Assalamualaikum.
Hai.
Tahun 2020 ini aku sudah tidak mahu meletakkan berapa target buku yang mahu dibaca. Selalunya memang tidak tercapai pun target aku. Seperti tahun-tahun lalu, aku mensasarkan untuk membaca ikut umur; tahun lepas aku 36 tapi itulah tak sampai 20 buah pun aku baca.
Biasalah, alasan klise aku adalah sibuk. Alasan yang cukup menjadi kegemaran aku. Dan juga faktor kelambatan aku membaca adalah apabila membaca aku akan tertidur. Itu yang membuatkan aku lambat menghabiskan pembacaan aku.
Tak mengapa. Masing-masing punya cara. Janji adalah aktiviti kita. Kalau ditanya aku, aku lagi laju membeli buku daripada membaca. Bersusun-susun buku yang belum dibaca di rak. Buku tak ada tarikh luput, biarkan saja. Lambat-laun akan dibaca juga.
Kalau tidak aku yang membacanya, anak-anak akan membacanya juga; aku harap mereka akan suka membaca. Anak-anak buah pun ramai. Boleh pinjam dan baca.
Tapi, dengan syarat baca dan jaga elok-elok. Kepantangan aku kalau orang pinjam buku aku tidak dijaga elok-elok. Kalau yang kenal aku dari sekolah tahulah macam mana gayanya. Kalau aku tidak membalutnya aku akan selotape tepi buku agar tidak rosak.
Sekurang-kurangnya tidak menyakitkan pandangan mata. Aku tidaklah cerewet sangat cuma jangan dilipat mukasuratnya, diconteng atau apa saja yang boleh buat aku kemurungan tengok buku aku nanti.
Faham?
Buku selesai baca 2019. Aku ambil dari FB. Setiap kali habis baca aku akan upload. Mula-mula rajinlah tulis review tapi lama kelamaan aku jadi malas. Bukanlah malas sangat tapi tak ada masa. Semua tempat pun ditulisnya sampai aku tak ada masa. Begitu sibuknya aku.
Tahun lepas dapat 17 buah buku sahaja. Ada buku fiksyen dan bukan fiksyen. Aku baca apa pun yang menarik. Kadang ada buku yang aku baca separuh sebab tak dapat feel kemudian aku sambung baca selepas habiskan buku lain. Begitulah aku. Walau apa pun aku tetap habiskannya juga.
Tahun ini kita tengok berapa jumlah buku yang dapat aku selesaikan. Nanti aku kongsikan ya. Selamat membaca buat pencinta buku! Jangan lupa Mac ini PBAKL akan berlangsung.
Sekian.
Salam pena,
Fyda Adim
Tuesday, January 7, 2020
Anekdot 4: Harapan Palsu
Tempoh hari menjelang beberapa hari mahu cuti perayaan Krismas, kawan sekolah aku di Bintulu whatsapp - memandangkan masa itu aku pun balik kampung untuk bercuti.
Kiriman whatsappnya berbunyi dengan ucapan salam. "Salam Kafida."
Kemudian aku membalasnya, "Wsalam. Yessss...Kenapa sopan sangat memberi salam di pagi hari."
Balasnya lagi. "Hahaha...hari isnin kena sopan."
"Kenapa itu?" Aku pun bertanyalah motif dia menghantar whatsapp padaku di pagi isnin nan indah. Sebab dalam kepala sudah set yang dia tak balik bercuti untuk Krismas - bukan kami nak sambut Krismas maksudnya cuti panjang masa itu. Sekarang kena perjelaskan takut ada yang jadi pembaris. Maaf.
"Aku plan nak balik. So boleh lepak sama."
"Wow. Bila?"
"Petang ni aku kompomkan. Bos aku paksa aku cuti."
"Bagus bos ko. Aku balik malam esok."
"Dia pikir tiket flight tu mcm tiket wayang. Baru nak cakap arini. Ko rasa?"
"Hahaha. Tiket wayang pusaka."
"Aku tgh survey tiket. Kalau mahal.. aku beli juga.. tapi aku dok umah je la.. tak ada duit nak lepak dengan ko. #donekesian."
"Hahaha. Kena datang rumah ko jelah ni."
"Yeszaa. Kasihanilah aku."
"Kena masak-masak. Hahaha. Ni dah tak kesian sampai suh masak-masak."
"Nk beli barang dapur pun tak cukup ongkosnya dong."
"Makan sambal ikan bilis sambil menatap muka ko pun dah kenyang."
"Yang paling afdhol..tengok muka aku da kenyang... tu baru la jimat kos."
"Itu konsep berlapar."
Selang beberapa minit selepas aku dan dia merepek, menyusul whatsapp yang lain.
"Bos aku cakap jangan cuti pulakkkkkkk."
"Eh bos kau. Awat menduga sangat. Bos ko mabuk laut ke macam mana."
"Aku dah kena bertabah je ni. Mabuk todi kot."
"Hahaha. Cuba ko suruh dia berjalan. Tegak ke bengkok. Bos saja bagi harapan pelesu."
"Jangan sampai aku sumpah ala-ala sang kelembai."
"Jangan aku sekali sumpah dia."
"Yesss. Jadi sesumpah."
Sudahnya kami tidak ada rezeki untuk bertemu sebagai penutup tahun 2019. Walau jauh dan tidak bertemu, aplikasi whatsapp tetap menjadi pengantara kami dan sesekali pengantara kami adalah drama-drama melayu yang menarik.
Nota kaki: Meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada manusia akan membuka ruang-ruang untuk kita merasa kecewa.
Koleksi Entri
Anekdot Fyda Adim,
Kisah Aku dan Sahabat
Monday, January 6, 2020
Anekdot 3: Berteman Sepi
Tempoh hari berwhatsapp dengan kawan sekolah aku yang bekerja kat Sarawak. Isi cerita perbualan kita orang selalu dimulakan dengan pertanyaan. “ Ko bila balik Melaka?” — sejak dua menjak aku dok perantauan tapi masa aku kat Melaka pun aku selalu tanya gak soalan gitu.
Tiba-tiba aku terdetik nak tanya dia.
“Ko dok sorang kan.”
“Ada housemate tapi dok bilik sorang belum berteman selain berteman sepi... eh.”
“Tergantung sepi.”
“Ko rasa Hakim Rusli.”
“Sepi sekuntum mawar merah.”
“Alleycat. eh.. da kenapa nk main teka penyanyi. Ko dah kenapa?”
“Ko kata ko sepi. Aku bagi tajuk-tajuk lagu utk diteka supaya ko tak terasa sepi.”
“Semua berkaitan sepi. Aku tengah tunggu baju dibasuh. Pasni da tak sepi kot sebab nak keluar.”
Walaupun berjauhan di seberang laut ukhwah itu tetap terjalin. Gitew. Tetiba plaknya.
Kafida.
(Kalau whatsapp dengan dia memang meleret-leret)
Nota kaki: Sesekali sepi itu indah.
Salam pena,
Fyda Adim
Nota kaki: Sesekali sepi itu indah.
Salam pena,
Fyda Adim
Koleksi Entri
Anekdot Fyda Adim,
Kisah Aku dan Sahabat
Entri Pertama 2020
"Tiada manusia yang hidup bergembira sepanjang masa tetapi ianya bukan alasan untuk hidup bersedih sepanjang masa." - Unknown
Status pertama aku di instagram dan status whatsapp pada jumaat pertama tahun baharu. Dan ini pula entri pertama aku di sini. Kekangan masa membuatkan terbatas untuk menulis di sini namun bagi orang yang jiwanya menulis rasa sakit bila tidak menulis itu tetap hadir. Rasa serba salah. Tahun ini tiada apa azam. Aku cuma menanamkan sebuah perancangan dan harapan.
Merancang untuk terus menulis. Merancang untuk ada buku solo sendiri tapi kalau dah selalu pun malas nak menulis memang perancangan itu tidak akan berjalan dengan lancarlah nampak gayanya.
Jika perancangan itu berjalan maka akan adalah harapannya. Begitulah putarannya. Semoga dipermudahkan setiap urusan dan setiap langkah kita dalam menjalani kehidupan harian yang menyesakkan.
Sekian.
Salam pena,
Fyda Adim
Koleksi Entri
Corat Coret Fyda Adim
Friday, December 13, 2019
Bab 5: Ungkapan Kata Bernafas Cinta
Gambar : Carian Google
BAB 5
Hadirmu dalam hidup ini
Membawa sinar bahagia dalam diri
Hadirmu dalam hidup ini
Membawa sinar bahagia dalam diri
PROTON Persona berwarna kelabu memasuki ke perkarangan halaman rumah separuh batu dan separuh papan. Suasana malam itu sangat dingin hingga ke tulang putih ditambah lagi dengan penghawa dingin kereta yang terpasang. Hamzah Fikri memarkirkan keretanya di hadapan tangga rumahnya. Enjin kereta dimatikan. Dia sempat mengerling ke arah jam tangannya.
Tepat jam sembilan malam. Waktu-waktu begini, umi dan abahnya masih belum pulang dari masjid. Siang tadi umi sudah memaklumkan dia ada kelas mengaji sebelah petang dan selepas maghrib ada ceramah agama. Lampu kalimantang di hadapan dan di belakang rumah sudah terpasang seperti biasa. Tidaklah halaman rumahnya gelap-gelita seperti tidak berpenghuni sahaja. Memang itu kebiasaannya uminya meskipun ada di rumah ataupun tidak. Terang-benderang rumahnya itu.
Hamzah Fikri keluar daripada kereta dan mengatur kemas langkahnya. Anak-anak tangga didaki dengan penuh hati-hati. Dia melabuhkan duduk pada sebuah kerusi rotan yang tersusun di beranda lalu menyandarkan tubuhnya. Seketika dia memejamkan matanya. Hajat di hatinya mahu melelapkan mata sebarang dua sementara menanti emaknya pulang.
Baru sahaja seminit dua dia melelapkan mata, sayup-sayup kedengaran suara perempuan memberi salam. Lantas dia membuka mata dan membetulkan duduknya. Dari beranda, kelihatan figura wanita bertubuh sedikit gempal mengatur langkah menuju ke halaman rumah. Telekung putih bersih masih lagi membalut badan wanita berusia 60-an itu. Kemudian matanya beralih pada gadis yang sedang memimpin uminya. Dia menyambut kepulangan wanita itu dengan sebuah senyuman.
“Fik, baru balik ke?” Soal uminya seraya melabuhkan punggung di anak tangga rumah. Memang situ tempat persinggahan uminya sebelum memasuki ke rumah. Usia emas seperti umi memang mudah penat ditambah pula kaki uminya yang sudah tidak berapa kuat lagi.
“Adalah dalam lima belas minit Fik sampai umi,” jawab Hamzah Fikri senada.
“Lambat balik hari ini?” Soalan umi menerjah ke pendengarannya lagi.
“Hari ini ada lawatan. Jadi banyaklah kerjanya.”
Seketika, suasana hening.
Sepasang matanya masih lagi tertunak ke arah gadis yang masih berdiri di hadapan emaknya. Gadis bertubuh kecil itu mengukir senyum padanya. Tanpa teragak-agak dia membalas kembali senyuman itu.
Bukan dia tidak kenal dengan gadis bertubuh kecil dan kurus, kulit wajahnya yang cerah itu. Seorang gadis biasa atau lebih tepat gadis kampung. Anak gadis Makcik Maimunah yang tinggal selang beberapa rumah daripada rumahnya. Anak gadis Makcik Maimunah yang umi selalu bercerita padanya hampir setiap malam. Anak gadis Makcik Maimunah yang umi cuba menjodohkan dengannya.
“Fik, umi tengok Suraya itu baik orangnya.” Begitulah tutur umi hampir setiap malam memuji anak gadis Makcik Maimumah. Dialog klise yang selalu emak-emak guna pakai kalau ingin menjodohkan anak mereka dengan seseorang. Dialog sebegini biasa juga digunapakai dalam drama-drama cerekarama yang selalu ditayangkan di televisyen. Drama-drama sangat!
“Fik, kamu dah makan belum?” Suara Hajah Azizah mengejutkan dia yang mengelamun seketika.
“Belum.” Pendek sahaja Hamzah Fikri menjawab.
“Suraya, marilah makan sekali.” Pelawa Hajah Azizah pada gadis itu. Gadis itu pantas menggeleng kepala.
“Tak apalah Makcik Zah. Su balik dulu. Nanti emak tunggu pula. Dah janji nak makan dengan emak sekali.” Gadis itu melontar kata dengan nada lembut. Patutlah uminya begitu berkenan dengan gadis berkulit cerah itu.
Umi sahaja yang berkenan. Aku tidak. Sempat dia berkata di dalam hati.
Hamzah Fikri diam tidak berkutik. Sekadar menelinga dari arah beranda.
“Su balik dulu Makcik Zah.” Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan wanita yang sebaya dengan emaknya. Selesai bersalaman, Suraya melempar selayang pandang pada lelaki tinggi lampai yang sedang duduk di beranda. Sebuah senyuman diberikan pada lelaki itu.
“Fik, pergi tengokkan Suraya. Dia jalan sorang tu.” Arah Hajah Azizah. Hamzah Fikri terpinga-pinga bila diarah sebegitu.
Suraya yang baru sahaja mahu membuka langkahnya terhenti sejenak.
“Makcik, tak apa. Su boleh balik sendiri. Bukan tak biasa. Lagi pun rumah Su bukan jauh pun.” Gadis itu menolak lembut permintaan wanita tua itu. Dia sendiri dapat rasakan lelaki itu pun tidak tega berbuat demikian. Dia pun sudah semestinya tidak biasa mahu berdua-duaan sebegitu.
Sudahnya, Hajah Azizah bangkit daripada duduknya.
“Mari, makcik tengok Su sampai pagar sana.” Hajah Azizah menjuihkan bibirnya menunjuk ke arah pagar rumahnya. Mereka berjalan beriringan menyusun kemas langkah hingga ke pagar.
Lantas Hamzah Fikri bangkit dari duduknya, kakinya laju menuruni anak tangga dan mendapatkan uminya yang jalan terhencut-hencut. Dia memaut lengan uminya dan mereka jalan beriringan kembali ke rumah.
“Umi ni dah tak kuat nak jugak berjalan sana sini.” Tutur Hamzah Fikri mendatar.
“Habis tu kesian budak Suraya tu. Umi suruh kamu tengok dia balik kamu tak nak. Takkan nak biarkan anak orang balik macam tu aje. Dahlah dia yang tolong hantar umi balik.” Berjela uminya berbicara. Hamzah Fikri sekadar mengerut dahi.
“Umi masak apa hari ini?” Soal Hamzah Fikri. Sengaja dia menukar topik. Kalau dibahaskan hal budak Suraya itu sampai esok pun tidak sudah.
“Lauk kegemaran kamulah.” Ringkas Hajah Azizah membalas.
“Asam pedas ikan duri.” Girang suara anak teruna Hajah Azizah berbicara. Memang itulah menu kegemarannya.
Seminggu mesti diulang masak beberapa kali oleh emaknya. Menu itu adalah menu permintaan anak-anak Hajah Azizah. Itu belum dikira kalau anak-anak lain balik bercuti. Kakak dan abangnya juga penggemar lauk asam pedas ikan duri air tangan uminya. Begitulah hebatnya air tangan seorang ibu.
“Kamu pergi mandi dulu. Kemudian solat lepas itu kita makan sekali.”
“Eh, kita aje makan. Tak tunggu abah ke?”
“Abah kamu macam biasalah pergi mengeteh kat warong depan. Dia suruh kita makan dulu.”
Hamzah Fikri sekadar mengangguk perlahan. Tinggal berdua dengan umi memang makan malamnya ditemani umi. Abah selalunya sibuk dengan kawan-kawan masjidnya. Kebiasaannya, umi akan menunggu dia pulang dan makan sekali dengannya. Anak emakkan. Bongsu pula.
Usai mengerjakan solat Isyak, Hamzah Fikri melipat sejadah lalu digantung kembali pada ampaian. Songkok dibuka dan diletakkan di atas meja solek. Dia melabuhkan punggung pada katilnya. Bermenung seketika mengingatkan babak-babak siang tadi.
Entah kenapa. Hatinya bagai terusikkan sesuatu. Fikirannya bagai melayang-layang. Tiba-tiba wajah polos Khalisah bergentayangan di tubir mata. Senyumannya mengusik tangkai hatinya. Nama manis itu bermain-main di ruang fikiran.
“Fik...marilah makan.” Ketukan di pintu mematikan lamunannya. Suara emaknya kedengaran beberapa kali memanggilnya sebelum dia menyahut panggilan itu.
“Kejap mak. Fik keluar.” Segera dia bangkit dan mengorak langkahnya. Pintu bilik dikuak perlahan lalu diatur perlahan langkahnya ke ruang dapur. Hajah Azizah sudah menunggunya di meja makan.
Selesai makan, Hamzah Fikri duduk di beranda. Memang itulah tempat dia mengambil angin sebelum dia masuk tidur. Adakalanya bermenung panjang di situ sambil menghirup kopi yang dibancuh emak.
Malam itu, hatinya seperti tidak tenang. Meracau-racau. Dia menyandar pada kerusi rotan. Malam sudah semakin pekat namun matanya masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu tidur.
Suasana malam semakin hening. Lorong depan rumahnya sudah sunyi. Dia mencapai telefon pintarnya di atas meja kopi. Galeri dalam telefon bimbitnya dibuka.
Gambar-gambar yang terakam siang tadi ditatap satu-persatu. Dia zoomkan gambar yang di mana kelibat Khalisah kelihatan. Segaris senyuman terukir di bibirnya tatkala terpandangkan wajah itu. Setaman bunga mengelopak manja. Riang dan ceria di laman hatinya. Entah kenapa hatinya bagai diketuk-ketuk oleh sesuatu perasaan. Hatinya terasa bahagia.
Sekali lagi, dia mengukir senyuman.
Bahagia.
Koleksi Entri
Ungkapan Kata Bernafas Cinta
Saturday, November 30, 2019
Bab 4: Ungkapan Kata Bernafas Cinta
Gambar : Carian Google
BAB 4
Di saat diri ini kosong
Kupohon biarlah hati
terasa tenang
Khalisah menghempas perlahan tubuh
kecilnya ke atas katil bersaiz sederhana. Dia baru terasa keletihan seharian
berhempas-pulas mengerah tenaga di rumah orang-orang tua itu tadi. Walaupun
keletihan namun hatinya berbunga riang. Dia rasa sungguh tenang dan bahagia
dengan apa yang dilakukannya hari ini.
Senyuman melirik di bibirnya. Dia
berpuas hati dapat menambah kenalan baru yang datang daripada pelbagai jabatan
dengan memegang bermacam-macam jawatan. Sungguh dia tidak sangka, ada yang
berjawatan tinggi namun jiwa mereka sangat mulia. Merendah diri sepanjang masa.
Layanan mesra kakitangan rumah orang-orang tua pun tidak kurangnya.
Khalisah teringatkan sesuatu. Dia
terus bangkit dari pembaringan dan menapak ke arah meja solek di mana beg
tangannya terletak di situ. Dia meraba-raba ke dalam beg tangannya lalu dicapai
telefon bimbitnya.
Dia kembali ke katil semula lalu
menyandar di birai katil. Sebelum pulang tadi, mereka sempat merakam beberapa
keping gambar. Ditatap satu-persatu gambar yang sempat diambilnya tadi. Dia
tersenyum sendiri. Sedang dia khusyuk menatap gambar-gambar di galeri telefon
bimbitnya, telefon bimbitnya berdering. Ada panggilan masuk. Dia melirik senyum
melihat nama yang tertera di skrin.
Salam dijawab sebaik sahaja
panggilan tersebut dijawab.
“Lisa, baik aje abang. Abang jangan
susah hati.” Dia jawab bersungguh demi menyakinkan abangnya. “Kenapa abang
telefon Lisa?” Sambungnya lagi. Jarang benar abangnya itu menelefonnya.
Selalunya emak yang menjadi perantara kalau abang ada memesan sesuatu untuknya.
Sejak kematian ayah dua tahun lepas, abang memikul segala tanggungjawab menjaga
dia dan emak. Nasib baik abang bekerja di pekan Selama sebagai kerani. Kemudian
abang sibuk mengusahakan kebun pisang arwah ayah pula. Jadi tidaklah emak
tinggal keseorangan.
“Abang saja telefon Lisa. Entah
kenapa abang rindu kat adik abang. Lisa tak balik kampung ke?”
Khalisah tergelak kecil. Abang itu
orangnya serius. Bila dia meluahkan rasa rindu pada adiknya yang seorang ini,
membuatkan hati Khalisah tercuit geli hati.
“Awat gelak?” Soal lelaki itu
mendatar.
“Tak ada apa. Lisa rasa nak gelak
tiba-tiba.” Balasnya berbasa-basi. Dia menahan gelaknya daripada terhambur
lagi. “Lisa rasa abang ini mesti ada tujuan telefon Lisa.” Khalisah cuba serkap
jarang.
Khairulnizam jeda seketika. Dia
menarik nafas dalam-dalam dan kemudian dihela perlahan.
“Sebenarnya...abang...” Teragak-agak
abangnya mahu menyusun kata. Khalisah sudah tidak sabar mahu mendengar apa yang
mahu disampaikan abangnya itu.
“Abang nak kahwin ye.” Khalisah
berteka-teki. Mana tahu terkena. Dia sekadar mencuba nasib.
“Mak dah bagitahu Lisa ye.” Kali ini
abangnya pula yang berteka-teki dengannya. Mahukan kepastian.
“Eh, tak adalah. Tempoh hari masa
mak telefon Lisa tapi tak ada pun mak buka cerita fasal abang. Oh, cuma mak
kata abang suruh tanya keadaan Lisa. Itu aje.” Cepat-cepat Khalisah menyangkal
percakapan abang sulungnya itu.
Abangnya tergelak kecil.
“Tak payahlah gabra sangat. Abang
tanya aje.” Bersahaja abangnya menutur kata di hujung talian.
“Sungguhkah ni abang nak menikah?”
Soal Khalisah lagi inginkan kepastian.
Kedengaran abangnya melepaskan
keluhan.
“Abang rancang nak bertunang dulu
masa raya nanti.” Perlahan sahaja abangnya menutur kata membuka cerita malam itu.
“Bila? Dengan siapa? Lisa kenal tak?
Orang kampung kita juga ke?” Bertubi-tubi soalan diajunya tanpa sempat abangnya
menjawab satu pun.
“Mana satu abang nak jawab dulu ni?
Kalah wartawan soal macam-macam pada abang.” Serentak mereka dua beradik
tergelak. “Hujung bulan ni Lisa kena balik tau. Boleh kita bincang dulu.” Jelas
abangnya dengan nada mendatar.
“Abang tak beritahu lagi siapa gerangan
wanita yang berjaya mencuit hati abang Lisa ni. Orang mana? Lisa kenal atau
tak?” Soal Khalisah lagi tidak puas hati.
“Nantilah abang cerita. Abang tunggu
Lisa balik. Menyembang dalam telefon ni tak seronok.”
Khalisah mengeluh. Sesungguhnya
perangai abang tidak pernah berubah. Seorang yang perahsia dari dulu hinggalah
sekarang. Entah bila dia bercinta pun Khalisah tidak pernah tahu. Senyap-senyap
sahaja. Pandai sungguh abangnya menyimpan rahsia tanpa dapat dihidu olehnya.
“Baiklah abangku sayang. Sampaikan
salam pada mak. Nanti Lisa balik. Kalau abang nak Lisa belikan barang-barang
hantaran kat sini Lisa boleh carikan.”
“Memang abang nak suruh Lisa tolong
buatkan hantaran. Siapa lagi yang abang boleh harapkan.” Kata-kata abangnya itu
membuatkan Khalisah melirik senyuman di bibir.
“Baiklah, abang. Nanti Lisa bantu
ye.” Talian terus dimatikan sebaik sahaja masing-masing memberi salam.
Sebaik sahaja talian dimatikan, Aida
tercengat di muka pintu biliknya sambil memeluk tubuh.
“Siapa telefon kau?”
“Abang aku.”
Aida menapak masuk dan melabuhkan
duduk di hujung katil.
“Abang aku nak bertunang.” Girang
sekali suara Khalisah memberitahu pada sahabatnya itu.
“Oh, ya?” Aida menyambut dengan
perasaan teruja juga. Dia melirik senyuman manis di bibirnya.
“Abang aku tu senyap-senyap saja.
Entah bila dia bercinta aku pun tak tahu.” Khalisah membetulkan duduknya.
Bantal di sisinya dicapai lalu dipeluknya erat-erat.
“Abang kau nak kawin dengan siapa?”
Soal Aida.
Khalisah sekadar menjongketkan
bahunya.
“Kau tak tanya?”
“Aku dah tanya tapi dia biasalah.
Masih nak berahsia,” jawab Khalisah bersahaja. Jemarinya bermain-main dengan
dagunya sambil matanya melirik ke arah Aida di hadapannya yang tersengih-sengih
sedari tadi.
“Kau dah kenapa?” Soal Khalisah
tiba-tiba. Pelik dengan sikap sahabatnya itu. Tersengih-sengih dari tadi macam
kerang busuk.
“Aku happylah dengar abang kau dah nak naik pelamin,” balas Aida
selamba.
“Kau punya happy macam kau yang nak naik pelamin,” ujar Khalisah disambut
dengan gelak kecil Aida.
“Biasalah tu. Bila dapat berita happy aura happy itu mesti berjangkit kat kita sekali. Aura itukan penting
pada diri kita. Kan orang kata, orang yang hebat mempunyai aura yang hebat.
Jadi hari ini abang kau bagi kita aura yang positif.” Ulas Aida panjang lebar
penuh semangat seperti seorang penceramah sedang menyampaikan ceramah tentang
aura diri.
Khalisah sekadar menadah telinga
mendengar sahabatnya itu berbicara. Sesekali kepalanya terangguk-angguk.
“Tapi itulah aku tak tahu siapa
bakal isteri abang aku tu. Tak sabar rasanya aku nak tahu siapalah yang berjaya
mencuri hati abang aku tu,” ujar Khalisah penuh ceria.
Aida menggeleng sahaja melihat
gelagat sahabatnya itu.
“Hujung bulan ni aku nak balik
kampung. Kau ikut sekali ye.” Pelawa Khalisah dengan senyuman yang masih
bersisa.
“Alah, hujung bulan ni tak bolehlah.
Mak aku suruh aku balik kampung. Ada hal sikit. Lain kali aku ikut kau balik
ye.”
Khalisah mencebikkan bibirnya.
“Kalau macam tu tak apalah. Aku
balik sendirilah.” Mendayu sahaja nada Khalisah. Dia bermain-main dengan
jari-jemarinya.
Aida tersenyum.
“Nanti kau teman aku pergi beli
barang hantaran untuk abang aku boleh?”
Aida mengangguk. “Sudah semestinya
boleh. Masakan aku tak nak teman kau. Bila nak pergi?”
Khalisah berjeda seketika. Bantal
masih lagi dipeluk erat. Tangan kanannya menongkat dagu.
“Kita pergi esoklah. Kalau minggu
depan macam dah suntuk sangat kan. Minggu lagi satu aku dah nak balik kampung.”
Khalisah mencongak-congak hari serta minggu.
“Ada banyak masa lagi kan?”
“Ada dalam tujuh bulan macam tu,”
ujar Khalisah yang sudah menyelak kalendar di tangannya.
“Kalau macam tu kita pergi esoklah.
Lagi pun esok kita tak buat apa kan.” Aida memberi cadangan.
“Bagus juga macam tu. Kita cari kat
Dataran Pahlawan. Dah lama kita tak ke sana kan?” Tambah Khalisah pula.
“Banyak ke barang kau nak beli?”
Tanya Aida.
“Aku kena tanya abang aku dulu
berapa dulang. Tadi dek sebab teruja sampai aku pun terlupa nak tanya dia.”
Aida tergelak kecil.
“Aku nak tidur dulu. Kau pun tidur.
Jangan dok termenung aje.” Pesan Aida seraya bangkit dari duduknya.
Khalisah tersenyum kelat seraya
menghantar pandang pada Aida yang mengatur kemas langkahnya. Sahabatnya itu
tidak pernah lupa menitipkan pesanan buat dirinya. Khalisah menyandar kembali
pada birai katil sebaik sahaja kelibat Aida sudah hilang daripada pandangan
mata. Pintu biliknya juga sudah ditutup rapat oleh Aida.
‘Aku dah okeylah.’ Khalisah berdetik
sendiri di dalam hati.
Berkali-kali Khalisah meraup
wajahnya sebelum dia mencapai telefon bimbit di atas meja kecil di sisi katilnya.
Jari-jemari Khalisah laju menaip patah-patah perkataan di telefon pintarnya.
Abang, nanti hantaran abang berapa dulang? Bagitahu
Lisa segera ya. Esok Lisa boleh belikan apa yang perlu.
Selesai
menaip dia terus menghantar mesej pada abangnya. Dia letakkan kembali telefon
pintarnya di atas meja tadi. Fikirannya sudah menerawang memikirkan majlis yang
akan berlangsung. Keterujaannya usah dicakap. Mahu tidak teruja. Itulah
satu-satunya abang yang dia ada.
Khalisah
tersenyum bahagia.
Koleksi Entri
Ungkapan Kata Bernafas Cinta
Subscribe to:
Posts (Atom)



























