Gambar : Carian Google
BAB 2
Saat diri mahu menyembah bumi
Diri tidak mampu menanggung segala
Diri tidak mampu menanggung segala
“Terima kasih, cikgu.” Bergema suara
pelajar tingkatan 5 Jingga. Khalisah mengarahkan semua pelajarnya untuk duduk
semula. Dia menyusun buku-buku latihan yang telah dihantar oleh para pelajarnya.
“Nayli, tolong cikgu hantarkan
buku-buku ini ke bilik guru ye.” Arahnya lembut pada ketua tingkatan 5 Jingga.
Kemudian
Khalisah melangkah keluar dari kelas 5 Jingga sebaik sahaja loceng berdering.
Kelasnya sudah pun berakhir. Dia mengatur kemas langkahnya menuruni anak tangga
menuju ke bilik guru.
Sebuah
buku dipegang di tangannya. Aturan langkahnya diteruskan namun langkahnya
terhenti di muka pintu bilik guru sebaik mendengar namanya dilaungkan. Pantas
dia menoleh. Susuk tubuh kecil Aida kelihatan berlari-lari anak mendapatkannya.
“Kau
dah habis kelas ke?” Soal Aida sedikit tercungap-cungap. Sahabatnya kalau di
sekolah tukar slanganya. Berbahasa ‘kau’ bukannya ‘hang’. Dialek utaranya pun
tidak kedengaran.
Khalisah
sekadar mengangguk.
“Kenapa?”
Khalisah dan Aida beriringan melangkah masuk ke dalam bilik guru.
“Hujung
minggu ini ada program hantar bantuan kat rumah orang-orang tu yang dianjurkan
oleh Kelab Mencari Keberkatan. Tadi sebelum masuk kelas, aku terbaca iklannya
di facebook,” terang Aida sebaik sahaja punggungnya dilabuhkan di tempat
masing-masing.
Khalisah
memasang telinga seraya menyandar pada kerusi. Melepaskan lelahnya buat
seketika waktu. Anak matanya merenung pada Aida yang duduk bertentangan
dengannya.
“Kau
nak join tak?” Soal Aida.
Jeda.
“Aku
macam berminat. Seronok kalau kita ikut kerja-kerja kesukarelawan daripada kita
tak buat apa-apa kat rumah tu.” Sambung Aida lagi panjang lebar.
Khalisah
menongkat dagunya di atas meja. Sejenak memikirkan pelawaan Aida. Ada betulnya
apa yang dikatakan Aida. Daripada buang masa kat rumah, membaling belakang
kisah sedih sahaja memang tidak jadi apa.
“Boleh
juga,” balas Khalisah pendek. Aida sambut dengan riak wajah ceria.
“Sungguh?”
Soal Aida seolah-olah tidak percaya dengan jawapan Khalisah.
“Sungguhlah.
Ingat aku main-main ka?” Khalisah membuka buku catatannya. Dicatat sesuatu
dalam buku tersebut kemudian ditutupnya kembali. Buku-buku latihan yang sudah
diletakkan di atas meja diambilnya pula. Mahu menyemak satu-persatu latih tubi
yang diberinya tadi.
“Kejap
lagi aku ada kelas lagi. Kau tolong telefon nombor ini. Ini orang yang uruskan
program tu. Beri nama kita sekalilah. Rasanya kita kena beli sedikit keperluan
untuk dibawa sekali ke rumah orang tua nanti.” Terang Aida. Dihulurnya sekeping
kertas yang tertulis nombor telefon bimbit seseorang.
Sekali
imbas Khalisah memandang nombor yang tertera sebelum diselitkan di dalam buku
catatannya.
“Kalau
sempat kita boleh minta sumbangan daripada cikgu-cikgu sekolah.” Khalisah
membuka mulut memberi cadangan pula.
“Betul
juga tu.” Sambut Aida girang. Aida mengerling jam tangannya. “Aku dah nak masuk
kelas. Hang jangan lupa telefon.” Pesan Aida sebelum meninggalkan bilik guru.
Khalisah mengangguk beberapa kali tanda faham akan pesanan sahabatnya itu.
‘Pesan
macam kita ni budak-budak.’ Omel Khalisah di dalam hati. Senyuman terukir di
hujung bibirnya. Aida memang begitu. Ada masanya kalut tak tentu fasal.
Khalisah menyelak satu-persatu
helaian buku latihan. Ditanda dengan pen merah satu-persatu jawapan yang
tertulis. Semakannya terhenti tatkala telefon bimbitnya berdering.
Senyuman memekar di bibirnya tatkala
melihat nama yang tertera di skrin.
“Assalamualaikum.” Salam
kesejahteraan dilontarkan sebaik sahaja punat jawab ditekan dan telefon
dilekapkan pada telinga. Salamnya berjawab Mak Jah di hujung talian.
“Tak ada kelas ke?” Soal Mak Jah.
“Lisa baru habis mengajar, mak. Ini
tengah tanda buku kat bilik guru.” Mak Jah mengiyakan sahaja. “Ada apa mak
telefon Lisa?” Soal Khalisah dalam nada sedikit musykil. Bukan apa, selalu
maknya akan telefon sebelah malam. Waktu-waktu Khalisah sudah melunjur kaki di
atas katil. Waktu itulah yang Mak Jah akan menelefonnya.
Kata Mak Jah, waktu itu Khalisah
sudah semestinya beristirehat. Jadi tidaklah menganggu dirinya. Ada-ada sahaja
maknya itu.
“Tak ada apa. Abang suruh mak
telefon Lisa tanya khabar Lisa. Tak sabar-sabar nak tunggu malam dia suruh
telefon sekarang juga.”
“Abang?” Soal Khalisah seolah-olah
tidak percaya. Dua kali musykil jadinya bila mendengar Mak Jah menyebut fasal
abang. Abang memang jarang nak menelefonnya. Sejak peristiwa itu abang memang
nampak kerisauan pada dirinya. Walaupun abangnya tidak menunjukkan tetapi dia
dapat rasakannya.
“Lisa okey je mak. Mak dengan abang
jangan risau. Kat sini Aida ada. Dia pun banyak beri kata-kata semangat pada
Lisa.”
Khalisah melepaskan sebuah keluhan.
Perlahan sahaja namun tetap didengar Mak
Jah.
“Tak baik mengeluh tu.”
“Mak ni telinga lintahlah. Lisa
terlepas. Tak sengajalah.” Tawa kecil terlepas daripada mulutnya.
“Mak dengar walaupun perlahan. Lisa
kan anak mak. Mak boleh hidu gerak-geri Lisa.” Kemudian Mak Jah pula yang
tertawa. Tawanya disambut Khalisah.
“Jaga diri baik-baik. Senang-senang
jangan lupa balik kampung.” Pesan Mak Jah sebelum mengakhiri perbualan.
Khalisah tersenyum sebaik sahaja
talian dimatikan. Wajah emaknya bermain di ruang mata diselang-seli dengan
wajah abangnya, Khairulnizam.
“Abang tak nak tengok Lisa bersedih
macam ini sangat.” Pesan abangnya usai dia bersolat maghrib secara berjemaah di
rumah. Waktu itu dia menyalami tangan abangnya dengan berlinangan air mata.
Seketika mengelamun, Khalisah
tersedar ke alam realiti. Baru dia teringat pesanan Aida. Lantas dia menyelak
buku catatannya untuk mencari kertas yang diselitnya tadi. Nombor yang tertera
didail. Sesaat bunyi deringan sebelum panggilannya berjawab.
“Assalamualaikum. Boleh saya
bercakap dengan Puan Nadia?” Setelah memperkenalkan dirinya, Khalisah
berterus-terang tentang tujuannya menelefon.
“Kalau macam tu, Puan Khalisah boleh
juga kumpulkan barang-barang untuk dibawa ke rumah orang-orang tua tu nanti
sebagai sumbangan”
“Saya memang bercadang nak kutip
derma daripada cikgu-cikgu sekolah. Nasiblah kawan saya terperasan iklan di facebook tadi.” Terang Khalisah
berbasa-basi.
“Kami memang adakan program sebegini
sepanjang tahun. Kadang ke rumah orang tua, kadang ke rumah anak-anak yatim.
Ikut pada tentatif program sepanjang tahun. Ini semua kerja sukarelawan.”
“Bagus macam tu. Saya memang
berminat nak ikut serta.”
“Kalau program rumah orang-orang
tua, kami akan mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
terlebih dahulu untuk menghantar sumbangan. Untuk rumah orang-orang tua bawah
NGO, kita boleh terus mohon pada penjaganya.” Terang wanita yang bernama Nadia panjang
lebar.
“Baiklah. Nanti kita jumpa sabtu
ini.”
Talian diputuskan. Jam di tangannya
dikerling. Lebih kurang setengah jam lagi waktu rehat akan tiba. Ini bermakna
ada setengah jam lagi Aida akan habis waktu mengajarnya. Khalisah sudah tidak
sabar mahu berkongsi cerita dengan Aida.
Buku nota kecil di atas rak
dicapainya. Dia mula menyenaraikan barang-barang sumbangan yang perlu untuk
dibawa ke rumah orang-orang tua itu nanti. Rasanya dia sudah menemui aktiviti
baru untuk dirinya. Dia mahu menyibukkan dirinya dengan aktiviti-aktiviti yang
berfaedah tanpa ada masa untuk memikirkan perkara lalu.
‘Kain batik, pampers, kain pelekat,
beras, sardin...’ Satu-persatu disenaraikan di dalam buku nota sambil anak
matanya ligat memerhatikan kelibat Aida yang belum kunjung tiba di dalam bilik
guru.
[Bersambung]
No comments:
Post a Comment