Stres adalah satu istilah yang merangkumi tekanan, beban, konflik,
keletihan, ketegangan, kemurungan dan hilang daya. Hari ini perkataan stres
sering meniti di bibir-bibir orang ramai. Tidak dapat disangkalkan, kehidupan
harian kita penuh dengan pelbagai perkara sama yang baik atau buruk. Tekanan
hidup masa kini membuatkan orang terasa serba tidak kena. Ini semua adalah asam
garam kehidupan. Tanpa tekanan, hidup kita pasti tidak bermakna. Kita tidak
dapat belajar sesuatu dalam diri. Namun begitu, ramai orang yang cuba tidak
mahu meletakkan dirinya dalam tekanan. Kita boleh lakukan beberapa perkara bagi
mengurangkan stres agar tidak terus membelenggu diri. Berikut adalah cara
praktikal mengurangkan stres.
a) Beriadah
Aktiviti beriadah seperti berjoging atau berlari adalah salah satu cara
mengurangkan stres. Apabila kita melakukan riadah sewaktu kepala berserabut,
kita dapat melupakan seketika masalah-masalah berkenaan. Selain mengeluarkan
peluh dan membantu melancarkan peredaran darah, aktiviti beriadah juga dapat
memberi ruang untuk berfikir dan mencari ilham.
b) Tidur
Tidur juga dapat mengurangkan stres. Tidur yang cukup dan pada waktu yang
tetap memainkan peranan penting dalam mengimbangi emosi kita yang terganggu
dalam kehidupan sehari-hari. Tidur yang cukup akan memberikan kembali tenaga
kita sepenuhnya dan kita juga dapat mengawal kestabilan emosi.
c) Membaca buku
Membaca buku dapat melupakan seketika tekanan yang berlaku. Membaca buku
pada waktu tertentu boleh meningkatkan ketajaman minda serta mengurangkan
stres. Bagi seseorang yang gemarkan buku, perkara ini tidaklah sukar pada
mereka kerana dengan membaca dapat memberikan sedikit kelegaan pada diri. Jika
sedang dibelenggu tekanan yang menyesakkan diri, bacalah buku-buku motivasi
yang dapat mengembalikan keyakinan pada diri.
d) Eratkan Diri Dengan
Keluarga
Carilah masa untuk meluangkan masa bersama keluarga kerana dengan cara ini
dapat mengurangkan masalah. Keluarga adalah segala-galanya dalam semua perkara.
Sama ada kita sedang bermasalah ataupun tidak, keluarga sentiasa di sisi kita.
Apabila kita bersama keluarga, kita boleh bergelak ketawa, bersembang dan
berkongsi suka duka kita membuatkan kita lebih baik dan masalah akan lebih
terkawal.
e) Bersiar-siar atau
bercuti
Carilah masa yang sesuai untuk bersiar-siar atau jika berkelapangan dan
berkemampuan boleh bercuti. Bersiar-siar di tempat orang boleh mendatangkan
mood gembira pada diri. Jika tidak pergi jauh pun sekurang-kurangnya melangkah
keluar rumah, hidup udara segar dan lihatlah keindahan alam.
Adakah anda mempunyai cara-cara lain mengurangkan stres untuk dikongsikan?
Berikan komen anda di ruangan di bawah.
No comments:
Post a Comment