Thursday, June 25, 2020

Novel Insan Kau Cinta di Popular Bookstore

Assalamualaikum.


Pertama sekali, entri ini aku ingin kongsikan berkenaan novel pertama aku yang berjudul Insan Kau Cinta. Pejam celik, sudah empat bulan Insan Kau Cinta diterbitkan. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi peluang untuk aku merasai momen-momen ini. Tidak pernah terlintas pun aku akan menjadi seorang penulis. Bermula dengan menulis di blog, aku kemudiannya menjinak-jinakkan diri dengan memasuki pertandingan menulis. Masa itu, aku terbaca di blog seorang novelis tentang pertandingan e-book.

Pertandingan E-Book Anjuran Maxis


Bermula dengan pertandingan inilah aku meneruskan perjalanan sebagai seorang penulis. Ditambah lagi semangatnya apabila aku memenangi dalam pertandingan ini walaupun pada ketika itu aku serba-serbi kosong tentang penulisan. Di sebalik menyertai pertandingan ini, terselit kisah manis antara aku dan sahabat aku kerana kami sama-sama menyertai pertandingan tersebut. Kira kami berlawan secara sihat gitu.

Asbab menyertai pertandingan itu juga aku berkenalan dengan seorang novelis dan aku gelar MM sahaja di sini. Dia yang menjadi cikgu aku. Mengajar dan memberi bimbingan kelas dalam penulisan. Begitulah permulaan aku. Setiap karya aku akan dibedah oleh beliau. Pada mulanya memang makan hati juga apabila dia mula melontarkan komen tapi bila semakin mengenalinya aku sudah tidak kisah. Aku tahan sahaja apa jua komennya.

Show bukan Tell


Ini ayat yang aku paling ingat sewaktu belajar dengannya. Berapa kali dan dalam erti kata lain berpuluh kali mahu pun beratus kali dia mengulang ayat di atas. Kita tulis ayat biar nampak 'show' bukannya kita 'tell'. Sampai sekarang kalau aku taip, mesti terngiang-ngiang ayat dia.

Contoh, menggeleng kepala.

Dulunya, aku tulis begitu. Nanti dia akan cakap. Kita memang menggeleng kepala. Ada ke orang menggeleng kaki ke? Sejak itu, aku ingat apa saja ajarannya. Alhamdulillah, sehingga sekarang dia masih ada dengan aku dan novel Insan Kau Cinta juga aku mulakan dengannya walaupun sekarang dia sudah bersara daripada dunia penulisan.

Berbunga-bunga di hati


Setelah tiga bulan tidak ke kedai buku, kelmarin aku kedai buku. Kedai buku pertama yang aku jejak adalah Popular Bookstore di Aeon Bandaraya Melaka. Tujuan utama mahu turun padang melihat novel sendiri. Sepanjang sudah boleh keluar (PKPB/PKPP), aku terima maklumat tentang novel aku yang sudah ada di kedai buku.

Jadi, kelmarin aku pula mahu melihat dengan sendirinya. Berbunga-bunga di hati tatkala melihat Insan Kau Cinta tersusun di rak. Selalu ke kedai buku beli dan cari novel orang lain, kali ini terasa bahagia bila melihat novel sendiri.


Popular Bookstore AEON Bandaraya Melaka


Aku sempat bergambar dengan novel sendiri. Buat kenangan kata orang. Pada mulanya aku tercari-cari Insan Kau Cinta di rak-rak yang tersusun novel-novel. Puas mencari tetapi tidak menjumpainya sehinggalah aku berputus asa dan terus saja bertanyakan pada seorang pekerja Popular.


Pilihan Popular Wadah Jiwa Bangsa...


Rupanya, Insan Kau Cinta disusun di rak Pilihan Popular Wadah Jiwa Bangsa. Bertambah berbungalah rasa di hati aku. Novel Insan Kau Cinta dalam Pilihan Popular bulan Jun 2020. Bolehlah dapatkannya di cawangan Popular yang berhampiran anda.


Insan Kau Cinta


Sebuah kisah kehidupan seorang bernama Azalea Husna yang mencari erti sebuah kehidupan. Kisah ini menyentuh perihal kekeluargaan dan terselit kisah percintaan. Pada yang sudah mendapatkannya, semoga ada memperoleh sedikit manfaat daripada naskah ini.


Review Novel: Rasa Yang Terikat

Assalamualaikum.

Selamat petang semua.

Agak lama meninggalkan ruang ini. Kesuntukan masa untuk mencoretkan sesuatu di sini. Pembacaan pun lambat. Aku baca novel ini sewaktu PKPB setelah mengharungi PKP. Sebenarnya banyak saja masa yang boleh diisi dengan baca; pendek kata sebenarnya banyak buku/novel yang boleh dibaca sepanjang tempoh itu. Namun begitu, aku masih tidak mampu melakukannya.

Aku lebih melayan emosi yang tak dapat balik ke kampung merangkap rumah sendiri di Melaka. Dalam pada itu juga aku sibuk menulis. Mengejar deadline dan juga sibuk sepanjang Ramadan untuk amalan diri.

Baiklah, di sini aku ulas novel yang aku sudah habis baca dan baru sempat menulisnya. Aku menulis entri ini di Melaka yang tercinta dan negeri yang paling bahagia. Hahaha. Orang kata. Tapi aku memang terasa bahagia bila di Melaka dan juga di rumah sendiri.

Kita teruskan dengan review novel Rasa Yang Terikat.


Rasa Yang Terikat karya Arniza Idayu.

Penerbit: Fajar Pakeer
Harga: RM23/RM26
Jumlah Halaman: 499



* Pertama kali aku membaca karya novelis ini. Penulis ini ada nama penanya yang lain iaitu Aina Meira. Aku beli novel ini memandangkan novel penulis ini terbit bersama dengan novel aku, Insan Kau Cinta. Itulah asbabnya aku mengenali penulis ini.


* Rasa Yang Terikat sarat dengan kisah kedukaan atau kesengsaraan seorang wanita bernama Sofi atau Sofea. Kisahnya membuatkan aku bermain dengan emosi sendiri. Berperang dengan perasaan sendiri. Terasa kesengsaraan Sofi itu sampai ke lubuk hati.


* Sofea seorang wanita yang telah berkahwin tetapi sudah kematian suami. Berasal dari kampung dan bergantung hidup dengan mak langnya. Makcik kepada arwah suaminya. Kesengsaraannya bermula apabila dia dibenci dan diseksa oleh mak langnya.


* Penderaan fizikal dan mental lebih menyakitkan apabila mak lang mahu menjual Sofea atau Ayya nama panggilannya oleh mak lang kepada seorang lelaki bernama Jamal. Babak ini paling geram. Geram dengan mak lang, geram dengan Jamal. Tersangat!


* Namun takdir menemukan Sofea dan seorang lelaki bernama Aiman dan Jamal itu sebenarnya ada hubungan kekeluargaan dengan Aiman. Nak tahu apa kaitan Jamal dan Aiman? Kenalah baca novel ini sendiri. 


* Bagaimana Sofea mahu melepaskan diri daripada jerat Jamal kerana Jamal tetap memburunya kerana dia sudah membayar sejumlah wang pada mak langnya membuatkan aku mahu habiskan pembacaannya.


* Tahniah buat penulis. Plot yang tersusun dan sebuah kisah yang menarik. Apa yang boleh diambil iktibar daripada novel ini, sifat dengki dan iri hati yang wujud dalam diri mak lang, membuatkan orang lain merana. Oleh sebab sifat itu dia bertindak di luar kawalan.


* Sekali lagi, tahniah buat penulisnya.

Selamat membaca!


Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »