Wednesday, September 25, 2019

Jalan




Mood menulis yang entah ke mana menghilangnya sebaik sahaja aku selesaikan manuskrip itu. Tugasan yang aku dapat daripada Norsaadah sejak awal bulan September baru datang keinginan untuk membuatnya. Tugasannya nampak menarik.

Foto blog. Itulah tugasannya. Menulis berdasarkan foto yang kita ambil. Menarik bukan? Cumanya perlu komitmen dan perlu disiplin dalam menulis.

Foto memang aku pun suka walaupun aku bukan jenis kaki swafoto tapi aku sukalah ambil gambar apa pun. Lebih-lebih lagi gambar makanan yang aku masak.

Baiklah. Gambar di atas adalah jalan yang selalu aku gunakan untuk ke sekolah. Jalan yang setahun lepas aku gunakan lima hari seminggu untuk menghantar anak-anak setiap pagi. Jalan yang sentiasa sesak aku kena tempuh setiap pagi.

Setahun melalui jalan ini dan kini jalan ini hanya tinggal kenangan sebaik aku berhijrah ke luar negeri Melaka. Sesekali rindu bertandang.

Jalan ini terletak di depan sekolah berasrama penuh di Ayer Keroh. Jalan inilah menuju ke Sekolah Kebangsaan Ayer Keroh. Jalan ini juga yang selalu aku lalui untuk pulang dari kerja. Ayer Keroh ke Bukit Katil. Aku memang suka melalui jalan ini meskipun jauh sedikit perjalanannya. Rindu suasana itu.

Tersangat rindu!

Salam pena,
Fyda Adim


Tuesday, September 17, 2019

Review Novel : Ketika Cinta Jatuh Kepadaku



Tajuk : Ketika Cinta Jatuh Kepadaku
Penulis: Faizah Mohd Noh
Penerbit: Fajar Pakeer
Tebal Halaman: 595

Sinopsis:

"Manusia! Penuh dengan alasan kan? Kalau kita sibuk, dia kata dia sunyi. Kalau kita sentiasa ada, dia kata kita mengongkong."- DIANA

"Susah juga. Bila kita terpaksa berhadapan dengan orang yang salah, tapi menipu untuk raih kemenangan." – SYAFIQ

Dua insan berbeza. Bertemu kerana dendam. Kisah silam yang disimpan rapat oleh Diana, kini diungkit-ungkit Syafiq. Lelaki yang hadir dalam hidupnya kerana satu titik noda yang membawa kepada kehancuran.

Diana cuba lari, namun terperangkap dalam mainan emosi yang dicipta oleh Syafiq. Ditambah pula desakan seorang ibu yang ingin menuntut kemaafan daripada orang-orang yang pernah menjadi mangsa kerakusan nafsu zaman mudanya. Diana menjadi korban.

“Aku tak akan lupa, sampai bila-bila, apa yang telah dilakukannya pada keluarga aku.” – SYAFIQ

“Kesetiaan bukan terletak pada jarak atau masa, tapi pada sekeping hati.” - DIANA

Mengapa perasaan itu terjatuh pada orang yang salah? Haruskah sepasang cinta itu terkubur, ketika rasa itu semakin merasuk hatinya.

Sepahit apapun kisah silammu. Kau dan aku tidak ada lagi riwayat luka. Yang ada cuma rasa mencintai tanpa pergi.

Ulasanku:

Novel ini dikirakan sebuah naskhah yang bagus. Sepanjang aku baca novel ini aku tak boleh nak teka plotnya. Selalunya dapat juga mengagak kalau baca novel lain. Pandai betul penulis ini menyihir sebab aku nak cepat habiskan baca novel ini untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Cuma itulah aku beritahu bila baca novel ini, watak Diana itu memang aku bayangkan penulisnya. Pertama kalilah sebab terasa betul memang itu perangainya.

Apa pun tahniah Pae. Teruskan berkarya.

Selamat membaca!


Review Novel : Sweet Dreams



Tajuk : Sweet Dreams
Penulis: Acik Lana
Penerbit: Booku Enterprise
Tebal Halaman: 683

Ulasanku:

Novel ini aku baca sebab ada tayangan dramanya walaupun drama itu hanya diinspirasikan dan jalan cerita drama dan novel berlainan sama sekali tapi tetap tertarik untuk membaca naskhah Sweet Dreams ini.

Aku suka caption “Mimpi yang menyatukan kau dan aku”. Cerita ini tidaklah berat sangat dan santai pun tidak juga. Sedang elok.

Kisah Putri seorang gadis yang clumsy. Ada saja yang tak kena. Terjatuhlah, terlanggarlah, macam-macam ‘ter’ lagi. Selalu sahaja bernasib malang. Aku yang baca pun rasa kasihan.

Qash Adam seorang yang hidup keseorangan. Watak dalam novel memang terasa dia betul-betul menyendiri. Macam duduk dalam gua.

Kisahnya mula menarik bila Qash akan selalu jadi penyelamat bila Putri ditimpa malang. Dia mendapat alamat dalam setiap mimpinya.

Dari situ konflik bermula selepas pertemuan mereka. Plot ceritanya tidaklah klise sangat dan tak boleh disangka rupanya yang menjadi kepercayaan Qash rupanya pengkhianat.

Siapa yang belum baca bolehlah jadikan bahan bacaan.

Selamat membaca!



Monday, September 9, 2019

Drama Adam Hawa Mengimbau Kenangan

Salam.

Hai.

Suatu ketika dahulu, drama Adam Hawa ini pernah menjadi drama kegemaran aku. Drama bersiri yang aku tak tinggal setiap episodnya. Waktu drama ini ditayang di televisyen, agak mengecewakan kerana drama ini ditayangkan di saluran Astro HD yang pada ketika itu aku tidak melanggan pun saluran berkenaan.

Aku terpaksa menontonnya di youtube dengan penuh kesabaran kerana gambarnya tidak memuaskan hati dan tontonan pula dilakukan di telefon bimbit yang comel sahaja skrinnya membuatkan aku seakan mahu masuk sekali ke dalamnya.

Hasil ketidaksabaran, aku merengek pada encik suami untuk melanggan saluran Astro HD. Pelbagai alasan aku cipta untuk menyakinkan encik suami agar dia senang dan terbuka hatinya untuk membuat keputusan. Akhirnya entah macam mana, encik suami bersetuju melanggan saluran berkenaan.

Betapa seronoknya rasa hati bila aku dapat menonton drama tersebut dengan senang hati. Setiap hari bila waktu tayangannya aku sudah terpacak dulu depan televisyen memandangkan pelakonnya hero dan heroinnya aku cukup minat.

Aaron Aziz memang aku suka lakonannya.
Nadiya Nisaa aku kenal dia dari drama apa entah tapi waktu itu dia sekadar pelakon sampingan.

Drama ini juga mengimbau kenangan aku bersama sahabat baik aku, Myra Mokhtar. Drama ini kami akan ulang tengok babak-babak menarik dan mengikut kami babak manis-manis sambil tersenyum-senyum dan menepuk antara satu sama lain kalau kami menonton berdua - aktiviti menonton di pejabat yang kami lakukan ketika waktu rehat dan pada hari jumaat rehatnya yang panjang.

Minggu lepas aku perasan drama ini ditayangkan semula di Astro. Aku sempat merekodnya kerana ada PVR. Jadi tadi barulah melayan semula drama ini.

Bila babak ini muncul, lantas fikiran aku menjengah pada sahabat aku Myra Mokhar. iPhone aku capai dan aku terus menghantar gambar ini pada Myra Mokhtar di Melaka.

"Nampak Am dan Ain teringat pada Amira Mokhtar hahaha."

Aku hantarkan kiriman mesej menerusi aplikasi whatsapp. Kemudian mesej itu dibalas.

"Kenangan tu."

Aku balas lagi, "Pandangan matanya (itu dialog Ain Hawani). Rindu. Teringat-ingat ko lakon semula. Rindu gile."

Dia kemudiannya membalas lagi.

"Alaa kau ni. Rindu lah."

"Memang rindu. Rindu sampai bergenang air mata. Ish..."

"Ok dah. Jangan tambah syahdu yang ada."

Gambar :
Waktu ini babak permulaan perkenalan Am dan Ain disertakan dengan lagunya yang mengasyikkan.

Betul orang kata, kenang-kenangan itu indah untuk diulang ingat tapi pahit untuk ditelan. Betul rasanya sebab aku sedang melalui fasa itu. Semoga kenangan itu akan menjadi alasan penguat kami untuk meneruskan ukhwah.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Saturday, September 7, 2019

Foto Blog Pencetus Idea Bulan September

Assalamualaikum.

Hai.


Foto blog adalah pencetus idea bulan September. Masih dianjurkan oleh blogger yang sama iaitu Norsa'adah Ahmad. Baguslah bagi blogger yang tidak mempunyai untuk menulis entri, bolehlah gunakan pencetus idea ini.

Selain memberi idea untuk entri blog, kita juga boleh melatih diri untuk menulis. Adakalanya, otak beku dan tepu. Tiada satu pun ayat yang mampu ditaip di komputer. Writer's block! Serba tak kena bila seorang penulis diserang penyakit ini.

Jadi ini salah satu jalan untuk kita mengasah diri untuk terus menulis dan juga membuka minda kita untuk berfikir agar kita sentiasa diberikan ilham untuk terus menulis.

Mari mulakan cabaran ini. Walaupun tidak mampu menuruti semuanya, sekurang-kurangnya menulislah. Jangan pernah mengalah!

Sekian.


Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »