Wednesday, October 23, 2019

Some Days


Some days I win.
Some days I lose.
But both days, I smile.
.
Good Morning People🌻.


Berbuat Baiklah


Berbuat baiklah walau tidak dilayan dengan baik.
.
Selamat malam ❤️.


Saturday, October 19, 2019

Bab 1 - Insan Kau Cinta




BAB 1
                 

Aku mengayuh laju basikal merah dengan senyuman tidak putus-putus terukir di bibir dalam keredupan petang. Petang sudah menyusup waktunya. Mentari yang tadi memancarkan bahang sewaktu aku pergi ke pekan sudah sirna cahayanya di balik awan-gemawan. Petang itu, sebaik sahaja cuaca sudah beransur redup, emak menyuruh aku menghantar sebekas cempedak goreng ke rumah sahabatnya. Walaupun agak keberatan untuk bertemu dengan sahabat baik emak itu, aku setuju juga akhirnya. Tanpa berlengah, aku mengayuh laju basikal menuju ke rumah Makcik Noriyah yang terletak selang beberapa lorong daripada rumah aku. Sesekali terasa angin sepoi-sepoi bahasa menampar lembut kedua-dua belah pipiku. Sungguh nyaman sekali.
Aku tiba di halaman rumah Makcik Noriyah setelah lima belas minit mengerah tenaga mengayuh basikal. Berpeluh jugalah sewaktu aku tiba di halaman rumah Melayu separuh kayu dan separuh batu itu. Aku mengesat peluh yang merenik di dahi.
            Sebaik sahaja aku menuruni basikal, salam kesejahteraan aku lontarkan. Tiga kali juga aku melontarkan salam sehinggalah Makcik Noriyah muncul di muka pintu dapurnya. Segaris senyuman terukir di wajah wanita itu yang sebaya usianya dengan emak.
            Aku pun dengan pantas mengorak  langkah mendapatkan wanita tersebut yang sudah tercegat di muka pintu.
            “Cik Yah, ini mak bagi cempedak goreng,” ujarku lembut seraya menghulurkan plastik yang berisi sebekas cempedak goreng.
            “Tau. Mak kamu baru telefon cik,” jawab wanita itu melirik padaku. Plastik sudah bertukar tangan.
            “Laju betul mak ni.”
           
“Dia risaukan kamu. Itu dia telefon tanya kamu dah sampai ke belum.”
            “Mak ni. Macam jauh sangat rumah Cik Yah dengan rumah kita orang.” Aku tergelak kecil sewaktu menghabiskan kata.
            “Biasalah. Anak perempuan kenalah risaunya. Buatnya jadi apa-apa kat tengah jalan. Zaman sekarang ni macam-macam kes,” tutur wanita seusia emak panjang lebar.
            Sekali lagi, aku hanya tergelak kecil.
            “Okeylah Cik Yah. Lea balik dulu. Nanti mak risau pulak.”
            “Eh, tak masuk dulu. Cik Yah ada buat teh susu.”
            “Tak apalah. Lain kali ye cik. Lea balik dulu.” Cepat-cepat aku hulurkan tangan untuk bersalaman. Usai bersalaman aku menghayun langkah menuju ke basikal yang aku parkirkan di bawah pokok mangga namun langkahku terhenti sebaik sahaja mendengar namaku dipanggil Makcik Noriyah. Lantas aku menoleh.
            “Lea, dengar cerita kamu dapat sambung belajar di Ipoh ye?” soal Makcik Noriyah. Suaranya perlahan namun masih boleh didengari olehku.
Wanita itu sudah keluar dari rumah lalu menyarungkan selipar. Dia kemudiannya mengatur langkah mendapatkanku.
“Ermm...ye cik.” Aku mengangguk perlahan.
‘Ini mesti kerja maklah. Pantas sungguh mak aku.’ Omelku sendiri di dalam hati.
“Kamu pergilah ye?”
Aku mengangguk laju.
“Jangan lupa permintaan cik. Makcik berharap sangat. Mak Lea mesti dah beritahu pada Lea, bukan?” Soalan wanita itu membuatkan aku dihimpitkan perasaan serba-salah. Sudahnya

aku sekadar mengangguk sahaja. Terasa seperti burung belatuk. Kerja aku dari tiba sampai nk balik asyik mengangguk.
“Lea nak belajar dulu,” jawabku ringkas. Tidak pasti sama ada jawapan aku berkaitan dengan soalan wanita itu. Biar aku menjelaskan terlebih dahulu sebelum wanita itu membuka cerita dengan lebih lanjut. Mukadimahnya sahaja sudah buatkan aku jadi serba tidak kena.
“Itu makcik tahu tapi bolehlah kalau Lea fikirkan dari sekarang. Sekurang-kurangnya Lea dah tahu mana hala tujunya.”
“InsyaAllah, makcik tapi Lea tak janji.”
“Yelah. Kawanlah dulu. Tapi dalam berkawan tu biarlah ada hala tujunya. Nanti Lea kat sana, dia kat sini. Jadi pandai-pandailah jaga hubungan. Makcik tak nak hubungan korang sekerat jalan. Makcik nak sangat Lea jadi menantu makcik.”
Aku telan air liur. Terasa kesat di kerongkong.
Alahai makcik. Ini yang aku malas mahu bertemu dengan wanita ini. Setiap kali bertemu ini sahaja modalnya. Mujurlah dia sahabat baik emak. Kalau tidak memang aku tidak teringin mahu berjumpa.
Aku baru sahaja habis SPM. Kenapa mahu terburu-buru?
“Dengar tak apa yang makcik cakapkan?” Lenganku ditepuk perlahan membuatkan aku kembali ke alam realiti.
“Hah! Dengar...dengar...Lea kawan dengan semua orang pun.”
“Itu makcik tahulah. Kawan biar seribu, berkasih biar satu.”
Sewaktu itu aku hanya mampu mendiamkan diri. Bermadah helah pula wanita ini. Aku terasa mahu menepuk dahi bila ungkapan itu meluncur laju meniti di bibir wanita itu namun aku tidak tergamak mahu melakukannya.
Aku sendiri keliru. Sejak bila pula aku berkasih? Aku baru sahaja menamatkan zaman persekolahan. Tidak dinafikan aku berkawan dengan anaknya yang tua setahun daripadaku tapi itu tidak bermakna kami sedang berkasih-kasih.
Tidak tahu apa yang perlu aku jawabkan maka kata-kata itu aku biarkan berlalu sepi. Kata-kata itu hanya sekadar singgah sebentar dan kemudiannya hilang dibawa angin.
Aku perlu realisasikan impian aku terlebih dahulu. Itu yang paling utama. Peluang ini datang hanya sekali.



Friday, October 18, 2019

7 Buku Kegemaran

Assalamualaikum.

Hai.

Aku dapat tugasan di laman muka buku. Ada kenalan di laman sana tag aku untuk aku buat status tentang 7 buah buku kegemaran. Ini tugasan yang paling aku gemar. Aku memang suka kalau perihal buku. Boleh segar biji mata.

Jadi dengan berlapang dada aku pun berkongsikan tentang 7 buah buku kegemaran yang membuat aku terkesan ketika membacanya.

Aku akan kongsikan tujuh buah buku kegemaran di sini. Kalau di FB disuruh 1 hari kongsikan 1 buah buku tapi kat blog aku kongsikan semuanya dulu.

Senang.

Nanti aku boleh kongsikan di sana pula. Kadang ada masa tak sempat nak mencari gambar bukunya. Bila sudah ada di blog memudahkan aku.

Aku hanya akan kongsikan gambar sahaja tanpa ulasannya. Kebanyakkan novel kegemaran aku adalah novel Noor Suraya. Aku mula jatuh suka bila pertama kali membaca Surat Ungu untuk Nuha.

1) Tak Ada Cinta Sepertimu.

2) Surat Ungu untuk Nuha.

3) Jaja dan Din.

4) Langsir Biji Remia.

5) Adam dan Hawa.

6) Akulah Si Heroin.

7) Be Strong.

Setakat itu sahaja tujuh buah buku yang menjadi kegemaran aku. Nanti aku kongsikan lagi 7 buah sebab ada yang tag aku lagi di FB. Memang ada buku lain yang aku gemar selain 7 buah buku ini. Tunggu ya.

Sekian.

Salam pena,
Fyda Adim


Cara Praktikal Mengurangkan Stres






Stres adalah satu istilah yang merangkumi tekanan, beban, konflik, keletihan, ketegangan, kemurungan dan hilang daya. Hari ini perkataan stres sering meniti di bibir-bibir orang ramai. Tidak dapat disangkalkan, kehidupan harian kita penuh dengan pelbagai perkara sama yang baik atau buruk. Tekanan hidup masa kini membuatkan orang terasa serba tidak kena. Ini semua adalah asam garam kehidupan. Tanpa tekanan, hidup kita pasti tidak bermakna. Kita tidak dapat belajar sesuatu dalam diri. Namun begitu, ramai orang yang cuba tidak mahu meletakkan dirinya dalam tekanan. Kita boleh lakukan beberapa perkara bagi mengurangkan stres agar tidak terus membelenggu diri. Berikut adalah cara praktikal mengurangkan stres.


a)      Beriadah

Aktiviti beriadah seperti berjoging atau berlari adalah salah satu cara mengurangkan stres. Apabila kita melakukan riadah sewaktu kepala berserabut, kita dapat melupakan seketika masalah-masalah berkenaan. Selain mengeluarkan peluh dan membantu melancarkan peredaran darah, aktiviti beriadah juga dapat memberi ruang untuk berfikir dan mencari ilham.


b)      Tidur

Tidur juga dapat mengurangkan stres. Tidur yang cukup dan pada waktu yang tetap memainkan peranan penting dalam mengimbangi emosi kita yang terganggu dalam kehidupan sehari-hari. Tidur yang cukup akan memberikan kembali tenaga kita sepenuhnya dan kita juga dapat mengawal kestabilan emosi.


c)      Membaca buku

Membaca buku dapat melupakan seketika tekanan yang berlaku. Membaca buku pada waktu tertentu boleh meningkatkan ketajaman minda serta mengurangkan stres. Bagi seseorang yang gemarkan buku, perkara ini tidaklah sukar pada mereka kerana dengan membaca dapat memberikan sedikit kelegaan pada diri. Jika sedang dibelenggu tekanan yang menyesakkan diri, bacalah buku-buku motivasi yang dapat mengembalikan keyakinan pada diri.


d)      Eratkan Diri Dengan Keluarga

Carilah masa untuk meluangkan masa bersama keluarga kerana dengan cara ini dapat mengurangkan masalah. Keluarga adalah segala-galanya dalam semua perkara. Sama ada kita sedang bermasalah ataupun tidak, keluarga sentiasa di sisi kita. Apabila kita bersama keluarga, kita boleh bergelak ketawa, bersembang dan berkongsi suka duka kita membuatkan kita lebih baik dan masalah akan lebih terkawal.


e)      Bersiar-siar atau bercuti

Carilah masa yang sesuai untuk bersiar-siar atau jika berkelapangan dan berkemampuan boleh bercuti. Bersiar-siar di tempat orang boleh mendatangkan mood gembira pada diri. Jika tidak pergi jauh pun sekurang-kurangnya melangkah keluar rumah, hidup udara segar dan lihatlah keindahan alam.
Adakah anda mempunyai cara-cara lain mengurangkan stres untuk dikongsikan? Berikan komen anda di ruangan di bawah.



Monday, October 14, 2019

Prolog - Insan Kau Cinta



PROLOG


            Berita yang aku khabarkan pada emak mempamerkan riak gembira pada seraut wajah tua yang sudah memasuki lingkungan umur 50-an. Aku hulurkan sekeping kertas pada emak sewaktu kami empat beranak menikmati minum petang di pangkin kayu yang dibuat oleh arwah ayah yang terletak di laman rumah. Sepinggan cucur ikan bilis dan seteko teh ‘o’ dihidangkan petang itu.
            “Alhamdulillah.” Sepotong ayat itu meniti laju di bibir tua itu seraya menadah tangan sebaik kertas yang sudah bertukar tangan ditatapnya.
            Aku juga sama-sama mengaminkan doa wanita itu. Doa seorang ibu tiada hijabnya. Ianya terus diangkat ke langit.
            Adik-adik aku, Adibah dan Afiqah cuku berselera menikmati cucur ikan bilis dicicah dengan sos cili yang dibuat oleh emak. Walaupun mereka tidak melontar kata, riak wajah mereka sudah cukup memberitahu yang mereka turut gembira dengan perkhabaran yang baru aku sampaikan. Meskipun tawaran itu tidak seperti apa yang aku harapkan namun aku perlu bersyukur ke hadrat Ilahi. Sekurang-kurangnya aku telah berjaya mengorak langkah untuk melanjutkan pelajaran.
            Jeda.
            “Tapi jauh sangat tempatnya,” kata emak perlahan. Sendu. Riaknya yang tadi gembira kini sudah bertukar. Terpamer riak sedih di wajah tua itu. Dahinya yang dihiasi garis-garis halus mula berkerut. Aku melempar selayang pandang pada seraut wajah yang telah melahirkan aku 18 tahun yang lalu.
            “Mak, manalah jauhnya. Setakat Melaka ke Ipoh tu baru 3 jam lebih. Bukannya Lea tak boleh balik.” Aku menyusun kata menyedapkan hati tuanya.
Wanita tua itu melepaskan sebuah keluhan.
            “Yelah, mak ni. Kalau Kak Lea tak balik, kita bolehlah ke sana. Kita tak pernah jalan-jalan ke tempat orang,” ujar Adibah. Bahu emak dirangkulnya.
            “Mak ni suka sangat susah hati benda yang remeh-temeh.” Adibah bersuara lagi. Emak hanya mempamerkan wajah sugulnya.
            “Mak...janganlah macam ni. Mak jangan fikir bukan-bukan. Nanti boleh naik darah tinggi mak tu.” Aku kembali bersuara melihat kegusaran di wajah emak.
            “Yelah mak. Nanti Iqah susah kalau mak sakit.” Kali ini Afiqah, si bongsu pula bersuara.
            “Yelah kau tu. Kau susah apa dik? Macam kau pula yang selalu jaga mak masa sakit. Kak Lea yang selalu jaga mak. Kau tu tahu makan aje. Kau tu susah hati sebab nanti tak ada siapa nak melayan dia makan.” Adibah mengusik Afiqah yang hanya beza dua tahun usia mereka.
            “Eh, mana ada.” Afiqah menidakkannya lalu satu cubitan hinggap di lengan Adibah. Adibah sudah mengerang kesakitan. Gadis berusia 13 tahun itu sudah memuncungkan mulutnya.
            “Iqah...” Aku pula yang menampar lembut di bahunya.
            “Adoi, dik. Mulut tu kalau sangkut barang pun boleh. Bukan main muncung.” Sekali lagi Adibah mengusik Afiqah yang sudah melarikan dirinya di belakang emak namun tangan Adibah dapat juga mencapai untuk mencubit mulut Afiqah.
            Aku sudah tergelak. Begitu juga dengan emak. Melihat emak tergelak sedikit sebanyak melegakan aku. Sekurang-kurangnya dapatlah mengusir keresahan yang sedang bertamu dalam dirinya.
            “Iqah tu susah hati nanti tak ada siapa nak masak sedap-sedap untuk dia. Alah Dibah kan ada boleh masak.” Aku pula menambah cerita.
            “Ya, budak debab ni...” Adibah sempat menggomol-gomol badan si bongsu yang sedikit berisi. Afiqah laju menepis tangan Adibah.
            “Eee... Dibah masak tak sedap.”
            “Berani kau kata macam tu...” Adibah mencucuk pinggang Afiqah. Kedengaran Afiqah tertawa memekik kegelian.
            “Mak bukan apa. Risaulah. Korang mana pernah jauh dengan emak. Ini lagilah abah dah tak ada. Lagilah mak risau.” Sayu sahaja nada emak berbicara.
            “Mak, inikan pesanan arwah abah. Abah pesan suruh kita orang sambung belajar.” Aku cuba menenangkan emak. Manalah tahu hati emak lebih tenang bila mendengar nama abah disebut-sebut.
            Emak menundukkan wajahnya. Aku dan adik-adik sudah memeluk tubuh emak yang sedikit gempal.
            “Emak, nanti-nanti pun bila Adibah habis SPM pun dia kena sambung belajar. Sementara aje mak. Kita orang perlukan doa mak. Mak tak nak tengok anak-anak emak berjaya ke? Lagi pun ini pesan abah pada Lea.” Aku menutur perlahan. Tangan emak aku genggan erat. Cuba menyalurkan kekuatan daripada seorang anak kepada seorang wanita bergelar emak.
            Kedengaran keluhan kecil daripada emak. Aku dapat rasakan keresahan yang menganggu diri wanita tua itu.
            Sedang kami empat beranak melayan perasaan, kami dikejutkan dengan kedatangan seseorang.
            “Assalamualaikum.” Kedengaran seorang wanita melontarkan salam kesejahteraan membuatkan kami berpaling ke arah empunya suara. Serentak kami menjawab salamnya.
            Seorang wanita yang sebaya usia emak, berbaju kurung bunga-bunga serta bertudung separuh labuh menutupi dada. Segaris senyuman dihadiahkan oleh wanita itu.
            Kami saling berpandangan.
            “Mak, kawan baik mak tu.” Serentak aku dan Adibah bersuara.
           

Sunday, October 13, 2019

Tak Ada Cinta Sepertimu

Assalamualaikum.

Hai.

Tak Ada Cinta Sepertimu, drama yang paling aku minat. Satunya sebab Syafiq Kyle berlakon lebih-lebih lagi bila dia bergandingan dengan Zahirah MacWilson. Bila menonton drama ini memang terbaik gandingan mereka berdua.

Baik Syafiq Kyle.
Baik Zahirah McWilson.

Masing-masing berjaya membawakan watak yang diberikan. Aku terbuai-buai dengan lakonan mereka. Lakonan mereka berdua tersangatlah mantap. Dalam drama ini, aku suka sangat tengok Syafiq. Dia nampak segak dan watak dia itu menonjol sangat. Tak tahu macam mana nak disampaikan dengan kata-kata tapi aku memang minatlah watak dia sebagai Hazran. Nampak dia sangat gentle dalam drama ini. Aku dapat rasakan dia menghayati sangat dalam watak ini.

Hasil carian imej untuk tak ada cinta sepertimu
Nampak tak gaya dia yang gentle itu? Dalam pada aku menonton dramanya, aku baca juga novelnya. Dalam masa tempoh 3 hari sahaja aku dapat menghabiskannya.

Drama ini juga membuatkan aku teringat-ingat momen dengan kawan-kawan yang menonton. Boleh bayangkan tak kawan sekolah aku yang bekerja di Miri, setiap hari sepanjang drama ini ditayangkan kami akan berwhatsapp.

"Wei, geramlah dengan si Azam batik ni?"

"Eh, si Bella belot ni dah kenapa?"

Begitulah antaranya mesej-mesej kami. Setiap hari kami mengulaskan tentang drama ini sampaikan iklan pun kami ulas.

"Kau perasan tak setiap kali iklan susu ni tak ada suara. Aku rasa dia bayar separuh kut itu sebab tak keluar suara."

Itu satu hal.

Dengan kawan ofis pun satu hal juga. Ada yang melayan drama ini. Pakat-pakat siapkan kerja sebelum pukul 10.00 malam. Tak nak tertinggal satu babak sekali pun. Bila episod akhir, siaplah kita orang berangan.

"Dah jom balik. Nak siap-siap malam ni nak pergi pernikahan Hazran dan Athea."

Begitu sekali menghayati drama sampai masing-masing pun berdrama. Baiklah berdrama begitu daripada sibuk berbawang kekdahnya. Hahaha.

Lagu OST drama ini pun sampai kita orang pergi karok semata-mata nak nyanyikan lagu OSTnya. Tak tahulah kenapalah drama ini menceriakan kami semua.

Hasil carian imej untuk tak ada cinta sepertimu
Gambar inilah aku guna sebagai profile picture whatsapp aku. Cerita habis aku pun tukar. Tidaklah kata taksub tapi suka sangat dia orang.

Hasil carian imej untuk tak ada cinta sepertimu
Penyudahnya mestilah happy ending. Cerita Melayu kan mana boleh sedih-sedih walhal kehidupan realitinya kita struggle tahap langit ketujuh nak cari kebahagiaan dan kegembiraan. Tak apalah. Rutin harian kita dah cukup serabut dan serius kenapa perlu kita jadikan bertambah serius. Drama ini sekadar hiburan untuk kita keluar daripada keserabutan. Cuma jangan terlalu obses sampaikan kita nak kehidupan yang indah-indah.

Suka tengok.
Tak suka tak perlu tengok.

Mudah saja kan?

Rindu momen ini. Drama ini boleh dikatakan sebagai mengeratkan ukhwah juga. Yelah, kalau tak fasal drama tak adalah hari-hari nak berwhatsapp.

Semoga ukhwah kami akan sentiasa terjalin walaupun tanpa drama. Ini pun sesekali aku layan juga drama kawan aku kat Sarawak itu bila dia berangan dengan si Remy Ishak. Tak apa aku layankan aje dia. Hahaha.

Rindu oi.

Sekian.

Salam pena,
Fyda Adim



Friday, October 11, 2019

Potret

Assalamualaikum.

Hai.


Potret ini diambil kerana untuk menyertai satu pertandingan anjuran Kotex Memberku Hawa. Waktu itu perlu menghantar gambar paling kreatif bersama teman baik. Aku sudah lupa kaedah penghantaran gambar ini; sama ada melalui emel atau memuat naik di laman Instagram.

Entah macam mana, kesungguhan kami (dari kiri gambar: aku, adik ipar aku - Nor Faezah dan kawan baik aku - Myra Mokhtar) membawa kami ke Taman Seribu Bunga Melaka pada suatu Sabtu pagi  untuk merakamkan beberapa keping gambar yang kononnya kreatif ditemani dengan tiga orang kanak-kanak ribena - 2 orang anak aku dan 1 orang anak adik aku.

Jurufoto kami waktu itu adalah seorang lelaki - iaitu adinda aku.

Pelbagai gaya dari pelbagai sudut dalam taman itu kami rakamkan gambar. Daripada gambar berdiri tegak, meniarap, bergambar di sebalik tiang, melompat - aksi paling susah untuk dilakukan sebab lebih gelak dan akhirnya posisi seperti gambar di atas.

Aku hantar dua penyertaan rasanya. 

Sekeping gambar meniarap.
Sekeping gambar di atas.

Gambar di atas inilah yang membawa tuah kepada kami apabila kami terpilih antara yang boleh menghadiri audition di Kuala Lumpur. Audition itu pula untuk memilih juara yang melayakkan mereka untuk berada dalam video klip Erti Kawan nyanyian Adira. Dalam video klip tersebut ada Siti Saleha dan juga Nad Zainal.

Sebelum menghadiri audition tersebut, kami diberikan video klip tarian Nad Zainal. Kami perlu mengikuti langkah tariannya. Seminggu juga kami berlatih. Jenuh juga nak mendapatkan rentak dan gerak-gerinya. 

Kenangan indah sebenarnya. Satu pengalaman yang cukup menarik. Kena berhadapan dengan juri dan orang ramai. Untuk yang introvert person macam aku, ini perkara yang dapat menambah keyakinan diri sendiri.

Terima kasih atas semuanya. Kenangan ini tidak akan diulang namun akan sentiasa dikenang-kenang dan tersemat dalam relung hati paling dalam.

Sekian.

Salam pena,
Fyda Adim



Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »