Friday, August 7, 2015

Cerpen : Setulus Kasih



Nukilan : Fyda Adim


SETULUS KASIH

 
NUR Laila sudah menyandarkan badannya pada kerusi di meja kerjanya. Jam di tangan sempat dikerling. Lagi satu jam mahu ke angka 5. Baru dia terasa kepenatan setelah seharian ke hulu ke hilir menyiapkan kerja yang diserahkan bosnya pagi tadi. Kerja yang perlu disiapkan dengan kadar segera. Esok bosnya mahu menghadiri mesyuarat di Putrajaya. Hari ini dia terasa dirinya tersangatlah sibuk. Dia yang menaip minit mesyuarat, dia yang menjawab telefon malah dia juga yang membuat fotokopi surat-surat yang diterima. Terasa seperti tidak cukup tangan sehingga tidak sedar jarum jam bergerak pantas. Tahu-tahu sahaja sudah hampir tamat waktu kerjanya. Itulah hakikatnya kerja setiausaha.
Dia menarik nafas panjang lalu dilepaskannya perlahan. Saat dia masih lagi menyandarkan tubuhnya, tiba-tiba dia terasa tidak sedap perut. Terasa perutnya seperti mengeras-ngeras. Lalu diusap lembut perutnya yang semakin hari kian membesar. Setelah dua tahun dia dan suaminya menanti saat-saat ini. Kandungan kedua setelah keguguran, baru sahaja mencecah 28 minggu itu memang dijaga rapi. Sebaik sahaja dia disahkan mengandung, memang suaminya menatangnya bagai minyak yang penuh. Tangannya masih terlekap pada perut. Ketika dia sedang gigih mengusap perut yang membulat, dia terasa tendangan dari dalam. Terus sahaja tangannya meraba sebelah kiri perut. Kemudian tendangan itu beralih ke kanan pula. Dek kerana tadi dia terlampau sibuk dengan kerjanya membuatkan dia terlupa seketika pada insan di dalam rahimnya itu.
‘Anak mama pun penat ke?’ bisik Nur Laila pada kandungannya itu. Senyuman terukir di hujung bibirnya saat dia menerima tindakbalas dari dalam. Seperti mengerti akan kata-katanya. Nur Laila tersenyum bahagia.
Setelah lama dia menyandar, matanya beralih pada sesuatu di atas meja. Lantas tangannya mencapai kalendar. Dia membelek-belek kalendar yang sudah berada di tangannya.
‘Erm, tak lama lagi.’ Desisnya dalam hati.
Tidak puas hati dia mengira pada kalendar, dikira pula dengan tangannya. Hakikatnya dia bukan mengira tarikh untuk dia bersalin. Tetapi ada hal yang lebih penting dari itu. Dia termenung seketika. Saat itu matanya sudah tertancap pada skrin komputer. Tetikus di sebelah kanan sudah digerakkan. Mahu mencari sesuatu bagi merealisasikan hajatnya.
“Laila, awak tak balik lagi ke?” suara garau Encik Hairul yang menyapa secara tiba-tiba dari belakang membuatkan dia sedikit terkejut. Laila cepat sahaja memusingkan kerusinya menghala Encik Hairul yang sedang berdiri berhadapan mejanya. Bosnya itu baru sahaja selesai mesyuarat dengan klient dari syarikat luar. Kot hitam yang dipakainya tadi sebelum meninggalkan pejabat sudah berada di tangan.
“Belum lagi, bos. Saya tunggu suami saya jemput.” Balas Laila perlahan sambil tersenyum. Surat-surat di atas meja terus sahaja dihulurkan pada bosnya itu.
“Ooo...Awak dah tak memandu sendiri ke?” soal Encik Hairul lagi. Surat-surat yang sudah berada di tangannya dibelek satu persatu.
“Tak. Suami saya tak benarkan.” Jawab Laila lemah.
Sejak kandungannya mencecah lima bulan, suaminya tidak membenarkan dia memandu sendiri ke pejabat. Katanya bahaya. Apa yang bahaya Laila sendiri tidak tahu. Mahu ke mana-mana memang suaminya yang menjadi pemandu. Kalau ikutkan, dari awal suaminya tahu dia mengandung sudah tidak dibenarkan memandu. Tetapi Laila tidak mengendahkan tegahan suaminya. Kadang-kadang dia curi-curi juga memandu. Mana tahan mahu menunggunya sahaja. Terkadang suaminya itu juga sibuk dengan kerja.
“Betullah tindakan suami awak tu. Perut awak dah membesar, kalau apa-apa jadi kan susah.” Balas Encik Hairul bersahaja seakan-akan menyokong tindakan suaminya itu.
‘Ermmm...Yelah...” balas Laila pendek. Seakan akur dengan kata-kata bosnya itu.
“Okeylah, saya ada kerja sikit. Awak jangan balik lambat sangat.” Pesan Encik Hairul sebelum dia mengatur langkahnya ke bilik.
“Bos pun jangan balik lambat juga.” Laila sempat membalas kata-kata bosnya itu.
“Saya tak apa. Bukan mengandung pun.” Balas Encik Hairul sambil tergelak kecil. Laila juga turut tergelak. Bosnya itu kalau loyar buruk memang nombor satu. Ada sahaja yang dijadikan bahan.
Laila kemudiannya kembali memberi tumpuan kepada skrin komputer di hadapannya. Mahu menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Mahu mencari sesuatu untuk melaksanakan hajatnya. Matanya sudah ralit memandang skrin komputer. Di hujung bibir terukir senyuman. Laila seperti telah menjumpai apa yang dicarinya. Sewaktu dia sedang leka menghadap skrin komputer, Blackberry kepunyaan Laila yang dihadiahkan oleh suaminya sempena ulangtahun kelahiran berbunyi nyaring memainkan lagu ‘Sedang Bercinta lagi’. Menandakan panggilan masuk daripada suaminya. Memang lagu itu telah dikhaskan untuk panggilan daripada suaminya. Pantas sahaja tangannya mencapai telefon di atas meja.
“Assalamualaikum, abang.” Salam diberi saat punat jawab ditekan.
“Waalaikumsalam. Dah siap berkemas ke?” soal suaminya di hujung talian.
“Belum lagi. Abang dah sampai ke?” soal Laila. Kebiasaannya suaminya akan menelefon dulu sebelum tiba di pejabatnya.
“Belum lagi. Lagi lima belas minit abang sampailah. Tunggu di bawah ye.” Kata suaminya lembut.
“Ish abang ni. Laila ingat abang dah sampailah.” Kata Laila. Mendatar sahaja. Suaminya hanya membalas dengan gelakan kecil.
“Okeylah, Laila nak berkemas. Nanti abang dah sampai Laila tak habis kemas lagi.”
Kemudian talian dimatikan. Sepantas kilat Laila menyusun dokumen-dokumen yang bersepah di atas mejanya. Surat-surat yang telah diminitkan oleh Encik Hairul dimasukkan ke dalam fail keras. Cadangnya, esok sahaja baru diedarkan surat-surat itu pada kakitangan lain. Selesai mengemas mejanya yang agak bersepah sedikit seperti tongkang pecah, jari telunjuk runcingnya pantas menekan punat kecil di sudut kecil di sebelah kanan bawah monitor. Terus sahaja skrin pada monitor berwarna hitam sebesar televisyen 14 inci menjadi gelap.
“Bos, saya balik dulu.” Jerit Laila dari arah pintu bilik Encik Hairul yang terbuka luas. Encik Hairul memang jarang menutup pintu biliknya melainkan jikalau ada perbincangan penting sahaja.
“Okey, Laila. Jaga diri ye.” Jawab Encik Hairul yang sudah beralih pandang ke arahnya. Dia sememangnya ketuayang baik. Kebajikan setiap pekerja dijaga rapi.
Laila hanya mengukir senyuman dan dia mula mengatur langkah untuk beredar Langkahnya dipercepatkan kerana tidak mahu suaminya menunggunya pula. Terboyot-boyot Laila berjalan menuju ke arah lif.

Pintu kereta dibuka apabila Honda Jazz berwarna hitam berhenti di hadapannya. Suaminya sudah melemparkan senyuman dari dalam kereta. Laila membalas kembali senyuman itu hingga menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Tangannya dihulurkan pada suaminya ketika dia sudah berada di dalam perut kereta. Huluran Laila disambut lembut oleh suaminya itu. Beberapa saat selepas adegan bersalaman antara suami isteri itu, kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan bangunan tempat Laila bekerja.
Setelah beberapa minit kereta itu bergerak, Laila cuba memejamkan mata. Tiada kata-kata yang terungkap antara suami isteri itu. Farid, suami Laila masih memfokuskan diri pada pemanduannya. Perjalanan mereka hanya ditemani celoteh DJ radio dan sesekali kedengaran DJ itu memutarkan lagu pula.
“Penat ke?” soal suaminya sebaik sahaja kereta mereka berhenti di lampu isyarat. Laila meluaskan bukaan matanya sebaik mendengar pertanyaan suaminya.
“Penatlah juga. Hari ini banyak kerja. Office boy cuti, itu yang kena buat macam-macam kerja.” Terang Laila panjang lebar. Sesekali Laila perasan suaminya melirikkan mata padanya.
“Ermm, tak apalah. Banyak gerak senang bersalin nanti.” Jawab suaminya bersahaja yang sudah mula menekan pedal minyak setelah lampu isyarat bertukar hijau.
Laila hanya mengangguk. Tanda dia bersependapat dengan kata suaminya itu. Laila kembali mahu memejamkan matanya tetapi dia teringatkan akan sesuatu. Terus sahaja dia bertanya pada suaminya itu.
“Abang, lagi dua minggu ulangtahun kelahiran abang. Abang nak hadiah apa?” Sahaja Laila bertanya. Memang setiap kali ulangtahun kelahiran ataupun ulangtahun perkahwinan memang masing-masing akan bertanya.
Farid hanya membisu tatkala Laila bertanya. Wajahnya kelihatan tenang sambil kedua belah tangannya masih tersemat erat pada stereng. Pemanduannya masih diteruskan dengan kelajuan biasa-biasa sahaja.
“Abang, Laila tanya abang nak apa?” soal Laila manja setelah menunggu lama jawapan daripada mulut suaminya itu.
“Cepatlah, bang.” Desak Laila apabila suaminya tidak memberi respon.
“Apa tak nak apa-apa. Abang nak Laila aje.” Jawab suaminya. Senyuman sudah terukir di bibir suaminya itu.
“Laila tanya betul-betul ni.”
“Betullah apa abang cakapkan tadi.” Jawab Farid. Tangan sebelah kiri sudah diusap lembut pada kepala Laila kemudian beralih kepada perut bulat Laila pula.
Laila tersenyum puas. Dalam benaknya sudah terfikirkan sesuatu. Tunggulah...


Kotak kecil yang berbalut dengan pembalut hadiah berwarna biru diperhatinya. Laila puas hati kerana dapat membeli dengan duit yang disimpannya setiap bulan daripada gajinya. Jam tangan jenama Titus sudah dibelinya semasa dia ke bandar tengahari tadi. Memang sudah lama dia mahu menghadiahkan pada suaminya. Kalau diharapkan pada gajinya memang tidak mencukupi. Silap hari bulan dia kena minta duit belanja daripada suaminya pula. Matanya masih tertancap pada kotak kecil itu. Lalu dia tersenyum lagi. Tanda puas hati.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Cepat-cepat telefon bimbit di hadapannya dicapai. Setelah nombor telefon orang yang mahu ditelefonnya ditekan, telefon bimbit dilekapkan pada telinga. Menanti dengan penuh kesabaran sehinggalah panggilan itu terjawab.
Laila menarik nafas lega. Dia mahu membuat kejutan buat suaminya.
“Assalamualaikum, abang. Hari ni abang tak payah jemput Laila dekat pejabat ye.” Beritahu Laila sewaktu menelefon suaminya.
“Waalaikumsalam. Eh, kenapa pula?Habis tu Laila nak balik macam mana?Nak naik apa?” bertalu-talu soalan yang terpacul dari mulut suaminya. Tidak sempat langsung Laila mahu memotong percakapan suaminya.
“Tadi Laila ada hal sikit di luar. Jadi Laila ambil teksi terus balik rumah. Abang jangan risau ye.” Jawab Laila perlahan dan bersahaja.
“Oh, iye ke?Buat abang risau je. Okeylah sayang, abang ada mesyuarat ni. Nanti kita jumpa di rumah ye.”
“Abang jangan balik lambat tau.” Pesan Laila sebelum mematikan taliannya. Sejak semalam lagi, Laila sudah minta kebenaran Encik Hairul untuk bekerja separuh hari. Encik Hairul dengan senang hati membenarkan. Bosnya itu memang tidak banyak karenah dengan pekerjanya.
Sebaik sahaja perbualan dengan suaminya terhenti, Laila menelefon sahabat baik suaminya, Fizrul. Mahu mengingatkan kembali pada sahabat baik suaminya itu tentang malam ini.
“Okey, puan. Aku tak lupa punya. Masak special sikit tau.” Fizrul berpesan tanda faham dengan pesanan dan arahan Laila tadi.
Laila terus ke dapur mahu menyiapkan beberapa juadah. Dia hanya menempah Kek Red Velvet kegemaran suaminya. Mahu membuat sendiri terasa tidak terlarat. Kudratnya yang hanya tinggal beberapa kerat dengan perutnya yang terboyot-boyot, membuatkan dia mengangkat bendera putih. Setelah beberapa jam Laila bertungkus-lumus di dapur, akhirnya siaplah beberapa menu yang sudah dirancang dari awal. Dengan perut yang membesar itu dia masih mampu bergerak walaupun agak terbatas. Nasi Tomato, Spageti Aglio Olio dan Puding Caramel sudah siap terhidang. Nugget juga ada digoreng untuk anak-anak kawan suaminya.
Selesai menghidang, Laila terus ke bilik. Mahu membersihkan diri dan bersolat Asar. Tidak lama kemudian, kedengaran loceng rumahnya berbunyi. Cepat-cepat dia melipat telekung dan sejadah lalu digantung.
“Assalamualaikum..” terdengar dari luar bertalu-talu memberi salam. Laila menjawab salam. Kelihatan Fizrul, Zarul dan Afiz bersama keluarga masing-masing di muka pintu. Mereka adalah kawan baik suaminya semasa di universiti. Laila terus menjemput mereka masuk.
“Jemputlah minum.” Pelawa Laila seraya meletakkan dulang yang berisi jug berwarna oren berserta gelas. Saat mereka sedang berbual, bertukar-tukar cerita sesama sendiri, kedengaran kereta Farid menderu masuk ke dalam garaj.
“Farid dah baliklah.” Kata Laila pada semua yang ada di situ.
Masing-masing menuju ke meja makan. Menunggu kelibat orang yang ditunggu.
“Selamat Hari Lahir!” jerit semua yang ada di situ sewaktu Farid muncul di muka pintu Farid kelihatan tergamam. Laila yang berada di sebelah kiri meja tersenyum melirik memandang suaminya yang masih tercengat di pintu.
“Selamat hari tua, bro!” Fizrul sudah merapati ke arah Farid yang masih terkejut.
“Hah, terima kasih.” Balas Farid teragak-agak. Terasa kekok dirinya dilayan seperti itu.
Kemudian, Farid didatangi Zarul dan Afiq pula Ucapan dan pelukan silih berganti antara mereka. Akhir sekali barulah Laila mendapatkan suaminya.
“Selamat hari lahir, bang.” Kata Laila yang sudah berada dalam pelukan suaminya.
“Terima kasih, sayang.” Dahi Laila dikucup lembut.
“Dah, jom potong kek.” Kata Laila yang agak segan diperlaku sebegitu di hapadan orang.
“Red Velvet?” soal suaminya sambil mengangkat keningnya saat mereka tiba di meja makan. Laila hanya tersenyum.
Sebaik sahaja suaminya mahu memotong kek yang sudah terletak elok di atas meja, tiba-tiba Laila terasa sesuatu yang mengalir dari celah kelangkangnya.
‘Basah.’ Bisiknya sendiri. ‘Takkan aku terkencing pula.’ Bisiknya lagi. Semakin banyak cecair itu mengalir membuatkan dia berasa cemas.
“Abang.” Panggil Laila sambil menunjukkan dirinya.
“Kenapa?” soal Farid cemas apabila dia terlihat gaun labuh Laila sudah basah.
“Eh, ini air ketuban.” Kata Mira, isteri kepada Fizrul sebaik sahaja dia mendapatkan Laila yang masih berdiri kaku. Masing-masing menjadi kalut.

Laila membuka matanya perlahan-lahan. Dia tertidur setelah beberapa jam bertarung nyawa mahu melahirkan permatanya. Bukan satu tetapi dua!Selama ini doktor tidak pernah mengesahkan dia hamil kembar.
“Laila.” Terdengar suara suaminya memanggil. Terpisat-pisat matanya mahu mengecamkan wajah suami yang berdiri sisinya.
“Anak-anak mana?” soal Laila lemah.
“Mereka diletakkan dalam inkubator di Unit Rawatan Rapi Bayi.” Terang Farid. Laila tersenyum lemah pula.
“Tak sempat abang nak potong kek.” Dalam sakit-sakit begini masih teringat lagi dia kejadian tadi. Semua terpaksa ditinggalkan semata-mata mahu ke hospital.
“Tak apa.” Balas Farid lembut sambil mengusap-usap dahi Laila.
“Hadiah pun tak sempat Laila nak bagi.”
“Ada hadiah ke?” soal Faris berkerut dahi.
Laila sekadar mengangguk.
“Tapi abang dah dapat hadiahnya.” Kata Farid sambil matanya memandang dalam ke anak mata Laila.
“Apa?” soal Laila seakan tidak mengerti maksud suaminya itu.
“Bukan satu tapi dua!Dia orang tak sabar nak menjengah dunia. Nak sama tarikh lahir dengan abang.” Kata Farid bersahaja. Laila tersenyum saat mendengar kata-kata suaminya itu. Baru dia mengerti.
“Terima kasih sayang. Abang terharu sangat hari ini. Sangat-sangat. Tak tahu macam mana nak diungkapkan dengan kata-kata.” Kata Farid sambil mengenggam tangan Laila.
“Nanti bawa Laila jumpa anak-anak ye.” Pinta Laila yang masih berbaring di atas katil.
Suaminya hanya tersenyum ceria sambil mengangguk kepala. Tangan mereka digenggam dengan lebih erat. Dahi Laila dikucup lembut beberapa kali oleh suaminya. Laila terasa amat bahagia waktu ini. Dia terasa dirinya sudah cukup sempurna menjadi seorang mama pada sepasang cahaya mata. Dapat memberi zuriat pada suaminya.
‘Semoga permata-permata hati kami akan terus menyinari kebahagiaan kami.’ Bisik Laila.

TAMAT









Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »