Showing posts with label Buku Prima. Show all posts
Showing posts with label Buku Prima. Show all posts

Thursday, August 26, 2021

21/2021 | Ulasan Novel : 9 Nyawa

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Baru berkesempatan untuk menulis malam ini. Minggu lepas, saya teramat sibuk. Minggu huru-hara bagi saya. Saya mengejar masa nak siapkan tugasan portfolio Kursus Asuhan & Didikan Awal Kanak-kanak (KAP). Mana nak siapkan kerja praktikum. Saya menjalani Latihan Praktikum selama lima hari.

Kenalah mencari kanak-kanak ribena untuk dijadikan anak buah. Semestinya anak-anak buah saya yang menjadi anak murid saya. Alhamdulillah, walau dalam keadaan huru-hara, bantuan rakan-rakan KAP amat saya hargai terutama Yatt. Segala macam soalan saya tanya dia. 

Okeylah, pasal KAP nanti saya kongsikan lagi. Malam ini saya kongsikan sebuah lagi novel karya Ramlee Awang Murshid.


9 Nyawa karya Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Buku Prima
Harga : RM25.00 (SM)/RM28.00 (SS)
Jumlah Halaman : 517 muka surat

Mata hati tidak pernah berdusta

Novel ini agak sukar diteka jalan ceritanya. Macam biasa Ramlee Awang Murshid seorang yang bagus dalam berkarya. Untuk menghadamkan novel setebal 517 muka surat, memerlukan fokus kerana penceritaannya mengikut watak dan ditemukan dalam satu kejadian. Kali ini RAM membawa pembaca ke Kota Singa dan Indonesia selain lokasi penceritaannya di Malaysia.

Mengisahkan Intan Suryani yang mempunyai masalah jantung. Sering terjadi kemalangan pada Intan namun masih terselamat sehingga ibunya mempercayai tentang 9 Nyawa seperti nyawa seekor kucing. Ibunya menjadi trauma selepas kemalangan ngeri yang meragut nyawa suaminya. 

Hakim seorang yang buta. Dia tinggal di Singapura. Sebenarnya, kecacatan yang dialami oleh Hakim bukan sejak lahir tetapi matanya buta akibat satu kejadian. Kejadian yang meragut nyawa kedua ibu bapanya. Dia seperti hilang ingatan tetapi sebenarnya dia cuba tidak mahu mengingati kejadian itu.

Khairil seorang lelaki yang telah mencuri hati Intan. Intan menerima lamaran Khairil setelah dia mendapat lelaki itu terlalu baik buatnya. Ibunya terpaksa akur dengan pilihan Intan walaupun pada awalnya Azizah tidak bersetuju dengan pilihan anaknya.

Novel ini membawa pengajaran dari sudut tersurat mahu pun tersirat. Apa yang kita sangka baik sebenarnya dia hanyalah bertopengkan manusia. Adakalanya seseorang yang baik dengan kita kemungkinan dia mempunyai agenda jahat.

Begitu juga dalam novel ini. Kerana mahu membolot harta orang, manusia sanggup berbuat apa sahaja. Sanggup melakukan perkara jahat sehingga melupakan Tuhan.

Jika anda mahu mengetahui apa yang saya maksudkan, bolehlah membaca naskhah ini sendiri. Saya masih kagum dengan karya RAM yang di luar jangkaan.

Sekian.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim

Tuesday, August 3, 2021

18/2021 | Ulasan Novel : Haura

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Kembali bersiaran dengan menulis sedikit ulasan novel. Saya tak berapa pandai nak mengulas tapi setakat kongsi sikit-sikit apa yang patut, bolehlah kan. Bulan Julai dapat baca dua buah novel Ramlee Awang Murshid. Selepas ADAM, saya meneruskan ke novelnya yang lain.

Beli dalam Mac tahun ini tapi barulah sampai seru nak membacanya. Masa membeli novel ini pun sebab tertarik baca sinopsisnya.


Haura Karya Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Buku Prima
Harga : RM26.00 (SM)/RM29.00 (SS)
Jumlah Halaman : 417 muka surat

Bismillah...Aku Mencintaimu

Novel Haura adalah karya penulis terkenal. RAM sentiasa menghidangkan kisah Thriller. Itulah antara sebab saya lambat terjebak dengan karya-karya RAM. Namun kisah Haura ini sedikit berlainan. Elemen cinta diselitkan dalam naskhah ini cumanya elemen cinta itu tidaklah terlalu jiwang meleleh. Tidak sama sekali.

Naskhah kali ini membuatkan saya perlu bersabar untuk menghabiskannya. Latarnya kali ini dibawa ke Australia. Macam biasa, terasa seperti berjalan-jalan di negara itu. Saya perlu fokus kerana banyak yang flashback. Sesekali memang saya lost. Kena ulang balik. Sedikit menganggu pembacaannya sebab nak bagi sendiri faham. 

Kisah ini bermula apabila Fahmi bercinta dengan Waheeda namun percintaan mereka terputus apabila Waheeda bertemu jodoh semasa menyambung pelajarannya di Australia. Fahmi kecewa namun dia bangkit apabila dia dapat menunaikan hasratnya membuka restoran.

Fahmi bertemu jodoh dengan Jessica sewaktu Fahmi ke Australia. Kekecewaan Fahmi membuatkan Fahmi menjadi seorang yang lain. Plotnya memang tidak dapat diteka dari awal berbanding novel ADAM.

Naura terdapat plot twist dan tidak terjangka pun. Ya, saya tidak dapat meneka dan eh dia ke Haura yang dimaksudkan apabila Jessica didatangi mimpi yang pelik-pelik. Jessica terlibat dalam kemalangan dan dia hilang ingatan. Lebih lagi dia tidak mengingati tentang Fahmi.

Dari situ perasaan ingin tahu dan mahu habiskan hingga ke penamatnya. Siapa Haura sebenarnya? Siapa Fahmi sebenarnya?

Antara ayat-ayat yang sangat dekat di hati. Saya kongsikan sedikit sedutannya di sini.

"Hidup ini pilihan. Andai kita memilih keburukan makan keburukan juga yang akan pulang kepada kita. Andai kita memilih kebaikan maka kebaikan itu sendiri akan kita miliki sungguhpun mengambil masa yang lama."


Tuesday, July 13, 2021

15/2021 | Ulasan Novel : ADAM - Aku Darah Anak Malaysia

Assalamualaikum.

Hai semua.

Entri pertama untuk Julai. Baru berkesempatan mahu menulis entri. Pembuka Julai, saya mulakan dengan membaca novel Ramlee Awang Murshid. Pertama kali membaca karyanya walaupun saya ada beberapa koleksi novelnya. Mengumpul novel pun satu terapi. Begitulah konsepnya.

Konsepnya, apabila tiba-tiba nak baca, novel atau buku sudah ada. Saya beli sesebuah novel atau buku bukan terus-terus baca. Selalunya, simpan dulu. Harta lain tak ada, nanti buku-buku ni yang boleh diwarisi oleh anak-anak mahu pun anak buah.


Aku Darah Anak Malaysia karya Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Buku Prima
Harga : RM25.00 (SM)/RM28.00 (SS)
Jumlah halaman : 568 muka surat

RAM seorang penulis yang dikenali. Saya mula menyimpan novelnya sejak saya menonton Tombiruo di pawagam. Novel Tombiruo saya beli dan kulit novelnya waktu itu Zul Ariffin walau mukanya tidak kelihatan. Sanggup beli. Gedik sangat di situ. Hahaha. Cumanya, saya bukan peminat Zul Ariffin. Kalau rasa best saya boleh saja menonton. Begitulah.

Ya, saya menonton sebab pelakonnya. Waktu itu saya belum terjebak dengan novel RAM sebab karyanya pada saya belum menjadi keminatan saya waktu tu. RAM penulis thriller. Fokus membaca novelnya perlukan fokus sebab bukan sejenis yang straight. Kena berfikir.

Tapi itulah, hati manusia kan mudah berubah. Saya mula membeli preloved novel-novel RAM. Kebetulan waktu itu, ada seorang kawan nak menjual novel-novel RAM. Jadi saya terus beli dengannya. 

ADAM ni bukan preloved. Saya beli yang baharu. Baca sinopsisnya buat saya minat nak membelinya dan inilah novel RAM yang pertama saya baca. Memang mengagumkan. Idea yang tidak terjangkau dek akal fikiran.

Kisah seorang lelaki yang bernama Hilman. Pernah menjadi penderma hati pada seorang kanak-kanak bernama Mia Sara dan mereka bertemu di suatu tempat sewaktu dalam keadaan yang sukar. Hilman ditimpa kemalangan dan kesusahan di tempat orang iaitu di New York. Sungguh saya terasa seperti mengembara ke New York kerana RAM menceritakan setiap pelusuk bumi New York secara terperinci.

Baca kisah ini membuatkan hati saya berdebar-debar. Sentiasa tertanya-tanya apakah yang bakal terjadi selepas ini? Novel yang penuh konspirasi, perlukan penyiasatan tentang pelaku yang menyebabkan Hilman dituduh mabuk sewaktu kemalangan.

Cumanya, saya perlu fokus pada pembacaan kerana novel ini ada bab-bab yang mengimbau kisah lalu. Watak-wataknya juga perlu diingat sebaik mungkin kalau tidak memang akan hilang terkapai-kapai.

Daripada novel ini, apa yang boleh saya katakan sangat bagus. Ada terselit mesej yang disampaikan RAM dalam novel ini. Bukan semua orang itu jahat akan berterusan menjadi seorang yang jahat. Ada pengakhiran yang baik buat dirinya apabila dia mendapat hidayah daripada Allah. 

Novel ini juga memberitahu orang yang baik pasti akan dipermudahkan urusannya akhirnya meski pun pelbagai rintangan yang terpaksa dihadapinya.

Secara keseluruhan, novel ADAM ini digarap dengan baik. Kisah keluarga dan terselit sedikit kisah percintaan apabila Mia Sara jatuh cinta dengan penderma hatinya. Sebuah karya yang penuh saspen kerana mahu mengetahui siapa pelakunya, mahu merungkaikan kisah Mia Sara dan Hilman dan mahu tahu apa pengakhiran Hilman di bumi New York. Pelbagai twist yang menarik dan saya rasa tak rugi membaca naskhah ini.

Sekian.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim

Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »