Sunday, August 18, 2024
Coretan Tengah Malam
Monday, January 16, 2023
16 Hari Dalam 2023
Assalamualaikum semua.
Setelah beberapa bulan atau mungkin ada dalam setahun tidak bersiaran di platform ini, aku kembali mencari semangat yang setelah sekian lama menghilang.
Semangat yang diragut oleh beberapa perkara. Sunggu waktu itu hanya memerlukan kekuatan diri dan orang sekeliling yang terdekat. Waktu itulah kita dapat tahu siapa yang betul-betul ikhlas dengan kita. Baru kita buka mata rupanya ada yang mungkin ambil kesempatan. Lepaskan dirinya. Menonjol untuk orang lain nampak kewujudannya.
Tak apalah, lupakan perkara yang lalu. Tahun ini sudah nekad untuk tidak memikirkan hal-hal yang tidak sepatutnya. Dalam tempoh lima bulan lagi, umur sudah mahu memasuki ke angka 4. Seorang sahabat pesan, umur dah 40-an ni kita kena chill chill aje. Ada perkara dalam dunia ini kita tak perlu respon.
Jadi, tahun ini aku cuba bangkit. Semoga dipermudahkan segala urusan aku dan juga keluarga. Semoga impian-impian kami akan dimakbulkan Allah dan Allah akan membuka lorong untuk kami melaksanakan dengan baik.
Saturday, July 2, 2022
Jun Menutup Tirainya
Assalamualaikum.
Setelah sekian lama tidak menitip kata-kata di sini. Semangat hilang sungguh lepas apa yang terjadi. Pemergian ayah memang memberi kesan. Bukan tidak reda cuma masa akan menentukan segalanya. Kemudian anak kedua dijangkiti covid-19. Selepas dia, aku pula dijangkiti pada 2 Ramadan 1443H. Dalam pada sedang kuarantin, terima berita yang kurang enak tentang 'surat amaran'.
Surat amaran itu mengajar aku tentang suatu perkara. Bukan semua orang yang baik depan kita akan menjadi orang belakang kita apabila kita didatangi susah dan masalah. Bukan semua orang mahu namanya dipalit sekali. Jadi dari situ, aku belajar sesuatu. Jaga diri sendiri dulu. Orang takkan pertahankan kita apabila berlaku sesuatu.
Okey, lupakan perihal itu. Aku dah lupakan pun walau ada sekelumit rasa terkilan tapi tak mengapalah. Jun adalah bulan kelahiran. Jadi biarlah aku lebih menilai diri sendiri yang sudah bertambah usia. Banyak muhasabahkan diri.
Kadang kita perlu menjaga diri kita terlebih dahulu. Apa sahaja yang berlaku pasti ada hikmahnya. Percayalah! Kita belajar sesuatu. Bukan kita nak menuding jari dan mungkin ada kesilapan yang berlaku daripada diri kita.
Ikutkan hati
Mahu melarikan diri
Mahu pergi jauh dari situ
Wednesday, February 23, 2022
Mencari Ruang Sendiri
Assalamualaikum.
Setelah sekian lama tidak menulis di blog. Saya ada saja di ruang media sosial. Paling mudah mencoret kenangan dan apa saja di Instagram. Baru malam ini saya duduk bertenang di depan komputer. Sebenarnya rindu. Mahu menghabiskan masa di depan komputer, mengetuk papan kekunci, meluahkan segalanya yang ada di dalam fikiran mahu pun jauh di sudut hati namun saya hanya mampu mengerling sudut yang terletak komputer, buku dan segala macam kesukaan saya di situ.
Seakan ada sesuatu yang menghalang saya untuk berbuat demikian dan akhirnya saya memilih untuk tidur. Buku dibawa ke hulur ke hilir tetapi tidak dibelek pun. Kadang belek sekadar saja. Tidak bersungguh pun membacanya.
Oh, entahlah kenapa!
Dalam fikiran, ada bermacam-macam perkara yang mahu dilakukan. Ya, sangat banyak. Tetapi satu pun tidak menjadi. Bulan kedua 2022 hampir ke penamat.
Sejauh mana saya sudah bertindak?
Tidak akan kemanalah saya jika begini. Orang kata keadaan sekeliling yang melelahkan membuatkan kita menjadi sebegini.
Mungkin ya.
Itulah yang kena tepis anasir-anasir negatif yang merosakkan diri kita sendiri. Kita perlu alihkan tumpuan kita supaya tidak hanyut dengan perkara-perkara yang menjatuhkan kita.
Baiklah, permulaan tahun ini dimulakan dengan kemunculan buku antologi cerpen Karau Rindu yang memuatkan 30 buah cerpen berkaitan rindu dan saya berharap buku ini dapat memberi semangat kepada saya agar terus menulis.
Doakan ya!
Saturday, January 8, 2022
Kita ke punca orang lain merempan?
2022, Setahun Lagi Yang Penuh Rahsia
Setahun lagi yang datangnya penuh rahsia. Baru lapan hari kita melalui tahun 2022. Perjalanannya masih panjang dan ada rasa debar juga di sudut hati memandangkan sejak dua tahun kebelakangan ini sering berlaku kejadian cemas dan panik secara tiba-tiba.
Jadi, perlu bersedia sahaja untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Saya kembali mengumpul semangat yang hilang sejak beberapa bulan yang lalu. Entah kenapa, apa saja yang saya suka suatu ketika dulu, saya jadi tidak suka. Memang tidak pandang langsung. Saya abaikan saja.
Pernah terbaca, jika kita menghadapi situasi begitu, sebenarnya kita kemurungan. Adakalanya kita sendiri tidak mengetahui sebenarnya kita sedang kemurungan. Mungkin saya ada sibukkan hal lain, jadi isu kemurungan itu tidak kelihatan sangat.
Aura sekeliling juga memainkan peranan penting yang mengundang kemurungan sebab saya sedang melalui satu situasi yang tidak berapa bagus di luar sana dan saya selalu berdoa agar situasi ini tidak berpanjangan. Saya masih bersyukur sebab ada pendengar setia yang hari-harinya kena menadah telinga untuk mendengar keluh-kesah saya. Itu yang membuatkan saya sedikit kuat.
Katanya, cerita saja pada dia. Itu yang selalu dipesan. Mungkin dia risau jika saya merempan tidak tentu hala. Hahaha. Saya kalau dah merempan tu maksudnya had sabar saya sudah hilang.
Tahun 2022, tiada apa yang saya azamkan sangat. Saya cuma mahu tamatkan manuskrip saya dan mahu mengembalikan tumpuan saya pada minat saya. Saya rindukan buku. Saya rindukan menulis.
Dan tahun ini, saya mahu lebih menghayati diri sendiri kerana tahun ini tahun akhir usia penghujung 30-an. Ini bermakna masa semakin sedikit. Sejauh mana amalan dan ibadahku. Itu yang selalu bermain-main di fikiran.
Saya mahu menjalani kehidupan sendiri dengan lebih tenang tanpa terpengaruh atau dipengaruhi oleh sesiapa. Semoga kehidupan kita tidak berlumba-lumba dengan sesiapa melainkan berlumba untuk kebaikan.
Selamat datang 2022!
Semoga yang baik-baik saja untuk setiap langkah kita pada tahun ini dan akan memperolehi bahagia di dunia dan juga di akhirat nanti.
Friday, August 27, 2021
22/2021 | Kepentingan Diri
Assalamualaikum.
Hiking di Tanjung Tuan |
Sejak akhir-akhir ini, ada beberapa orang teman atau mungkin dikira sahabat meluah rasa. Dikelilingi manusia yang mementingkan diri memang amat mencabar dan menyesakkan dada. Tersangatlah! Sampai kadang rasa 'annonying' dengan manusia sebegini. Macam peribahasa ada menyebut, bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
Mendengar keluh-kesah mereka, terasa macam dejavu. Rasa semua akan melalui dan menghadapi situasi sebegini. Berhadapan dengan manusia sebegini memerlukan kekuatan mental yang kuat. Silap hari bulan boleh buat hilang sabar.
Kata orang, jumpa orang baik-baik satu rezeki. Jika jumpa yang sebaliknya pun satu rezeki juga. Mungkin antara satu alamat untuk kita muhasabahkan diri agar kita tidak menjadi seperti itu.
Minggu lepas, sewaktu menerima kiriman Whatsapp daripada seseorang.
"Saya tak boleh nak hadam semuanya."
Saya balas, "Kenapa sama je cerita kita ni. Macam rasa dejavu pula baca mesej ni dengan apa yang berlaku hari ni."
"Sabar saya ada hadnya. Jangan sampai satu hari terlepas juga."
Suatu ketika dulu, saya pernah menghadapi situasi di mana saya tidak dapat ke pejabat kerana ketiadaan kereta. Apabila terdengar ada pertikaian di belakang, kenapa saya tak menaiki grab, saya pun akhirnya menaiki grab ke pejabat dan pada ketika itu apa yang mendesak saya untuk ke pejabat sebabnya ada mesyuarat tergempar. Tetapi sesampainya di pejabat, mesyuarat tidak jadi.
Tetapi apabila hari dipanggil dan bos menegur pasal kehadiran mesyuarat, tidak ada seorang pun yang bersuara siapa yang hadir ketika itu.
Kerana apa?
Orang yang sepatutnya bersuara untuk anak-anak buah tidak hadir, makanya tidak perlulah memberitahu perkara sebetulnya. Nanti nampak macam anak buah yang lebih kan. Saya cuba berhusnuzon pada ketika itu tapi itulah. Saya manusia. Adakalanya sisi jahat saya menidakkannya!
Saya bukan berdendam tetapi saya terasa. Sangat-sangat terasa. Ambil masa juga waktu itu untuk melapangkan dada, memaafkan. Sebab saya ada sekali sewaktu kejadian, jadi saya lihat, saya dengar, saya cuba menghadamkan tentang mereka.
Ada saja bermacam-macam gaya dan perangai manusia. Adakalanya mendengar luahan rakan-rakan, ada sebahagiannya pernah saya hadapi. Jadi apa yang saya sarankan supaya bertabah dan bersabar.
Biasalah, ada manusia yang mahu menjaga namanya sahaja. Nama orang lain peduli apa kan. Konsepnya jaga nama sendiri. Begitulah kalau dilihat.
'Janji diri aku ke depan.'
'Janji bos nampak aku.'
Sabar tu bukan mudah tapi sebolehnya belajar untuk bersabar. Cuma risau apabila amarah itu muncul pasti ledakannya bagai gunung berapi.
Sabar seseorang ada limitnya.
Silap haribulan kalau hilang sabar mahu terbang segalanya. Dalam masa pandemik dan wabak yang semakin menggila ini, seeloknya banyak pujuk hati. Zikir banyak-banyak takut hati hitam. Pesan seorang sahabat, zaman pandemik ni kena jaga hati masing-masing. Semoga asbab kita mendorong diri untuk tidak melayan perkara-perkara begini akan memudahkan urusan kita di dunia dan juga akhirat. Waktu-waktu begini, kita perlu menjaga emosi kita supaya tidak menjerumuskan diri dengan stres. Stres yang tidak terkawal lama-lama akan menjadi depresi.
Sekian.