PROLOG
Berita yang aku
khabarkan pada emak mempamerkan riak gembira pada seraut wajah tua yang sudah
memasuki lingkungan umur 50-an. Aku hulurkan
sekeping kertas pada emak sewaktu kami empat beranak menikmati minum petang di
pangkin kayu yang dibuat oleh arwah ayah yang terletak di laman rumah.
Sepinggan cucur ikan bilis dan seteko teh ‘o’ dihidangkan petang itu.
“Alhamdulillah.” Sepotong ayat itu
meniti laju di bibir tua itu seraya menadah tangan sebaik kertas yang sudah
bertukar tangan ditatapnya.
Aku juga sama-sama mengaminkan doa
wanita itu. Doa seorang ibu tiada hijabnya. Ianya terus diangkat ke langit.
Adik-adik aku, Adibah dan Afiqah cuku
berselera menikmati cucur ikan bilis dicicah dengan sos cili yang dibuat oleh
emak. Walaupun mereka tidak melontar kata, riak wajah mereka sudah cukup
memberitahu yang mereka turut gembira dengan perkhabaran yang baru aku
sampaikan. Meskipun tawaran itu tidak seperti apa yang aku harapkan namun aku
perlu bersyukur ke hadrat Ilahi. Sekurang-kurangnya aku telah berjaya mengorak
langkah untuk melanjutkan pelajaran.
Jeda.
“Tapi jauh sangat tempatnya,” kata
emak perlahan. Sendu. Riaknya yang tadi gembira kini sudah bertukar. Terpamer
riak sedih di wajah tua itu. Dahinya yang dihiasi garis-garis halus mula
berkerut. Aku melempar selayang pandang pada seraut wajah yang telah melahirkan
aku 18 tahun yang lalu.
“Mak, manalah jauhnya. Setakat Melaka
ke Ipoh tu baru 3 jam lebih. Bukannya Lea tak boleh balik.” Aku menyusun kata
menyedapkan hati tuanya.
Wanita tua itu melepaskan sebuah keluhan.
“Yelah, mak ni. Kalau Kak Lea tak
balik, kita bolehlah ke sana. Kita tak pernah jalan-jalan ke tempat orang,”
ujar Adibah. Bahu emak dirangkulnya.
“Mak ni suka sangat susah hati benda
yang remeh-temeh.” Adibah bersuara lagi. Emak hanya mempamerkan wajah sugulnya.
“Mak...janganlah macam ni. Mak
jangan fikir bukan-bukan. Nanti boleh naik darah tinggi mak tu.” Aku kembali
bersuara melihat kegusaran di wajah emak.
“Yelah mak. Nanti Iqah susah kalau
mak sakit.” Kali ini Afiqah, si bongsu pula bersuara.
“Yelah kau tu. Kau susah apa dik?
Macam kau pula yang selalu jaga mak masa sakit. Kak Lea yang selalu jaga mak.
Kau tu tahu makan aje. Kau tu susah hati sebab nanti tak ada siapa nak melayan
dia makan.” Adibah mengusik Afiqah yang hanya beza dua tahun usia mereka.
“Eh, mana ada.” Afiqah menidakkannya
lalu satu cubitan hinggap di lengan Adibah. Adibah sudah mengerang kesakitan.
Gadis berusia 13 tahun itu sudah memuncungkan mulutnya.
“Iqah...” Aku pula yang menampar
lembut di bahunya.
“Adoi, dik. Mulut tu kalau sangkut
barang pun boleh. Bukan main muncung.” Sekali lagi Adibah mengusik Afiqah yang
sudah melarikan dirinya di belakang emak namun tangan Adibah dapat juga
mencapai untuk mencubit mulut Afiqah.
Aku sudah tergelak. Begitu juga
dengan emak. Melihat emak tergelak sedikit sebanyak melegakan aku.
Sekurang-kurangnya dapatlah mengusir keresahan yang sedang bertamu dalam
dirinya.
“Iqah tu susah hati nanti tak ada
siapa nak masak sedap-sedap untuk dia. Alah Dibah kan ada boleh masak.” Aku
pula menambah cerita.
“Ya, budak debab ni...” Adibah
sempat menggomol-gomol badan si bongsu yang sedikit berisi. Afiqah laju menepis
tangan Adibah.
“Eee... Dibah masak tak sedap.”
“Berani kau kata macam tu...” Adibah
mencucuk pinggang Afiqah. Kedengaran Afiqah tertawa memekik kegelian.
“Mak bukan apa. Risaulah. Korang
mana pernah jauh dengan emak. Ini lagilah abah dah tak ada. Lagilah mak risau.”
Sayu sahaja nada emak berbicara.
“Mak, inikan pesanan arwah abah.
Abah pesan suruh kita orang sambung belajar.” Aku cuba menenangkan emak.
Manalah tahu hati emak lebih tenang bila mendengar nama abah disebut-sebut.
Emak menundukkan wajahnya. Aku dan
adik-adik sudah memeluk tubuh emak yang sedikit gempal.
“Emak, nanti-nanti pun bila Adibah
habis SPM pun dia kena sambung belajar. Sementara aje mak. Kita orang perlukan
doa mak. Mak tak nak tengok anak-anak emak berjaya ke? Lagi pun ini pesan abah
pada Lea.” Aku menutur perlahan. Tangan emak aku genggan erat. Cuba menyalurkan
kekuatan daripada seorang anak kepada seorang wanita bergelar emak.
Kedengaran keluhan kecil daripada
emak. Aku dapat rasakan keresahan yang menganggu diri wanita tua itu.
Sedang kami empat beranak melayan
perasaan, kami dikejutkan dengan kedatangan seseorang.
“Assalamualaikum.” Kedengaran
seorang wanita melontarkan salam kesejahteraan membuatkan kami berpaling ke
arah empunya suara. Serentak kami menjawab salamnya.
Seorang wanita yang sebaya usia
emak, berbaju kurung bunga-bunga serta bertudung separuh labuh menutupi dada. Segaris
senyuman dihadiahkan oleh wanita itu.
Kami saling berpandangan.
“Mak, kawan baik mak tu.” Serentak
aku dan Adibah bersuara.
No comments:
Post a Comment