BAB
3
Aku mengerling jam di tangan sewaktu kaki
melangkah masuk ke kawasan Kampus B. Jarum jam menunjukkan tepat ke pukul 2.00 petang
Kelihatan beberapa kumpulan pelajar berdedai-dedai menghala ke dewan kuliah
masing-masing. Semuanya mahu cepat. Begitu juga dengan aku. Hari ini aku agak
bertenang sedikit memandangkan sebelah pagi aku tidak ada kelas. Bila sebelah
pagi tiada kelas dapatlah berehat-rehat di rumah. Selalunya jadual aku penuh
pagi dan petang.
Begitulah rutinku hampir dua tahun setengah
menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar Politeknik Ungku Omar. Aturan
langkahku disusun kemas menuju ke bilik kuliah. Dalam pada menyusun langkah,
mataku melilau-lilau memandang sekitar kampus mencari kelibat seseorang. Namun
tidak kelihatan. Aku memberhentikan langkah di depan dewan. Tangan teraba-raba
ke dalam beg sandang dan menarik keluar telefon bimbit.
Nombor didail dan beberapa ketika deringan
kedengaran hingga terhenti sendirinya. Panggilan aku tidak berangkat. Aku
melepaskan sebuah keluhan.
“Eh, mana pulak pergi dia ni? Tadi kata nak
jumpa dulu sebelum masuk kelas. Berkali-kali hantar whatsapp ingatkan aku. Sekarang batang hidung dia pun tak nampak.”
Omelku sendiri.
Sekali lagi, jemariku laju mendail nombor
itu lagi namun masih juga seperti tadi. Aku kerling jam di tangan.
“Aku ni dah lambat nak masuk kelas.”
Bebelku lagi. Sudah seperti orang gila, bercakap seorang diri. Baru sahaja mahu
membuka langkah, bahu aku ditampar.
“Hah, lama tunggu aku.” Suara yang sedikit
memekik mematikan hasratku.
Lantas aku menoleh. Wahida tersengih. Entah
dari mana munculnya.
“Kau datang dari mana? Aku tak nampak pun
dari tadi.”
“Aku dah nampak kau dari kafe. Bukan main
gemalainya kau berjalan.”
“Banyaklah kau punya gemalai. Aku cari
kaulah. Aku ni dah lambat nak masuk kelas. Nanti lecturer aku bising.”
Sergah aku sebaik sahaja Wahida mempamerkan wajah tidak bersalahnya.
“Alah relaxlah. Belum pukul 2.30 lagi.
Kalut sangat kau ni. Aku ada aje kat kafe.”
“Ini mesti kau jumpa Dino kan?” Tebakku.
Soalan aku tidak dijawab namun dibalas dengan sebuah senyuman. Gaya senyuman
yang terukir di hujung bibir Wahida sudah boleh jangka.
“Dia nak ke kelas tadi. Dia ajak aku ke
kafe kejap. Tunggu kau lama sangat.”
“Aik...Aku pulak yang kau salahkan. Kelas
aku kan mula 2.30. Memang aku biasa sampai pukul 2.00 apa. Bukan jauh sangat
rumah sewa kita tu nak ke kampus.”
“Balik nanti jumpa aku kat sini tau.”
Wahida mengubah topik.
“Itu aje kau nak cakap? Boleh whatsapp
kut.” Bengang pula melayan fiil kawan aku yang seorang ini.
“Aku saja je. Selalu kan kita pergi kelas
sama. Hari ini dah kelas tak sama. Pagi tadi aku nak cakap kau belum bangun.”
Wahida membela diri.
Wahida, teman serumah aku. Dia dalam jurusan
Teknologi Komputer, manakala aku dalam jurusan Akauntansi. Walaupun kami tidak
sama jurusan tapi kami sekepala hingga sekarang. Sepanjang aku di sini, dialah
yang rapat dengan aku. Kami berkenalan sewaktu hari pendaftaran dan melarat
hingga ke kamsis di mana kami tinggal seblok dan juga setingkat. Antara yang
paling rajin di kalangan kami. Bila petang, rajin bancuh air milo bagi
kawan-kawan minum sambil cicah biskut kering.
Cerita paling kelakar dan mengejutkan bila
suatu petang kawan sebilik aku beritahu Wahida mengamuk sampai pecahkan
tingkap. Aku yang kepoci ini pun pergilah mendapatkannya untuk mengetahui
cerita sebenar. Orang kata, biarlah kita dengar daripada empunya diri sebab aku
dengar macam-macam versi daripada kawan-kawan yang lain.
“Aku tak sengajalah. Aku tengah buat air
tadi sekali terpandang kat jalan tu, aku nampak abang senior yang aku minat
jalan dengan junior aku. Apa lagi, aku terhentakkanlah cawan kat tingkap.”
Cerita Wahida panjang lebar.
Aku tersenyum-senyum sendiri bila mengingatkan
kembali peristiwa itu. Sejak dari peristiwa itulah aku dan Wahida menjadi kawan
sampailah kami keluar mencari rumah sewa sebabnya kamsis disediakan untuk
pelajar semester pertama sahaja.
“Aku cakap yang kau senyum-senyum ni dah
kenapa?” Suara Wahida yang memekik membawa aku kembali ke alam realiti.
“Tak ada apalah.”
“Kau
ni sempatlah nak berangan bagaikan.” Wahida menepuk lembut lenganku.
“Eh, dahlah Aku pergi dulu. Nanti aku
lambat. Melayan kau sampai esok pun belum tentu habis.” Aku tinggalkan Wahida
tanpa menunggu respon daripadanya. Aku terus membuka langkah menuju ke bilik
kuliah.
Sebaik sahaja aku mendapatkan tempat
dudukku, kedengaran telefon bimbitku berlagu. Aku menarik keluar Samsung Galaxy
A10. Lantas aku lihat skrin telefon dan tersenyum sendiri tatkala melihat nama
yang terpamer. Aku melurutkan skrin untuk menjawab panggilan itu lalu telefon ditekap
ke telinga. Kedengaran salam diberikan di hujung talian lalu aku menjawab
salamnya separa berbisik.
“Ada apa call Lea?” tanyaku.
“Tak boleh ke saya call awak?” Dia
menyoal aku kembali tanpa mengendahkan pertanyaanku.
“Bukanlah maksud saya macam tu. Selalunya
awak suka call sebelah malam. Jarang-jarang sangat awak nak call saya
siang-siang macam ni.” Terangku jujur. Suaraku tenang sekali. Aku menanti
lontaran katanya yang seterus.
“Sebenarnya, saya ada hal nak cakap dengan
awak, Lea.” Suara perlahan lelaki itu antara dengar tak dengar menjelaskan.
Dadaku berombak kencang. Tiba-tiba rasa
cemas menjalar dalam diri. “Hal apa? Ada apa-apa yang berlaku dengan mak saya
ke atau adik-adik saya?”
“Bukan...bukan...Saya nak minta tolong
dengan awak sebenarnya. Itu pun kalau awak sudi nak menolong sayalah.”
Aku menarik nafas lega. Suspen dibuatnya.
“Hal apa yang awak nak saya tolong?”
Aku cuba menghadamkan satu-persatu butir
bicaranya sambil langkah dihanyun ke dalam dewan kuliah.
“Saya ada kelas ni. Nanti sambung.” Segera
talian dimatikan tanpa menunggu jawapan lelaki itu.
Selesai sahaja kelas yang berlangsung
selama dua jam, aku atur langkah ke kafeteria. Janji yang dibuat dengan Wahida
sebelum berpisah ke kelas tadi. Sementara menunggu kedatangan Wahida, fikiranku
melayang-layang. Semuanya gara-gara panggilan yang aku terima daripada lelaki
itu. Kuliah yang berlangsung satu pun tidak singgah di kepala. Aku mendengus
kasar.
Suasana dalam kafeteria petang itu bingit
sekali seakan di pasar borong, ada yang terpekik-pekik. Ada yang terbahak-bahak
tawanya. Ada juga yang berbual sesama sendiri. Aku yang sudah mengambil tempat
seperti biasa. Duduk di tepi tingkap memerhatikan permandangan luar. Sedikit
pun tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Selang beberapa minit, minuman yang
aku pesan tiba di meja. Sirap ais aku sedut perlahan. Sekadar membasahkan
tekak. Kelibat Wahida, masih belum kelihatan. Sekilas aku kerling jam di
tangan.
‘Baru sepuluh minit. Belum keluar kelas
agaknya.’ Detikku sendiri di dalam hati. Minuman aku sedut lagi. Ruang
kafeteria semakin dipenuhi para pelajar. Masing-masing dengan satu tujuan yang
sama. Mahu mengisi perut sebelum meneruskan ke destinasi seterusnya. Rata-rata
para pelajar gemar membeli makanan di dalam kampus berbanding membeli di luar
kerana harganya jauh lebih murah.
“Sorang aje ke?” Suara garau seseorang yang
menerjah masuk ke gegendang telinga membuatkan aku lantas menoleh.
Lelaki yang berdiri beberapa langkah
mengangkat keningnya kemudian melorek senyum. “Boleh duduk?” soalnya. Belum
sempat aku menjawab dia sudah terlebih dahulu melabuhkan duduknya bertentangan
denganku.
“Lea ada tunggu sesiapa ke?” soalnya lagi.
“Tunggu Wahida,” jawabku pendek.
“Zul join korang boleh?” tanya
lelaki yang sekelas denganku tanpa rasa serba salah.
“Dah duduk pun,” jawabku bersahaja. Lelaki
yang berjanggut sejemput hanya tergelak kecil.
“Wei, sorry aku lambat. Dia
orang ni dah nak habis kelaslah baru nak tanya macam-macam soalan. Geram betui
aku.” Ketibaan Wahida di meja diiringi dengan omelannya. Aku hanya memerhatikan
sehinggalah dia melabuhkan duduknya di sebelahku.
“Eh, hai Zul.” Wahida menegur pula
Zul di depanku. Lelaki itu mengangguk sedikit seraya melemparkan segaris
senyuman.
“Kau baru sedar dia ada kat sini ke
Ida?”
“Eh, taklah.” Wahida pantas
menjawab.
“Kau punya membebel tak tengok orang
kiri kanan.”
“Korang ada plan ke petang ni?”
Serentak aku dan Wahida mengangguk
laju.
“Kita orang ada nak beli barang.”
Aku bersuara terlebih dahulu sebelum Wahida. Kalau Wahida yang bersuara
dikhuatiri lelaki di depan aku akan diangkut sekali.
“Okeylah. Zul minta diri dulu. Malam
Zul telefon Lea. Ada benda Zul nak cakap dengan Lea.” Aku mengangguk sahaja dan
menghantar pemergian lelaki itu dengan pandangan sehingga susuk tubuh lelaki
itu menghilang.
“Wei, bukan main kau pandang. Macam nak
tembos dinding.” Tangan kanan aku yang menongkat dagu ditolak perlahan.
Terkejut dibuatnya dek perangai Wahida. Dari mula kenal sampai sekarang usia
persahabatan masuk tiga tahun, fiilnya memang begitu.
“Apalah kau ni. Terkejut aku.” Aku
tegakkan duduk.
Dia sekadar tersengih. Itulah
perangainya. Bila dimarah, dia tersengih. Mempamerkan sebaris giginya yang
putih.
“Aku tak terkejutkan kau pun. Kau tu
yang dok termenung.” Jawabnya selamba.
Aku sekadar menjuihkan bibir.
“Juih bibir lagu tu. Ikat dengan
tali baru tahu.” Dia melakonkan apa yang dimaksudnya. Serupa mak nenek.
“Cubalah kalau berani. Ikatlah.”
Ugutku seraya tertawa kecil di hujung bicara. “Lambat lagi ni. Kau habis kelas
lambat ke atau jumpa kekasih hati?”
Wahida tersenyum simpul.
“Zul tu nak apa tadi? Aku rasa mesti
dia nak cakap sesuatu dengan kau tapi sebab aku dah datang makanya tak jadilah
dia cakap. Itu sebab dia kata nak call kau malam ni.” Wahida membuat
spekulasinya sendiri.
“Memandai-mandai aje kau ni kan.”
Aku cubit lengan Wahida.
“Aduh, sakitlah.” Rengek Wahida
mengada-ngada seraya tertawa kecil.
“Eh, bukan main menggeletisnya kau.”
Dia ketawa. Aku lemparkan sebuah
jelingan pada Wahida.
“Jomlah. Jadi tak kita nak ke
bandar?” Ajak Wahida.
“Aku sebenarnya ni tak ada mood.
Tapi sebab Zul ada aku buat-buatlah ada mood.”
“Eh kau ni dah kenapa. Tadi beria
kata nak beli barang.” Beritahu Wahida lalu menarik gelas minuman aku dan
menyedut sedikit. “Haus gile!”
“Aku malaslah. Kalau aku tak cakap
macam tu tadi mesti Zul mengendeng lagi kat sini.” Jelasku.
“Aku rasa dia tu minat dengan kau.”
“Tapi aku tak minat dia.” Cepat aku
nafikan.
“Habis kau minat siapa?” Mendengar persoalan
Wahida membuatkan aku membuang keluhan.
Aku sendiri keliru dengan perasaan sendiri.
Hajat seseorang membuatkan aku terikat. Aturan langkah mahu dimajukan atau
diundurkan.
“Kau dah kenapa? Tadi okey aje. Ni
tiba-tiba tak ada mood pulak.” Wahida sudah berkerut-kerut dahinya.
Jeda.
Aku menarik nafas dan melepakan
perlahan sebelum memulakan bicara. “Tadi masa aku dah masuk kelas, aku terima call.”
Aku mula membuka cerita. Perlahan-lahan aku menyusun kata.
Wahida pula sudah menyengetkan
sedikit duduknya memandang ke arahku. “Siapa yang call?. Mak kau tak
sihat ke?”
Aku menggeleng.
“Kalau bukan mak kau, siapa? Lambat
sangat kau nak cerita. Suspen dibuatnya.”
“Daniel.” Pendek jawapanku.
Wahida membuntangkan mata sebaik
sahaja nama itu aku ungkapkan. Dia memang anti tahap tujuh petala langit.
“Dia nak apa?”
Aku menggaru kepala yang tidak
terasa gatal.
“Susahlah nak cakap,” jawabku
berbasa-basi.
“Kalau kau susah nak cakap, susahlah
aku nak faham.”
“Panjanglah ceritanya. Tak tahu nak
mula dari mana.”
“Kalau panjang, pendekkan.” Wahida
sudah hilang sabar.
Aku tarik nafas dalam-dalam dan
kemudian dihela perlahan sebelum aku memulakan bicara. Wahida membetulkan
duduknya kemudia menongkat dagunya, penuh khusyuk mendengar aku bercerita.
Duduknya sudah pelbagai posisi. Aku juga yang bertenang-tenangan sewaktu
bercerita.
“Kau nak bagi?” Soal Wahida sebaik sahaja aku menghabiskan kata terakhir.
Soalan Wahida membuatkan aku mati untuk berkata-kata.
Aku sekadar mengjungkit bahu. Serba
salah sebenarnya. Aku tersepit. Tak tolong dia orang kampung aku.
Ya Allah, bantulah hambamu ini dalam
membuatkan keputusan agar hambamu ini tidak tersalah langkah.
[Bersambung]
No comments:
Post a Comment