Friday, August 27, 2021

22/2021 | Kepentingan Diri

 Assalamualaikum.

Hiking di Tanjung Tuan

Sejak akhir-akhir ini, ada beberapa orang teman atau mungkin dikira sahabat meluah rasa. Dikelilingi manusia yang mementingkan diri memang amat mencabar dan menyesakkan dada. Tersangatlah! Sampai kadang rasa 'annonying' dengan manusia sebegini. Macam peribahasa ada menyebut, bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Mendengar keluh-kesah mereka, terasa macam dejavu. Rasa semua akan melalui dan menghadapi situasi sebegini. Berhadapan dengan manusia sebegini memerlukan kekuatan mental yang kuat. Silap hari bulan boleh buat hilang sabar.

Kata orang, jumpa orang baik-baik satu rezeki. Jika jumpa yang sebaliknya pun satu rezeki juga. Mungkin antara satu alamat untuk kita muhasabahkan diri agar kita tidak menjadi seperti itu.

Minggu lepas, sewaktu menerima kiriman Whatsapp daripada seseorang.

"Saya tak boleh nak hadam semuanya."

Saya balas, "Kenapa sama je cerita kita ni. Macam rasa dejavu pula baca mesej ni dengan apa yang berlaku hari ni."

"Sabar saya ada hadnya. Jangan sampai satu hari terlepas juga."

Suatu ketika dulu, saya pernah menghadapi situasi di mana saya tidak dapat ke pejabat kerana ketiadaan kereta. Apabila terdengar ada pertikaian di belakang, kenapa saya tak menaiki grab, saya pun akhirnya menaiki grab ke pejabat dan pada ketika itu apa yang mendesak saya untuk ke pejabat sebabnya ada mesyuarat tergempar. Tetapi sesampainya di pejabat, mesyuarat tidak jadi. 

Tetapi apabila hari dipanggil dan bos menegur pasal kehadiran mesyuarat, tidak ada seorang pun yang bersuara siapa yang hadir ketika itu. 

Kerana apa?

Orang yang sepatutnya bersuara untuk anak-anak buah tidak hadir, makanya tidak perlulah memberitahu perkara sebetulnya. Nanti nampak macam anak buah yang lebih kan. Saya cuba berhusnuzon pada ketika itu tapi itulah. Saya manusia. Adakalanya sisi jahat saya menidakkannya!

Saya bukan berdendam tetapi saya terasa. Sangat-sangat terasa. Ambil masa juga waktu itu untuk melapangkan dada, memaafkan. Sebab saya ada sekali sewaktu kejadian, jadi saya lihat, saya dengar, saya cuba menghadamkan tentang mereka.

Ada saja bermacam-macam gaya dan perangai manusia. Adakalanya mendengar luahan rakan-rakan, ada sebahagiannya pernah saya hadapi. Jadi apa yang saya sarankan supaya bertabah dan bersabar.

Biasalah, ada manusia yang mahu menjaga namanya sahaja. Nama orang lain peduli apa kan. Konsepnya jaga nama sendiri. Begitulah kalau dilihat.

'Janji diri aku ke depan.' 

'Janji bos nampak aku.'

Sabar tu bukan mudah tapi sebolehnya belajar untuk bersabar. Cuma risau apabila amarah itu muncul pasti ledakannya bagai gunung berapi.

Sabar seseorang ada limitnya.

Silap haribulan kalau hilang sabar mahu terbang segalanya. Dalam masa pandemik dan wabak yang semakin menggila ini, seeloknya banyak pujuk hati. Zikir banyak-banyak takut hati hitam. Pesan seorang sahabat, zaman pandemik ni kena jaga hati masing-masing. Semoga asbab kita mendorong diri untuk tidak melayan perkara-perkara begini akan memudahkan urusan kita di dunia dan juga akhirat. Waktu-waktu begini, kita perlu menjaga emosi kita supaya tidak menjerumuskan diri dengan stres. Stres yang tidak terkawal lama-lama akan menjadi depresi.

Sekian.

Thursday, August 26, 2021

21/2021 | Ulasan Novel : 9 Nyawa

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Baru berkesempatan untuk menulis malam ini. Minggu lepas, saya teramat sibuk. Minggu huru-hara bagi saya. Saya mengejar masa nak siapkan tugasan portfolio Kursus Asuhan & Didikan Awal Kanak-kanak (KAP). Mana nak siapkan kerja praktikum. Saya menjalani Latihan Praktikum selama lima hari.

Kenalah mencari kanak-kanak ribena untuk dijadikan anak buah. Semestinya anak-anak buah saya yang menjadi anak murid saya. Alhamdulillah, walau dalam keadaan huru-hara, bantuan rakan-rakan KAP amat saya hargai terutama Yatt. Segala macam soalan saya tanya dia. 

Okeylah, pasal KAP nanti saya kongsikan lagi. Malam ini saya kongsikan sebuah lagi novel karya Ramlee Awang Murshid.


9 Nyawa karya Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Buku Prima
Harga : RM25.00 (SM)/RM28.00 (SS)
Jumlah Halaman : 517 muka surat

Mata hati tidak pernah berdusta

Novel ini agak sukar diteka jalan ceritanya. Macam biasa Ramlee Awang Murshid seorang yang bagus dalam berkarya. Untuk menghadamkan novel setebal 517 muka surat, memerlukan fokus kerana penceritaannya mengikut watak dan ditemukan dalam satu kejadian. Kali ini RAM membawa pembaca ke Kota Singa dan Indonesia selain lokasi penceritaannya di Malaysia.

Mengisahkan Intan Suryani yang mempunyai masalah jantung. Sering terjadi kemalangan pada Intan namun masih terselamat sehingga ibunya mempercayai tentang 9 Nyawa seperti nyawa seekor kucing. Ibunya menjadi trauma selepas kemalangan ngeri yang meragut nyawa suaminya. 

Hakim seorang yang buta. Dia tinggal di Singapura. Sebenarnya, kecacatan yang dialami oleh Hakim bukan sejak lahir tetapi matanya buta akibat satu kejadian. Kejadian yang meragut nyawa kedua ibu bapanya. Dia seperti hilang ingatan tetapi sebenarnya dia cuba tidak mahu mengingati kejadian itu.

Khairil seorang lelaki yang telah mencuri hati Intan. Intan menerima lamaran Khairil setelah dia mendapat lelaki itu terlalu baik buatnya. Ibunya terpaksa akur dengan pilihan Intan walaupun pada awalnya Azizah tidak bersetuju dengan pilihan anaknya.

Novel ini membawa pengajaran dari sudut tersurat mahu pun tersirat. Apa yang kita sangka baik sebenarnya dia hanyalah bertopengkan manusia. Adakalanya seseorang yang baik dengan kita kemungkinan dia mempunyai agenda jahat.

Begitu juga dalam novel ini. Kerana mahu membolot harta orang, manusia sanggup berbuat apa sahaja. Sanggup melakukan perkara jahat sehingga melupakan Tuhan.

Jika anda mahu mengetahui apa yang saya maksudkan, bolehlah membaca naskhah ini sendiri. Saya masih kagum dengan karya RAM yang di luar jangkaan.

Sekian.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim

Tuesday, August 17, 2021

20/2021 | Ulasan Buku : Winter D'Riyadh

Assalamualaikum.

Hai semua.

Baru berkesempatan mahu menulis entri seterusnya. Kali ini mahu berkongsikan buku non-fiksyen. Sebuah buku travelog tulisan Fauziah Abdul Hamid. Saya beli di Shopee dari Jejak Tarbiah. Sangat menarik kerana buku-buku yang diterima dari Jejak Tarbiah dibungkus dalam kotak cantik. Seolah-olah dalam gift box.

Jadi semasa saya jalan-jalan secara alam maya di Shopee, saya tertarik dengan buku ini. Memandangkan saya ada impian untuk ke Arab Saudi, saya belilah buku travelognya.


Winter D'Riyadh karya Fauziah Abdul Hamid

Penerbit : Ziasaf Mind Ventures
Harga : RM28
Jumlah Halaman : 217 muka surat

Apa kata saya?

Buku travelog yang menarik kerana membawa kita ke Arab Saudi. Penulis mengikut suaminya yang bertugas di sana. Saya dapat mengetahui serba-sedikit tentang kehidupan di Riyadh. Bagaimana masyarakat di sana menjalani kehidupan harian. Bagaimana cara pemakaian mereka. Bagaimana adat mereka.

Cara penulis menyampaikan kisah-kisah sepanjang tiga tahun di Riyadh sangat menarik. Seakan boleh membayangkan diri sendiri di sana. Sewaktu penulis berkongsi cerita sewaktu pengalaman beliau mula tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, beliau mengalami masalah pengecaman cap jari. Part ini sama macam saya yang mempunyai masalah pengecaman cap jari. Setiap kali jika perlu melalui pengecaman cap jari pasti akan timbul masalah.

Selain itu, saya dapat mengetahui di Riyadh tiada sambutan perayaan agama lain selain Aidilfitri dan Aidiladha sahaja. Wanita di Arab agak tersekat untuk bekerja kerana isu memandu. Di sana, golongan wanita lebih terjaga. Dari segi pemakaian, pergerakan dan juga pergaulan. Banyak perkara yang disentuh dalam naskhah ini. 

Suka 'kata-kata' dalam buku ini.

Kawan-kawan lama adalah emas.
Kawan-kawan baru adalah berlian.
Jika anda mendapat sebutir berlian,
jangan lupa emas tersebut kerana untuk memegang
sebutir berlian, anda sentiasa memerlukan tapak emas.

                                                [Ustaz Dr. Zahazan Mohamed]

Buku ini sesuai untuk bacaan santai dan sesuai untuk semua lapisan umur. Baik yang muda mahu pun dewasa. Jika yang suka buku tavelog, saya sarankan untuk membaca travelog ini. Harapan saya agar impian untuk menjejak kaki ke tanah Arab akan dimakbulkan.

Salam pena,
Fyda Adim

Wednesday, August 4, 2021

19/2021 | Ulasan Novel : Suara Hati

Assalamualaikum.

Kembali lagi dengan entri ulasan novel. Untuk bulan Januari saya dapat menghabiskan empat buah buku. Tiga buah buku fiksyen dan sebuah buku travelog. Jadi, ini buku fiksyen ketiga yang dapat saya habiskan untuk Julai.

Sedikit ringkasan saja. Saya beli novel ini secara preloved dengan seorang penjual di Instagram. Agak mencabar juga ketika mencari novel ini. Kebanyakkan sudah habis. Maklumlah novel lama. Mari saya ceritakan sedikit mengenai novel Suara Hati.

Suara Hati karya Anis Ayuni

Penerbit : Alaf 21
Harga : RM20
Jumlah Halaman : 327 muka surat

Pertama sekali novel ini novel lama. Diterbitkan pada tahun 2002 tetapi sebab novel ini diadaptasi ke drama membuatkan perasaan ingin membaca membuak-buak. Tambahan lagi hero dalam dramanya adalah Syafiq Kyle. Peminatnya mestilah baca sekali novelnya. Itu yang membuatkan saya mencari juga novel ini.

Novel ini tidak tebal mana. Nipis sahaja. Novel dulu-dulu seperti novel Aisya Sofea, berjudul Jauh. Nipis juga tapi ceritanya sampai. Begitu juga dengan novel Suara Hati.

Menggunakan POV1 membuatkan lebih dekat ketika saya membacanya. Saya lebih suka membaca novel yang menggunakan POV1. Tak pasti kenapa mungkin penggunaan 'aku' membuatkan terasa diri sendiri yang membawa watak tersebut. Over sangat!

Akan ku rahsikan rasa cintaku padamu jauh di lubuk hati

Kisah percintaan semestinya. Baca tagline pun sudah boleh agak. Bermula dengan perkenalan Hani Jalina dan Harris namun keluarga Hani sudah mempunyai calon buat Hani. Dalam pada Hani tidak mahu menerimanya, Harris pula menghilangkan diri.

Ke manakah perginya Harris?

Akhirnya, Hani menerima pilihan keluarganya yang bernama Naim. Mereka hidup bahagia walau pilihan keluarga namun kebahagiaan mereka hilang apabila Naim pulang ke negeri abadi secara tiba-tiba.

Hani hilang arah. Dikurniakan dua orang cahaya mata dan Hani meneruskan hidup sehinggalah Harris muncul kembali. Plot ceritanya tidak berbelit dan saya boleh jangka tetapi terasa Harris begitu setia pada Hani. Watak Harris terasa sangat dekat. Harris kembali menagih cinta Hani.

Plot antara novel dan drama sedikit berlainan namun saya rasakan kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri. Saya dapat habiskan novel ini dalam masa tiga hari sebab terasa nak tahu bagaimana Hani menerima Harris semula.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim

Tuesday, August 3, 2021

18/2021 | Ulasan Novel : Haura

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Kembali bersiaran dengan menulis sedikit ulasan novel. Saya tak berapa pandai nak mengulas tapi setakat kongsi sikit-sikit apa yang patut, bolehlah kan. Bulan Julai dapat baca dua buah novel Ramlee Awang Murshid. Selepas ADAM, saya meneruskan ke novelnya yang lain.

Beli dalam Mac tahun ini tapi barulah sampai seru nak membacanya. Masa membeli novel ini pun sebab tertarik baca sinopsisnya.


Haura Karya Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Buku Prima
Harga : RM26.00 (SM)/RM29.00 (SS)
Jumlah Halaman : 417 muka surat

Bismillah...Aku Mencintaimu

Novel Haura adalah karya penulis terkenal. RAM sentiasa menghidangkan kisah Thriller. Itulah antara sebab saya lambat terjebak dengan karya-karya RAM. Namun kisah Haura ini sedikit berlainan. Elemen cinta diselitkan dalam naskhah ini cumanya elemen cinta itu tidaklah terlalu jiwang meleleh. Tidak sama sekali.

Naskhah kali ini membuatkan saya perlu bersabar untuk menghabiskannya. Latarnya kali ini dibawa ke Australia. Macam biasa, terasa seperti berjalan-jalan di negara itu. Saya perlu fokus kerana banyak yang flashback. Sesekali memang saya lost. Kena ulang balik. Sedikit menganggu pembacaannya sebab nak bagi sendiri faham. 

Kisah ini bermula apabila Fahmi bercinta dengan Waheeda namun percintaan mereka terputus apabila Waheeda bertemu jodoh semasa menyambung pelajarannya di Australia. Fahmi kecewa namun dia bangkit apabila dia dapat menunaikan hasratnya membuka restoran.

Fahmi bertemu jodoh dengan Jessica sewaktu Fahmi ke Australia. Kekecewaan Fahmi membuatkan Fahmi menjadi seorang yang lain. Plotnya memang tidak dapat diteka dari awal berbanding novel ADAM.

Naura terdapat plot twist dan tidak terjangka pun. Ya, saya tidak dapat meneka dan eh dia ke Haura yang dimaksudkan apabila Jessica didatangi mimpi yang pelik-pelik. Jessica terlibat dalam kemalangan dan dia hilang ingatan. Lebih lagi dia tidak mengingati tentang Fahmi.

Dari situ perasaan ingin tahu dan mahu habiskan hingga ke penamatnya. Siapa Haura sebenarnya? Siapa Fahmi sebenarnya?

Antara ayat-ayat yang sangat dekat di hati. Saya kongsikan sedikit sedutannya di sini.

"Hidup ini pilihan. Andai kita memilih keburukan makan keburukan juga yang akan pulang kepada kita. Andai kita memilih kebaikan maka kebaikan itu sendiri akan kita miliki sungguhpun mengambil masa yang lama."


Sunday, August 1, 2021

17/2021 : Buku Selesai Baca Bulan Julai

Assalamualaikum.

Selamat datang Ogos.

Bulan baharu.
Harapan baharu.
Sudah tentunya semangat baharu.

Baiklah, sekadar entri pendek untuk pembuka Ogos ini. Mahu berkongsi tentang buku yang berjaya dibaca sepanjang bulan Julai. Tak banyak pun jika dibandingkan dengan orang lain. Melihat di IG ramai yang berkongsi buku-buku yang mereka selesai baca bulan Julai.

Saya ni memang tak laju pembacaannya sebab selalunya mesti tertidur jika membaca. Macam biasalah kan perangainya.

Jadi, inilah buku-buku yang berjaya dihadamkan. Tiga buah fiksyen dan sebuah buku travelog. Tak sangka juga dapat habiskan empat buah dalam bulan Julai. Nanti saya tuliskan sedikit resensi tentang buku-buku tersebut.

Itu sahaja untuk malam ini. Untuk pembuka Ogos, saya sudah mula membaca sebuah novel yang berjudul 9 Nyawa. Cuba teka siapa penulisnya?

Salam pena,
Fyda Adim

Friday, July 23, 2021

16/2021 : Berkatalah yang Baik


Percakapan yang baik mampu memberi kesan yang baik juga kepada si pendengar. Begitu juga kesannya buat si penyampai.

Tutur kata yang baik adalah cerminan isi hati. Untuk melihat isi hati seseorang, lihatlah tutur kata yang diungkapkannya.

Andai kita bercakap mengikut perasaan, melepaskan percakapan secara melulu, kita tidak perasan sama ada percakapan kita sudah mengecilkan hati orang lain.

Secara tidak langsung, membuatkan hati orang lain terluka dan mungkin memberi impak paling besar pada orang lain.

Jika tidak boleh menjaga tutur kata, lebih baik berdiam sahaja.

Jika tidak boleh mengungkapkan kata-kata yang baik, lebih baik usah bersuara.

Jika hari ini, kita menjaga hati orang lain, insyaAllah hati kita juga akan terjaga.

Jika hari ini, kita menjaga kata-kata, kita mampu menciptakan sebuah kedamaian.

F.A
23072021
9.30am
.

Tuesday, July 13, 2021

15/2021 | Ulasan Novel : ADAM - Aku Darah Anak Malaysia

Assalamualaikum.

Hai semua.

Entri pertama untuk Julai. Baru berkesempatan mahu menulis entri. Pembuka Julai, saya mulakan dengan membaca novel Ramlee Awang Murshid. Pertama kali membaca karyanya walaupun saya ada beberapa koleksi novelnya. Mengumpul novel pun satu terapi. Begitulah konsepnya.

Konsepnya, apabila tiba-tiba nak baca, novel atau buku sudah ada. Saya beli sesebuah novel atau buku bukan terus-terus baca. Selalunya, simpan dulu. Harta lain tak ada, nanti buku-buku ni yang boleh diwarisi oleh anak-anak mahu pun anak buah.


Aku Darah Anak Malaysia karya Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Buku Prima
Harga : RM25.00 (SM)/RM28.00 (SS)
Jumlah halaman : 568 muka surat

RAM seorang penulis yang dikenali. Saya mula menyimpan novelnya sejak saya menonton Tombiruo di pawagam. Novel Tombiruo saya beli dan kulit novelnya waktu itu Zul Ariffin walau mukanya tidak kelihatan. Sanggup beli. Gedik sangat di situ. Hahaha. Cumanya, saya bukan peminat Zul Ariffin. Kalau rasa best saya boleh saja menonton. Begitulah.

Ya, saya menonton sebab pelakonnya. Waktu itu saya belum terjebak dengan novel RAM sebab karyanya pada saya belum menjadi keminatan saya waktu tu. RAM penulis thriller. Fokus membaca novelnya perlukan fokus sebab bukan sejenis yang straight. Kena berfikir.

Tapi itulah, hati manusia kan mudah berubah. Saya mula membeli preloved novel-novel RAM. Kebetulan waktu itu, ada seorang kawan nak menjual novel-novel RAM. Jadi saya terus beli dengannya. 

ADAM ni bukan preloved. Saya beli yang baharu. Baca sinopsisnya buat saya minat nak membelinya dan inilah novel RAM yang pertama saya baca. Memang mengagumkan. Idea yang tidak terjangkau dek akal fikiran.

Kisah seorang lelaki yang bernama Hilman. Pernah menjadi penderma hati pada seorang kanak-kanak bernama Mia Sara dan mereka bertemu di suatu tempat sewaktu dalam keadaan yang sukar. Hilman ditimpa kemalangan dan kesusahan di tempat orang iaitu di New York. Sungguh saya terasa seperti mengembara ke New York kerana RAM menceritakan setiap pelusuk bumi New York secara terperinci.

Baca kisah ini membuatkan hati saya berdebar-debar. Sentiasa tertanya-tanya apakah yang bakal terjadi selepas ini? Novel yang penuh konspirasi, perlukan penyiasatan tentang pelaku yang menyebabkan Hilman dituduh mabuk sewaktu kemalangan.

Cumanya, saya perlu fokus pada pembacaan kerana novel ini ada bab-bab yang mengimbau kisah lalu. Watak-wataknya juga perlu diingat sebaik mungkin kalau tidak memang akan hilang terkapai-kapai.

Daripada novel ini, apa yang boleh saya katakan sangat bagus. Ada terselit mesej yang disampaikan RAM dalam novel ini. Bukan semua orang itu jahat akan berterusan menjadi seorang yang jahat. Ada pengakhiran yang baik buat dirinya apabila dia mendapat hidayah daripada Allah. 

Novel ini juga memberitahu orang yang baik pasti akan dipermudahkan urusannya akhirnya meski pun pelbagai rintangan yang terpaksa dihadapinya.

Secara keseluruhan, novel ADAM ini digarap dengan baik. Kisah keluarga dan terselit sedikit kisah percintaan apabila Mia Sara jatuh cinta dengan penderma hatinya. Sebuah karya yang penuh saspen kerana mahu mengetahui siapa pelakunya, mahu merungkaikan kisah Mia Sara dan Hilman dan mahu tahu apa pengakhiran Hilman di bumi New York. Pelbagai twist yang menarik dan saya rasa tak rugi membaca naskhah ini.

Sekian.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim

Friday, June 25, 2021

14/2021 : Wishlist Buku

Assalamualaikum.

Hai semua.

Entri hari ini sekadar nak berkongsi buku-buku yang menjadi wishlist. Walaupun banyak sebenarnya buku yang belum dibaca, masih ada banyak juga buku yang mahu dibeli. Begitulah kisahnya. Konsepnya, beli dahulu, baca kemudian.

Penangan setiap hari saya membaca resensi buku, menonton video booktuber terutamanya Biblio Mom, Sue Oshin dan Hana Norisa. Ada ramai lagi yang selalu saya mengikuti ulasan-ulasan mereka tentang buku. Jika di Instagram suka jengah Aku Si Peminat Buku. Beliau juga rajin menulis ulasan tentang buku-buku yang sudah dibaca.

Daripada situlah, saya jadi tertarik. Daripada situlah, saya jadi nak memiliki buku-buku tersebut. Begitulah ceritanya.

Jadi ini saya kongsikan beberapa buah buku dan ada sebuah novel yang saya nak baca sebab seorang sahabat kata novel tersebut best ceritanya.

Oh, saya memang mudah terjebak.










Itu sahaja entri ringkas untuk malam ini. Akan bersambung lagi. Boleh layari blog saya satu lagi BILA AKU BERCERITA dan boleh SUBSCRIBED Channel Youtube saya di SINI.

Thursday, June 24, 2021

13/2021 : Buku daripada Jejak Tarbiah

Assalamualaikum.

Hai semua.

Minggu lepas ada membeli buku baharu. Kerjaan duduk di rumah, kerjanya asyik masuk Shopee. Scroll sana scroll sini. Pilih sana pilih sini. Delete sana. Delete sini. Macam biasa, saya cuci-cuci mata memang kalau tak perhiasan rumah akan cuci-cuci mata ke buku.

Pilih punya pilih setelah berpuluh kali aktiviti memilih dilakukan, akhirnya saya memilih dua buah buku daripada Jejak Tarbiah. Memandangkan sudah lama tidak melancong dan berjalan-jalan, saya memilih sebuah buku travelog. 

Kenapa travelog Arab Saudi?

Sebab saya dan suami merancang nak menunaikan umrah jadi kita jalan-jalan dulu ke Arab Saudi dulu dengan buku walaupun ke Riyadh. Baca pengalaman orang dulu yang berhijrah ke Arab Saudi. Saya seronok melihat orang lain berhijrah cuma bila diri sendiri tu tidaklah kuat mana pun. Hahaha.


Inilah rupa dua buah buku yang saya beli daripada Jejak Tarbiah. Cari sahaja namanya di Shopee. Sebuah lagi buku untuk anak kedua. Diari Mat Despatch Lelaki Baik. Tulisan Bahrudin Bekri. Harganya RM9.90.

Winter D'Riyadh Travelog Arab Saudi pula tulisan Fauziah Abdul Hamid. Harganya RM28.00. Harga mampu milik lagi. InsyaAllah.

Itu sahaja perkongsian hari ini. Sehingga kita bertemu lagi di lain entri. Boleh baca blog saya lagi satu di BILA AKU BERCERITA.

Salam pena,
Fyda Adim

Wednesday, June 16, 2021

12/2021 | Ulasan Buku : Pendiam?

Assalamualaikum.

Hai semua.

Sementara ada kerajinan membaca dan menulis ini, lebih eloklah saya meneruskan dengan aktiviti menulis entri-entri blog ini. Setelah berbulan-bulan mood membaca dan menulis merudum teruk. Kali ini cubaan untuk bangkit kembali.

Cuba nak siapkan manuskrip di samping aktiviti membaca diteruskan juga. Tips nak datang idea dan mood nak menulis adalah dengan membaca. Dengan membaca akan menaikkan semangat dan mungkin juga mengelakkan daripada writer's block.


Pendiam? karya Aiman Amri & Aqila Masri

Penerbit : Iman Publication Sdn Bhd
Harga : RM30.00 (SM)/RM33.00 (SS)
Jumlah halaman : 196 muka surat

Kali ini beralih ke buku non fiksyen setelah tiga buah buku fiksyen dihabiskan pembacaannya. Saya beli buku ini pada 15 Ogos 2020 di Harris Aeon Tebrau Johor Bahru. Setahun membelinya baru saya dapat membacanya.

Buku Pendiam? ini tidaklah terlalu tebal. Ditulis oleh dua orang penulis yang membawa kita ke dunia Introvert.

Definisi 'Introvert' mengikut Kamus Bahasa Melayu adalah;

Definisi : (Psi) orang yg bersifat suka memendam rasa dan menumpukan perhatian pd dirinya sendiri, tidak suka bergaul dlm masyarakat atau dunia luar. (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Buku ini lebih dekat dengan pembaca apabila penulisnya juga merupakan golongan Introvert. Buku ini menekankan tentang pemahaman personaliti seorang Introvert dalam kalangan Ekstrovert.

Selain itu, buku ini sebenarnya sebuah buku yang meningkatkan keyakinan diri seorang Introvert. Dalam kehidupan seharian, kita akan berurusan dengan dua jenis golongan; Introvert dan Ekstrovert. Selalunya golongan Ekstrovert yang lebih menonjol jika nak dibandingkan dengan golongan Introvert.

Introvert ini sering ke belakang kerana dia sukar nak bersuara walaupun sebenarnya dia banyak benda nak berkata-kata. Begitulah. Selalunya golongan Introvert ni akan kalah kalau bersuara dengan golongan Ekstrovert.

Dalam buku ini ada juga diselitkan Uji Personaliti Diri. Saya masih tergolong dalam golongan Introvert. Ya, awalannya lagi pendiam tapi sekarang sudah berada di golongan pertengahan. Separuh Introvert, separuh lagi Ekstrovert.

Hahaha.

Soalan yang sering ditanya suatu ketika dulu.

"Memang tak suka bercakap ke?"

"Memang suka duduk kat tempat sendiri ke?"

"Memang pemalu ke?"

Macam-macamlah. Pernah saja yang mengatakan saya sombong. Dulu acara sukan jabatan memang saya tak ikut serta tetapi ada sekali tu saya ikut serta macam menarik perhatian orang.

Jadi, apabila membaca buku ini seakan dekat dengan diri sendiri. Buku ini menjelaskan baik Introvert mahu pun Ekstrovert, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan sendiri. Tidak perlu salah faham terhadap golongan Introvert. 

Tidak semestinya golongan Introvert yang agak menyendiri, yang tidak bercampur- gaul dengan orang lain tidak mampu ke hadapan. Cuma golongan ini perlu diberikan ruang dan masa. Tidak semestinya golongan Ekstrovert lebih baik daripada Introvert.

Kesimpulannya, buku ini sesuai dibaca untuk semua lapisan umur dan paling sesuai untuk golongan Introvert yang mahu empower diri sendiri. Buat golongan ekstrovert juga boleh membacanya jika mahu mengenali lebih dekat si Introvert.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim


Tuesday, June 15, 2021

11/2021 | Ulasan Novel : Juita, Satu dalam Sejuta

Assalamualaikum.

Hai semua.

Untuk bulan Jun, saya dapat menghabiskan sebuah novel berjudul Juita, Satu dalam Sejuta. Pertama kali membaca karya penulis ini. Sebenarnya, novel ini saya beli sudah bertahun. Saya beli pada 11 Januari 2018. Setiap buku yang saya beli memang akan dicatitkan tarikh pembeliannya. Itu yang saya tahu sudah berapa lama saya membelinya.

Saya tertarik untuk membaca novel tulisan Kamalia ini apabila melihat seorang pembaca yang berkongsi tentang karya penulis ini. Jadi saya teringat tentang novel ini. Itu yang mendorong saya terus membacanya selepas menamatkan novel Kekasih Waktu.

Berderet-deret novel keluaran Jemari Seni yang saya baca. Biasalah, siapa yang tahu Jemari Seni dulu sebuah syarikat yang glamer juga. Banyak juga koleksi novel saya daripada Jemari Seni. Jemari Seni adalah kepunyaan Noor Suraya.

Tanpa berlengah, mari saya kongsikan sedikit sebanyak tentang novel Juita, Satu dalam Sejuta.


Juita, Satu dalam Sejuta karya Kamalia


Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM27 (SM)/RM30 (SS)
Jumlah halaman: 532 muka surat


Ulasanku:

Apa yang menarik sebab cover novel ini berwarna merah jambu. Ya, saya peminat warna pink! Novel ini diterbitkan pada tahun 2017. Sekitar Ogos 2017. Novel ini mengisahkan tentang Juita, gadis berusia sekitar 30-an. Apa yang lebih menarik dalam novel ini watak-watak yang wujud adalah pencinta buku juga. Itu yang bertambah menarik. Watak lain adalah Aliff, Nabil Fadhlan dan Anggerik. Ini adalah watak-watak yang diutamakan. Selain daripada pencinta buku, salah seorang wataknya adalah novelis. Tetapi ada satu sebab kisah ini mahu ditamatkan secepat mungkin pembacaannya. Watak-watak yang ada itu, dua daripadanya sangat misteri. Hati seakan mengatakan seorang itu yang penuh agenda. Sekejap lagi hati mengatakan dia baik. Begitulah sepanjang pembacaannya sebab sering tertanya-tanya adakah 'watak ini' yang antagonis. 

Ada masa geram juga dengan watak Juita. Bukan sebab apa, Aliff tu sangat prihatin pada dirinya namun Nabil juga yang didambakan. Geram tau. Tapi itulah, adakalanya jika ada perkara yang tidak terluah kita akan lebih bersangka-sangka. Begitu juga dengan Aliff dan Juita. Macam Aliff, dia suka pada Juita tapi dia tidak meluahkan perasaannya.

Macam geram sangat. Saya yang membacanya sampaikan tercakap sendiri. Cakaplah, ko suka dengan Juita. Apa yang susah sangat. Hah, begitu sekali emosinya. Bertambah emosi apabila Aliff mengambil keputusan untuk berkahwin dengan seorang perempuan bernama Anum merangkap peminat Aliff. Nak tahu Aliff tu siapa kena baca sampai habis. Macam tak sangka, eh dia ni!

Novel ini memang perlu fokus pembacaannya sebab nak kena betul-betul fahamkan jalan ceritanya. Sebab apa? Novel ini banyak imbas kisah lalu. Kemudian ada dua orang cuba menyampaikan kisah lalu pada Juita dan Aliff. Jadi nak kena tahu siapa yang berada di pihak yang betul.

Salah seorangnya rupanya adalah pesakit Delusi. 

Saya dapatkan makna Delusi daripada web INI. Bolehlah baca lebih lanjut di web berkenaan. Saya cuba letakkan maksud Delusi sahaja. Harap membantu.

Apa itu delusi dan halusinasi?

Delusi adalah jenis gangguan mental di mana penderitanya tidak dapat membedakan kenyataan dan imajinasi, sehingga ia meyakini dan bersikap sesuai dengan hal yang ia pikirkan. Sedangkan halusinasi merupakan gejala yang ditandai dengan adanya sensasi yang diproses oleh otak dan dapat mempengaruhi kerja indra seseorang.

Berdasarkan pengertian tersebut, baik delusi dan halusinasi adalah kondisi dimana seseorang mengalami hal yang tidak nyata. Delusi adalah gangguan mental yang menyebabkan seseorang meyakini sesuatu yang sebenarnya tidak terjadi sedangkan halusinasi merupakan gejala saat indra seseorang mengalami hal yang tidak nyata.

Itu sahaja ulasan novel Juita, Satu dalam Sejuta. Bolehlah bacanya jika mahu mengetahui apa pengakhiran kisah Juita dan Aliff. Novel yang tidak berat dan boleh dibaca untuk semua peringkat umur.


Salam pencinta buku,
Fyda Adim



Wednesday, June 9, 2021

10/2021 | Ulasan Novel : Kekasih Waktu

Assalamualaikum.

Hai. 

Saya kembali di sini setelah berbulan tidak menulis. Ya, banyak benda berlaku sepanjang kehilangan saya. Hahaha. Ada yang mencari tak? Saya cuti dua bulan menjaga orang tua. Memandangkan tiada komputer dan line internet pun alahai menyakitkan hati, jadi lupakanlah aktiviti menulis.

Lagi pun, sepanjang cuti di rumah saya sibuk membuat kuih. Maklumlah, dua bulan tidak bergaji haruslah dicari pendapatan lain. Jadi saya dekat dengan mereka. Alhamdulillah, suami mengizinkan saya untuk bercuti. Sepanjang dua bulan, memang saya sibuk dengan kerja yang lain.

Aktiviti membaca?

Membaca pun tidak sempat. Sebabnya saya sibuk menyiapkan tempahan biskut raya yang berbotol-botol. Mujurlah anak sedara membantu. Ringan sedikit ada yang membantu.

Baiklah, novel kedua baru sahaja dihabiskan bulan lepas selepas berhempas-pulas menyiapkan biskut raya. Selain biskut raya, saya ada juga menjual cheesetart dan juga lasagna.

Saya kongsikan novel kedua yang berjaya saya habiskan setelah terhenti pembacaannya. Memang tidak boleh fokus. Jadi saya terpaksa hentikan dulu pembacaan saya.


Kekasih Waktu karya Noor Suraya

Penerbit: JS Adiwarna
Harga: RM25 (SM)/RM28 (SS)
Jumlah halaman: 418 muka surat

Novel Noor Suraya ini sekali lagi membuatkan aku sebak. Sekali lagi kisah Farhana dibawa dalam novel ini.

Lima bintang untuk Kekasih Waktu; bukan sebab Noor Suraya tetapi ceritanya memang menarik.

Kali ini kisah Farhana kembali berumahtangga dan diselitkan kisah anak-anaknya yang sudah dewasa. Farhana digambarkan sebagai seorang wanita yang tabah.

Menyayat hati apabila Farhana berkahwin kali kedua dan suaminya meninggal akibat kemalangan. Dia kembali memegang status seorang isteri apabila cinta lamanya kembali namun hatinya terluka apabila suami itu menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan perempuan lain.

Bergenang-genang baca part ni. Memang sedih. Tak tahulah kalau orang lain baca tak menangis. Akulah yang over! Kahkahkah.

Okeylah, nak tahu pengakhirannya bolehlah dapatkan Kekasih Waktu tapi tak tahulah sama ada masih ada di pasaran atau tidak. Rasa memang sudah tiada. Aku beli dengan penulisnya.

Itu sahaja perkongsiannya. Sungguh pun ini sebuah novel cinta tetapi terselit juga pengajaran di dalamnya.

Mencintai itu seperti menjaga.
Menjaga agar tak ada luka. Menjaga agar tak ada kecewa. - Kekasih Waktu

Mari teruskan dengan buku yang lain pula.

Salam pencinta buku,
Fyda Adim


Wednesday, March 24, 2021

9/2021 : 15 Pencetus Idea Mac 2021

 Assalamualaikum.

Selamat malam.

Mac sudah hari yang ke dua puluh empat. Sepatutnya bulan ini saya cuba untuk menulis setiap entri berdasarkan pencetus idea yang saya buat sendiri namun hajat itu tidak kesampaian apabila ada hal lain yang saya perlu dulukan.

Pertama, emosi tidak menentu sebab ayah saya dimasukkan ke hospital. Jadinya emosi pun tidak menentu. Apabila susah hati, mood pun tidak sampai.

Keduanya, saya sibuk dengan jualan cookies. Sibuk siapkan tempahan. Macam tahun sebelum-belum ini juga jualan saya lakukan apabila musim Ramadan dan Syawal.

Ketiganya, saya sibuk dengan manuskrip saya yang sudah 'stuck'. Berapa lama sudah saya ambil masa untuk siapkan manuskrip tersebut. Target saya mahu setahun sebuah novel diterbitkan. Doakan saya ya semua.

Inilah pencetus idea yang saya buat tempoh hari sebelum Mac. Barulah berkesempatan mahu menulisnya di sini. Sebenarnya, saya ada ajak seorang rakan penulis untuk lakukan challenge ini. Nampaknya saya yang ke laut. Hahaha.

Sekian dulu.

Salam pena,
Fyda Adim


Monday, February 22, 2021

8/2021 : Koleksi Buku Baharu

Assalamualaikum.

Selamat malam.

Saya ke sini untuk bercerita tentang buku. Buku terbaharu yang dibeli mahu pun yang diberi dan dihadiahkan oleh kenalan. Buku yang menjadi terapi buat diri. Kata seseorang teman, dengan membaca buku adalah terapi paling ampuh untuk mendidik jiwa.

Ya.

Saya paling suka apabila melihat buku-buku. Lebih-lebih lagi kalau nampak buku-buku yang tersusun kemas di rak. Lebih-lebih lagi kalau saya memasuki ke kedai buku. Memang mengambil masa yang lama untuk keluar. Mahu keluar dengan membawa beg plastik.

Saya sedang dalam misi mengumpul buku-buku Hamka. Tertarik dengan perkongsian resensi buku yang dikongsikan kawan-kawan bookstagram dan di Youtube. 

Ya.

Saya suka menonton video-video ulasan buku atau membaca ulasan buku di mana-mana medium media sosial. Ada di Youtube, ada di Instagram, ada juga di laman muka buku. Bagi saya, membaca ulasan pun sudah cukup membuatkan kita tertarik untuk mendapatkan buku tersebut sendirinya.

Beli dulu. Bacanya kemudian. Begitulah konsepnya. Hahaha. Janji sudah ada koleksi dalam simpanan. Menang membeli, kalah membaca. Hahaha. Baik beli daripada menyesal tak beli. Begitulah konsepnya.

Mari tengok buku Hamka bertajuk apa yang saya beli. Saya beli di Shopee. Zaman sekarang semuanya mudah. Semuanya di hujung jari.

Terusir. Ada seorang kawan alam maya yang menyuruh saya membaca buku ini terlebih dahulu untuk yang belum pernah baca buku Hamka.

Kemudian saya membeli buku Hamka berjudul Si Sabariah. Akan diteruskan lagi misi mengumpul karya-karya Hamka.

Ini pula buku-buku pemberian bos tempat lama saya. Buku-buku yang diberi sesuai untuk anak-anak. Alhamdulillah. Paling suka sebab terselit karya Noor Suraya.

Ini pula pemberian daripada seorang sahabat di alam maya. Seorang sahabat penulis juga yang bertegur sapa di dalam media sosial. Pernah menulis sama-sama dalam Antologi Cerpen Kelip-kelip Kusangka Api. Terima kasih sahabat! Teringat kata-katanya, perkenalan ini sangat unik!

Ya, sungguh unik. Adakalanya kita boleh menjadi begitu serasi dengan seseorang meskipun tidak pernah bersua. Adakalanya kita boleh menjadi begitu janggal dengan seseorang meskipun dia depan mata kita.

Apa-apa pun hargailah setiap yang hadir dalam hidup kita. Keikhlasan dalam sesuatu perhubungan juga penting. Dari keikhlasan itu yang mewujudkan keserasian. Semoga persahabatan yang terjalin akan berkekalan hingga ke jannah.

Salam pena,
Fyda Adim


Sunday, February 7, 2021

7/2021 | Ulasan Novel : Surat Bersampul Perang

 Assalamualaikum.


Surat Bersampul Perang karya Noor Suraya

Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM28.00/RM31.00
Jumlah Halaman : 472 muka surat

Karya Noor Suraya tidak pernah mengecewakan. Saya mula mengenali Noor Suraya apabila meminjam novel seorang teman. Bermula dengan novel Surat Ungu untuk Nuha, saya mula tertarik dengan gaya penulisan Noor Suraya.

Sebelum-sebelum ini, saya sudah membaca beberapa buah novel Noor Suraya dan sepanjang novel-novel yang saya baca, ceritanya tetap sampai ke lubuk hati. Surat Bersampul Perang ini sekali lagi membuatkan saya tertanya-tanya apa pengakhiran kisah Farhana.

Surat Bersampul Perang mengisahkan Farhana yang pernah melakukan kesilapan pada zaman mudanya dan kemudian dia membawa dirinya ke negara Robin Hood. Rupanya dia ke sana bukan seorang diri tetapi dia membawa janin di dalam rahimnya tanpa dia sedar. Bukan satu tetapi dua!

Memandangkan dia hamil, talak yang diucapkan Masri lelaki yang bergelar suami dan lelaki yang dicintai tidak jatuh sehinggalah dia melahirkan. Farhana cuba memberitahu pada Masri dengan mengutuskan surat namun surat itu tidak dibaca oleh Masri.

Setelah lapan tahun, Farhana pulang ke Malaysia bersama dua orang anak kembarnya iaitu Zaynn dan Zetti kerana Farhana mahu memperkenalkan anak-anaknya kepada ayah kandung mereka. Belum sempat Farhana mengatur misinya, Masri terlebih dulu menjumpai Farhana dalam satu seminar.

Masri kembali tidak keruan. Dia seperti gila bayang sejak menjumpai Farhana. Suhaila isterinya sudah tidak diendahkan malah sesekali dia seakan membuat perbandingan antara Farhana dan Suhaila. Suhaila adalah pilihan ibunya. Masri menyatakan Suhaila hanyalah sekadar tanggungjawab bukan wanita yang dicintai seperti dia mencintai Farhana.

Konflik timbul apabila Masri mahu merujuk kembali dengan Farhana. Kemunculan Imran dan Ilham dua beradik yang menyukai Farhana membuatkan kita tertanya-tanya siapakah pilihan Farhana. Kemudian penyakit kritikal Farhana kembali menyerang.

Ya, Farhana pernah sakit sewaktu dia di luar negara dan penyakitnya kembali menyerang. Saya tak terfikir pun yang Farhana mempunyai sakit yang setiap wanita takut akannya. Sewaktu mengetahui tentang sakit Farhana, saya terhenti seketika pembacaannya kerana dua tiga hari yang lepas saya mendapat khabar daripada seorang teman sekerja suatu ketika dulu yang dia diagnosis barah payudara tahap 1. Termenung saya sejenak lantas teringatkan kepada teman saya.

Sesiapa yang pernah membaca karya-karya Noor Suraya pasti mengetahui akan gaya penulisan Noor Suraya yang berbunga-bunga. Gaya bahasa yang menarik. Lenggoknya membuatkan kita terbuai dengan penceritaannya dan semestinya Noor Suraya suka berpantun.

Banyak orang mengetam pulut,
     Hamba seorang mengetam padi,
Banyak orang karam di laut,
     Hamba seorang karam di hati.

Itulah salah satu pantun yang terselit dalam Surat Bersampul Perang. Saya sangat suka dan cerita ini bukanlah sesuatu cerita yang biasa-biasa kerana dalam cerita ini banyak mengajar kita tentang sesuatu perhubungan yang memerlukan restu ibu dan ayah. Dalam novel ini ada juga pengajaran tentang hak hadanah. 

Novel ini banyak pengajarannya yang membuatkan kita membuka mata. Sebuah pengorbanan antara adik-beradik yang melibatkan Imran dan Ilham kerana salah seorangnya mengalah demi merealisasikan impian saudaranya.

Jika hendak tahu bagaimana pengakhiran kisah Farhana, saya cadangkan untuk membacanya kerana naskhah ini bagus untuk bacaan santai. Kisahnya tidaklah terlalu berat dan saya terasa sangat geram dan marah apabila Masri menuntut hak penjagaan anak-anaknya namun diakhirnya Masri mengalah dengan sendirinya. Sebab apa?

Bolehlah membacanya. Apa-apa pun tahniah Noor Suraya!


Friday, January 29, 2021

6/2021 : #BaikSemula versi Le Familia

Assalamualaikum.

Selamat malam.


Sudah dengar lagu #BaikSemula? 

Kalau belum, bolehlah mendengarnya. Lagu yang menyuntik semangat di kala kita berperang dengan wabak Covid 19.

Lagu Faizal Tahir tak pernah mengecewakan. Lagu beliau tak pernah yang tak best. Minggu ini sudah berulang kali saya mendengarnya. Lagu ini betul-betul memberi semangat. Meskipun rancak tetapi ada mesej yang disampaikan kepada kita.

Terbaca ada cabaran untuk lagu ini. Kongsikan #BaikSemula versi sendiri. Memandangkan suka bila ada cabaran-cabaran macam ni, saya dan anak-anak buah serta adik pun gigihlah merekod video untuk buat #BaikSemulaCover sebagai tanda sokongan kami.

Jemput menontonnya dan semoga terhibur. Semoga kita akan kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Sesungguhnya rindu zaman tidak perlu SOP, tidak perlu memakai pelitup muka dan semua perkara dulu dirindui.

Rindu nak berkumpul dan buat makan-makan kat rumah namun apakan daya. Semoga kita semua selamat dan terhindar daripada wabak berkenaan. 



Saturday, January 23, 2021

5/2021 : Persepsi Manusia

Assalamualaikum.

Kita ni ada masa terlampau memikirkan persepsi orang terhadap diri kita. Apabila terlampau memikirkan persepsi orang, kita akan menitikberatkan setiap yang mahu dilakukan perlulah sempurna di mata orang lain.

Kita 'try hard' untuk lakukan dengan sempurna.
Kita mahu dihargai orang.
Kita mencabar diri.
Kita anggap kita mampu melakukannya meskipun di luar kemampuan.

Namun, apabila tidak menjadi seperti yang kita harapkan kita pasti kecewa. Hujung-hujung bertahanlah untuk menerima kecaman. Apabila situasi itu berlaku kita akan berada dalam keadaan yang tertekan kerana kecaman dan ketidaksempurnaan.

Kerja yang kita lakukan pada awalnya dengan ikhlas akan bertukar menjadi tidak ikhlas apabila kita tidak mendapat penghargaan daripada orang lain.


Hakikatnya, manusia memang suka bersangka-sangka. Kerana sikap bersangka-sangka itulah yang menjadikan hati kita tidak tenang. Kita selalu meletakkan dalam situasi terlampau memikirkan cakap-cakap orang. Orang cakap belakang kita, orang kutuk kita, orang kecam kita.

Semuanya dalam kepala.
Semuanya mahu difikirkan.

Endingnya, kau yang serabut.

Manusia, biasalah. Suka menuding jari pada orang lain. Hakikatnya, dia tidak perasan yang empat jari ke arahnya. Apabila salah orang, cepat sahaja menjatuhkan hukum. Apabila salah sendiri tidak mahu pula dinilaikan.

Sumber : Google

Mengutuk

Dalam kehidupan ini, memang kita tidak lari dari dikutuk dan juga mengutuk. Kita kena ingat, kita mengutuk orang, apa kita fikir orang tak kutuk kita?

Belum lagi part, yang A kutuk C dengan B tapi dengan C kau kutuk B pula. Perangai sangat! Dalam kehidupan seharian, kita pasti berjumpa dengan orang-orang sebegini. Tak payah pergi jauh. Dalam suasana pejabat pun ada yang sebegini.

Kau jumpa orang ni kau kata orang tu buat kerja tak bagus. Lepas tu kau jumpa orang tu kau cakap orang ni pula kerja tak bagus. Habis tu, kerja kau bagus?

Kadang-kadang orang macam ni kita perhatikan saja. Jauh mana dia boleh pergi. Orang yang mendengki ni tak pergi mana pun. Hujung-hujung dia yang terkontang-kanting.

Orang macam ni dia lebih pentingkan diri sendiri. Percayalah, dia seorang yang sangat berkira kerja sebenarnya. Tapi part orang tak hulur bantuan pasal kerja dia akan cepat melatah cakap orang tak bantu dia. Walhal dia tak tahu orang 'struggle' tanpa bantuan dia. Dan orang macam ni dia hanya fikir untuk diri dia saja. Dia akan play safe saja dalam hidup. Orang macam ni kalau jadi ketua dia takkan 'backup' anak-anak buah dia. Janji diri dia selamat dulu. Dunia ini bulat. Sekarang, kau play safe untuk selamatkan diri sendiri dan ingatlah satu hari nanti zaman play safe ini akan memainkan kehidupan tanpa kau sedar. 

Konsepnya, hari ini kita buat orang, esok lusa kalau tidak kena pada kita kena pada anak-cucu kita. Jadi, berwaspadalah. Hidup di dunia ini hanya sementara. Kita semua di dewan peperiksaan yang sedang mengumpul markah untuk ke sana. Jika kita memudahkan urusan orang, Allah akan memudahkan urusan kita.

Salam pena,
Fyda Adim

4/2021 : Rezeki Bukan Pada Duit

 Assalamualaikum.


Rezeki datangnya dalam pelbagai bentuk. Rezeki itu bukan hanya pada duit atau harta semata-mata. Konsep rezeki ini sangat meluas sebenarnya.

Terkadang kita terlupa yang kita mempunyai rezeki yang lain selain duit yang berkepuk-kepuk.

Bahagia itu rezeki.
Kesihatan tubuh badan itu rezeki.
Berkeluarga itu rezeki.
Disayangi dan dicintai itu rezeki.
Memperoleh ketenangan itu rezeki.
Banyak masa lapang juga rezeki.
Mempunyai kawan-kawan dan masyarakat sekeliling yang baik pun dikira rezeki.
Mempunyai bos yang baik juga satu rezeki.
Tidak tertekan dengan kerja pun satu rezeki.

Semua itu dikirakan rezeki buat kita. Jadi usah pertikaikan rezeki orang lain. Ada orang lebih di suatu sudut lain, mungkin kurang di suatu sudut yang lain. Begitulah sebaliknya.

Kelmarin, seorang sahabat berkongsi di Whatsapp tentang seorang wanita yang di dakwa mencuri di sebuah pasar raya.

Saya membalas, "Kasihankan. Susah kita ada yang lebih susah sebenarnya."

Dia membalas, "Betul...Secara jujurnya, masa den tengok tu, terus hati den tanya...mana pergi laki dia?"

Begitulah. Jika kita anggap diri kita susah, sebenarnya ada orang lain yang lebih susah. Kita sepatutnya bersyukur dengan kehidupan yang kita nikmati. Sentiasa bersyukur dengan setiap kelebihan mahu pun kekurangan.

Jika tidak boleh membantu, usah menambah beban. Jika tidak mahu membantu, usah pandai mengkritik. Jika tidak boleh berkata sesuatu yang baik, lebih baik berdiam sahaja.

Selamat berhujung minggu!
.
Salam pena,
Fyda Adim
- Hidup ini hanya sementara, sampai masa kita akan pulang.

Friday, January 22, 2021

3/2021 : Bahagia Cara Kita

 Assalamualaikum.


Bahagia itu ada bermacam-macam persepsi. Bahagia cara kita. Bahagia itu pilihan hati. Kita sendiri yang membentuknya. Jadi, usah pertikaikan cara hidup orang lain. Manusia suka menilai dari sudut pandang luaran. Cepat menjatuhkan hukum tentang kehidupan orang.

Ada orang suka berbasikal.
Ada orang suka jalan-jalan cari makan.
Ada orang suka masak-masak.
Ada orang suka buat video.
Ada orang suka panjat bukit.

Pilihan di tangan masing-masing. Asalkan tidak menganggu kehidupan orang lain sudahlah.

Adakalanya setiap perkongsian dapat memberi sumber inspirasi pada orang lain. Boleh juga menjadi terapi pada orang lain. Sebab bukan semua orang mampu melakukannya.

Namun janganlah bersifat dengki dan busuk hati. Kita tidak boleh bekerjasama dengan seseorang, tidak berkenan dengan seseorang, kita cuba mencari jalan untuk menjatuhkan demi kepentingan diri sendiri. Bak kata orang melepaskan tengkuk sendiri! 'Try hard' untuk menunjukkan semua orang tak betul. 

Salam pena,
Fyda Adim

Thursday, January 21, 2021

2/2021 : Lagu dan Idea

Assalamualaikum.

           

Lagu dan idea kalau kena masanya boleh bergabung dan mendatangkan satu cerita yang lengkap. Ada masanya boleh sampai bertemu dengan perkataan 'TAMAT'. Saya memang menulis suka mendengar lagu. Ada sebuah cerpen saya berjudul Separuh Mati Kubercinta terhasil daripada lagu Dayang Nurfaizah.

Saya menulis cerpen tersebut sambil mendengar lagu Dayang dan tajuk cerpen itu saya letak tajuk yang sama. Tak tahu bagaimana mahu dijelaskan. Lagu itu seperti ada auranya sendiri. Saya menulis cerpen itu sangat lancar tanpa sebarang plot.

Begitulah kisah lagu dan idea. Ada sesiapa yang sudah membaca cerpen tersebut? Kisah seorang lelaki yang mendapat hukuman akibat perbuatannya. Hukuman paling bermakna daripada tuhan dan saya terasa ingin memanjangkan cerpen tersebut menjadi sebuah novel.

Semoga impian saya tercapai. Harapnyalah sebab saya sedang pulun mahu menghabiskan manuskrip UKBC yang sudah hampir ke klimaks tapi masih belum ketemu perkataan keramat bagi seorang penulis.

TAMAT.

Itulah perkataannya. Doakan ya!

Salam pena,
Fyda Adim


Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »