Showing posts with label Cabaran Membaca 2019. Show all posts
Showing posts with label Cabaran Membaca 2019. Show all posts

Tuesday, January 7, 2020

Target Membaca

Assalamualaikum.

Hai.

Tahun 2020 ini aku sudah tidak mahu meletakkan berapa target buku yang mahu dibaca. Selalunya memang tidak tercapai pun target aku. Seperti tahun-tahun lalu, aku mensasarkan untuk membaca ikut umur; tahun lepas aku 36 tapi itulah tak sampai 20 buah pun aku baca.

Biasalah, alasan klise aku adalah sibuk. Alasan yang cukup menjadi kegemaran aku. Dan juga faktor kelambatan aku membaca adalah apabila membaca aku akan tertidur. Itu yang membuatkan aku lambat menghabiskan pembacaan aku.

Tak mengapa. Masing-masing punya cara. Janji adalah aktiviti kita. Kalau ditanya aku, aku lagi laju membeli buku daripada membaca. Bersusun-susun buku yang belum dibaca di rak. Buku tak ada tarikh luput, biarkan saja. Lambat-laun akan dibaca juga.

Kalau tidak aku yang membacanya, anak-anak akan membacanya juga; aku harap mereka akan suka membaca. Anak-anak buah pun ramai. Boleh pinjam dan baca.

Tapi, dengan syarat baca dan jaga elok-elok. Kepantangan aku kalau orang pinjam buku aku tidak dijaga elok-elok. Kalau yang kenal aku dari sekolah tahulah macam mana gayanya. Kalau aku tidak membalutnya aku akan selotape tepi buku agar tidak rosak.

Sekurang-kurangnya tidak menyakitkan pandangan mata. Aku tidaklah cerewet sangat cuma jangan dilipat mukasuratnya, diconteng atau apa saja yang boleh buat aku kemurungan tengok buku aku nanti.

Faham?

Buku selesai baca 2019. Aku ambil dari FB. Setiap kali habis baca aku akan upload. Mula-mula rajinlah tulis review tapi lama kelamaan aku jadi malas. Bukanlah malas sangat tapi tak ada masa. Semua tempat pun ditulisnya sampai aku tak ada masa. Begitu sibuknya aku.


Tahun lepas dapat 17 buah buku sahaja. Ada buku fiksyen dan bukan fiksyen. Aku baca apa pun yang menarik. Kadang ada buku yang aku baca separuh sebab tak dapat feel kemudian aku sambung baca selepas habiskan buku lain. Begitulah aku. Walau apa pun aku tetap habiskannya juga.

Tahun ini kita tengok berapa jumlah buku yang dapat aku selesaikan. Nanti aku kongsikan ya. Selamat membaca buat pencinta buku! Jangan lupa Mac ini PBAKL akan berlangsung.

Sekian.

Salam pena,
Fyda Adim


Sunday, August 4, 2019

Review Novel : Derita Cinta



Tajuk : Derita Cinta
Penulis: Aisya Sofea
Penerbit: Alaf 21
Tebal Halaman: 741


Sinopsis:


Cinta, perasaan itu tidak pernah diundang dan tidak pernah dijemput. Jika ia memberi kebahagiaan, pasti segalanya indah. Namun apa yang akan berlaku jika derita yang ditinggalkan?

Begitulah hidup Nur Amili Sofiya. Cinta yang hadir tidak pernah membahagiakan dirinya. Namun kehadiran Iman dalam hidupnya adalah cinta paling ikhlas dan jujur yang pernah dirasainya. Kemudian muncul Ghazi, lelaki yang menagih cinta darinya. Kesungguhan, ketulusan dan sifat bertanggungjawab Ghazi membuatkan Sofi kalah. 

Namun kebahagiaan yang dikecapi tidak lama bila Amri, kekasih pertama Sofi hadir menagih kembali kasih lama mereka. Ghazi terkejut bila mengetahui rahsia yang disimpan Sofi selama ini tentang siapa Iman sebenarnya. Yang hairannya kenapa Sofi perlu berahsia. Rahsia yang dibawa Murni itu sekali gus menghancurkan impian Ghazi dan Sofi untuk hidup bersama.

“Cinta Sofi pada abang, cinta sampai mati. You are my other half. Takkan mudah Sofi nak hidup tanpa abang.”- Nur Amili Sofiya

“Abang bukan sekadar cintakan Sofi, tapi Sofi udara untuk abang. Sofi bulan dan matahari untuk abang. Abang tak boleh hidup kalau Sofi tak ada.” - Ghazi Hashim



Ulasanku:


Aisya Sofea antara novelis kegemaran aku. Aku mula membaca novelnya yang berjudul Jauh, Adam dan Hawa, Sehangat Asmara, Uda & Dara. Sejak itu aku memang suka membeli novel-novelnya. Derita Cinta kali ini novelnya agak berat. Macam mana tajuk novelnya derita begitu juga derita aku mahu menghadamkan keseluruhan novel ini.


Secara jujurnya, ceritanya agak berat. Kalau yang sedang dalam berada dalam situasi tertekan eloklah jangan membaca sebab watak-watak dalam novel ini membuatkan kita geram. Lebih-lebih lagi watak Amri. Bekas kekasih Sofiya. Tiba-tiba muncul dengan menyerahkan anaknya untuk dijaga Sofiya. Muncul secara tiba-tiba satu hal, tinggalkan anak berbulan-bulan tanpa diketahui identiti sebenar ayah si kecil kemudian muncul semula dengan membuat pengakuan dia adalah ayah si kecil.

Perangai memang minta nak kena pelangkung saja. Tak memasal emosi ketika aku membaca. Naskhah ini bagus kerana dia menyentuh perihal anak angkat, kisah ibu susuan dan juga nilai kasih sayang yang tidak boleh dijual beli.

Siapa kata novel tidak ada info yang berguna?

Dalam novel ini, ada diterangkan serba sedikit bagaimana mahu mengambil anak angkat di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga bagaimana mahu memulakan menjadi ibu susuan.

Apa pun, konflik dalam naskhah ini memang susah. Tahniah buat penulisnya. Bukan mudah untuk menulis sebenarnya.




Review Novel : Kan Kukejar Cinta Kamu



Tajuk : Kan Kukejar Cinta Kamu
Penulis: Fauziah Ashari
Penerbit: Intens
Tebal Halaman: 800


Ulasanku:


Penulis Ombak Rindu yang tidak pernah mengecewakan. Novel ini memaparkan kisah konflik keluarga. Naskhah yang berat kerana konfliknya juga berat. Novel yang membuatkan jiwa raga terseksa ketika menghadamkannya. Mengisahkan percintaan Alma dan Raiyan namun percintaan mereka terhalang akibat dendam keluarga. 

Satu-persatu penderitaan yang perlu Alma lalui seorang diri. Alma dan Raiyan yang berkahwin di luar negara iaitu Ireland tanpa pengetahuan keluarga. Hasrat mereka untuk mengeratkan silaturahim antara dua keluarga. Namun belum sempat mereka mengumumkan pernikahan mereka, Raiyan ditimpa kemalangan dan hilang ingatan.

Dalam cerita ini, watak nenek Raiyan iaitu Tharwati yang dipanggil Nek Bonda memang menjengkilkan. Dia seumpama 'Hitler'. Nek Bonda yang mengawal segala gerak geri Raiyan sehingga ibu Raiyan sendiri tidak berkuasa untuk melawan.

Novel ini menarik cumanya babak Alma-Raiyan itu agak membantutkan mood membaca. Jenuh juga aku mahu menghabiskan novel ini. Ada juga yang aku skip babnya kerana lelah dengan babak-babak yang tidak sepatutnya.

Novel ini pinjam sebenarnya jadi aku sedaya upaya juga menghabiskannya. 



Review Buku : Walk On Wings Tread In Air



Tajuk: Walk On Wings Tread In Air
Penulis: Diana Ishak
Harga: RM25



Ulasanku:


Buku ini hasil penulisan seorang blogger yang terkenal. Aku suka baca penulisannya yang banyak memberi semangat dan membuka mata kita untuk menyedari setiap yang terjadi dalam kehidupan seharian kita.


Naskhah ini memang sangat sesuai untuk bacaan umum. 


Selamat membaca!



Review Novel : Kepada Dia Dengan Cinta



Tajuk: Kepada Dia Dengan Cinta
Penulis: Marissa
Penerbit: Karya Seni
Tebal Halaman: 461
Rating : 4/5


Ulasanku:




Novel ini sebuah novel santai. Jadi untuk menghilangkan stres memang sesuai sangat buat bahan bacaan. Ceritanya tak berat jadi tak menyesakkan kepala.


Aku habiskan dalam masa 4 hari saja. Lagipun novelnya tidaklah tebal mana. Permulaan ceritanya memang menghiburkan. Aku baca sampaikan tersenyum-senyum sendiri.


Novel ini kisah seorang gadis bernama Darlina yang menyukai seorang jejaka bernama Naufal yang satu tempat kerja dengannya. Waktu ini boleh mengimbau kenangan zaman remaja di mana kita juga pernah melalui macam Darlina. Tiga tahun Darlina memendam rasa rupanya dia tidak bertepuk sebelah tangan.

Menarik bukan bila orang yang kita suka turut suka pada kita. Sepanjang membaca kisah mereka aku memang terhibur. Aku suka watak Darlina dan juga Naufal.


Darlina, cuma lepas kahwin wataknya agak menjengkelkan. Geram saja. Watak Naufal memang menarik. Lengkap lelaki idaman malaya.


Cumanya ada sesuatu yang berlaku sebelum mereka disatukan. Walaupun aku dapat mengagak plotnya sedikit tetapi penulis bijak sebab aku ada rasa untuk meneruskan pembacaannya.


“Sekali jatuh cinta, akan tetap cinta selamanya.”



Selamat membaca!



Review Buku : 99 Stress Free Mummy



Tajuk: 99 Stress Free Mummy
Penulis: Zatika Izati Puade
Penerbit: Must Read Sdn Bhd
Tebal Halaman: 172 


Ulasanku :


Buku ini sebuah naskhah santai. 99 kisah ibu dan anak yang dikumpulkan dalam naskhah ini. Mengisahkan momen-momen seorang ibu dan anak-anak yang ditulis secara santai dalam konsep anekdot. Kisah-kisah lucu yang berlaku antara ibu dan anak-anak mampu membuatkan kita tersenyum ketika membacanya.
.
Ada kisah-kisah lucu yang barangkali pernah terjadi kepada diri kita sendiri. Bukan mudah menguruskan anak-anak kecil jika tidak diuruskan dengan betul dan teratur. Boleh mendatangkan stres yang adakalanya membuatkan ibu bertukar menjadi hijau atau bertukar menjadi tarzan.
.
Lebih mencabar lagi jika ibu itu bekerja. Perlu diuruskan mengikut kepakaran masing-masing agar semua berjalan lancar.
.
Kisah-kisah dalam buku ini sangat menarik dan dapat dihabiskan dalam masa yang singkat. Boleh dijadikan bahan bacaan untuk menghilangkan tekanan.
.
Selamat membaca!


Sunday, July 28, 2019

Review Buku : Cerita Dalam Kampus



Tajuk: Cerita Dalam Kampus
Penulis: Raihan Abu Bakar
Penerbit: Komrad Buku
Tebal Halaman: 200 



Ulasanku:
.
Aku habiskan naskhah ini dalam masa beberapa hari sahaja. Himpunan kisah anekdot yang santai yang ditulis daripada sudut pandang seorang pensyarah dalam melayan karenah para pelajarnya. Tidak membosankan melayan kisah-kisahnya. Bila baca cerita begini mulalah terimbas saat diri menjadi pelajar. Begitulah karenahnya.
.
Sesuai dibaca untuk bacaan umum. Menarik dan kita sedikit sebanyak boleh mengetahui isi hati seorang pendidik. Bukan mudah sebenarnya.
.
Highly recommended!



Tuesday, May 7, 2019

Review Novel : Sepahit Kopi Semanis Cham



Tajuk: Sepahit Kopi Semanis Cham
Penulis: Syima Syawal
Penerbit: Fajar Pakeer
Tebal Halaman: 628


Ulasanku:

Akhirnya buku pertama yang aku habiskan untuk pembukaan tahun baharu ini. Novel pertama aku baca daripada penulis ini. Aku tertarik untuk membeli novel ini berdasarkan sinopsisnya.

Kisah Dayang Irdina dan Fawwaz Radi yang permulaan pertemuannya agak dingin namun akhirnya perasaan itu mula bertukar menjadi cinta. Fawwaz Radi yang pada mulanya suka menyendiri kerana peristiwa yang berlaku ke atas dirinya telah berubah sepenuhnya setelah dia jatuh hati dengan Dayang.

Macam biasalah, setiap kebahagiaan pasti akan diuji. Dalam kisah mereka, Dayang difitnah atas sebab manusia yang berdendam. Waktu kejadian itu, aku rasa geram dengan Fawwaz Radi sebab dia tak beri peluang langsung pada Dayang untuk menjelaskan perkara sebenar.

Memang ada twist plot dalam novel ini. Aku sangkakan orang lain yang jahat. Rupanya ada orang lain yang lebih jahat atau dalam erti kata lain sebenarnya orang itu ‘sakit’.

Apa pun naskhah ini tidak menghampakan. Dayang seorang gadis yang tabah. Aku dapat rasa kekuatan dia mengharungi ujian yang melanda dirinya.

Penutupnya,

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata - HAMKA



Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »