Showing posts with label Review Novel. Show all posts
Showing posts with label Review Novel. Show all posts

Thursday, June 25, 2020

Review Novel: Rasa Yang Terikat

Assalamualaikum.

Selamat petang semua.

Agak lama meninggalkan ruang ini. Kesuntukan masa untuk mencoretkan sesuatu di sini. Pembacaan pun lambat. Aku baca novel ini sewaktu PKPB setelah mengharungi PKP. Sebenarnya banyak saja masa yang boleh diisi dengan baca; pendek kata sebenarnya banyak buku/novel yang boleh dibaca sepanjang tempoh itu. Namun begitu, aku masih tidak mampu melakukannya.

Aku lebih melayan emosi yang tak dapat balik ke kampung merangkap rumah sendiri di Melaka. Dalam pada itu juga aku sibuk menulis. Mengejar deadline dan juga sibuk sepanjang Ramadan untuk amalan diri.

Baiklah, di sini aku ulas novel yang aku sudah habis baca dan baru sempat menulisnya. Aku menulis entri ini di Melaka yang tercinta dan negeri yang paling bahagia. Hahaha. Orang kata. Tapi aku memang terasa bahagia bila di Melaka dan juga di rumah sendiri.

Kita teruskan dengan review novel Rasa Yang Terikat.


Rasa Yang Terikat karya Arniza Idayu.

Penerbit: Fajar Pakeer
Harga: RM23/RM26
Jumlah Halaman: 499



* Pertama kali aku membaca karya novelis ini. Penulis ini ada nama penanya yang lain iaitu Aina Meira. Aku beli novel ini memandangkan novel penulis ini terbit bersama dengan novel aku, Insan Kau Cinta. Itulah asbabnya aku mengenali penulis ini.


* Rasa Yang Terikat sarat dengan kisah kedukaan atau kesengsaraan seorang wanita bernama Sofi atau Sofea. Kisahnya membuatkan aku bermain dengan emosi sendiri. Berperang dengan perasaan sendiri. Terasa kesengsaraan Sofi itu sampai ke lubuk hati.


* Sofea seorang wanita yang telah berkahwin tetapi sudah kematian suami. Berasal dari kampung dan bergantung hidup dengan mak langnya. Makcik kepada arwah suaminya. Kesengsaraannya bermula apabila dia dibenci dan diseksa oleh mak langnya.


* Penderaan fizikal dan mental lebih menyakitkan apabila mak lang mahu menjual Sofea atau Ayya nama panggilannya oleh mak lang kepada seorang lelaki bernama Jamal. Babak ini paling geram. Geram dengan mak lang, geram dengan Jamal. Tersangat!


* Namun takdir menemukan Sofea dan seorang lelaki bernama Aiman dan Jamal itu sebenarnya ada hubungan kekeluargaan dengan Aiman. Nak tahu apa kaitan Jamal dan Aiman? Kenalah baca novel ini sendiri. 


* Bagaimana Sofea mahu melepaskan diri daripada jerat Jamal kerana Jamal tetap memburunya kerana dia sudah membayar sejumlah wang pada mak langnya membuatkan aku mahu habiskan pembacaannya.


* Tahniah buat penulis. Plot yang tersusun dan sebuah kisah yang menarik. Apa yang boleh diambil iktibar daripada novel ini, sifat dengki dan iri hati yang wujud dalam diri mak lang, membuatkan orang lain merana. Oleh sebab sifat itu dia bertindak di luar kawalan.


* Sekali lagi, tahniah buat penulisnya.

Selamat membaca!


Thursday, April 16, 2020

Review Novel: Lili Buat Najah

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Aku berjaya habiskan lagi sebuah novel dalam tempoh PKP. Novel ketiga dalam tempoh PKP dan buku ke-10 dalam empat bulan ini. Bila ada waktu begini, memang sesuailah mengisi masa dengan membaca novel/buku yang tersusun di rak.


Banyak lagi buku yang belum sempat dibaca. Macam aku, kalau bacaan lambat tu maknanya aku sibuk menulis. Bila dah fokus menulis, aku kena tinggalkan aktiviti membaca. Begitulah pusingannya.

Novel ini sangat-sangat menyentuh hati aku. Novel ini berjaya membuat air mata aku mengalir. Jahat tau! Memang sedih. Sebak-sebak aku membacanya. Makin hampir ke penghujung makin sedih. Novel ini lain daripada yang lain. Kalau nak tahu kena baca sendiri.

Tahniah buat penulisnya Nazurah Aishah.





Lili Buat Najah karya Nazurah Aishah.

Penerbit: Penulisan2u
Harga: RM25/RM28
Jumlah Halaman: 527

*Kali pertama membaca karya penulis ini. Itu pun sebab aku terbaca review orang lain mengatakan novel ini best. Novel ini pernah diterbitkan oleh penerbit lain suatu ketika dulu tapi penerbit itu sudah tidak beroperasi lagi. Bila tahu novel ini pernah diterbitkan bawah penerbit kegemaran aku dulu, memang perlulah aku dapatkan novel LBN ini.

*Kisah perjalanan percintaan Nur Natasha Ameera dan Syahrun Najah yang saling mencintai namun episodnya sungguh menyedihkan. Mereka bernikah di luar negara sewaktu mereka belajar. Bertemu secara tidak sengaja membuahkan bibit-bibit percintaan antara mereka.

*Perkahwinan yang hanya diketahui oleh umi Natasha, papa dan kakak Najah. Mama Najah punya calon isteri buat Najah namun satu hari mereka nekad untuk berterus-terang dengan mama Najah.

*Perkahwinan itu ditentang oleh mama Najah namun akhirnya menerima Natasha setelah satu kejadian yang berlaku antara mama Najah, Tunku Helena dan Natasha.

*Latar ceritanya sekitar Johor Bahru. Sedang eloklah aku baca novel ini aku sudah setahun merantau ke Johor Bahru. Jadi bila penulis menceritakan lokasinya aku boleh membayangkan tempat-tempatnya; Menara Ansar, Lebuh Raya Pasir Gudang, Plaza Pelangi dll.

*Ceritanya menarik walaupun penulis menulis menggunakan POV1. Terasa sangat dekat dengn diri sendiri ketika membaca novel ini. Plotnya pun tersusun.

*Ceritanya mula menggusarkan hati apabila Natasha mendapat tahu Najah sebenarnya mempunyai penyakit yang akan memisahkan mereka secara hakiki.

*Apabila Natasha mengetahu tentang penyakit Najah, bermulalah episod sedih yang tidak henti. Bagaimana Natasha berperang dengan perasaannya begitulah aku yang membaca.

*Novel ini lain daripada yang lain kerana penamatnya sedih. Bergenang air mata aku ketika aku menghayati part Natasha membaca wasiat Najah. Memang betul lah review orang, air mata pastui tumpah untuk menghabiskan novel ini.

*Apa pun ada pengajaran yang terselit dalam novel ini. Percintaan yang setia namun ada yang perlu dikorbankan. Tidak semua keindahan yang tercipta akan berakhir dengan kemanisan dan yang paling penting mati itu pasti.

#fydaadimbaca #malaysiamembaca



Thursday, April 9, 2020

Review Novel: Kerana Hati Telah Berjanji

Assalamualaikum.

Selamat pagi.

Lagi review novel yang aku sudah habiskan dalam tempoh sehari saja. Ada-ada masa aku ambil masa hanya sehari untuk membaca. Ikut mood juga walaupun membaca itu pasti akan membuatkan aku terlelap. Bukan fasal novel tidak menarik tetapi memang gitulah perangai aku kalau membaca.

Biasalah remaja purba punya gaya membaca. Kadang anak-anak sampai tegur.

"Mama ni nak baca ke nak tidur?"

"Eh, mama bacalah."

"Tadi nampak mama tidur."

"Mama lelap kejap aje."

Bila sudah ditegur, celiklah balik mata. Begitulah sampai sudahnya. Mari aku kongsikan review tentang novel ini. Menarik ceritanya.


Kerana Hati Telah Berjanji karya Rissa Ahdiya.
.
Penerbit: Karya Seni
Harga: RM23/RM26
Jumlah Halaman: 455
.
🌿Bacakan aku jampi pelupa, agar tak kuingat tentang kita.
.
🌿Kali kedua aku baca karya penulis ini. Sebelum ini baca novelnya berjudul Seadanya Aku. Jadi haruslah cari karya-karyanya yang lain.
.
🌿Kisah seorang gadis bernama Manis yang tidak berapa manis hidupnya. Macam-macam perkara yang perlu dilalui oleh Manis. Dia sering dipinggirkan oleh ibu ayah dan adik-beradiknya sebab paras rupa dan kekurangannya.
.
🌿Part ni yang macam-macam yang dirasa ketika baca. Geram dan sedih sebab Manis dibuli abang dan adiknya. Sering dimarahi ibunya dan mujurlah ayahnya sesekali menyebelahinya.
.
🌿Ceritanya bertambah menarik bila kemunculan Remy. Cara Remy jatuh cinta dengan Manis memang tersangat manis. Orang kata jatuh cinta pandang pertama.
.
🌿Aku siap bayangkan Remy Ishak sebab Manis kata nama Remy cam pelakon kegemaran dia. Samalah dengan Kafida si Manis ni pun. Hahaha. Tapi dalam novel Remy orangnya cerah. Yelah, selalu baca novel adaptasi drama senang nak bayangkan hero heroin dia.
.
🌿Menariknya si Remy ini dapat dirasakan yang dia betul-betul sayang pada Manis. Cara penulis sampaikan boleh dirasakan di tangkai hati. Lelaki pujaan gitu. Dia sayang Manis seorang saja. Manis kan perangai Remy.
.
🌿Dugaan manis timbul lagi bila dia berkahwin dengan Remy. Rasa kasihan sangat pada Manis. Biasalah lumrah tinggal dengan mak mentua. Macam-macam yang Manis kena tempuh.
.
🌿Apa pun ada pengajaran yang terselit dalam novel ini. Setiap kepahitan pasti akan diakhiri dengan kemanisan cuma cepat atau lambat saja. Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Manusia yang buat silap pasti dapat balasan. Begitulah teguran Allah pada manusia yang alpa.
.
#fydaadimbaca #malaysiamembaca

Wednesday, April 8, 2020

Review Novel: Seindah Tujuh Warna Pelangi

Assalamualaikum.

Selamat petang.

Dalam tempoh PKP, ini novel kedua aku habiskan dan kiranya buku kelapan aku dapat baca dalam tempoh empat bulan tahun ini. Untuk yang suka membaca novel, memang masa dalam PKP ini dapatlah baca novel-novel yang tertangguh di rak.

Mujurlah aku ada simpan sedikit novel-novel dan buku-buku di rumah Johor. Kebanyakkan novel aku semua ada di rumah kat Melaka. Novel ini pun aku pinjam jiran aku kat Melaka. Jauh aku bawa novel dia. Boleh lepaskan rindu gitu.


Seindah Tujuh Warna Pelangi karya E-Man Sufi.
.
Penerbit: Penulisan2u
Harga: RM22/RM25
Jumlah Halaman: 457
.
🌿Aku berminat baca novel ini sebab dramanya ditayangkan di televisyen tapi aku tak menontonnya pun. Cuma bila baca novelnya dapatlah bayangkan watak hero dan heroinnya.
.
🌿Novel ketiga penulis yang aku baca. Dua buah novel penulis yang aku baca Hikayat Cinta Si Pematah Hati dan Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
.
🌿Novel Seindah Tujuh Wana Pelangi mengisahkan kisah kekeluargaan yang menyelitkan kisah cinta. Perkahwinan antara sepupu.
.
🌿Kisah yang tidak berat namun geram juga dengan Andika pada mulanya kerana melakukan sedemikian pada Aira, sepupu yang dikahwininya.
.
🌿Menariknya bila wujud babak akrab antaranya adik-beradik dan juga sepupu-sepapat. Aku suka cerita sebegitu. Menyentuh keakraban sebuah keluarga walaupun ada latar belakang keluarga kaya. Fasal harta tok ayah yang dibahagikan kepada cucu-cucunya.
.
🌿Apa pun ada pengajaran yang terselit dalam novel ini. Setiap manusia pernah terleka dan alpa namun dengan adanya peluang kedua yang diberikan perlulah digunakan sebaik mungkin. Bukan semua orang dapat menikmati peluang kedua itu.
.
#fydaadimbaca #malaysiamembaca

Sunday, March 8, 2020

Review Novel : Tolong Sempurnakan Cerita Mami

Assalamualaikum.

Dalam sibuk menulis, aku selitkan juga masa membaca tetapi kadang dua-dua aktiviti ini ke laut dalam juga. Sudahnya aku melayan mata. Begitulah. Kalau tidak sibuk memasak, sibuklah menulis dan membaca. Ada masa menonton drama pula. Begitulah aktiviti aku jika ada di rumah usai pulang dari kerja.

Menulis.
Membaca.
Memasak.
Menonton Drama.

Semuanya memang keminatan aku. Dan entri ini aku nak kongsikan buku kelima yang aku selesai baca. Agak laju juga tahun ini.


Tolong Sempurnakan Cerita Mami karya Syamnuriezmil.
.
💐Novel ini sudah lama aku beli tapi elok tersusun di rak. Rasanya beli tahun 2018 tapi belum terasa nak membacanya.
.
💐Mula baca sebab terperasankan novel ini juga diadaptasi ke drama. Jadi itu yang mendorong aku untuk membacanya tapi aku tak tengok pun dramanya.
.
💐Novel ini lain daripada yang lain. Bukanlah kisah cinta sepenuhnya. Ia mengisahkan budak perempuan berusia 10 tahun yang menghadapi perceraian ibu bapanya. Dia berusaha mahu menyatukan kembali kedua ibu bapanya sehingga seorang lelaki yang mengajar di sekolahnya itu merupakan lelaki yang menyukai mamanya.
.
💐 Punca bapanya mahu bercerai dengan ibunya disebabkan bapanya disahkan menghidapi kanser dan menjalani rawatan tapi bila sembuh bapanya cuba mahu kembali ke pangkuan ibunya walaupun sebenarnya itu rancangannya sendiri mahu mencari suami buat bekas isteri.
.
💐 Nama-nama dalam novel ini memang agak payah nak dihafal. Satu namanya panjang. Sebab kedua payah nak menyebut tapi aku okey aje dan tak ambil pusing pun.
.
💐 Secara keseluruhan, novel ini sebuah bacaan santai. Aku suka bonding antara keluarga yang diterapkan dalam novel ini. Ikatan kekeluargaannya tetap utuh walau mereka memilih jalan masing-masing selepas itu.
.
Selamat membaca!
.
#fydaadimbaca


Friday, January 31, 2020

Review Novel : Seadanya Aku

Assalamualaikum.

Hai.

Nampaknya ini novel penutup yang aku dapat habiskan sebelum Januari melabuhkan tirainya. Novel ini sudah diadaptasi ke drama. Sebab utama aku beli novel ini. Aku memang penggemar novel yang diadaptasi. Senang nak bayangkan hero dan heroinnya.

Tapi novel tak adaptasi pun aku baca juga. Aku belum sempat menonton dramanya. Minat juga pada hero dan heroinnya. Jadi aku habiskan dulu novelnya.

Pertama kali baca karya Rissa Ahdiya. Nanti bolehlah aku cari novel-novelnya yang lain. Marilah menyokong industri buku Malaysia.

Jom baca reviewnya.


Seadanya Aku karya Rissa Ahdiya.

Penerbit: Karya Seni
Harga: RM22.00(SM)/RM25.00(SS)
Jumlah halaman: 475

🌿Pertama kali baca novel karya penulis ini. Perkara utama yang tertarik sebab novel ini adaptasi drama. Aku memang suka baca novel adaptasi sebabnya senang nak membayangkan hero dan heroin.

🌿Cerita dalam novel tidaklah berat sangat cuma part Aufiya diperkosa itu yang agak berat dan perlakuan itu pula dirancang oleh sahabat baiknya sendiri. Memang tak terjangkau dek akal.

🌿Novel ini menceritakan kisah kawan makan kawan dan juga tentang sifat kedengkian dan iri hati yang wujud dalam diri. Sifat iri hati dan dengki jika tidak dibendung memang akan mencetuskan perlakuan di luar kawalan.

🌿Plot ceritanya tersusun. Mudah difahami dan pembacaan dicepatkan sebab nak tahu siapa yang ‘jahat’ antara Wina dan Zureen. Mereka berdua adalah sahabat baik pada Aufiya.

🌿Begitulah, orang kata musuh kita adakalanya datang daripada orang yang paling rapat dengan kita.

🌿Dalam novel ini, watak Zarul memang tersangat sweet. Zarul yang pada mulanya menyukai Aufiya dalam diam akhirnya dapat memiliki Aufiya. Kalau sudah jodoh tidak ke mana.

Salam pena,
Fyda Adim



Review Novel : Bunian

Assalamualaikum.

Hai semua.

Bulan ini agak laju aku membaca. Ini masuk buku ketiga untuk bulan ini. Aku baca laju sebab sedang berehat-rehat daripada menulis. Biasalah, terapi penulis adalah membaca. Jadi kita layan dulu buku-buku orang lain.

Kali ini aku cuba berani-berani mencuba baca novel seram. Selalu novel cinta dan kehidupan saja kan. Kali ini aku beralih arah. Aku beli Bunian sebab kawan aku yang syorkan. Katanya novel Bunian best.

Jadi aku terus ke Popular dan mendapatkan naskhah ini. Dalam pada takut baca seram, kononnya nak baca sebelah siang saja tapi aku lajak baca sampai ke malam. Paling tak percaya pada diri sendiri, aku habiskan baca novel ini dalam masa 3 hari. Seram juga. Hahaha.

Marilah baca reviewnya.


Bunian karya Anuar Darwisy.

Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM25.00
Jumlah halaman : 363

🌿 Pertama kali aku membaca novel seram dan juga pertama kali membaca karya penulis ini. Cuba bertukar genre bacaan dan aku tertarik untuk membacanya setelah seorang rakan memberitahu novel ini menarik. Itu pendorong utama aku ke kedai buku dan membelinya.

🌿Pada mulanya aku mahu membaca novel ini di siang hari sahaja sebab sejenis penakut tetapi atas sebab perasaan ingin tahu penyudahnya memuncak-muncak mendorong aku menghabiskannya dalam masa tiga hari. Masa yang dikira singkatlah untuk aku yang baru terjebak untuk baca genre seram.

🌿Novel ini bermula dengan kisah yang terjadi pada tahun 1942. Kemudian ke dunia bunian dan kejadian yang berlaku pada tahun 2019. Memang kena fokus dan menghayati sungguh-sungguh perjalanan dalam novel ini. Dua dunia yang punya kaitan.

🌿Kagum dengan gaya penulisan beliau. Memang menarik. Situasi, suasana dan setiap keadaan yang berlalu dapat dibayangkan. Plot-plotnya memang disusun cantik sekali. Memang tak boleh nak teka apa yang berlaku selepas itu.

🌿Misteri kehilangan Safiuddin dan kawan-kawannya rupanya ada hubungkait dengan manusia di zaman 1942. Apa yang menarik dalam naskhah ini turut diselitkan surah-surah yang perlu diamalkan setiap masa.

🌿Apa pun novel ini memang menarik. Bukan senang menulis novel sebegini. Kagum sangat-sangat. Ilmu pengetahuannya sangat tinggi. Tahniah buat penulis. Lepas ini pasti aku mencari karya-karyanya yang lain.

Salam pena,
Fyda Adim


Thursday, January 16, 2020

Review Novel : Hingga Nafas Yang Terakhir

Assalamualaikum.

Hai semua.

Akhirnya, ini novel pertama aku habiskan untuk pembuka tahun 2020. Sebenarnya, mula membaca novel ini bulan Disember tapi biasalah aku memang membaca dalam kadar perlahan. Banyak sangat iklan-iklan yang datang sewaktu membaca.

Paling utama, membaca kalau bergolek-golek akan diakhiri dengan ketiduran. Sedar-sedar sudah pagi. Sedar-sedar lampu bilik sudah ditutup. Sedar-sedar penanda buku ke mana, bukunya ke mana. Biasa semua itu. Biasa untuk aku. Orang lain aku tak tahu.

Marilah aku review sedikit tentang novel ini. Aku tak pandai review. Setakat sikit-sikit itulah bolehlah ya.

#1
.
Hingga Nafas Yang Terakhir karya Suzana Jumadil terbitan Fajar Pakeer.
.
🌿Baca novel ini sampai aku termimpi-mimpi fasal bom. Tak memasal terjadi watak heroin yang berada di Palestin. Teruja dengan penulisannya di bumi Gaza, Palestin dan Kaherah Mesir. Dapat dirasakan sedikit begitu keadaan di sana.
.
🌿Novel ini adalah karya pertama penulis ini. Kisah percintaan Farisya dan Fariz yang terpisah akibat dendam. Farisya melarikan diri apabila mendapat tahu Fariz ditangkap khalwat namun segalanya terungkai apabila dia kembali bertemu dengan Fariz.
.
🌿Fariz seorang lelaki yang tidak putus asa dan dia setia dengan Farisya. Dia tetap menjejaki Farisya meskipun gadis itu cuba menjauhkan dirinya.
.
🌿Perhubungan mereka akhirnya diakhiri dengan ikatan yang sah dan ada satu kejadian yang berlaku. Farisya diculik. Kejadian itu mencetuskan siapa sebenarnya pendendam selama ini.
.
🌿Bila part ini yang nak baca laju-laju sebab nak tahu siapa empunya dirinya. Penghujungnya memang banyak yang terjawab dan tidak sangka bila semuanya diketahui.
.
🌿Apa pun, tahniah buat penulis untuk karya pertama ini.

Salam pena,
Fyda Adim




Tuesday, September 17, 2019

Review Novel : Ketika Cinta Jatuh Kepadaku



Tajuk : Ketika Cinta Jatuh Kepadaku
Penulis: Faizah Mohd Noh
Penerbit: Fajar Pakeer
Tebal Halaman: 595

Sinopsis:

"Manusia! Penuh dengan alasan kan? Kalau kita sibuk, dia kata dia sunyi. Kalau kita sentiasa ada, dia kata kita mengongkong."- DIANA

"Susah juga. Bila kita terpaksa berhadapan dengan orang yang salah, tapi menipu untuk raih kemenangan." – SYAFIQ

Dua insan berbeza. Bertemu kerana dendam. Kisah silam yang disimpan rapat oleh Diana, kini diungkit-ungkit Syafiq. Lelaki yang hadir dalam hidupnya kerana satu titik noda yang membawa kepada kehancuran.

Diana cuba lari, namun terperangkap dalam mainan emosi yang dicipta oleh Syafiq. Ditambah pula desakan seorang ibu yang ingin menuntut kemaafan daripada orang-orang yang pernah menjadi mangsa kerakusan nafsu zaman mudanya. Diana menjadi korban.

“Aku tak akan lupa, sampai bila-bila, apa yang telah dilakukannya pada keluarga aku.” – SYAFIQ

“Kesetiaan bukan terletak pada jarak atau masa, tapi pada sekeping hati.” - DIANA

Mengapa perasaan itu terjatuh pada orang yang salah? Haruskah sepasang cinta itu terkubur, ketika rasa itu semakin merasuk hatinya.

Sepahit apapun kisah silammu. Kau dan aku tidak ada lagi riwayat luka. Yang ada cuma rasa mencintai tanpa pergi.

Ulasanku:

Novel ini dikirakan sebuah naskhah yang bagus. Sepanjang aku baca novel ini aku tak boleh nak teka plotnya. Selalunya dapat juga mengagak kalau baca novel lain. Pandai betul penulis ini menyihir sebab aku nak cepat habiskan baca novel ini untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Cuma itulah aku beritahu bila baca novel ini, watak Diana itu memang aku bayangkan penulisnya. Pertama kalilah sebab terasa betul memang itu perangainya.

Apa pun tahniah Pae. Teruskan berkarya.

Selamat membaca!


Review Novel : Sweet Dreams



Tajuk : Sweet Dreams
Penulis: Acik Lana
Penerbit: Booku Enterprise
Tebal Halaman: 683

Ulasanku:

Novel ini aku baca sebab ada tayangan dramanya walaupun drama itu hanya diinspirasikan dan jalan cerita drama dan novel berlainan sama sekali tapi tetap tertarik untuk membaca naskhah Sweet Dreams ini.

Aku suka caption “Mimpi yang menyatukan kau dan aku”. Cerita ini tidaklah berat sangat dan santai pun tidak juga. Sedang elok.

Kisah Putri seorang gadis yang clumsy. Ada saja yang tak kena. Terjatuhlah, terlanggarlah, macam-macam ‘ter’ lagi. Selalu sahaja bernasib malang. Aku yang baca pun rasa kasihan.

Qash Adam seorang yang hidup keseorangan. Watak dalam novel memang terasa dia betul-betul menyendiri. Macam duduk dalam gua.

Kisahnya mula menarik bila Qash akan selalu jadi penyelamat bila Putri ditimpa malang. Dia mendapat alamat dalam setiap mimpinya.

Dari situ konflik bermula selepas pertemuan mereka. Plot ceritanya tidaklah klise sangat dan tak boleh disangka rupanya yang menjadi kepercayaan Qash rupanya pengkhianat.

Siapa yang belum baca bolehlah jadikan bahan bacaan.

Selamat membaca!



Sunday, August 4, 2019

Review Novel : Derita Cinta



Tajuk : Derita Cinta
Penulis: Aisya Sofea
Penerbit: Alaf 21
Tebal Halaman: 741


Sinopsis:


Cinta, perasaan itu tidak pernah diundang dan tidak pernah dijemput. Jika ia memberi kebahagiaan, pasti segalanya indah. Namun apa yang akan berlaku jika derita yang ditinggalkan?

Begitulah hidup Nur Amili Sofiya. Cinta yang hadir tidak pernah membahagiakan dirinya. Namun kehadiran Iman dalam hidupnya adalah cinta paling ikhlas dan jujur yang pernah dirasainya. Kemudian muncul Ghazi, lelaki yang menagih cinta darinya. Kesungguhan, ketulusan dan sifat bertanggungjawab Ghazi membuatkan Sofi kalah. 

Namun kebahagiaan yang dikecapi tidak lama bila Amri, kekasih pertama Sofi hadir menagih kembali kasih lama mereka. Ghazi terkejut bila mengetahui rahsia yang disimpan Sofi selama ini tentang siapa Iman sebenarnya. Yang hairannya kenapa Sofi perlu berahsia. Rahsia yang dibawa Murni itu sekali gus menghancurkan impian Ghazi dan Sofi untuk hidup bersama.

“Cinta Sofi pada abang, cinta sampai mati. You are my other half. Takkan mudah Sofi nak hidup tanpa abang.”- Nur Amili Sofiya

“Abang bukan sekadar cintakan Sofi, tapi Sofi udara untuk abang. Sofi bulan dan matahari untuk abang. Abang tak boleh hidup kalau Sofi tak ada.” - Ghazi Hashim



Ulasanku:


Aisya Sofea antara novelis kegemaran aku. Aku mula membaca novelnya yang berjudul Jauh, Adam dan Hawa, Sehangat Asmara, Uda & Dara. Sejak itu aku memang suka membeli novel-novelnya. Derita Cinta kali ini novelnya agak berat. Macam mana tajuk novelnya derita begitu juga derita aku mahu menghadamkan keseluruhan novel ini.


Secara jujurnya, ceritanya agak berat. Kalau yang sedang dalam berada dalam situasi tertekan eloklah jangan membaca sebab watak-watak dalam novel ini membuatkan kita geram. Lebih-lebih lagi watak Amri. Bekas kekasih Sofiya. Tiba-tiba muncul dengan menyerahkan anaknya untuk dijaga Sofiya. Muncul secara tiba-tiba satu hal, tinggalkan anak berbulan-bulan tanpa diketahui identiti sebenar ayah si kecil kemudian muncul semula dengan membuat pengakuan dia adalah ayah si kecil.

Perangai memang minta nak kena pelangkung saja. Tak memasal emosi ketika aku membaca. Naskhah ini bagus kerana dia menyentuh perihal anak angkat, kisah ibu susuan dan juga nilai kasih sayang yang tidak boleh dijual beli.

Siapa kata novel tidak ada info yang berguna?

Dalam novel ini, ada diterangkan serba sedikit bagaimana mahu mengambil anak angkat di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga bagaimana mahu memulakan menjadi ibu susuan.

Apa pun, konflik dalam naskhah ini memang susah. Tahniah buat penulisnya. Bukan mudah untuk menulis sebenarnya.




Review Novel : Kan Kukejar Cinta Kamu



Tajuk : Kan Kukejar Cinta Kamu
Penulis: Fauziah Ashari
Penerbit: Intens
Tebal Halaman: 800


Ulasanku:


Penulis Ombak Rindu yang tidak pernah mengecewakan. Novel ini memaparkan kisah konflik keluarga. Naskhah yang berat kerana konfliknya juga berat. Novel yang membuatkan jiwa raga terseksa ketika menghadamkannya. Mengisahkan percintaan Alma dan Raiyan namun percintaan mereka terhalang akibat dendam keluarga. 

Satu-persatu penderitaan yang perlu Alma lalui seorang diri. Alma dan Raiyan yang berkahwin di luar negara iaitu Ireland tanpa pengetahuan keluarga. Hasrat mereka untuk mengeratkan silaturahim antara dua keluarga. Namun belum sempat mereka mengumumkan pernikahan mereka, Raiyan ditimpa kemalangan dan hilang ingatan.

Dalam cerita ini, watak nenek Raiyan iaitu Tharwati yang dipanggil Nek Bonda memang menjengkilkan. Dia seumpama 'Hitler'. Nek Bonda yang mengawal segala gerak geri Raiyan sehingga ibu Raiyan sendiri tidak berkuasa untuk melawan.

Novel ini menarik cumanya babak Alma-Raiyan itu agak membantutkan mood membaca. Jenuh juga aku mahu menghabiskan novel ini. Ada juga yang aku skip babnya kerana lelah dengan babak-babak yang tidak sepatutnya.

Novel ini pinjam sebenarnya jadi aku sedaya upaya juga menghabiskannya. 



Review Novel : Kepada Dia Dengan Cinta



Tajuk: Kepada Dia Dengan Cinta
Penulis: Marissa
Penerbit: Karya Seni
Tebal Halaman: 461
Rating : 4/5


Ulasanku:




Novel ini sebuah novel santai. Jadi untuk menghilangkan stres memang sesuai sangat buat bahan bacaan. Ceritanya tak berat jadi tak menyesakkan kepala.


Aku habiskan dalam masa 4 hari saja. Lagipun novelnya tidaklah tebal mana. Permulaan ceritanya memang menghiburkan. Aku baca sampaikan tersenyum-senyum sendiri.


Novel ini kisah seorang gadis bernama Darlina yang menyukai seorang jejaka bernama Naufal yang satu tempat kerja dengannya. Waktu ini boleh mengimbau kenangan zaman remaja di mana kita juga pernah melalui macam Darlina. Tiga tahun Darlina memendam rasa rupanya dia tidak bertepuk sebelah tangan.

Menarik bukan bila orang yang kita suka turut suka pada kita. Sepanjang membaca kisah mereka aku memang terhibur. Aku suka watak Darlina dan juga Naufal.


Darlina, cuma lepas kahwin wataknya agak menjengkelkan. Geram saja. Watak Naufal memang menarik. Lengkap lelaki idaman malaya.


Cumanya ada sesuatu yang berlaku sebelum mereka disatukan. Walaupun aku dapat mengagak plotnya sedikit tetapi penulis bijak sebab aku ada rasa untuk meneruskan pembacaannya.


“Sekali jatuh cinta, akan tetap cinta selamanya.”



Selamat membaca!



Tuesday, May 7, 2019

Review Novel : Sepahit Kopi Semanis Cham



Tajuk: Sepahit Kopi Semanis Cham
Penulis: Syima Syawal
Penerbit: Fajar Pakeer
Tebal Halaman: 628


Ulasanku:

Akhirnya buku pertama yang aku habiskan untuk pembukaan tahun baharu ini. Novel pertama aku baca daripada penulis ini. Aku tertarik untuk membeli novel ini berdasarkan sinopsisnya.

Kisah Dayang Irdina dan Fawwaz Radi yang permulaan pertemuannya agak dingin namun akhirnya perasaan itu mula bertukar menjadi cinta. Fawwaz Radi yang pada mulanya suka menyendiri kerana peristiwa yang berlaku ke atas dirinya telah berubah sepenuhnya setelah dia jatuh hati dengan Dayang.

Macam biasalah, setiap kebahagiaan pasti akan diuji. Dalam kisah mereka, Dayang difitnah atas sebab manusia yang berdendam. Waktu kejadian itu, aku rasa geram dengan Fawwaz Radi sebab dia tak beri peluang langsung pada Dayang untuk menjelaskan perkara sebenar.

Memang ada twist plot dalam novel ini. Aku sangkakan orang lain yang jahat. Rupanya ada orang lain yang lebih jahat atau dalam erti kata lain sebenarnya orang itu ‘sakit’.

Apa pun naskhah ini tidak menghampakan. Dayang seorang gadis yang tabah. Aku dapat rasa kekuatan dia mengharungi ujian yang melanda dirinya.

Penutupnya,

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata - HAMKA



Sunday, August 12, 2018

Novel Pulang Karya Lily Haslina Nasir Dan Tandatangan Remy Ishak

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Bukan main panjang lagi tajuk entri semata-mata nak tulis juga nama Remy Ishak kat tajuk. Perangai ko tak memadan. Untuk novel Pulang, aku ada dua buah naskhah. Satu memang aku sudah beli sewaktu ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tempoh hari. Novel Pulang ini aku sambar juga selepas aku menghabiskan duit di reruai Jemari Seni.

Kemudian tak sangka pula, aku dapat hadiah novel Pulang yang telah ditandatangani oleh Remy Ishak. Aku masuk peraduan kat Facebook. Masa tu silang kata. Adalah soalan-soalannya. Tak sangka pula aku boleh menang. Rezeki sungguh.

Macam tahu aje aku kemurungan satu hari gara-gara kulit buku novel terlipat. Mana tidaknya aku baca sambil baring. Sudahnya tertidur. Bangun-bangun novel bawah aku. Hahaha. Apa ke lasak bebenor tidurnya.

Aku selamat menghadamkan novel Pulang ini walaupun memakan masa yang agak lama. Bukan sebab naskah ini tidak menarik tetapi kekangan masa. Waktu itu bulan puasa. Ada perkara lain yang perlu aku dulukan. Kemudian lepas raya baru aku sambung semula. itu pun memang target nak habiskan sebelum filemnya ditayangkan di wayang.

No automatic alt text available.
Tandatangan Remy Ishak. Tandatangan Syafiq dah dapat, tandatangan Remy pun dah dapat. Lepas ni nak dapatkan sign Fattah pulak. Hahaha.

Cover novel yang menarik.

Aku habiskan baca novel ini selepas beberapa hari Pulang ditayangkan di wayang. Iklan Pulang yang dimainkan di kaca televisyen menarik minat aku. Tak senang duduk dibuatnya. Memang target nak pergi tengok filemnya.

Aku review novelnya dulu sementara aku belum pergi menonton filemnya. Novel Pulang ini adalah sebuah naskhah yang terbaik. Aku sangat kagum dengan penulisnya, Kak Lily Haslina Nasir ini. Garapannya sangat menarik. Setiap bab dimulakan dengan pantun yang manis-manis. Kisah percintaan Othman dan Che Thom sungguh agung. Novel ini penuh emosi. Gaya penulisan Kak Lily membawa aku menyelami watak Othman dan Che Thom. Aku tak tahulah macam mana gaya aku menonton filemnya nanti. Masa baca novel ini aku boleh membayangkan watak Remy dan Puteri Aishah sebagai Othman dan Che Thom. Pelbagai rasa yang hadir tatkala aku mengikuti kisah percintaan mereka. Kejap rasa suka, kejap rasa geram, kejap rasa marah dan kejap rasa sedih.

Aku dapat rasakan betapa saratnya rindu yang tidak tertanggung antara Othman dan Che Thom. Sehinggakan terdetik dalam hati, 'Oh, betapa susahnya zaman dulu.' Mereka terpisah kerana Othman mahu belayar. Terpisah sudah satu hal. Masalah komunikasi. Menanggung rindu. Sebuah penantian.

Oh, seksanya. 

Aku tak boleh move on lepas habis baca novel ini. Terbawa-bawa kisah mereka. Cukup mengusik tangkai hati ini. Tapi satu yang aku kagum, mungkin orang dulu-dulu begitu taat dan setianya mereka pada cinta. Berpegang pada janji. Walaupun terpisah begitu lama, cinta itu tetap utuh. Bukan macam pasangan sekarang, terpisah sekejap pun ada yang berskandal. Zaman sekarang lagi senang nak berhubung. Whatsapp ada, boleh call, boleh video call.

Aku baca penghujung novel ini ditemani dengan air mata. Meleleh air mata membasahi pipi. Begitu sebak penamat kisah percintaan Othman dan Che Thom. Sesungguhnya cinta mereka sangat kuat. Tunggu aku review filemnya pula. Apa-apa pun tahniah buat penulisnya yang berjaya menulis novel ini adaptasi daripada filem. Tabik sungguh!

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


Saturday, December 26, 2015

Review Novel Illina?Oh Irdina

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah...

Selamat malam. Eh jam sudah menunjukkan ke angka 12.27 pagi. Selamat pagilah kan. Aku macam biasa. Waktu-waktu ini adalah masa untuk aku melakukan aktiviti sendiri. Menulis blog, melakukan tugasan dan kadang membaca. Anak-anak sudah tidur, masa untuk emak pulak bersosial di rumah. Hehehe...

Baiklah, berbalik kepada tajuk entri. Dua tiga hari lepas, aku beli sebuah novel bertajuk Illina?Oh Irdina. Nampak di FB. Adalah orang share dan kongsikan serba sedikit sedutan daripada novel tersebut. Nampak menarik aje dan aku terus pm penulisnya iaitu Sutra De'wangi di FB. Sebelah pagi order kemudian petang tu penulisnya kata sudah pos dan hari rabu aku terima kalau tak silap aku.

Jadi, hari khamis kan cuti Maulidur Rasul. Hari tu lah baru aku mula membaca novel tersebut. Mula-mula cuak gak kut tak best ke kan tapi bila mula baca Bab 1 laju aje aku meneruskan ke bab-bab seterusnya. Menarik jugak jalan ceritanya. Tak kenal penulisnya pun tak apa janji ceritanya menarik. Betul tak? Dan aku sudah pun menghabiskan novel ini yang setebal 424 muka surat. Mencatat rekodlah. Sepanjang aku baca novel paling kurang pun lima hari barulah terkial-kial nak habis. Ini tidak! Semalam aku baca dan hari ini aku baca hingga penamatnya.

Inilah rupa novel Illina?Oh Irdina.

Titipan daripada penulis Sutra De'wangi. Sesuatu sangat ucapannya itu. Sesuai sangat kut dengan aku.

Baiklah serba-sedikit tentang novel Illina?Oh Irdina ini. Kisah Irdina yang bekerja di bank. Dia dibesarkan oleh uwannya dan uwannya di kampung pula bercadang mahu menjodohkan Irdina dengan Udo Jahar yang Irdina panggil U.J. Kemudiannya Irdina bertemu dengan Shawn seorang lelaki cina yang suka berkain pelekat sewatu Shawn datang ke bank. Shawn pula kerjanya sebagai DJ radio. Semenjak Irdina bertemu dengan Shawn, macam-macam benda yang jadi padanya. Shawn sudah jatuh hati dengan Irdina sebenarnya. Begitu juga dengan Irdina tetapi sebab Shawn selalu mengenakannya jadi ego Irdina menutup segalanya.

Memang tersenyum-senyum aje tatkala aku membaca setiap bab yang ada terselitnya si Shawn dan Irdina ni. Ada aje babak yang mencuit hati.

Ini pula cover belakang novel. Covernya pun nampak menarik.

Gambar ini aku ambil dari FB Sutra De'wangi. Pinjam ye! Inilah gambaran Shawn, Irdina dan U.J. Korang boleh terjah FB beliau di SINI pada sesiapa yang berminat mahu membeli novel ini. Cubalah beli. Pada aku memang terhibur kerana ceritanya ringan dan penulisannya begitu santai. Jadi dapatlah menghiburkan hati dengan membaca novel ini. Hilang kejap stress yang membelenggu diri. Hehehe... Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim

Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »