Gambar : Carian Google
BAB 4
Di saat diri ini kosong
Kupohon biarlah hati
terasa tenang
Khalisah menghempas perlahan tubuh
kecilnya ke atas katil bersaiz sederhana. Dia baru terasa keletihan seharian
berhempas-pulas mengerah tenaga di rumah orang-orang tua itu tadi. Walaupun
keletihan namun hatinya berbunga riang. Dia rasa sungguh tenang dan bahagia
dengan apa yang dilakukannya hari ini.
Senyuman melirik di bibirnya. Dia
berpuas hati dapat menambah kenalan baru yang datang daripada pelbagai jabatan
dengan memegang bermacam-macam jawatan. Sungguh dia tidak sangka, ada yang
berjawatan tinggi namun jiwa mereka sangat mulia. Merendah diri sepanjang masa.
Layanan mesra kakitangan rumah orang-orang tua pun tidak kurangnya.
Khalisah teringatkan sesuatu. Dia
terus bangkit dari pembaringan dan menapak ke arah meja solek di mana beg
tangannya terletak di situ. Dia meraba-raba ke dalam beg tangannya lalu dicapai
telefon bimbitnya.
Dia kembali ke katil semula lalu
menyandar di birai katil. Sebelum pulang tadi, mereka sempat merakam beberapa
keping gambar. Ditatap satu-persatu gambar yang sempat diambilnya tadi. Dia
tersenyum sendiri. Sedang dia khusyuk menatap gambar-gambar di galeri telefon
bimbitnya, telefon bimbitnya berdering. Ada panggilan masuk. Dia melirik senyum
melihat nama yang tertera di skrin.
Salam dijawab sebaik sahaja
panggilan tersebut dijawab.
“Lisa, baik aje abang. Abang jangan
susah hati.” Dia jawab bersungguh demi menyakinkan abangnya. “Kenapa abang
telefon Lisa?” Sambungnya lagi. Jarang benar abangnya itu menelefonnya.
Selalunya emak yang menjadi perantara kalau abang ada memesan sesuatu untuknya.
Sejak kematian ayah dua tahun lepas, abang memikul segala tanggungjawab menjaga
dia dan emak. Nasib baik abang bekerja di pekan Selama sebagai kerani. Kemudian
abang sibuk mengusahakan kebun pisang arwah ayah pula. Jadi tidaklah emak
tinggal keseorangan.
“Abang saja telefon Lisa. Entah
kenapa abang rindu kat adik abang. Lisa tak balik kampung ke?”
Khalisah tergelak kecil. Abang itu
orangnya serius. Bila dia meluahkan rasa rindu pada adiknya yang seorang ini,
membuatkan hati Khalisah tercuit geli hati.
“Awat gelak?” Soal lelaki itu
mendatar.
“Tak ada apa. Lisa rasa nak gelak
tiba-tiba.” Balasnya berbasa-basi. Dia menahan gelaknya daripada terhambur
lagi. “Lisa rasa abang ini mesti ada tujuan telefon Lisa.” Khalisah cuba serkap
jarang.
Khairulnizam jeda seketika. Dia
menarik nafas dalam-dalam dan kemudian dihela perlahan.
“Sebenarnya...abang...” Teragak-agak
abangnya mahu menyusun kata. Khalisah sudah tidak sabar mahu mendengar apa yang
mahu disampaikan abangnya itu.
“Abang nak kahwin ye.” Khalisah
berteka-teki. Mana tahu terkena. Dia sekadar mencuba nasib.
“Mak dah bagitahu Lisa ye.” Kali ini
abangnya pula yang berteka-teki dengannya. Mahukan kepastian.
“Eh, tak adalah. Tempoh hari masa
mak telefon Lisa tapi tak ada pun mak buka cerita fasal abang. Oh, cuma mak
kata abang suruh tanya keadaan Lisa. Itu aje.” Cepat-cepat Khalisah menyangkal
percakapan abang sulungnya itu.
Abangnya tergelak kecil.
“Tak payahlah gabra sangat. Abang
tanya aje.” Bersahaja abangnya menutur kata di hujung talian.
“Sungguhkah ni abang nak menikah?”
Soal Khalisah lagi inginkan kepastian.
Kedengaran abangnya melepaskan
keluhan.
“Abang rancang nak bertunang dulu
masa raya nanti.” Perlahan sahaja abangnya menutur kata membuka cerita malam itu.
“Bila? Dengan siapa? Lisa kenal tak?
Orang kampung kita juga ke?” Bertubi-tubi soalan diajunya tanpa sempat abangnya
menjawab satu pun.
“Mana satu abang nak jawab dulu ni?
Kalah wartawan soal macam-macam pada abang.” Serentak mereka dua beradik
tergelak. “Hujung bulan ni Lisa kena balik tau. Boleh kita bincang dulu.” Jelas
abangnya dengan nada mendatar.
“Abang tak beritahu lagi siapa gerangan
wanita yang berjaya mencuit hati abang Lisa ni. Orang mana? Lisa kenal atau
tak?” Soal Khalisah lagi tidak puas hati.
“Nantilah abang cerita. Abang tunggu
Lisa balik. Menyembang dalam telefon ni tak seronok.”
Khalisah mengeluh. Sesungguhnya
perangai abang tidak pernah berubah. Seorang yang perahsia dari dulu hinggalah
sekarang. Entah bila dia bercinta pun Khalisah tidak pernah tahu. Senyap-senyap
sahaja. Pandai sungguh abangnya menyimpan rahsia tanpa dapat dihidu olehnya.
“Baiklah abangku sayang. Sampaikan
salam pada mak. Nanti Lisa balik. Kalau abang nak Lisa belikan barang-barang
hantaran kat sini Lisa boleh carikan.”
“Memang abang nak suruh Lisa tolong
buatkan hantaran. Siapa lagi yang abang boleh harapkan.” Kata-kata abangnya itu
membuatkan Khalisah melirik senyuman di bibir.
“Baiklah, abang. Nanti Lisa bantu
ye.” Talian terus dimatikan sebaik sahaja masing-masing memberi salam.
Sebaik sahaja talian dimatikan, Aida
tercengat di muka pintu biliknya sambil memeluk tubuh.
“Siapa telefon kau?”
“Abang aku.”
Aida menapak masuk dan melabuhkan
duduk di hujung katil.
“Abang aku nak bertunang.” Girang
sekali suara Khalisah memberitahu pada sahabatnya itu.
“Oh, ya?” Aida menyambut dengan
perasaan teruja juga. Dia melirik senyuman manis di bibirnya.
“Abang aku tu senyap-senyap saja.
Entah bila dia bercinta aku pun tak tahu.” Khalisah membetulkan duduknya.
Bantal di sisinya dicapai lalu dipeluknya erat-erat.
“Abang kau nak kawin dengan siapa?”
Soal Aida.
Khalisah sekadar menjongketkan
bahunya.
“Kau tak tanya?”
“Aku dah tanya tapi dia biasalah.
Masih nak berahsia,” jawab Khalisah bersahaja. Jemarinya bermain-main dengan
dagunya sambil matanya melirik ke arah Aida di hadapannya yang tersengih-sengih
sedari tadi.
“Kau dah kenapa?” Soal Khalisah
tiba-tiba. Pelik dengan sikap sahabatnya itu. Tersengih-sengih dari tadi macam
kerang busuk.
“Aku happylah dengar abang kau dah nak naik pelamin,” balas Aida
selamba.
“Kau punya happy macam kau yang nak naik pelamin,” ujar Khalisah disambut
dengan gelak kecil Aida.
“Biasalah tu. Bila dapat berita happy aura happy itu mesti berjangkit kat kita sekali. Aura itukan penting
pada diri kita. Kan orang kata, orang yang hebat mempunyai aura yang hebat.
Jadi hari ini abang kau bagi kita aura yang positif.” Ulas Aida panjang lebar
penuh semangat seperti seorang penceramah sedang menyampaikan ceramah tentang
aura diri.
Khalisah sekadar menadah telinga
mendengar sahabatnya itu berbicara. Sesekali kepalanya terangguk-angguk.
“Tapi itulah aku tak tahu siapa
bakal isteri abang aku tu. Tak sabar rasanya aku nak tahu siapalah yang berjaya
mencuri hati abang aku tu,” ujar Khalisah penuh ceria.
Aida menggeleng sahaja melihat
gelagat sahabatnya itu.
“Hujung bulan ni aku nak balik
kampung. Kau ikut sekali ye.” Pelawa Khalisah dengan senyuman yang masih
bersisa.
“Alah, hujung bulan ni tak bolehlah.
Mak aku suruh aku balik kampung. Ada hal sikit. Lain kali aku ikut kau balik
ye.”
Khalisah mencebikkan bibirnya.
“Kalau macam tu tak apalah. Aku
balik sendirilah.” Mendayu sahaja nada Khalisah. Dia bermain-main dengan
jari-jemarinya.
Aida tersenyum.
“Nanti kau teman aku pergi beli
barang hantaran untuk abang aku boleh?”
Aida mengangguk. “Sudah semestinya
boleh. Masakan aku tak nak teman kau. Bila nak pergi?”
Khalisah berjeda seketika. Bantal
masih lagi dipeluk erat. Tangan kanannya menongkat dagu.
“Kita pergi esoklah. Kalau minggu
depan macam dah suntuk sangat kan. Minggu lagi satu aku dah nak balik kampung.”
Khalisah mencongak-congak hari serta minggu.
“Ada banyak masa lagi kan?”
“Ada dalam tujuh bulan macam tu,”
ujar Khalisah yang sudah menyelak kalendar di tangannya.
“Kalau macam tu kita pergi esoklah.
Lagi pun esok kita tak buat apa kan.” Aida memberi cadangan.
“Bagus juga macam tu. Kita cari kat
Dataran Pahlawan. Dah lama kita tak ke sana kan?” Tambah Khalisah pula.
“Banyak ke barang kau nak beli?”
Tanya Aida.
“Aku kena tanya abang aku dulu
berapa dulang. Tadi dek sebab teruja sampai aku pun terlupa nak tanya dia.”
Aida tergelak kecil.
“Aku nak tidur dulu. Kau pun tidur.
Jangan dok termenung aje.” Pesan Aida seraya bangkit dari duduknya.
Khalisah tersenyum kelat seraya
menghantar pandang pada Aida yang mengatur kemas langkahnya. Sahabatnya itu
tidak pernah lupa menitipkan pesanan buat dirinya. Khalisah menyandar kembali
pada birai katil sebaik sahaja kelibat Aida sudah hilang daripada pandangan
mata. Pintu biliknya juga sudah ditutup rapat oleh Aida.
‘Aku dah okeylah.’ Khalisah berdetik
sendiri di dalam hati.
Berkali-kali Khalisah meraup
wajahnya sebelum dia mencapai telefon bimbit di atas meja kecil di sisi katilnya.
Jari-jemari Khalisah laju menaip patah-patah perkataan di telefon pintarnya.
Abang, nanti hantaran abang berapa dulang? Bagitahu
Lisa segera ya. Esok Lisa boleh belikan apa yang perlu.
Selesai
menaip dia terus menghantar mesej pada abangnya. Dia letakkan kembali telefon
pintarnya di atas meja tadi. Fikirannya sudah menerawang memikirkan majlis yang
akan berlangsung. Keterujaannya usah dicakap. Mahu tidak teruja. Itulah
satu-satunya abang yang dia ada.
Khalisah
tersenyum bahagia.
No comments:
Post a Comment