Assalamualaikum.
Karya Noor Suraya tidak pernah mengecewakan. Saya mula mengenali Noor Suraya apabila meminjam novel seorang teman. Bermula dengan novel Surat Ungu untuk Nuha, saya mula tertarik dengan gaya penulisan Noor Suraya.
Sebelum-sebelum ini, saya sudah membaca beberapa buah novel Noor Suraya dan sepanjang novel-novel yang saya baca, ceritanya tetap sampai ke lubuk hati. Surat Bersampul Perang ini sekali lagi membuatkan saya tertanya-tanya apa pengakhiran kisah Farhana.
Surat Bersampul Perang mengisahkan Farhana yang pernah melakukan kesilapan pada zaman mudanya dan kemudian dia membawa dirinya ke negara Robin Hood. Rupanya dia ke sana bukan seorang diri tetapi dia membawa janin di dalam rahimnya tanpa dia sedar. Bukan satu tetapi dua!
Memandangkan dia hamil, talak yang diucapkan Masri lelaki yang bergelar suami dan lelaki yang dicintai tidak jatuh sehinggalah dia melahirkan. Farhana cuba memberitahu pada Masri dengan mengutuskan surat namun surat itu tidak dibaca oleh Masri.
Setelah lapan tahun, Farhana pulang ke Malaysia bersama dua orang anak kembarnya iaitu Zaynn dan Zetti kerana Farhana mahu memperkenalkan anak-anaknya kepada ayah kandung mereka. Belum sempat Farhana mengatur misinya, Masri terlebih dulu menjumpai Farhana dalam satu seminar.
Masri kembali tidak keruan. Dia seperti gila bayang sejak menjumpai Farhana. Suhaila isterinya sudah tidak diendahkan malah sesekali dia seakan membuat perbandingan antara Farhana dan Suhaila. Suhaila adalah pilihan ibunya. Masri menyatakan Suhaila hanyalah sekadar tanggungjawab bukan wanita yang dicintai seperti dia mencintai Farhana.
Konflik timbul apabila Masri mahu merujuk kembali dengan Farhana. Kemunculan Imran dan Ilham dua beradik yang menyukai Farhana membuatkan kita tertanya-tanya siapakah pilihan Farhana. Kemudian penyakit kritikal Farhana kembali menyerang.
Ya, Farhana pernah sakit sewaktu dia di luar negara dan penyakitnya kembali menyerang. Saya tak terfikir pun yang Farhana mempunyai sakit yang setiap wanita takut akannya. Sewaktu mengetahui tentang sakit Farhana, saya terhenti seketika pembacaannya kerana dua tiga hari yang lepas saya mendapat khabar daripada seorang teman sekerja suatu ketika dulu yang dia diagnosis barah payudara tahap 1. Termenung saya sejenak lantas teringatkan kepada teman saya.
Sesiapa yang pernah membaca karya-karya Noor Suraya pasti mengetahui akan gaya penulisan Noor Suraya yang berbunga-bunga. Gaya bahasa yang menarik. Lenggoknya membuatkan kita terbuai dengan penceritaannya dan semestinya Noor Suraya suka berpantun.
1 comment:
nak beli boleh
Post a Comment