di buku, di blog, di telefon, di laman muka buku dan juga di Instagram. Selagi saya boleh menulis saya akan teruskan menulis. Menulis itu dikira sebagai terapi jiwa.


Tahun 2020

Tahun 2020 banyak juga meninggalkan kesan pada saya. Dalam pada kita mengharap kegemilangan tahun 2020; dulu sering diceritakan fasal kereta terbang, Wawasan 2020, namun tahun 2020 dilalui dengan betapa suramnya kita. 

Perlu berkurung.
Norma baharu.
Jaga jarak.
Tiada acara.
Kerja dari rumah.

Antara yang saya hadapi sepanjang tahun 2020. Paling memberi kesan dan tidak pernah pun terlintas kiranya dalam diri.


Aidilfitri di perantauan

Raya di perantauan. Ini memang tidak pernah terlintas langsung. Secara langsung saya menjadi #teamtakbolehrentasnegeri #teamtakbalikraya waktu itu. Menangislah di tepi tingkap nako sewaktu takbir berkumandang malam raya. Tidak boleh dilupakan bagaimana perasaan saya ketika itu. Waktu itu rasa rindu, sebak, tidak gembira semua bersatu dan membelenggu diri.


Naik Pangkat

Naik pangkat atau dalam erti kata lain dapat jawatan hakiki. Tak ada beza pun dengan gred yang dulu. Saya sudah pun naik gred tapi waktu itu cuma gred time-based berdasarkan kecemerlangan. Memandangkan waktu itu ada kekosongan gred hakiki saya mencuba isi permohonan setelah mendapat kata nasihat orang keliling. Teringat pesanan CC saya di JKM, "Terima aje. Sama aje kerjanya. Kita tetap kerja kakak kerani."

Ya, saya terima untuk mencari pengalaman walaupun seram-seram; takut ada, risau pun ada sebab sudah tahu akan buat kewangan namun saya cuba tepis perasaan itu. Sampai bilakan saya nak duduk di takuk lama?


Begitulah serba-sedikit rentetan entri ini. Sekadar melepaskan rindu untuk menulis. Saya sedang mencari momentum menulis manuskrip yang tertunda itu. Harapnya dengan membaca Surat Bersampul Perang karya Noor Suraya dapat memberi ilham pada saya.

Sehingga berjumpa lagi.

Salam pena,
Fyda Adim

Monday, February 17, 2020

Aku Kau Dan Muzik



Hentak ke bumi
Mengikut rentak melodi
Dada berombak bernafas kencang
Bila kau di depan mata

Rentak pada lirik lagu ini yang buat aku tertarik dengan lagu ini. Sewaktu itu pertama kalinya aku mendengar ketika di dalam kereta, memandu pulang usai menjemput anak di sekolah. Aku mengamati bersungguh.

Bila dengar boleh diagak siapa penyanyinya. Suaranya memang biasalah sebab aku memang selalu dengar lagu Akim. Lagu Rampas, selalu menjadi halwa telinga. Balik rumah sambil nak menulis, aku cubalah cari di Youtube.

Memang betul lah tekaan aku. Jadi lagu ini sudah masuk dalam senarai lagu yang aku akan dengar sampai nak muntah. Hahaha. Sejenis perangai aku kalau suka dengar lagu memang akan ulang dan ulang dan ulang sampai muak.

Aku bagi lirik penuh lagu Aku Kau dan Muzik. Mana tahu nak menyanyi kan. Semoga terhibur dan selamat menyanyi.


Wangi menarik darimu
Melekat dalam minda
Berlegar di ingatan
Bersarang di hati

Pandanganmu kepadaku
Memutikkan rasa cinta
Imaginasiku
Sentiasa berdua

Dekat...
Ku rasa tenang bahagia
Terlayang-layang di atas tali
Dibawah sinaran bulan

Hentak ke bumi
Mengikut rentak melodi
Dada berombak bernafas kencang
Bila kau di depan mata

Asyik terbawa
Berlagu irama cinta
Terbayangkan kita berpelukan
Bernyanyi di atas syurga



Monday, January 6, 2020

Entri Pertama 2020



"Tiada manusia yang hidup bergembira sepanjang masa tetapi ianya bukan alasan untuk hidup bersedih sepanjang masa." - Unknown

Status pertama aku di instagram dan status whatsapp pada jumaat pertama tahun baharu. Dan ini pula entri pertama aku di sini. Kekangan masa membuatkan terbatas untuk menulis di sini namun bagi orang yang jiwanya menulis rasa sakit bila tidak menulis itu tetap hadir. Rasa serba salah. Tahun ini tiada apa azam. Aku cuma menanamkan sebuah perancangan dan harapan.

Merancang untuk terus menulis. Merancang untuk ada buku solo sendiri tapi kalau dah selalu pun malas nak menulis memang perancangan itu tidak akan berjalan dengan lancarlah nampak gayanya.

Jika perancangan itu berjalan maka akan adalah harapannya. Begitulah putarannya. Semoga dipermudahkan setiap urusan dan setiap langkah kita dalam menjalani kehidupan harian yang menyesakkan.

Sekian.

Salam pena,
Fyda Adim


Wednesday, October 23, 2019

Some Days


Some days I win.
Some days I lose.
But both days, I smile.
.
Good Morning People🌻.


Berbuat Baiklah


Berbuat baiklah walau tidak dilayan dengan baik.
.
Selamat malam ❤️.


Friday, October 18, 2019

7 Buku Kegemaran

Assalamualaikum.

Hai.

Aku dapat tugasan di laman muka buku. Ada kenalan di laman sana tag aku untuk aku buat status tentang 7 buah buku kegemaran. Ini tugasan yang paling aku gemar. Aku memang suka kalau perihal buku. Boleh segar biji mata.

Jadi dengan berlapang dada aku pun berkongsikan tentang 7 buah buku kegemaran yang membuat aku terkesan ketika membacanya.

Aku akan kongsikan tujuh buah buku kegemaran di sini. Kalau di FB disuruh 1 hari kongsikan 1 buah buku tapi kat blog aku kongsikan semuanya dulu.

Senang.

Nanti aku boleh kongsikan di sana pula. Kadang ada masa tak sempat nak mencari gambar bukunya. Bila sudah ada di blog memudahkan aku.

Aku hanya akan kongsikan gambar sahaja tanpa ulasannya. Kebanyakkan novel kegemaran aku adalah novel Noor Suraya. Aku mula jatuh suka bila pertama kali membaca Surat Ungu untuk Nuha.

1) Tak Ada Cinta Sepertimu.

2) Surat Ungu untuk Nuha.

3) Jaja dan Din.

4) Langsir Biji Remia.

5) Adam dan Hawa.

6) Akulah Si Heroin.

7) Be Strong.

Setakat itu sahaja tujuh buah buku yang menjadi kegemaran aku. Nanti aku kongsikan lagi 7 buah sebab ada yang tag aku lagi di FB. Memang ada buku lain yang aku gemar selain 7 buah buku ini. Tunggu ya.

Sekian.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, September 9, 2019

Drama Adam Hawa Mengimbau Kenangan

Salam.

Hai.

Suatu ketika dahulu, drama Adam Hawa ini pernah menjadi drama kegemaran aku. Drama bersiri yang aku tak tinggal setiap episodnya. Waktu drama ini ditayang di televisyen, agak mengecewakan kerana drama ini ditayangkan di saluran Astro HD yang pada ketika itu aku tidak melanggan pun saluran berkenaan.

Aku terpaksa menontonnya di youtube dengan penuh kesabaran kerana gambarnya tidak memuaskan hati dan tontonan pula dilakukan di telefon bimbit yang comel sahaja skrinnya membuatkan aku seakan mahu masuk sekali ke dalamnya.

Hasil ketidaksabaran, aku merengek pada encik suami untuk melanggan saluran Astro HD. Pelbagai alasan aku cipta untuk menyakinkan encik suami agar dia senang dan terbuka hatinya untuk membuat keputusan. Akhirnya entah macam mana, encik suami bersetuju melanggan saluran berkenaan.

Betapa seronoknya rasa hati bila aku dapat menonton drama tersebut dengan senang hati. Setiap hari bila waktu tayangannya aku sudah terpacak dulu depan televisyen memandangkan pelakonnya hero dan heroinnya aku cukup minat.

Aaron Aziz memang aku suka lakonannya.
Nadiya Nisaa aku kenal dia dari drama apa entah tapi waktu itu dia sekadar pelakon sampingan.

Drama ini juga mengimbau kenangan aku bersama sahabat baik aku, Myra Mokhtar. Drama ini kami akan ulang tengok babak-babak menarik dan mengikut kami babak manis-manis sambil tersenyum-senyum dan menepuk antara satu sama lain kalau kami menonton berdua - aktiviti menonton di pejabat yang kami lakukan ketika waktu rehat dan pada hari jumaat rehatnya yang panjang.

Minggu lepas aku perasan drama ini ditayangkan semula di Astro. Aku sempat merekodnya kerana ada PVR. Jadi tadi barulah melayan semula drama ini.

Bila babak ini muncul, lantas fikiran aku menjengah pada sahabat aku Myra Mokhar. iPhone aku capai dan aku terus menghantar gambar ini pada Myra Mokhtar di Melaka.

"Nampak Am dan Ain teringat pada Amira Mokhtar hahaha."

Aku hantarkan kiriman mesej menerusi aplikasi whatsapp. Kemudian mesej itu dibalas.

"Kenangan tu."

Aku balas lagi, "Pandangan matanya (itu dialog Ain Hawani). Rindu. Teringat-ingat ko lakon semula. Rindu gile."

Dia kemudiannya membalas lagi.

"Alaa kau ni. Rindu lah."

"Memang rindu. Rindu sampai bergenang air mata. Ish..."

"Ok dah. Jangan tambah syahdu yang ada."

Gambar :
Waktu ini babak permulaan perkenalan Am dan Ain disertakan dengan lagunya yang mengasyikkan.

Betul orang kata, kenang-kenangan itu indah untuk diulang ingat tapi pahit untuk ditelan. Betul rasanya sebab aku sedang melalui fasa itu. Semoga kenangan itu akan menjadi alasan penguat kami untuk meneruskan ukhwah.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »