Friday, December 13, 2019

Bab 5: Ungkapan Kata Bernafas Cinta



Gambar : Carian Google



BAB 5

Hadirmu dalam hidup ini
Membawa sinar bahagia dalam diri


PROTON Persona berwarna kelabu memasuki ke perkarangan halaman rumah separuh batu dan separuh papan. Suasana malam itu sangat dingin hingga ke tulang putih ditambah lagi dengan penghawa dingin kereta yang terpasang. Hamzah Fikri memarkirkan keretanya di hadapan tangga rumahnya. Enjin kereta dimatikan. Dia sempat mengerling ke arah jam tangannya.

Tepat jam sembilan malam. Waktu-waktu begini, umi dan abahnya masih belum pulang dari masjid. Siang tadi umi sudah memaklumkan dia ada kelas mengaji sebelah petang dan selepas maghrib ada ceramah agama. Lampu kalimantang di hadapan dan di belakang rumah sudah terpasang seperti biasa. Tidaklah halaman rumahnya gelap-gelita seperti tidak berpenghuni sahaja. Memang itu kebiasaannya uminya meskipun ada di rumah ataupun tidak. Terang-benderang rumahnya itu.

Hamzah Fikri keluar daripada kereta dan mengatur kemas langkahnya. Anak-anak tangga didaki dengan penuh hati-hati. Dia melabuhkan duduk pada sebuah kerusi rotan yang tersusun di beranda lalu menyandarkan tubuhnya. Seketika dia memejamkan matanya. Hajat di hatinya mahu melelapkan mata sebarang dua sementara menanti emaknya pulang.

Baru sahaja seminit dua dia melelapkan mata, sayup-sayup kedengaran suara perempuan memberi salam. Lantas dia membuka mata dan membetulkan duduknya. Dari beranda, kelihatan figura wanita bertubuh sedikit gempal mengatur langkah menuju ke halaman rumah. Telekung putih bersih masih lagi membalut badan wanita berusia 60-an itu. Kemudian matanya beralih pada gadis yang sedang memimpin uminya. Dia menyambut kepulangan wanita itu dengan sebuah senyuman.

“Fik, baru balik ke?” Soal uminya seraya melabuhkan punggung di anak tangga rumah. Memang situ tempat persinggahan uminya sebelum memasuki ke rumah. Usia emas seperti umi memang mudah penat ditambah pula kaki uminya yang sudah tidak berapa kuat lagi.

“Adalah dalam lima belas minit Fik sampai umi,” jawab Hamzah Fikri senada.

“Lambat balik hari ini?” Soalan umi menerjah ke pendengarannya lagi.

“Hari ini ada lawatan. Jadi banyaklah kerjanya.”

Seketika, suasana hening.

Sepasang matanya masih lagi tertunak ke arah gadis yang masih berdiri di hadapan emaknya. Gadis bertubuh kecil itu mengukir senyum padanya. Tanpa teragak-agak dia membalas kembali senyuman itu.

Bukan dia tidak kenal dengan gadis bertubuh kecil dan kurus, kulit wajahnya yang cerah itu. Seorang gadis biasa atau lebih tepat gadis kampung. Anak gadis Makcik Maimunah yang tinggal selang beberapa rumah daripada rumahnya. Anak gadis Makcik Maimunah yang umi selalu bercerita padanya hampir setiap malam. Anak gadis Makcik Maimunah yang umi cuba menjodohkan dengannya.

“Fik, umi tengok Suraya itu baik orangnya.” Begitulah tutur umi hampir setiap malam memuji anak gadis Makcik Maimumah. Dialog klise yang selalu emak-emak guna pakai kalau ingin menjodohkan anak mereka dengan seseorang. Dialog sebegini biasa juga digunapakai dalam drama-drama cerekarama yang selalu ditayangkan di televisyen. Drama-drama sangat!

“Fik, kamu dah makan belum?” Suara Hajah Azizah mengejutkan dia yang mengelamun seketika.

“Belum.” Pendek sahaja Hamzah Fikri menjawab.

“Suraya, marilah makan sekali.” Pelawa Hajah Azizah pada gadis itu. Gadis itu pantas menggeleng kepala.

“Tak apalah Makcik Zah. Su balik dulu. Nanti emak tunggu pula. Dah janji nak makan dengan emak sekali.” Gadis itu melontar kata dengan nada lembut. Patutlah uminya begitu berkenan dengan gadis berkulit cerah itu. 

Umi sahaja yang berkenan. Aku tidak. Sempat dia berkata di dalam hati.

Hamzah Fikri diam tidak berkutik. Sekadar menelinga dari arah beranda.

“Su balik dulu Makcik Zah.” Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan wanita yang sebaya dengan emaknya. Selesai bersalaman, Suraya melempar selayang pandang pada lelaki tinggi lampai yang sedang duduk di beranda. Sebuah senyuman diberikan pada lelaki itu.

“Fik, pergi tengokkan Suraya. Dia jalan sorang tu.” Arah Hajah Azizah. Hamzah Fikri terpinga-pinga bila diarah sebegitu.

Suraya yang baru sahaja mahu membuka langkahnya terhenti sejenak.

“Makcik, tak apa. Su boleh balik sendiri. Bukan tak biasa. Lagi pun rumah Su bukan jauh pun.” Gadis itu menolak lembut permintaan wanita tua itu. Dia sendiri dapat rasakan lelaki itu pun tidak tega berbuat demikian. Dia pun sudah semestinya tidak biasa mahu berdua-duaan sebegitu.

Sudahnya, Hajah Azizah bangkit daripada duduknya.

“Mari, makcik tengok Su sampai pagar sana.” Hajah Azizah menjuihkan bibirnya menunjuk ke arah pagar rumahnya. Mereka berjalan beriringan menyusun kemas langkah hingga ke pagar.

Lantas Hamzah Fikri bangkit dari duduknya, kakinya laju menuruni anak tangga dan mendapatkan uminya yang jalan terhencut-hencut. Dia memaut lengan uminya dan mereka jalan beriringan kembali ke rumah.

Umi ni dah tak kuat nak jugak berjalan sana sini.” Tutur Hamzah Fikri mendatar.

“Habis tu kesian budak Suraya tu. Umi suruh kamu tengok dia balik kamu tak nak. Takkan nak biarkan anak orang balik macam tu aje. Dahlah dia yang tolong hantar umi balik.” Berjela uminya berbicara. Hamzah Fikri sekadar mengerut dahi.

Umi masak apa hari ini?” Soal Hamzah Fikri. Sengaja dia menukar topik. Kalau dibahaskan hal budak Suraya itu sampai esok pun tidak sudah.

“Lauk kegemaran kamulah.” Ringkas Hajah Azizah membalas.

“Asam pedas ikan duri.” Girang suara anak teruna Hajah Azizah berbicara. Memang itulah menu kegemarannya.

Seminggu mesti diulang masak beberapa kali oleh emaknya. Menu itu adalah menu permintaan anak-anak Hajah Azizah. Itu belum dikira kalau anak-anak lain balik bercuti. Kakak dan abangnya juga penggemar lauk asam pedas ikan duri air tangan uminya. Begitulah hebatnya air tangan seorang ibu.

“Kamu pergi mandi dulu. Kemudian solat lepas itu kita makan sekali.”

“Eh, kita aje makan. Tak tunggu abah ke?”

“Abah kamu macam biasalah pergi mengeteh kat warong depan. Dia suruh kita makan dulu.”

Hamzah Fikri sekadar mengangguk perlahan. Tinggal berdua dengan umi memang makan malamnya ditemani umi. Abah selalunya sibuk dengan kawan-kawan masjidnya. Kebiasaannya, umi akan menunggu dia pulang dan makan sekali dengannya. Anak emakkan. Bongsu pula.

Usai mengerjakan solat Isyak, Hamzah Fikri melipat sejadah lalu digantung kembali pada ampaian. Songkok dibuka dan diletakkan di atas meja solek. Dia melabuhkan punggung pada katilnya. Bermenung seketika mengingatkan babak-babak siang tadi.

Entah kenapa. Hatinya bagai terusikkan sesuatu. Fikirannya bagai melayang-layang. Tiba-tiba wajah polos Khalisah bergentayangan di tubir mata. Senyumannya mengusik tangkai hatinya. Nama manis itu bermain-main di ruang fikiran.

“Fik...marilah makan.” Ketukan di pintu mematikan lamunannya. Suara emaknya kedengaran beberapa kali memanggilnya sebelum dia menyahut panggilan itu.

“Kejap mak. Fik keluar.” Segera dia bangkit dan mengorak langkahnya. Pintu bilik dikuak perlahan lalu diatur perlahan langkahnya ke ruang dapur. Hajah Azizah sudah menunggunya di meja makan.

Selesai makan, Hamzah Fikri duduk di beranda. Memang itulah tempat dia mengambil angin sebelum dia masuk tidur. Adakalanya bermenung panjang di situ sambil menghirup kopi yang dibancuh emak.

Malam itu, hatinya seperti tidak tenang. Meracau-racau. Dia menyandar pada kerusi rotan. Malam sudah semakin pekat namun matanya masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu tidur.

Suasana malam semakin hening. Lorong depan rumahnya sudah sunyi. Dia mencapai telefon pintarnya di atas meja kopi. Galeri dalam telefon bimbitnya dibuka.

Gambar-gambar yang terakam siang tadi ditatap satu-persatu. Dia zoomkan gambar yang di mana kelibat Khalisah kelihatan. Segaris senyuman terukir di bibirnya tatkala terpandangkan wajah itu. Setaman bunga mengelopak manja. Riang dan ceria di laman hatinya. Entah kenapa hatinya bagai diketuk-ketuk oleh sesuatu perasaan. Hatinya terasa bahagia.

Sekali lagi, dia mengukir senyuman.

Bahagia.


[Bersambung]


Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »