Showing posts with label Ulasan Novel. Show all posts
Showing posts with label Ulasan Novel. Show all posts

Thursday, August 26, 2021

21/2021 | Ulasan Novel : 9 Nyawa

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Baru berkesempatan untuk menulis malam ini. Minggu lepas, saya teramat sibuk. Minggu huru-hara bagi saya. Saya mengejar masa nak siapkan tugasan portfolio Kursus Asuhan & Didikan Awal Kanak-kanak (KAP). Mana nak siapkan kerja praktikum. Saya menjalani Latihan Praktikum selama lima hari.

Kenalah mencari kanak-kanak ribena untuk dijadikan anak buah. Semestinya anak-anak buah saya yang menjadi anak murid saya. Alhamdulillah, walau dalam keadaan huru-hara, bantuan rakan-rakan KAP amat saya hargai terutama Yatt. Segala macam soalan saya tanya dia. 

Okeylah, pasal KAP nanti saya kongsikan lagi. Malam ini saya kongsikan sebuah lagi novel karya Ramlee Awang Murshid.


9 Nyawa karya Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Buku Prima
Harga : RM25.00 (SM)/RM28.00 (SS)
Jumlah Halaman : 517 muka surat

Mata hati tidak pernah berdusta

Novel ini agak sukar diteka jalan ceritanya. Macam biasa Ramlee Awang Murshid seorang yang bagus dalam berkarya. Untuk menghadamkan novel setebal 517 muka surat, memerlukan fokus kerana penceritaannya mengikut watak dan ditemukan dalam satu kejadian. Kali ini RAM membawa pembaca ke Kota Singa dan Indonesia selain lokasi penceritaannya di Malaysia.

Mengisahkan Intan Suryani yang mempunyai masalah jantung. Sering terjadi kemalangan pada Intan namun masih terselamat sehingga ibunya mempercayai tentang 9 Nyawa seperti nyawa seekor kucing. Ibunya menjadi trauma selepas kemalangan ngeri yang meragut nyawa suaminya. 

Hakim seorang yang buta. Dia tinggal di Singapura. Sebenarnya, kecacatan yang dialami oleh Hakim bukan sejak lahir tetapi matanya buta akibat satu kejadian. Kejadian yang meragut nyawa kedua ibu bapanya. Dia seperti hilang ingatan tetapi sebenarnya dia cuba tidak mahu mengingati kejadian itu.

Khairil seorang lelaki yang telah mencuri hati Intan. Intan menerima lamaran Khairil setelah dia mendapat lelaki itu terlalu baik buatnya. Ibunya terpaksa akur dengan pilihan Intan walaupun pada awalnya Azizah tidak bersetuju dengan pilihan anaknya.

Novel ini membawa pengajaran dari sudut tersurat mahu pun tersirat. Apa yang kita sangka baik sebenarnya dia hanyalah bertopengkan manusia. Adakalanya seseorang yang baik dengan kita kemungkinan dia mempunyai agenda jahat.

Begitu juga dalam novel ini. Kerana mahu membolot harta orang, manusia sanggup berbuat apa sahaja. Sanggup melakukan perkara jahat sehingga melupakan Tuhan.

Jika anda mahu mengetahui apa yang saya maksudkan, bolehlah membaca naskhah ini sendiri. Saya masih kagum dengan karya RAM yang di luar jangkaan.

Sekian.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim

Wednesday, August 4, 2021

19/2021 | Ulasan Novel : Suara Hati

Assalamualaikum.

Kembali lagi dengan entri ulasan novel. Untuk bulan Januari saya dapat menghabiskan empat buah buku. Tiga buah buku fiksyen dan sebuah buku travelog. Jadi, ini buku fiksyen ketiga yang dapat saya habiskan untuk Julai.

Sedikit ringkasan saja. Saya beli novel ini secara preloved dengan seorang penjual di Instagram. Agak mencabar juga ketika mencari novel ini. Kebanyakkan sudah habis. Maklumlah novel lama. Mari saya ceritakan sedikit mengenai novel Suara Hati.

Suara Hati karya Anis Ayuni

Penerbit : Alaf 21
Harga : RM20
Jumlah Halaman : 327 muka surat

Pertama sekali novel ini novel lama. Diterbitkan pada tahun 2002 tetapi sebab novel ini diadaptasi ke drama membuatkan perasaan ingin membaca membuak-buak. Tambahan lagi hero dalam dramanya adalah Syafiq Kyle. Peminatnya mestilah baca sekali novelnya. Itu yang membuatkan saya mencari juga novel ini.

Novel ini tidak tebal mana. Nipis sahaja. Novel dulu-dulu seperti novel Aisya Sofea, berjudul Jauh. Nipis juga tapi ceritanya sampai. Begitu juga dengan novel Suara Hati.

Menggunakan POV1 membuatkan lebih dekat ketika saya membacanya. Saya lebih suka membaca novel yang menggunakan POV1. Tak pasti kenapa mungkin penggunaan 'aku' membuatkan terasa diri sendiri yang membawa watak tersebut. Over sangat!

Akan ku rahsikan rasa cintaku padamu jauh di lubuk hati

Kisah percintaan semestinya. Baca tagline pun sudah boleh agak. Bermula dengan perkenalan Hani Jalina dan Harris namun keluarga Hani sudah mempunyai calon buat Hani. Dalam pada Hani tidak mahu menerimanya, Harris pula menghilangkan diri.

Ke manakah perginya Harris?

Akhirnya, Hani menerima pilihan keluarganya yang bernama Naim. Mereka hidup bahagia walau pilihan keluarga namun kebahagiaan mereka hilang apabila Naim pulang ke negeri abadi secara tiba-tiba.

Hani hilang arah. Dikurniakan dua orang cahaya mata dan Hani meneruskan hidup sehinggalah Harris muncul kembali. Plot ceritanya tidak berbelit dan saya boleh jangka tetapi terasa Harris begitu setia pada Hani. Watak Harris terasa sangat dekat. Harris kembali menagih cinta Hani.

Plot antara novel dan drama sedikit berlainan namun saya rasakan kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri. Saya dapat habiskan novel ini dalam masa tiga hari sebab terasa nak tahu bagaimana Hani menerima Harris semula.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim

Tuesday, August 3, 2021

18/2021 | Ulasan Novel : Haura

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Kembali bersiaran dengan menulis sedikit ulasan novel. Saya tak berapa pandai nak mengulas tapi setakat kongsi sikit-sikit apa yang patut, bolehlah kan. Bulan Julai dapat baca dua buah novel Ramlee Awang Murshid. Selepas ADAM, saya meneruskan ke novelnya yang lain.

Beli dalam Mac tahun ini tapi barulah sampai seru nak membacanya. Masa membeli novel ini pun sebab tertarik baca sinopsisnya.


Haura Karya Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Buku Prima
Harga : RM26.00 (SM)/RM29.00 (SS)
Jumlah Halaman : 417 muka surat

Bismillah...Aku Mencintaimu

Novel Haura adalah karya penulis terkenal. RAM sentiasa menghidangkan kisah Thriller. Itulah antara sebab saya lambat terjebak dengan karya-karya RAM. Namun kisah Haura ini sedikit berlainan. Elemen cinta diselitkan dalam naskhah ini cumanya elemen cinta itu tidaklah terlalu jiwang meleleh. Tidak sama sekali.

Naskhah kali ini membuatkan saya perlu bersabar untuk menghabiskannya. Latarnya kali ini dibawa ke Australia. Macam biasa, terasa seperti berjalan-jalan di negara itu. Saya perlu fokus kerana banyak yang flashback. Sesekali memang saya lost. Kena ulang balik. Sedikit menganggu pembacaannya sebab nak bagi sendiri faham. 

Kisah ini bermula apabila Fahmi bercinta dengan Waheeda namun percintaan mereka terputus apabila Waheeda bertemu jodoh semasa menyambung pelajarannya di Australia. Fahmi kecewa namun dia bangkit apabila dia dapat menunaikan hasratnya membuka restoran.

Fahmi bertemu jodoh dengan Jessica sewaktu Fahmi ke Australia. Kekecewaan Fahmi membuatkan Fahmi menjadi seorang yang lain. Plotnya memang tidak dapat diteka dari awal berbanding novel ADAM.

Naura terdapat plot twist dan tidak terjangka pun. Ya, saya tidak dapat meneka dan eh dia ke Haura yang dimaksudkan apabila Jessica didatangi mimpi yang pelik-pelik. Jessica terlibat dalam kemalangan dan dia hilang ingatan. Lebih lagi dia tidak mengingati tentang Fahmi.

Dari situ perasaan ingin tahu dan mahu habiskan hingga ke penamatnya. Siapa Haura sebenarnya? Siapa Fahmi sebenarnya?

Antara ayat-ayat yang sangat dekat di hati. Saya kongsikan sedikit sedutannya di sini.

"Hidup ini pilihan. Andai kita memilih keburukan makan keburukan juga yang akan pulang kepada kita. Andai kita memilih kebaikan maka kebaikan itu sendiri akan kita miliki sungguhpun mengambil masa yang lama."


Tuesday, June 15, 2021

11/2021 | Ulasan Novel : Juita, Satu dalam Sejuta

Assalamualaikum.

Hai semua.

Untuk bulan Jun, saya dapat menghabiskan sebuah novel berjudul Juita, Satu dalam Sejuta. Pertama kali membaca karya penulis ini. Sebenarnya, novel ini saya beli sudah bertahun. Saya beli pada 11 Januari 2018. Setiap buku yang saya beli memang akan dicatitkan tarikh pembeliannya. Itu yang saya tahu sudah berapa lama saya membelinya.

Saya tertarik untuk membaca novel tulisan Kamalia ini apabila melihat seorang pembaca yang berkongsi tentang karya penulis ini. Jadi saya teringat tentang novel ini. Itu yang mendorong saya terus membacanya selepas menamatkan novel Kekasih Waktu.

Berderet-deret novel keluaran Jemari Seni yang saya baca. Biasalah, siapa yang tahu Jemari Seni dulu sebuah syarikat yang glamer juga. Banyak juga koleksi novel saya daripada Jemari Seni. Jemari Seni adalah kepunyaan Noor Suraya.

Tanpa berlengah, mari saya kongsikan sedikit sebanyak tentang novel Juita, Satu dalam Sejuta.


Juita, Satu dalam Sejuta karya Kamalia


Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM27 (SM)/RM30 (SS)
Jumlah halaman: 532 muka surat


Ulasanku:

Apa yang menarik sebab cover novel ini berwarna merah jambu. Ya, saya peminat warna pink! Novel ini diterbitkan pada tahun 2017. Sekitar Ogos 2017. Novel ini mengisahkan tentang Juita, gadis berusia sekitar 30-an. Apa yang lebih menarik dalam novel ini watak-watak yang wujud adalah pencinta buku juga. Itu yang bertambah menarik. Watak lain adalah Aliff, Nabil Fadhlan dan Anggerik. Ini adalah watak-watak yang diutamakan. Selain daripada pencinta buku, salah seorang wataknya adalah novelis. Tetapi ada satu sebab kisah ini mahu ditamatkan secepat mungkin pembacaannya. Watak-watak yang ada itu, dua daripadanya sangat misteri. Hati seakan mengatakan seorang itu yang penuh agenda. Sekejap lagi hati mengatakan dia baik. Begitulah sepanjang pembacaannya sebab sering tertanya-tanya adakah 'watak ini' yang antagonis. 

Ada masa geram juga dengan watak Juita. Bukan sebab apa, Aliff tu sangat prihatin pada dirinya namun Nabil juga yang didambakan. Geram tau. Tapi itulah, adakalanya jika ada perkara yang tidak terluah kita akan lebih bersangka-sangka. Begitu juga dengan Aliff dan Juita. Macam Aliff, dia suka pada Juita tapi dia tidak meluahkan perasaannya.

Macam geram sangat. Saya yang membacanya sampaikan tercakap sendiri. Cakaplah, ko suka dengan Juita. Apa yang susah sangat. Hah, begitu sekali emosinya. Bertambah emosi apabila Aliff mengambil keputusan untuk berkahwin dengan seorang perempuan bernama Anum merangkap peminat Aliff. Nak tahu Aliff tu siapa kena baca sampai habis. Macam tak sangka, eh dia ni!

Novel ini memang perlu fokus pembacaannya sebab nak kena betul-betul fahamkan jalan ceritanya. Sebab apa? Novel ini banyak imbas kisah lalu. Kemudian ada dua orang cuba menyampaikan kisah lalu pada Juita dan Aliff. Jadi nak kena tahu siapa yang berada di pihak yang betul.

Salah seorangnya rupanya adalah pesakit Delusi. 

Saya dapatkan makna Delusi daripada web INI. Bolehlah baca lebih lanjut di web berkenaan. Saya cuba letakkan maksud Delusi sahaja. Harap membantu.

Apa itu delusi dan halusinasi?

Delusi adalah jenis gangguan mental di mana penderitanya tidak dapat membedakan kenyataan dan imajinasi, sehingga ia meyakini dan bersikap sesuai dengan hal yang ia pikirkan. Sedangkan halusinasi merupakan gejala yang ditandai dengan adanya sensasi yang diproses oleh otak dan dapat mempengaruhi kerja indra seseorang.

Berdasarkan pengertian tersebut, baik delusi dan halusinasi adalah kondisi dimana seseorang mengalami hal yang tidak nyata. Delusi adalah gangguan mental yang menyebabkan seseorang meyakini sesuatu yang sebenarnya tidak terjadi sedangkan halusinasi merupakan gejala saat indra seseorang mengalami hal yang tidak nyata.

Itu sahaja ulasan novel Juita, Satu dalam Sejuta. Bolehlah bacanya jika mahu mengetahui apa pengakhiran kisah Juita dan Aliff. Novel yang tidak berat dan boleh dibaca untuk semua peringkat umur.


Salam pencinta buku,
Fyda Adim



Wednesday, June 9, 2021

10/2021 | Ulasan Novel : Kekasih Waktu

Assalamualaikum.

Hai. 

Saya kembali di sini setelah berbulan tidak menulis. Ya, banyak benda berlaku sepanjang kehilangan saya. Hahaha. Ada yang mencari tak? Saya cuti dua bulan menjaga orang tua. Memandangkan tiada komputer dan line internet pun alahai menyakitkan hati, jadi lupakanlah aktiviti menulis.

Lagi pun, sepanjang cuti di rumah saya sibuk membuat kuih. Maklumlah, dua bulan tidak bergaji haruslah dicari pendapatan lain. Jadi saya dekat dengan mereka. Alhamdulillah, suami mengizinkan saya untuk bercuti. Sepanjang dua bulan, memang saya sibuk dengan kerja yang lain.

Aktiviti membaca?

Membaca pun tidak sempat. Sebabnya saya sibuk menyiapkan tempahan biskut raya yang berbotol-botol. Mujurlah anak sedara membantu. Ringan sedikit ada yang membantu.

Baiklah, novel kedua baru sahaja dihabiskan bulan lepas selepas berhempas-pulas menyiapkan biskut raya. Selain biskut raya, saya ada juga menjual cheesetart dan juga lasagna.

Saya kongsikan novel kedua yang berjaya saya habiskan setelah terhenti pembacaannya. Memang tidak boleh fokus. Jadi saya terpaksa hentikan dulu pembacaan saya.


Kekasih Waktu karya Noor Suraya

Penerbit: JS Adiwarna
Harga: RM25 (SM)/RM28 (SS)
Jumlah halaman: 418 muka surat

Novel Noor Suraya ini sekali lagi membuatkan aku sebak. Sekali lagi kisah Farhana dibawa dalam novel ini.

Lima bintang untuk Kekasih Waktu; bukan sebab Noor Suraya tetapi ceritanya memang menarik.

Kali ini kisah Farhana kembali berumahtangga dan diselitkan kisah anak-anaknya yang sudah dewasa. Farhana digambarkan sebagai seorang wanita yang tabah.

Menyayat hati apabila Farhana berkahwin kali kedua dan suaminya meninggal akibat kemalangan. Dia kembali memegang status seorang isteri apabila cinta lamanya kembali namun hatinya terluka apabila suami itu menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan perempuan lain.

Bergenang-genang baca part ni. Memang sedih. Tak tahulah kalau orang lain baca tak menangis. Akulah yang over! Kahkahkah.

Okeylah, nak tahu pengakhirannya bolehlah dapatkan Kekasih Waktu tapi tak tahulah sama ada masih ada di pasaran atau tidak. Rasa memang sudah tiada. Aku beli dengan penulisnya.

Itu sahaja perkongsiannya. Sungguh pun ini sebuah novel cinta tetapi terselit juga pengajaran di dalamnya.

Mencintai itu seperti menjaga.
Menjaga agar tak ada luka. Menjaga agar tak ada kecewa. - Kekasih Waktu

Mari teruskan dengan buku yang lain pula.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim


Sunday, February 7, 2021

7/2021 | Ulasan Novel : Surat Bersampul Perang

 Assalamualaikum.


Surat Bersampul Perang karya Noor Suraya

Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM28.00/RM31.00
Jumlah Halaman : 472 muka surat

Karya Noor Suraya tidak pernah mengecewakan. Saya mula mengenali Noor Suraya apabila meminjam novel seorang teman. Bermula dengan novel Surat Ungu untuk Nuha, saya mula tertarik dengan gaya penulisan Noor Suraya.

Sebelum-sebelum ini, saya sudah membaca beberapa buah novel Noor Suraya dan sepanjang novel-novel yang saya baca, ceritanya tetap sampai ke lubuk hati. Surat Bersampul Perang ini sekali lagi membuatkan saya tertanya-tanya apa pengakhiran kisah Farhana.

Surat Bersampul Perang mengisahkan Farhana yang pernah melakukan kesilapan pada zaman mudanya dan kemudian dia membawa dirinya ke negara Robin Hood. Rupanya dia ke sana bukan seorang diri tetapi dia membawa janin di dalam rahimnya tanpa dia sedar. Bukan satu tetapi dua!

Memandangkan dia hamil, talak yang diucapkan Masri lelaki yang bergelar suami dan lelaki yang dicintai tidak jatuh sehinggalah dia melahirkan. Farhana cuba memberitahu pada Masri dengan mengutuskan surat namun surat itu tidak dibaca oleh Masri.

Setelah lapan tahun, Farhana pulang ke Malaysia bersama dua orang anak kembarnya iaitu Zaynn dan Zetti kerana Farhana mahu memperkenalkan anak-anaknya kepada ayah kandung mereka. Belum sempat Farhana mengatur misinya, Masri terlebih dulu menjumpai Farhana dalam satu seminar.

Masri kembali tidak keruan. Dia seperti gila bayang sejak menjumpai Farhana. Suhaila isterinya sudah tidak diendahkan malah sesekali dia seakan membuat perbandingan antara Farhana dan Suhaila. Suhaila adalah pilihan ibunya. Masri menyatakan Suhaila hanyalah sekadar tanggungjawab bukan wanita yang dicintai seperti dia mencintai Farhana.

Konflik timbul apabila Masri mahu merujuk kembali dengan Farhana. Kemunculan Imran dan Ilham dua beradik yang menyukai Farhana membuatkan kita tertanya-tanya siapakah pilihan Farhana. Kemudian penyakit kritikal Farhana kembali menyerang.

Ya, Farhana pernah sakit sewaktu dia di luar negara dan penyakitnya kembali menyerang. Saya tak terfikir pun yang Farhana mempunyai sakit yang setiap wanita takut akannya. Sewaktu mengetahui tentang sakit Farhana, saya terhenti seketika pembacaannya kerana dua tiga hari yang lepas saya mendapat khabar daripada seorang teman sekerja suatu ketika dulu yang dia diagnosis barah payudara tahap 1. Termenung saya sejenak lantas teringatkan kepada teman saya.

Sesiapa yang pernah membaca karya-karya Noor Suraya pasti mengetahui akan gaya penulisan Noor Suraya yang berbunga-bunga. Gaya bahasa yang menarik. Lenggoknya membuatkan kita terbuai dengan penceritaannya dan semestinya Noor Suraya suka berpantun.

Banyak orang mengetam pulut,
     Hamba seorang mengetam padi,
Banyak orang karam di laut,
     Hamba seorang karam di hati.

Itulah salah satu pantun yang terselit dalam Surat Bersampul Perang. Saya sangat suka dan cerita ini bukanlah sesuatu cerita yang biasa-biasa kerana dalam cerita ini banyak mengajar kita tentang sesuatu perhubungan yang memerlukan restu ibu dan ayah. Dalam novel ini ada juga pengajaran tentang hak hadanah. 

Novel ini banyak pengajarannya yang membuatkan kita membuka mata. Sebuah pengorbanan antara adik-beradik yang melibatkan Imran dan Ilham kerana salah seorangnya mengalah demi merealisasikan impian saudaranya.

Jika hendak tahu bagaimana pengakhiran kisah Farhana, saya cadangkan untuk membacanya kerana naskhah ini bagus untuk bacaan santai. Kisahnya tidaklah terlalu berat dan saya terasa sangat geram dan marah apabila Masri menuntut hak penjagaan anak-anaknya namun diakhirnya Masri mengalah dengan sendirinya. Sebab apa?

Bolehlah membacanya. Apa-apa pun tahniah Noor Suraya!


Monday, December 24, 2018

Novel : Pujaan Hati Kanda



Tajuk: Pujaan Hati Kanda
Penulis: Aulia Iman
Penerbit: Karya Seni
Halaman: 678


Ulasanku:

Novel ini aku pulun baca sebab dramanya bakal ditayangkan Disember ini. Oleh sebab sudah tahu siapa hero dan heroinnya lagi bertambah keterujaannya untuk menghadamkan isinya. Sebelum menonton dramanya, baik aku baca novelnya dulu. Orang kata, penghayatan menonton dan membaca tidak sama. Mungkin jalan cerita diolah sedikit. Ini adalah novel pertama aku baca karya Aulia Iman. Not bad. Aku mudah menghadamkannya dan ada unsur-unsur mahu meneruskan pembacaan.

Ceritanya tidaklah terlalu berat dengan adegan yang membenakkan kepala. Kisah Megat Danish atau Danny dengan Tiara. Perjumpaan secara tidak sengaja bila Danny mencari pengasuh untuk anaknya Rara. Sebenarnya Danny mahu merungkaikan siapa sebenarnya Rara. Rara muncul ketika hari pernikahannya dan majlisnya pernikahannya tidak diteruskan kerana bakal isterinya tidak boleh menerima penjelasan Danny.

Oleh sebab itulah, secara kebetulan dia bertemu Tiara. Danny mengupah Tiara untuk menjadi pengasuh kepada bayinya, Rara. Sejak itu, perhubungan Danny dan Tiara semakin akrab. Danny sudah jatuh cinta dengan Tiara. Tapi bila Tiara sudah menerima cinta Danny, sesuatu tentang Danny terbongkar.

Nak tahu apa yang terbongkar kenalah baca sendiri.


Monday, November 12, 2018

Novel : The Misadventures of Cik Reen & En. Ngokngek


Tajuk: The Misadventures of Cik Reen & En. Ngokngek
Penulis: Maya Adira
Penerbit: Kaseh Aries
Halaman: 502


Ulasanku:


Akhirnya aku dapat habiskan novel ini dalam masa seminggu lebih. Pada mulanya aku baca aku macam ‘blur’. Tak tahu nak menghadamkan dialog sape. Aku kena baca banyak kali nak fahamkan.

Tapi bila dah masuk bahagian Harris dan Azreen yang terpaksa kahwin demi menyelamatkan maruah keluarga aku dah boleh menggayakan bacaan aku. Sudah tak blur.

Novel ini agak klise. Kahwin paksa. Tapi paksa dia tu tak tahap yang mak ayah memang paksa beria. Kalau kahwin paksa ni memang dah boleh jangka hero heroin mula-mula benci tahap tak boleh blah. Tapi dalam novel ini walaupun Harris dan Azreen kahwin paksa dan tiada cinta antara mereka tapi Harris tetap menjaga kebajikan Azreen sebagai isterinya. Dalam novel ini Harris sudah punya kekasih dan pastinya cabaran dalam perkahwinan adalah kekasih Harris si Zaza seorang model terkenal.

Novel ini mencuit hati sebenarnya dengan gaya bahasanya yang santai dan menggelikan hati membuatkan aku tersenyum sendiri tatkala membacanya. Ceritanya makin menarik bila Harris dan Azreen memulakan misi mencari adik-adik mereka yang lari semasa majlis perkahwinan dan menyebabkan mereka menjadi mangsa untuk menggantikan tempat mereka.

Macam-macam yang terjadi sepanjang mereka memulakan misi mencari Izyan dan Iqram. Oh ya, ada terselit Remy Ishak dalam novel ini di hujung-hujungnya. Kelakar.

Apa pun, novel ini masih lagi menghiburkan dan boleh dihadamkan. Pastinya boleh buat hilang stres sebab ceritanya menghiburkan dengan gaya penulisannya sebab mampu buat aku tersenyum. Walaupun begitu, ada sisi baik yang boleh diambilkira. Ada pengajaran yang terselit dalam naskhah ini kalau kita betul-betul menghayati. Perancangan manusia tidak semestinya akan menjadi seperti yang dirancang. 

Tak rugi pun kalau membelinya.
Empat bintang untuk novel ini.


Selamat membaca!
^___^


Novel : Lelaki Kiriman Tuhan




Tajuk: Lelaki Kiriman Tuhan
Penulis: Umie Nadzimah
Penerbit: Penulisan2u
Halaman: 518


Ulasanku:


Kisah Naira dan Raid sangat manis dalam Lelaki Kiriman Tuhan. Aku habiskan dalam masa seminggu sebab teringin sangat nak tahu siapa Iqbal Raid sebenarnya. Bukan apa identiti dia dari awal sudah mengundang tanda tanya dia ni siapa sebenarnya.

Dari mana dia dapat duit banyak-banyak untuk selesaikan hutang Naira. Rupanya Raid ada sejarah silamnya. Tetapi sejarah itu sudah lama ditinggalkan. Naira pula sudah lama dia mengikut jejak gadis itu. Macam secret admire. Tapi masih lagi tertanya-tanya siapa Raid sebenarnya.

Macam biasa, dalam cerita mestilah ada watak-watak antagonis. Memang penat juga melayankan Naira dalam novel ini yang tak habis-habis nak merajuk dan cepat bersangka buruk. Manusia seringkali suka berprasangka.

Namun semuanya terjawab bila Raid hilang. Naira menyesal tak sudah bila lelaki itu hilang. Biasalah, sudah menjadi lumrah manusia akan mula sedar dan lebih menghargai bila melalui fasa kehilangan. Kalau nak tahu kesudahan mereka boleh dapatkannya.

Bila tahu novel ini diadaptasi ke drama dan tahu siapa pelakonnya. Bila baca aku terbayangkan Remy Ishak dan Mira Filzah.

Selamat membaca!
^____^



Novel : Pulang


Tajuk: Pulang
Penulis: Lily Haslina Nasir
Penerbit: Karya Seni
Halaman : 512


Ulasanku:

Pulang adalah sebuah novel lain daripada yang lain sepanjang saya membaca novel. Sebuah naskhah yang terbaik pada pandangan saya. Novel Pulang ini banyak membuatkan saya berperang dengan perasaan sendiri ketika saya mahu menghadamkan hingga ke penamat. Saya sangat kagum dengan cara penulisan penulisnya. Garapannya tersusun elok dan setiap cerita dimulakan dengan serangkap pantun yang manis.

Novel ini penuh emosi. Saya baca hingga mengalirkan air mata bila hampir ke penamat cerita. Membaca novel ini buat saya tertanya-tanya adakah Othman pulang sebenarnya? Itu yang buatkan saya mahu habiskan juga.

Pada sesiapa yang belum membacanya, bolehlah baca novel ini. Selamat menyelami kisah cinta antara Othman dan Che Thom.

Selamat membaca!
^___^



Novel : Bahagia Bukan Bidaan


Tajuk: Bahagia Bukan Bidaan
Penulis: Hessa Widad
Penerbit: Karya Seni
Halaman: 538


Ulasanku:


Novel ini saya baca ketika dramanya sedangnya ditayangkan di televisyen. Saya tak menonton dramanya sangat tetapi lebih tertarik mahu menghabiskan novelnya.

Novel ini agak berat sebab mengisahkan seorang wanita yang struggle untuk bangkit semula selepas dikhianati suaminya. Walaupun novel ini mengisahkan kisah cinta namun nilai-nilai agama ada diterapkan di dalamnya. Menekankan betapa solat itu penting dalam sebuah kehidupan agar mendapat keberkatan.

Kisah Ain Farhana ini boleh diangkat sebagai contoh menjadi seorang wanita yang tabah setelah dikhianati suaminya. Kealpaannyan dulu yang tidak menitikberatkan hal agama membuka matanya apabila dugaan datang dalam rumahtangganya. Dalam pada dia sudah mahu ‘move on’ dan mencari ketakwaan dan membentuk iman dalam diri, hadir seorang lelaki yang mencintainya dan membimbingnya ke jalan yang lebih diredhai.

Begitulah, setiap kejadian pasti ada hikmahnya.


Selamat membaca!
^__^



Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »