Laungan takbir raya yang mendayu-dayu mulai memecahkan kesunyian alam. Sayup-sayup kedengaran takbir yang mula bergema di segenap
ruang angkasa raya. Subuh hening itu menjadi sayu namun awan pagi menampakkan keriangan
menyambut hari lebaran yang tiba. Tatkala mendengar takbir raya
yang sedang bergema, hatiku tiba-tiba diruntun hiba. Hati siapa yang tidak tersentuh tatkala mendengar
takbir raya yang berkumandang. Bukan sahaja yang berada di perantauan, malah
sesiapa sahaja akan turut merasainya. Nadanya
bukan sekadar menyapa halwa telinga sebaliknya menyelusup masuk hingga ke jiwa
bagi mengagungkan Allah, tuhan sekalian alam.
Aku yang sudah bersiap mengenakan baju
kurung biru lembut dan bertudung litup sedondon, duduk di buaian luar rumah
sementara menunggu suami dan anak-anak bersiap. Seperti tahun-tahun sebelumnya,
usai solat subuh kami bersiap untuk menziarahi pusara terlebih dahulu sebelum
melangkah ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Entah kenapa pagi ini aku bersiap lebih awal
daripada tiga beranak itu. Sejak semalam
terasa tidak sedap hati. Berdebar-debar. Mata kanan pula asyik berkedip-kedip.
‘Orang jauh mana pula yang aku nak
jumpa,’ bisik hatiku sendiri sambil
terus melayan perasan.
“Termenung apa tu pagi raya ni Puan Yatt
oi?” suara garau yang menyapa telinga segera
mematikan lamunanku. Suara garau itu milik suamiku. Aku segera berpaling lantas
melemparkan senyuman pada lelaki yang sedang berdiri di muka pintu. Suamiku sudah
siap berbaju melayu berwarna biru lembut serta bersampin kain songket. Lelaki itu tetap
nampak segak di mataku walaupun usianya sudah melewati angka 40-an. Senyuman turut
terukir di bibir lelaki itu lalu menampakkan lesung pipit pada kedua belah
pipinya. Lesung pipit yang mahal dan mencairkan hatiku.
“Mana ada Yatt termenung bang,” sangkalku cepat-cepat.
“Abang dah berdiri lama kat sini, Yatt. Janganlah
nak bohong abang. Yatt melayan perasaan sampai tak perasan abang kat sini. Kalau sudah termenung jauh adalah yang awak
fikirkan tu. Bukan abang tak boleh baca perangai awak.” Panjang lebar jawab lelaki itu lalu
melabuhkan punggung bersebelahanku. Aku hanya diam tidak berkutik. Memang benar
kata lelaki itu tetapi aku tidak tahu bagaimana mahu meluahkan padanya apa yang
sedang membelenggu diriku.
Beberapa minit kemudian, muncul pula anak
gadis dan anak terunaku. Qistina sudah menjinjit beg telekung dan Qayyid pula
sudah siap bersongkok. Setelah memastikan pintu rumah sudah berkunci, kami
empat beranak beredar meninggalkan rumah.
*****
Usai menunaikan solat sunat Aidilfitri, kami terus
pulang ke rumah. Sebaik sahaja tiba di rumah, seperti biasa kami sekeluarga
akan bersalam-salaman memohon kemaafan sesama sendiri. Saat ini yang paling
menyebakkan diriku. Aku cuba menahan sendu apabila mula menghulurkan tangan
untuk bersalaman.
“Abang, Yatt nak mohon maaf dari hujung
rambut sampai hujung kaki. Halalkan
makan minum Yatt selama Yatt menjadi isteri abang. Maafkan Yatt kalau selama ini ada perbuatan
Yatt melukakan hati abang, buat abang terasa hati,” kataku sendu sebaik sahaja aku sudah duduk
berhadapan dengan suamiku. Lelaki itu mengucup
dahiku perlahan menambahkan sendu di hati lalu aku cium tangan lelaki itu.
“Yatt, abang patut minta maaf pada
Yatt. Abang yang pernah bersalah pada
Yatt. Abang pernah melukakan hati Yatt
dan Yatt masih boleh menerima abang walaupun abang tahu jauh di sudut hati Yatt
menyimpan rasa. Abang rasa sangat
berdosa pada Yatt,” tutur suamiku
perlahan membuatkan aku tergamam. Aku
merenung anak mata lelaki itu. Dalam-dalam. Lantas suamiku
menundukkan sedikit wajahnya. Melarikan
daripada terus direnung olehku.
‘Kenapa perlu diingatkan lagi kisah lama,’
desis hatiku. Aku menggenggam erat
tangan suamiku.
“Abang, kenapa perlu diungkit kisah
lama. Kita dah janji untuk melupakan
segalanya. Itu silap abang, mungkin ada
juga silap yang datang daripada diri Yatt juga. Manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan, bang. Kita hanya manusia yang serba kekurangan.”
“Abang tak tahu kenapa hari ini abang
terasa pilu sangat lebih-lebih lagi bila abang memandang air muka Yatt. Isteri abang yang pernah abang lukakan suatu
ketika dulu,” sambung suamiku
perlahan. Ada sendu dalam bicaranya.
“Sudahlah bang. Hari ini adalah hari untuk kita
bergembira. Bukan untuk kita
bersedih. Kita patut bersyukur kerana
kita masih lagi diberi peluang untuk hidup sebagai suami isteri. Kita masih dapat merasai nikmat sebuah
keluarga yang bahagia walaupun kita hampir-hampir...” Aku tidak dapat meneruskan kata-kata. Air mata sudah menderas di tebing pipi. Begitu juga dengan suamiku. Lelaki itu turut menangis!
Walaupun kisah itu sudah berlalu
bertahun-tahun lamanya namun kisah itu masih segar dalam ingatanku. Tiada satu
pun yang pernah luput dari kotak fikiranku. Aku hampir dibuang oleh lelaki yang
sedang duduk di hadapanku. Namun saat aku telah memaafkan lelaki itu, kisah itu
tidak perlu diungkitkan lagi. Kisah itu hanyalah masa silam. Masa silam yang menyakitkan hati tidak perlu
lagi dikenang-kenang.
“Tina! Tolong mama letakkan mangkuk ketupat ni atas meja makan,” laungku pada anak daraku yang sedang kalut mengisi kuih raya ke dalam balang merah jambu. Siapa lagi yang mahu diharapkan kalau tidak pada anak dara yang satu itu.
“Tina! Tolong mama letakkan mangkuk ketupat ni atas meja makan,” laungku pada anak daraku yang sedang kalut mengisi kuih raya ke dalam balang merah jambu. Siapa lagi yang mahu diharapkan kalau tidak pada anak dara yang satu itu.
“Mana mama?” soal Qistina sebaik muncul di ruang
dapur. Aku hanya memuncungkan mulut ke
arah mangkuk ketupat yang sudah terletak di atas kabinet.
“Susun atas meja itu elok-elok. Jangan berterabur ye sayang, “ Pintaku lembut sebelum Qistina menghilang
dari ruang dapur.
Saat aku sedang sibuk di dapur, kedengaran
bunyi loceng pintu yang ditekan beberapa kali.
Dari arah dapur aku terdengar suamiku menjawab salam lalu pintu dibuka.
Tidak lama kemudian, kedengaran namaku
pula dipanggil lalu aku mencapai tudung sengkuap yang sedia tergantung di
kerusi. Aku bergegas ke depan seraya
menyarungkan tudung sengkuap yang sudah berada di tangan.
Langkahku terhenti di muka pintu sebaik
sahaja terpandang ke arah seorang wanita di atas kerusi roda di perkarangan
rumah. Wanita itu mengenakan baju kurung
berwarna krim, berselendang putih serta berkaca mata hitam. Di belakang wanita itu pula kelihatan seorang
gadis manis yang juga mengenakan baju kurung moden. Pada pemikiranku mungkin umurnya sebaya
dengan Qistina. Aku menapak menghampiri
suami dan anak-anakku yang sudah berada di luar rumah.
“Assalamualaikum.” Salam kesucian kesejahteraan dihulurkan wanita
itu. Salam itu segera aku jawab tanpa
rasa ragu-ragu.
“Siapa ni bang?” soalku pada suamiku. Sedikit terpinga-pinga.
Suamiku memandang aku sepintas lalu dan
berkata, “ Yatt tak kenal ke?” Bahuku
dirangkul lembut oleh lelaki itu. Aku
hanya menggeleng. Memang aku gagal mengenali
wanita yang berada di depanku. Puas aku
mengecam. Namun tidak aku ketemui jawapannya. Siapakah gerangan susuk tubuh yang berkerusi roda ini? Adakah aku
mengenalinya?
“Yatt, kau tak kenal aku lagi ke?” soal wanita itu lantas menanggalkan kaca mata
hitamnya. Aku agak terkejut apabila
namaku disebut wanita itu. Aku mengatur langkah
menghampiri wanita berkerusi roda itu. Wajahnya yang agak berparut menyukarkan aku untuk mengecamnya. Aku renung sedalam-dalam wajah wanita itu
saat aku sudah berdiri hanya beberapa langkah daripadanya. Wajahnya nampak pucat tanpa sebarang alat
solek.
“Zalila?”
Itu sahaja yang terpacul daripada mulut sebaik sahaja mataku tertancap
pada tahi lalat di pipi kanannya. Tanda itu sudah cukup membuatkan aku
mengenali siapa gerangan wanita itu walaupun antara kami telah bertahun tidak
bersua muka sejak peristiwa itu. Namun
seraut wajah itu tidak pernah aku lupakan hingga kini kerana dia pernah hadir
dalam hidupku sebagai seorang sahabat baik sebelum dia mengkhianatiku.
Dia hanya memandang tepat pada anak
mataku. Kelihatan manik-manik jernih di
tubir matanya. Aku cuba mengawal emosi. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dihalau
keluar jika difikir-fikirkan balik apa yang telah dilakukannya padaku. Cepat-cepat aku beristighfar. Memohon pada-Nya
semoga diberi kesabaran yang menebal di dalam diri.
“Kenapa kau datang rumah aku?” Mendatar sahaja suaraku melemparkan soalan
pada Zalila. Sedikit bergetar. Dia masih membisu sehinggalah anak gadisnya
bersuara.
“Aunty
Yatt, maafkanlah ibu. Ibu datang
rumah aunty hari ini sebab dia nak
sangat berjumpa dengan aunty. Ibu nak minta maaf dengan aunty.
Tolong maafkan ibu, aunty.” Lirih anak gadis yang masih lagi tidak
berganjak di belakang kerusi roda ibunya.
Perasaanku menjadi sayu. Hatiku menjadi lemah mendengar luahan anak
gadis itu. Aku menjadi serba salah. Bila diingatkan apa yang telah aku hadapi
lima belas tahun yang lalu, membuatkan aku benci pada Zalila. Benci yang sangat dalam bak api marak yang
tidak pernah terpadam. Dia hampir
meragut kebahagiaan rumahtanggaku. Aku
hampir berpisah dengan suamiku disebabkan dengan pengkhianatan Zalila padaku.
*****
Bersambung....
2 comments:
Ala.. Fyda ni buat kakak sendu pulak baca cerpen ni.
Bila sambung inform kakak tau...
Selamat Hari Raya dari kakak.
alah..bersambung pulakkk...huhuhu
Post a Comment