Thursday, November 21, 2019

Bab 1 : Ungkapan Kata Bernafas Cinta



Gambar : Carian Google



BAB 1

Dari kejauhan ini                         
Rindu pasti datang bertandang 


            KHALISAH duduk menyandar pada kerusi. Sepasang matanya masih lagi tertancap pada komputer riba yang terletak di atas meja. Dia perlu menyiapkan aktiviti perancangan pembelajaran untuk minggu hadapan. Sijil Pelajaran Malaysia semakin menghampiri. Masanya semakin padat. Mana jadual kelas yang terisi pagi dan petang. Perjumpaan dengan para pelajarnya lagi. Ditambah pula dengan kelas tambahan. Bertimpa-timpa kesibukannya sejak kebelakangan ini.

            Ya, dia memang sengaja menyibukkan diri. Tidak mahu diselubungi peristiwa sedih. Bukan mahu melupakan dan sudah tentu sukar melupakan namun dia perlu tinggalkan juga sedikit demi sedikit. Bukan untuk sesiapa pun. Untuk dirinya juga. Kata-kata emak masih terngiang-ngiang.

            “Lepas ni, mak nak Lisa buka buku baru. Pergi tetap pergi. Ada hikmahnya. Mungkin Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Selalu bersangka baik dengan Allah.” Suara emaknya menerjah ke pendengarannya. Itulah pesanan Mak Jah semasa dia mahu pulang ke Melaka tempoh hari.

            Seketika, dia menongkat dagunya di atas meja. Ini kalau Mak Jah nampak pasti bising mulutnya macam bertih jagung. Tahan dengan tidak sahaja kalau Mak Jah sudah membebel. Boleh bersambung-sambung kalah deejay radio.

            “Jangan menongkat dagu. Orang pemalas lagu tu.” Begitulah dialog yang selalu meniti di bibir Mak Jah.

Khalisah tersenyum sendiri. Betul orang kata, bila kita bersedih emaklah jua yang dicarinya. Nasib baik dia masih mempunyai emak. Andai emak pun tiada, kemana pergi dan hala tuju dirinya mahu melangkah.

Mampukah dia bangkit andai tiada sokongan moral sebegini daripada emak? Itulah yang sering bermain dalam dirinya. Adakalanya dia berperang dengan perasaannya sendiri. Berperang dengan jiwanya. Berperang dengan hatinya. Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Mendadak. Siapapun yang berada ditempatnya pasti akan rebah ke bumi. Meratapi nasib diri yang menimpa. Menangisi ketentuan hidup yang telah tersurat.

Rindu pada emaknya tiba-tiba menjalar dalam diri. Sejak kejadian yang menimpa dirinya, emak adalah insan yang paling dekat dengannya. Emak adalah insan yang menangis bila mendapat perkhabaran itu. Emak juga adalah insan yang paling risau tentang dirinya. Setiap saat, setiap detik, setiap masa tidak henti-henti dia menanyakan khabar saat dia berjauhan di perantauan.

‘Emak...’ Rintihnya di dalam hati.

            Kemudian dia meraup-raup mukanya. Dia mengeliat seketika mahu melepaskan lelah setelah sejam menghadap komputer ribanya. Tiba-tiba, hatinya terasa sesuatu. Terus sahaja dia mencapai tetikus. Laman muka buku dilog masuk. Sudah sekian lama dia tidak bermedia sosial. Enam bulan lamanya. Nasib baik, kata laluannya masih lagi dia ingat.

            Gambar-gambar yang terpampang di skrin komputer riba ditatap satu-persatu. Sekejap diskrol ke atas, sekejap diskrol ke bawah. Entah kenapa hatinya direnggut pilu. Air matanya sudah bergenang di tubir mata. Wajah itu amat dirinduinya. Bohonglah kalau dia katakan dia tidak merindui wajah lelaki itu. Matanya dipejam seketika. Air mata yang sudah bertakung di kelopak cuba ditahannya daripada tumpah.

            “Lisa...” Khalisah tersentak apabila bahunya disentuh lembut. Cepat-cepat diseka air matanya. Dia menunduk seketika. Air matanya semakin laju bercucuran membasahi kedua belah pipinya. Akhirnya dia menangis semahu-mahunya.

            “Lisa, jangan macam ni. Kan aku dah pesan, jangan tengok lagi. Jangan!Kenapa degil sangat ni?” Pujuk Aida teman serumahnya yang berasal dari negeri Jelapang Padi.

            Khalisah berpaling lantas memeluk sahabatnya itu.

            “Aku tak kuat, Aida.” Tangisan Khalisah sudah memecahkan keheningan malam itu.

            “Sabar, Lisa. Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Allah tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuannya.” Aida cuba memberi kata-kata semangat pada sahabatnya yang dia sudah kenal hampir dua tahun sejak dia berpindah mengajar di Melaka.

Memang berat ujian yang dihadapinya namun sahabatnya itu tidak boleh dibiarkan begitu. Kesedihan itu bakal merosakkan dirinya. Entahlah. Kasihan dilihat nasib yang menimpa sahabatnya itu.

Kalau aku ditempatnya, entahkan aku mampu atau pun tidak. Bisik Aida sendiri di dalam hati.

“Aku rindu dia Aida. Kenapa nasib aku macam ni?” Soal Khalisah dalam tangisan yang masih bersisa.

“Tak baik kau persoalkan macam tu. Seolah-olah kau pertikaikan Qada dan Qadar Allah.”

Khalisah membisu. Esak tangisnya masih kedengaran. Aida mengusap lembut belakang badannya.

“Banyakkan solat tahajud. Jangan putus berdoa. Doa adalah senjata buat orang mukmin. Mohon diberi ketenangan dalam diri. Lepas ni tolong jangan tengok lagi sampai kau betul-betul kuat.” Panjang lebar Aida melontar kata. Khalisah meleraikan pelukan.

“Terima kasih, Aida.”

“Ini kenapa kau boleh tiba-tiba nak tengok semua tu? Aku rasa kau dah lama tak log masuk facebook kau tu.”

“Entahlah. Hari ini rasa macam rindu sangat. Aku rindu dia sebenarnya,” jawab Khalisah bersahaja. Matanya sudah kelihatan sembab. Hidungnya juga sudah memerah.

“Kalau kau sayang diri kau, jangan tengok lagi. Aku tak marah kalau kau nak bersosial kembali tapi tolong jangan seksa diri kau macam ni.”

Khalisah melempar selayang pandang pada Aida yang masih tercengat di sisinya.

“Boleh tak?” Soal Aida laju.

Khalisah mengangguk lemah.

“Jangan depan aku, kau berikrar kata boleh. Tapi belakang aku, kau buat. Lepas tu menangis.” Bebel Aida panjang lebar.

Khalisah tersenyum tawar mendengar bebelan Aida.

“Kadang aku rasa kosong sangat.”

“Kalau kau rasa macam tu cepat-cepat bawa diri ke tikar sejadah. Sujud padaNya untuk memohon ketenangan diri.” Pesan Aida. Pesanan yang dititipnya umpama pesanan kepada para pelajarnya. Sesuai dengan gelarannya sebagai ustazah di sekolah.

“Dahlah, pergi bawa berehat. Kalau terasa nak tengok lagi gambar-gambar tadi, baik kau cepat-cepat berwuduk ke sibukkan diri sampai tak boleh diselitkan langsung perkara tak berfaedah tu.” Sambung Aida lagi.

“Yelah, ustazah. Aku akan ikut cakap kau. Kau punya pesanan dah macam Mak Jah kat kampung tu.” Khalisah cuba berseloroh.

“Mak Jah kau kalau titip pesanan lagi power. Aku pun kalah,” ujar Aida seraya tergelak kecil.

“Aida, nanti tengok-tengok Khalisah ni ye. Makcik tak ada dengan dia. Harapkan Aida saja.” Pesan Mak Jah terngiang-ngiang di telinga Aida. Masa itu, Aida singgah di kampung Khalisah untuk pulang ke Melaka bersama-sama. Dia sudah berjanji pada Mak Jah untuk menjaga Khalisah agar tidak terus hanyut dengan kesedihannya.

“Kau kena dengar cakap aku, Lisa. Aku dah janji dengan mak kau. Nanti mak kau kata aku bukan sahabat yang baik pula.”

“Tak baik tau tuduh mak aku macam tu. Tak adalah Mak Jah tu nak cakap kau sampai macam tu sekali.” Sambil gelak-gelak Khalisah melontar kata.

Kemudian Aida pula menyambut gelak.

“Dahlah, esok kita kerja. Nanti mengantuk pula dalam kelas. Ada yang jadi macam dalam cerita Masam-masam Manis.”

“Cikgu suka tidur. Mari kita main.” Khalisah meniru gaya babak dalam drama tersebut.

“Aku masuk tidur dulu ya.”

Khalisah sekadar mengangguk. Dia memerhati Aida yang mengatur langkahnya ke muka pintu hingga hilang daripada pandangannya.

Dia menarik nafas dalam-dalam dan kemudian dihela perlahan.

‘Duhai hati, usahlah menangis lagi.’ Pujuknya sendiri.

[Bersambung]

No comments:

Fyda's read book montage

Lafazkan Kalimah Cintamu
Tak Ada Cinta Sepertimu
Dia Anak Jeneral
Mr. Grey
Tiada Arah Jodoh Kita
Dalam Dakapan New York
Pulang
Lelaki Januari
Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Cermin Masa Depan
Lelaki Kiriman Tuhan
Bahagia Bukan Bidaan
The Misadventures of Cik Reen & En. Ngok Ngek
Surat Bersampul Perang
Kekasih Waktu
Pujaan Hati Kanda
99 Stress Free Wife
Budak Kelas Belakang
Sepahit Kopi Semanis Cham
Cerita Dalam Kampus
Kan Kukejar Cinta Kamu


Fyda Adim's favorite books »