Sunday, August 18, 2024
Coretan Tengah Malam
Saturday, January 8, 2022
2022, Setahun Lagi Yang Penuh Rahsia
Setahun lagi yang datangnya penuh rahsia. Baru lapan hari kita melalui tahun 2022. Perjalanannya masih panjang dan ada rasa debar juga di sudut hati memandangkan sejak dua tahun kebelakangan ini sering berlaku kejadian cemas dan panik secara tiba-tiba.
Jadi, perlu bersedia sahaja untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Saya kembali mengumpul semangat yang hilang sejak beberapa bulan yang lalu. Entah kenapa, apa saja yang saya suka suatu ketika dulu, saya jadi tidak suka. Memang tidak pandang langsung. Saya abaikan saja.
Pernah terbaca, jika kita menghadapi situasi begitu, sebenarnya kita kemurungan. Adakalanya kita sendiri tidak mengetahui sebenarnya kita sedang kemurungan. Mungkin saya ada sibukkan hal lain, jadi isu kemurungan itu tidak kelihatan sangat.
Aura sekeliling juga memainkan peranan penting yang mengundang kemurungan sebab saya sedang melalui satu situasi yang tidak berapa bagus di luar sana dan saya selalu berdoa agar situasi ini tidak berpanjangan. Saya masih bersyukur sebab ada pendengar setia yang hari-harinya kena menadah telinga untuk mendengar keluh-kesah saya. Itu yang membuatkan saya sedikit kuat.
Katanya, cerita saja pada dia. Itu yang selalu dipesan. Mungkin dia risau jika saya merempan tidak tentu hala. Hahaha. Saya kalau dah merempan tu maksudnya had sabar saya sudah hilang.
Tahun 2022, tiada apa yang saya azamkan sangat. Saya cuma mahu tamatkan manuskrip saya dan mahu mengembalikan tumpuan saya pada minat saya. Saya rindukan buku. Saya rindukan menulis.
Dan tahun ini, saya mahu lebih menghayati diri sendiri kerana tahun ini tahun akhir usia penghujung 30-an. Ini bermakna masa semakin sedikit. Sejauh mana amalan dan ibadahku. Itu yang selalu bermain-main di fikiran.
Saya mahu menjalani kehidupan sendiri dengan lebih tenang tanpa terpengaruh atau dipengaruhi oleh sesiapa. Semoga kehidupan kita tidak berlumba-lumba dengan sesiapa melainkan berlumba untuk kebaikan.
Selamat datang 2022!
Semoga yang baik-baik saja untuk setiap langkah kita pada tahun ini dan akan memperolehi bahagia di dunia dan juga di akhirat nanti.
Friday, August 27, 2021
22/2021 | Kepentingan Diri
Assalamualaikum.
Hiking di Tanjung Tuan |
Sejak akhir-akhir ini, ada beberapa orang teman atau mungkin dikira sahabat meluah rasa. Dikelilingi manusia yang mementingkan diri memang amat mencabar dan menyesakkan dada. Tersangatlah! Sampai kadang rasa 'annonying' dengan manusia sebegini. Macam peribahasa ada menyebut, bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
Mendengar keluh-kesah mereka, terasa macam dejavu. Rasa semua akan melalui dan menghadapi situasi sebegini. Berhadapan dengan manusia sebegini memerlukan kekuatan mental yang kuat. Silap hari bulan boleh buat hilang sabar.
Kata orang, jumpa orang baik-baik satu rezeki. Jika jumpa yang sebaliknya pun satu rezeki juga. Mungkin antara satu alamat untuk kita muhasabahkan diri agar kita tidak menjadi seperti itu.
Minggu lepas, sewaktu menerima kiriman Whatsapp daripada seseorang.
"Saya tak boleh nak hadam semuanya."
Saya balas, "Kenapa sama je cerita kita ni. Macam rasa dejavu pula baca mesej ni dengan apa yang berlaku hari ni."
"Sabar saya ada hadnya. Jangan sampai satu hari terlepas juga."
Suatu ketika dulu, saya pernah menghadapi situasi di mana saya tidak dapat ke pejabat kerana ketiadaan kereta. Apabila terdengar ada pertikaian di belakang, kenapa saya tak menaiki grab, saya pun akhirnya menaiki grab ke pejabat dan pada ketika itu apa yang mendesak saya untuk ke pejabat sebabnya ada mesyuarat tergempar. Tetapi sesampainya di pejabat, mesyuarat tidak jadi.
Tetapi apabila hari dipanggil dan bos menegur pasal kehadiran mesyuarat, tidak ada seorang pun yang bersuara siapa yang hadir ketika itu.
Kerana apa?
Orang yang sepatutnya bersuara untuk anak-anak buah tidak hadir, makanya tidak perlulah memberitahu perkara sebetulnya. Nanti nampak macam anak buah yang lebih kan. Saya cuba berhusnuzon pada ketika itu tapi itulah. Saya manusia. Adakalanya sisi jahat saya menidakkannya!
Saya bukan berdendam tetapi saya terasa. Sangat-sangat terasa. Ambil masa juga waktu itu untuk melapangkan dada, memaafkan. Sebab saya ada sekali sewaktu kejadian, jadi saya lihat, saya dengar, saya cuba menghadamkan tentang mereka.
Ada saja bermacam-macam gaya dan perangai manusia. Adakalanya mendengar luahan rakan-rakan, ada sebahagiannya pernah saya hadapi. Jadi apa yang saya sarankan supaya bertabah dan bersabar.
Biasalah, ada manusia yang mahu menjaga namanya sahaja. Nama orang lain peduli apa kan. Konsepnya jaga nama sendiri. Begitulah kalau dilihat.
'Janji diri aku ke depan.'
'Janji bos nampak aku.'
Sabar tu bukan mudah tapi sebolehnya belajar untuk bersabar. Cuma risau apabila amarah itu muncul pasti ledakannya bagai gunung berapi.
Sabar seseorang ada limitnya.
Silap haribulan kalau hilang sabar mahu terbang segalanya. Dalam masa pandemik dan wabak yang semakin menggila ini, seeloknya banyak pujuk hati. Zikir banyak-banyak takut hati hitam. Pesan seorang sahabat, zaman pandemik ni kena jaga hati masing-masing. Semoga asbab kita mendorong diri untuk tidak melayan perkara-perkara begini akan memudahkan urusan kita di dunia dan juga akhirat. Waktu-waktu begini, kita perlu menjaga emosi kita supaya tidak menjerumuskan diri dengan stres. Stres yang tidak terkawal lama-lama akan menjadi depresi.
Sekian.