Friday, August 27, 2021

22/2021 | Kepentingan Diri

 Assalamualaikum.

Hiking di Tanjung Tuan

Sejak akhir-akhir ini, ada beberapa orang teman atau mungkin dikira sahabat meluah rasa. Dikelilingi manusia yang mementingkan diri memang amat mencabar dan menyesakkan dada. Tersangatlah! Sampai kadang rasa 'annonying' dengan manusia sebegini. Macam peribahasa ada menyebut, bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Mendengar keluh-kesah mereka, terasa macam dejavu. Rasa semua akan melalui dan menghadapi situasi sebegini. Berhadapan dengan manusia sebegini memerlukan kekuatan mental yang kuat. Silap hari bulan boleh buat hilang sabar.

Kata orang, jumpa orang baik-baik satu rezeki. Jika jumpa yang sebaliknya pun satu rezeki juga. Mungkin antara satu alamat untuk kita muhasabahkan diri agar kita tidak menjadi seperti itu.

Minggu lepas, sewaktu menerima kiriman Whatsapp daripada seseorang.

"Saya tak boleh nak hadam semuanya."

Saya balas, "Kenapa sama je cerita kita ni. Macam rasa dejavu pula baca mesej ni dengan apa yang berlaku hari ni."

"Sabar saya ada hadnya. Jangan sampai satu hari terlepas juga."

Suatu ketika dulu, saya pernah menghadapi situasi di mana saya tidak dapat ke pejabat kerana ketiadaan kereta. Apabila terdengar ada pertikaian di belakang, kenapa saya tak menaiki grab, saya pun akhirnya menaiki grab ke pejabat dan pada ketika itu apa yang mendesak saya untuk ke pejabat sebabnya ada mesyuarat tergempar. Tetapi sesampainya di pejabat, mesyuarat tidak jadi. 

Tetapi apabila hari dipanggil dan bos menegur pasal kehadiran mesyuarat, tidak ada seorang pun yang bersuara siapa yang hadir ketika itu. 

Kerana apa?

Orang yang sepatutnya bersuara untuk anak-anak buah tidak hadir, makanya tidak perlulah memberitahu perkara sebetulnya. Nanti nampak macam anak buah yang lebih kan. Saya cuba berhusnuzon pada ketika itu tapi itulah. Saya manusia. Adakalanya sisi jahat saya menidakkannya!

Saya bukan berdendam tetapi saya terasa. Sangat-sangat terasa. Ambil masa juga waktu itu untuk melapangkan dada, memaafkan. Sebab saya ada sekali sewaktu kejadian, jadi saya lihat, saya dengar, saya cuba menghadamkan tentang mereka.

Ada saja bermacam-macam gaya dan perangai manusia. Adakalanya mendengar luahan rakan-rakan, ada sebahagiannya pernah saya hadapi. Jadi apa yang saya sarankan supaya bertabah dan bersabar.

Biasalah, ada manusia yang mahu menjaga namanya sahaja. Nama orang lain peduli apa kan. Konsepnya jaga nama sendiri. Begitulah kalau dilihat.

'Janji diri aku ke depan.' 

'Janji bos nampak aku.'

Sabar tu bukan mudah tapi sebolehnya belajar untuk bersabar. Cuma risau apabila amarah itu muncul pasti ledakannya bagai gunung berapi.

Sabar seseorang ada limitnya.

Silap haribulan kalau hilang sabar mahu terbang segalanya. Dalam masa pandemik dan wabak yang semakin menggila ini, seeloknya banyak pujuk hati. Zikir banyak-banyak takut hati hitam. Pesan seorang sahabat, zaman pandemik ni kena jaga hati masing-masing. Semoga asbab kita mendorong diri untuk tidak melayan perkara-perkara begini akan memudahkan urusan kita di dunia dan juga akhirat. Waktu-waktu begini, kita perlu menjaga emosi kita supaya tidak menjerumuskan diri dengan stres. Stres yang tidak terkawal lama-lama akan menjadi depresi.

Sekian.

Thursday, August 26, 2021

21/2021 | Ulasan Novel : 9 Nyawa

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Baru berkesempatan untuk menulis malam ini. Minggu lepas, saya teramat sibuk. Minggu huru-hara bagi saya. Saya mengejar masa nak siapkan tugasan portfolio Kursus Asuhan & Didikan Awal Kanak-kanak (KAP). Mana nak siapkan kerja praktikum. Saya menjalani Latihan Praktikum selama lima hari.

Kenalah mencari kanak-kanak ribena untuk dijadikan anak buah. Semestinya anak-anak buah saya yang menjadi anak murid saya. Alhamdulillah, walau dalam keadaan huru-hara, bantuan rakan-rakan KAP amat saya hargai terutama Yatt. Segala macam soalan saya tanya dia. 

Okeylah, pasal KAP nanti saya kongsikan lagi. Malam ini saya kongsikan sebuah lagi novel karya Ramlee Awang Murshid.


9 Nyawa karya Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Buku Prima
Harga : RM25.00 (SM)/RM28.00 (SS)
Jumlah Halaman : 517 muka surat

Mata hati tidak pernah berdusta

Novel ini agak sukar diteka jalan ceritanya. Macam biasa Ramlee Awang Murshid seorang yang bagus dalam berkarya. Untuk menghadamkan novel setebal 517 muka surat, memerlukan fokus kerana penceritaannya mengikut watak dan ditemukan dalam satu kejadian. Kali ini RAM membawa pembaca ke Kota Singa dan Indonesia selain lokasi penceritaannya di Malaysia.

Mengisahkan Intan Suryani yang mempunyai masalah jantung. Sering terjadi kemalangan pada Intan namun masih terselamat sehingga ibunya mempercayai tentang 9 Nyawa seperti nyawa seekor kucing. Ibunya menjadi trauma selepas kemalangan ngeri yang meragut nyawa suaminya. 

Hakim seorang yang buta. Dia tinggal di Singapura. Sebenarnya, kecacatan yang dialami oleh Hakim bukan sejak lahir tetapi matanya buta akibat satu kejadian. Kejadian yang meragut nyawa kedua ibu bapanya. Dia seperti hilang ingatan tetapi sebenarnya dia cuba tidak mahu mengingati kejadian itu.

Khairil seorang lelaki yang telah mencuri hati Intan. Intan menerima lamaran Khairil setelah dia mendapat lelaki itu terlalu baik buatnya. Ibunya terpaksa akur dengan pilihan Intan walaupun pada awalnya Azizah tidak bersetuju dengan pilihan anaknya.

Novel ini membawa pengajaran dari sudut tersurat mahu pun tersirat. Apa yang kita sangka baik sebenarnya dia hanyalah bertopengkan manusia. Adakalanya seseorang yang baik dengan kita kemungkinan dia mempunyai agenda jahat.

Begitu juga dalam novel ini. Kerana mahu membolot harta orang, manusia sanggup berbuat apa sahaja. Sanggup melakukan perkara jahat sehingga melupakan Tuhan.

Jika anda mahu mengetahui apa yang saya maksudkan, bolehlah membaca naskhah ini sendiri. Saya masih kagum dengan karya RAM yang di luar jangkaan.

Sekian.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim

Tuesday, August 17, 2021

20/2021 | Ulasan Buku : Winter D'Riyadh

Assalamualaikum.

Hai semua.

Baru berkesempatan mahu menulis entri seterusnya. Kali ini mahu berkongsikan buku non-fiksyen. Sebuah buku travelog tulisan Fauziah Abdul Hamid. Saya beli di Shopee dari Jejak Tarbiah. Sangat menarik kerana buku-buku yang diterima dari Jejak Tarbiah dibungkus dalam kotak cantik. Seolah-olah dalam gift box.

Jadi semasa saya jalan-jalan secara alam maya di Shopee, saya tertarik dengan buku ini. Memandangkan saya ada impian untuk ke Arab Saudi, saya belilah buku travelognya.


Winter D'Riyadh karya Fauziah Abdul Hamid

Penerbit : Ziasaf Mind Ventures
Harga : RM28
Jumlah Halaman : 217 muka surat

Apa kata saya?

Buku travelog yang menarik kerana membawa kita ke Arab Saudi. Penulis mengikut suaminya yang bertugas di sana. Saya dapat mengetahui serba-sedikit tentang kehidupan di Riyadh. Bagaimana masyarakat di sana menjalani kehidupan harian. Bagaimana cara pemakaian mereka. Bagaimana adat mereka.

Cara penulis menyampaikan kisah-kisah sepanjang tiga tahun di Riyadh sangat menarik. Seakan boleh membayangkan diri sendiri di sana. Sewaktu penulis berkongsi cerita sewaktu pengalaman beliau mula tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, beliau mengalami masalah pengecaman cap jari. Part ini sama macam saya yang mempunyai masalah pengecaman cap jari. Setiap kali jika perlu melalui pengecaman cap jari pasti akan timbul masalah.

Selain itu, saya dapat mengetahui di Riyadh tiada sambutan perayaan agama lain selain Aidilfitri dan Aidiladha sahaja. Wanita di Arab agak tersekat untuk bekerja kerana isu memandu. Di sana, golongan wanita lebih terjaga. Dari segi pemakaian, pergerakan dan juga pergaulan. Banyak perkara yang disentuh dalam naskhah ini. 

Suka 'kata-kata' dalam buku ini.

Kawan-kawan lama adalah emas.
Kawan-kawan baru adalah berlian.
Jika anda mendapat sebutir berlian,
jangan lupa emas tersebut kerana untuk memegang
sebutir berlian, anda sentiasa memerlukan tapak emas.

                                                [Ustaz Dr. Zahazan Mohamed]

Buku ini sesuai untuk bacaan santai dan sesuai untuk semua lapisan umur. Baik yang muda mahu pun dewasa. Jika yang suka buku tavelog, saya sarankan untuk membaca travelog ini. Harapan saya agar impian untuk menjejak kaki ke tanah Arab akan dimakbulkan.

Salam pena,
Fyda Adim

Wednesday, August 4, 2021

19/2021 | Ulasan Novel : Suara Hati

Assalamualaikum.

Kembali lagi dengan entri ulasan novel. Untuk bulan Januari saya dapat menghabiskan empat buah buku. Tiga buah buku fiksyen dan sebuah buku travelog. Jadi, ini buku fiksyen ketiga yang dapat saya habiskan untuk Julai.

Sedikit ringkasan saja. Saya beli novel ini secara preloved dengan seorang penjual di Instagram. Agak mencabar juga ketika mencari novel ini. Kebanyakkan sudah habis. Maklumlah novel lama. Mari saya ceritakan sedikit mengenai novel Suara Hati.

Suara Hati karya Anis Ayuni

Penerbit : Alaf 21
Harga : RM20
Jumlah Halaman : 327 muka surat

Pertama sekali novel ini novel lama. Diterbitkan pada tahun 2002 tetapi sebab novel ini diadaptasi ke drama membuatkan perasaan ingin membaca membuak-buak. Tambahan lagi hero dalam dramanya adalah Syafiq Kyle. Peminatnya mestilah baca sekali novelnya. Itu yang membuatkan saya mencari juga novel ini.

Novel ini tidak tebal mana. Nipis sahaja. Novel dulu-dulu seperti novel Aisya Sofea, berjudul Jauh. Nipis juga tapi ceritanya sampai. Begitu juga dengan novel Suara Hati.

Menggunakan POV1 membuatkan lebih dekat ketika saya membacanya. Saya lebih suka membaca novel yang menggunakan POV1. Tak pasti kenapa mungkin penggunaan 'aku' membuatkan terasa diri sendiri yang membawa watak tersebut. Over sangat!

Akan ku rahsikan rasa cintaku padamu jauh di lubuk hati

Kisah percintaan semestinya. Baca tagline pun sudah boleh agak. Bermula dengan perkenalan Hani Jalina dan Harris namun keluarga Hani sudah mempunyai calon buat Hani. Dalam pada Hani tidak mahu menerimanya, Harris pula menghilangkan diri.

Ke manakah perginya Harris?

Akhirnya, Hani menerima pilihan keluarganya yang bernama Naim. Mereka hidup bahagia walau pilihan keluarga namun kebahagiaan mereka hilang apabila Naim pulang ke negeri abadi secara tiba-tiba.

Hani hilang arah. Dikurniakan dua orang cahaya mata dan Hani meneruskan hidup sehinggalah Harris muncul kembali. Plot ceritanya tidak berbelit dan saya boleh jangka tetapi terasa Harris begitu setia pada Hani. Watak Harris terasa sangat dekat. Harris kembali menagih cinta Hani.

Plot antara novel dan drama sedikit berlainan namun saya rasakan kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri. Saya dapat habiskan novel ini dalam masa tiga hari sebab terasa nak tahu bagaimana Hani menerima Harris semula.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim

Tuesday, August 3, 2021

18/2021 | Ulasan Novel : Haura

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Kembali bersiaran dengan menulis sedikit ulasan novel. Saya tak berapa pandai nak mengulas tapi setakat kongsi sikit-sikit apa yang patut, bolehlah kan. Bulan Julai dapat baca dua buah novel Ramlee Awang Murshid. Selepas ADAM, saya meneruskan ke novelnya yang lain.

Beli dalam Mac tahun ini tapi barulah sampai seru nak membacanya. Masa membeli novel ini pun sebab tertarik baca sinopsisnya.


Haura Karya Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Buku Prima
Harga : RM26.00 (SM)/RM29.00 (SS)
Jumlah Halaman : 417 muka surat

Bismillah...Aku Mencintaimu

Novel Haura adalah karya penulis terkenal. RAM sentiasa menghidangkan kisah Thriller. Itulah antara sebab saya lambat terjebak dengan karya-karya RAM. Namun kisah Haura ini sedikit berlainan. Elemen cinta diselitkan dalam naskhah ini cumanya elemen cinta itu tidaklah terlalu jiwang meleleh. Tidak sama sekali.

Naskhah kali ini membuatkan saya perlu bersabar untuk menghabiskannya. Latarnya kali ini dibawa ke Australia. Macam biasa, terasa seperti berjalan-jalan di negara itu. Saya perlu fokus kerana banyak yang flashback. Sesekali memang saya lost. Kena ulang balik. Sedikit menganggu pembacaannya sebab nak bagi sendiri faham. 

Kisah ini bermula apabila Fahmi bercinta dengan Waheeda namun percintaan mereka terputus apabila Waheeda bertemu jodoh semasa menyambung pelajarannya di Australia. Fahmi kecewa namun dia bangkit apabila dia dapat menunaikan hasratnya membuka restoran.

Fahmi bertemu jodoh dengan Jessica sewaktu Fahmi ke Australia. Kekecewaan Fahmi membuatkan Fahmi menjadi seorang yang lain. Plotnya memang tidak dapat diteka dari awal berbanding novel ADAM.

Naura terdapat plot twist dan tidak terjangka pun. Ya, saya tidak dapat meneka dan eh dia ke Haura yang dimaksudkan apabila Jessica didatangi mimpi yang pelik-pelik. Jessica terlibat dalam kemalangan dan dia hilang ingatan. Lebih lagi dia tidak mengingati tentang Fahmi.

Dari situ perasaan ingin tahu dan mahu habiskan hingga ke penamatnya. Siapa Haura sebenarnya? Siapa Fahmi sebenarnya?

Antara ayat-ayat yang sangat dekat di hati. Saya kongsikan sedikit sedutannya di sini.

"Hidup ini pilihan. Andai kita memilih keburukan makan keburukan juga yang akan pulang kepada kita. Andai kita memilih kebaikan maka kebaikan itu sendiri akan kita miliki sungguhpun mengambil masa yang lama."


Sunday, August 1, 2021

17/2021 : Buku Selesai Baca Bulan Julai

Assalamualaikum.

Selamat datang Ogos.

Bulan baharu.
Harapan baharu.
Sudah tentunya semangat baharu.

Baiklah, sekadar entri pendek untuk pembuka Ogos ini. Mahu berkongsi tentang buku yang berjaya dibaca sepanjang bulan Julai. Tak banyak pun jika dibandingkan dengan orang lain. Melihat di IG ramai yang berkongsi buku-buku yang mereka selesai baca bulan Julai.

Saya ni memang tak laju pembacaannya sebab selalunya mesti tertidur jika membaca. Macam biasalah kan perangainya.

Jadi, inilah buku-buku yang berjaya dihadamkan. Tiga buah fiksyen dan sebuah buku travelog. Tak sangka juga dapat habiskan empat buah dalam bulan Julai. Nanti saya tuliskan sedikit resensi tentang buku-buku tersebut.

Itu sahaja untuk malam ini. Untuk pembuka Ogos, saya sudah mula membaca sebuah novel yang berjudul 9 Nyawa. Cuba teka siapa penulisnya?

Salam pena,
Fyda Adim

Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »